Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Thursday, May 24, 2012

TAHNIAH PASUKAN RED WARRIOR KELANTAN

Ini adalah merupakan catatan sepanjang perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan pada 20hb Mei, iaitu hari selepas Pasukan Bolasepak Kelantan meraih kemenangan sulung Piala FA 2012. Aku memulakan perjalanan selepas menyegarkan perut dengan bersarapan pagi di Seri Hartamas yang ditemani putera sulungku dan sahabatnya. Sepatutnya kami bertolak lebih awal lagi iaitu kira-kira jam 7.30 pagi tetapi disebabkan kena mencari rumah sahabat putera sulungku itu di Pantai Hill Park Bangsar, maka perjalanan kami ini agak terlewat sedikit. Walau apa pun, kami telah sampai ke destinasi dengan selamat dengan mengambil masa hampir satu hari.

Aku sudah menjangkakan bahawa perjalanan ini akan menjadi menarik dan tidak membosankan kerana akan melihat sendiri kelompok-kelompok penyokong bolasepak Kelantan yang kesemuanya akan pulang ke Kelantan pada hari yang sama. Sudah pasti kumpulan-kumpulan ini akan pulang ke Kelantan dengan perasaan yang amat menggembirakan. Manakan tidak sebab sudah dua kali layak ke pertandingan akhir Piala FA dan kedua-duanya gagal. Kali ini mereka berjaya diikuti pula dengan membawa Piala yang baru bernilai lebih kurang lapan puluh ribu ringgit yang juga dibuat di Kelantan. Inilah kemenangan yang cukup bergaya yang mampu diraih oleh pasukan dari negeri dengan jolokan nama Wau Bulan.

Berlepas dari Tol Gombak, sudah kelihatan beberapa buah kereta penyokong Kelantan yang dilekatkan bendera Kelantan dan Red Warrior berwarna merah dan petak-petak putih merah dengan pelbagai gaya. Terdapat juga penyokong yang menyepitkan baju merah dan mufla merah putih  di cermin kereta mereka. Inilah suasana awal yang kelihatan semasa aku melalui Tol Gombak.

Ada di antara kumpulan ini sudah bergerak lebih awal lagi sebab sepanjang perjalanan ini aku asyik memintas kumpulan-kumpulan ini. Ada yang bergerak laju, pintas memintas di antara satu sama lain. Aku harap dalam suasana keriangan yang tidak terkata ini, janganlah berlaku sesuatu yang tidak diingini. Malangnya harapan aku itu menjadi hampa apabila tiba di satu selekoh kecil diantara Pekan Bentong dan Raub, aku mendapati salah sebuah kereta penyokong Red Warrior ini sudah berada di dalam lurah kecil kerana melanggar sebatang tiang lampu konkrit dan berpusing balik ke Bentong. Kemalangan ini hanya melibatkan sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam yang telah melanggar tiang lampu tersebut.

Beberapa buah kereta penyokong Kelantan turut berhenti untuk memerhati dan memberi pertolongan sekadar yang mampu. Mungkin ada yang tersepit di dalam kereta berkenaan kerana semasa aku melaluinya aku sempat menjeling ke arah kereta itu dan mendapati ada seseorang sedang menjengok ke arah tempat duduk pemandu. Aku berdoa agar tidak berlaku sesuatu yang lebih dasyat. Beberapa minit selepas aku melalui tempat kemalangan itu, aku dapati sebuah ambulan bergerak laju menghala ke tempat kejadian.

Sepanjang perjalanan sehingga melewati Kuala Lipis, tidak putus-putus aku memintas gerombolan penyokong Red Warrior ini. Setiba sahaja aku di Kampung Tunku, aku agak terkejut kerana di salah satu bahu kanan jalan ke Kelantan ini, didapati beberapa kanak-kanak dan dua tiga orang anak dara sedang mengibar bendera Kelantan dan Red Warrior ke arah kenderaan penyokong Kelantan. Aku pun turut dilambai-lambainya. Aku rasa terkejut juga sebab aku tidak pun melekat sebarang bendera Kelantan di kereta. Rupa-rupanya baru aku perasan bahawa aku memakai baju Polo bewarna merah. Malahan putera aku pun memakai baju bewarna merah. Kami berdua tergelak terbahak-bahak. Sungguh melucukan.

Bermulanya dari Kampung Tunku, seterusnya melalui jalan ke Gua Musang, boleh dikatakan setiap beberapa kilometer akan adalah kumpulan kanak-kanak yang akan mengibarkan bendera sambil meniup trompet plastik (entah apa ke namanya, trumpet macam di World Cup kat Afrika dulu). Ada setengah daripada mereka meniup botol plastik yang di tebuk lubang dan mengeluarkan bunyi yang seakan trumpet. Bukan setakat tiupan malahan menjerit-jerit nama Kelantan. Pakaian mereka ke semuanya jersey pasukan Kelantan, siap dengan rambut plastik merah. Yang melucukan aku adalah satu kumpulan kanak-kanak berbaris di tepi jalan sambil tabik spring macam askar. Aku tidak henti tertawa melihat gelagat-gelagat ini.

Setiba RnR Gua Musang, boleh dikatakan kesemua yang keluar dari kenderaan memakai baju merah atau jersey Kelantan. Dengan aku-aku sekali pakai baju warna merah. Lepas satu kumpulan dan diikuti kumpulan lain melalui hentian RnR ini. Kesemuanya diketuai oleh kenderaan yang mengibarkan bendera. Bendera yang diikat pada batang penyapu ada tiga jenis iaitu Bendera Kelantan, Red Warrior dan Bendera PAS. Alamak, tidak ada Bendera UMNO. Frust betul aku dibuat.

Walaupun tidak ada bendera UMNO, tetapi kenderaan yang mempunyai sticker jajahan-jajahan tertentu siap dengan nombor ada kelihatan. Aku pasti inilah kumpulan yang ditaja oleh UMNO. Walau apa pun dalam kefanatikan bola sepak ini, aku dapati rakyat Kelantan terus membuang fahaman ideologi parti masing-masing. Politik diketepikan kerana semangat menyokong pasukan bola sepak negeri mereka adalah menjadi keutamaan. Inilah keunikan anak-anak Kelantan. Dalam Stadium Bukit Jalil, tidak ada PAS mahu pun UMNO. Yang ada hanyalah nama Red Warrior. Cukup hebat dan boleh jadi pengajaran kepada penyokong bola sepak negeri lain.

Selepas makan tengahari di RnR Gua Musang, aku mengambil keputusan untuk bersolat di Masjid Bandar Retro Gua Musang. Aku diberitahu oleh salah seorang ahli keluarga bahawa di dalam Masjid berkenaan ada kubur seorang wali Allah. Apabila aku memasuki ruang masjid berkenaan, memang benar, aku dapat melihat sebuah kubur yang ditutup dengan kotak kayu besar umpama keranda berhadapan dengan mimbar masjid. Aku menghadiahkan Al-Fatihah kepada arwah wali berkenaan dan terus mengimamkan solat.

Melepasi Gua Musang, rupa-rupanya di sepanjang jalan menghala ke Kuala Krai lagi hebat. Sehinggakan pada satu tempat itu, bukan sahaja budak-budak malahan emak bapak datuk nenek siap berpakaian baju merah (satu keluarga) pun turut bersorak, menjerit dan mengibarkan bendera. Aku menjadi sedikit emosi melihat suasana ini. Beberapa orang budak-budak menunggang motor sambil pemboncengnya berdiri mengibarkan bendera dan terjerit-jerit. Aku pulak terpaksa berhati-hati takut tergesel budak-budak yang tengah naik syeh ini.

Setiba sahaja di Bandar Kuala Krai, suasana semakin rancak. Boleh dikatakan hampir kesemua lori baik kecil atau treler akan menekan hon sepanjang jalan. Kalaulah aku dapat merakamkan detik-detik ini dan upload di Youtube, alangkah seronoknya. Semua boleh lihat ragam ini.

Aku tiba di Kota Bharu pada jam empat lebih. Aku sempat juga berhenti di sebuah gerai tidak jauh dari Bangunan Wisma Yati (Ayam Percik) dan kedai pakaian G-NINE. Selepas perkena nasi berlauk daging goreng, manakala puteraku dan sahabatnya berlauk ayam pedas, kami menyambung perjalanan ke Pengkalan Chepa (PC). Apabila aku melepasi lampu isyarat dan menghala ke PC, aku dapati kiri-kanan jalan penuh dengan limpahan manusia berjersi merah.

Rupa-rupanya mereka sedang menanti perarakan Piala FA dan pemain bolasepak yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail pada petang itu. Aku mendengar bunyi siren kereta peronda polis dan bunyi deruman motor beserta bunyi hon motor. Dari jauh berhampiran Taman Uda Murni, aku dapat melihat sebuah treler panjang yang diubahsuai sedang membawa pemain bolasepak Kelantan dan Piala FA yang dimenangi. Orang pertama yang aku nampak adalah Jurulatih Bolasepak Kelantan yang licin bersinar kepalanya. Aku juga dapat melihat si Apek goal keeper Kelantan (yang sedang mengejar populariti hendak menjadi superstar, alamat tidak lamalah hayat budak ini dalam bolasepak) duduk di bahagian belakang tereler berkenaan.

Di belakang treler berkenaan terdapat entah berapa ratus biji motor kumpulan mat rempit yang mengekori sambil menekan hon motor masing-masing. Ini diikuti dengan deretan ratusan buah kereta yang bergerak secara slow motion yang panjangnya sehingga di Lapangan Terbang. Nasib baik di Pengkalan Chepa ada lampu isyarat, senang aku belok untuk menuju ke rumah. Kalau tidak, kenalah berkhemah di tepi jalan sambil menyanyi lagu penyokong Red Warrior versi aku sendiri. Bunyinya macam lagu "We will...we will.. rock you". Kalau diubah liriknya akan berbunyi macam ni.."Go....mo Kelaaate Gomo"(ikut ajer beat tu)...doom...doom...tak....doom...doom...tak..dikuti dengan lirik yang sama sampai pengsan.

Walaupun perjalanan ini mengambil masa hampir satu hari, aku sedikit pun tidak terasa letih kerana asyik dengan suasana yang dipertontonkan kepada aku. Apa lagi yang hendak aku katakan? Ucapan aku untuk pasukan bolasepak kelantan, terutamanya bukan para pemain (mereka telah mempamirkan permainan peringkat akhir yang amat mengecewakan) tetapi para penyokong mereka yang sanggup mensunyi-sepikan Bandar Kota Bharu dan Jajahan lain semata-mata untuk memberi sokongan padu kepada pasukan bolasepak ini. Sewajarnya penyokong-penyokong ini diberi ganjaran yang setimpal, kalau tidak dengan wang tunai (seperti mana yang diberikan kepada para pemain dengan jumlah RM500,000), paling tidak pun jamuan makan dari pagi sampai malam di Stadium Sultan Muhammad ke 4 dan juga di jajahan lain. Berapalah sangat kosnya. Kalau ditumbangkan dua hingga 3 ratus lembu untuk setiap jajahan, tidak pun sampai lima ratus ribu RM. Ini belum masuk sumbangan percuma dari puak-puak orang kaya dan fanatik-fanatik bolasepak Kelantan.

Well done Red Warrior. Piala FA sudah dalam genggaman. Piala Liga Malaysia sudah garenti. Menang pulak Piala AFC nanti, maka akan menanglah segala-galanya.

Wednesday, May 16, 2012

SELAMAT HARI GURU KEPADA GURU DAN YANG PERNAH MENJADI GURU 2012

Pada hari ini manusia yang digelar guru atau pendidik menyambut Hari Guru 2012. Kali ini sambutan peringkat nasional disambut di Kuala Kangsar Perak seterusnya  dengan pelbagai agenda sedang berlangsung di Bandaraya Ipoh. Aku adalah salah seorang daripada ahli mesyuarat operasi pemilihan lokasi sambutan Hari Guru yang bermula pada hari ini.

Sewaktu di sekolah dulu, pada setiap hari guru pelbagai agenda disusunatur oleh warga sekolah terutamanya anak-anak murid. Tidak hairanlah sekiranya pada hari kelmarin boleh dikatakan para ibu bapa membeli kek, bunga dan sebagainya atas permintaan atau desakan anak-anak mereka untuk disampaikan kepada guru kesayangan mereka baik secara berkumpulan mahu pun individu. Sehinggakan anak-anak dari guru sendiri turut membuat desakan yang sama seperti orang lain. Inilah uniknya manusia yang memilih profesyen keguruan sebagai hala tuju mereka. (Dalam hal ini terdapat dua jenis hala tuju iaitu yang mutlak dan yang terpaksa).

Berbalik kepada apa yang hendak akau katakan, sekiranya di sekolah maka guru akan menerima pelbagai ucapan selamat hari guru dari kalangan anak-anak murid mereka. Malangnya apabila guru-guru ini ditempatkan dalam hal pengurusan dan dasar yang terletak di mana-mana Bahagian Kementerian Pelajaran, hal ini sudah tidak berlaku lagi. Mungkin adalah seorang dua akan menerima jambangan bunga atau kad ucapan daripada murid-murid yang menggangapnya special. Bagi yang lain, mereka akan mengucapkan selamat hari guru hanya sesama sendiri. Memanglah sedih bunyinya tetapi itu adalah realiti kehidupan.

Begitu juga yang berlaku ke atas diri aku sekarang. Pada awal pagi tadi kami mengucapkan selamat hari guru sesama sendiri dengan senyuman yang sayu sebenarnya. Perkara sedemikian rupa telah aku bersama rakan lain lalui sejak sekian lama kami bertugas di Bahagian Kementerian Pelajaran. Apabila dijengok ke dalam facebook, yang turut mengucapkan itu adalah dalam kalangan kenalan guru sahaja. Kalau pun ada anak murid, mungkin adalah beberapa orang sahaja.

Bukannya aku hendak mengungkit-ungkit bab ini tetapi sekadar hendak menceritakan inilah pengalaman yang dilalui saban tahun. Apa yang pasti, pada setiap sambutan hari guru ini masing-masing akan ternanti-nanti apakah habuan yang akan diterima oleh warga pendidik dalam ucapan Menteri Pelajaran.

Pada sambutan hari guru 2010, Menteri Pelajaran telah mengumumkan bahawa warga pendidik yang mempunyai kelayakan akademik peringkat PhD akan diberikan satu kenaikan gred. Malangnya itu hanyalah merupakan satu mimpi ngeri.  Manakala pada tahun 2011, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kesemua Penolong Kanan di sekolah sama ada PK Pentadbiran, PK Hem dan PK Kokurikuum akan dinaikan ke Gred DG48. Dan pada tahun 2012 (tarikh pada hari ini 16Mei), apakah pula kejutan yang akan diumumkan.

Difahamkan pengumuman tahun 2011, baru sekarang sedang dilaksanakan. Ini bermakna kesemua Penolong Kanan sebelum 1 Disember 2012 telah mula menerima Gred DG48. Sejauhmanakah kebenaran kepada hal ini, aku kurang pasti. Bunyi-bunyi mengenainya baru kedengaran pada awal pagi ini dari rakan setugas. Sekiranya benar dengan apa yang dikata maka sekalung tahniah aku ucapkan kepada kesemua penolong kanan satu Malaysia. Bruntunglah kau orang semua.

Dalam hal ini, aku tertanya-tanya mengapa pengumuman yang disambut ini hanya terpakai di sekolah dan tidak diaplikasikan di peringkat pegawai di Kementerian Pelajaran? Walhal kalau hendak dibandingkan dari segi tugas, tugas kami di Bahagian lebih teruk malahan teramat teruk kerana ianya berkait dengan pengurusan dan dasar seluruh Kementerian Pelajaran? Segala apa yang dikecapi oleh rakan-rakan DG di sekolah adalah hasil perahan idea dan kerja buat kami di Kementerian. Bukannya hendak meluahkan keresahan atau sungutan tetapi hendak memaklumkan pihak berautoriti bahawa kami juga adalah golongan bergredkan DG.

Inilah antara perkara yang rakan-rakan di sekolah tidak faham. Mereka beranggapan bahawa apabila berada di Kementerian Pelajaran (Bahagian) kami sudah berada di dalam gred yang selesa iaitu DG48 ke atas. Sebenarnya apa yang berlaku tidak langsung seperti itu. Kumpulan kami di sini bukanlah ramai sehingga mencecah seratus ribu orang. Paling tidak pun dalam sekitar tiga puluh ribu sahaja golongan kami yang bertugas di pejabat. Dalam seramai ini pun, kebajikan kami tidak terjamin atau diberi perhatian secara langsung. Untuk kenaikan pangkat, terdapatnya dua cara iaitu menunggu mengikut prosedur dan keduanya, membodek dengan pendekatan politik.

Pendekatan cara pertama itu biasanya apabila hendak pencen esok lusa, barulah dapat naik gred. Pendekatan cara kedualah yang selalu mendapat kejayaan. Sebab itulah kalau diperhatikan mereka yang memegang jawatan Gred DG48 ke atas adalah dari kalangan junior atau muda yang tidak mempunyai pengalaman mantap dalam aspek pengurusan. Sebenarnya ramai dalam kalangan pegawai senoir yang sepatutnya diberi keutamaan dalam soal kenaikan gred tetapi malangnya sudah berkurun lamanya hal ini tidak diambil peduli. Mengapa terjadinya sedemikian? Bagi aku jawapannya mudah sahaja, mereka yang menjawat jawatan tertinggi dalam Bahagian bermula dari gred DG48 dengan jawatan Ketua Penolong Pengarah, diikuti dengan Ketua Sektor, Timbalan dan Pengarah adalah merupakan jawatan politik dan hanya satu peratus sahaja yang melalui prosedur dalam perkhidmatan kerajaan.

Dikatakan jawatan tersebut adalah jawatan politik adalah kerana iainya melalui pendekatan membodek, menggampu, pak sanggup, pak turut, kaki tikam belakang, kaki mengadu dan yang setara dengannya. Apabila sudah mendapat jawatan tersebut, mereka akan mengatakan hanya mereka sahaja yang layak mendudukinya dan orang lain tidak boleh. Maknanya hanya aku sahaja yang boleh dapat DG48, DG52, DG54, Jusa C, B dan A. Apabila mereka sudah berada di dalam gred tersebut terutamanya dengan jawatan Pengarah, adakah mereka ambil peduli tentang pegawai bawahan mereka? Maksud aku dalam aspek kebajikan dalam hal kenaikan pangkat. Mereka dengan mudah mengatakan, bersabarlah apabila sampai masanya, naiklah pangkat. Anggap ini adalah rezeki, adalah tu lepas-lepas ini. Perkataan lepas-lepas ini, maka tunggulah sehingga tarikh bersara kelak barulah dapat lepas-lepas ini.

Sudahlah tidak memikirkan hal kebajikan pegawai bawahan, duit sesen pun untuk tujuan belanja minum atau sesekali makan, haram tidak kelihatan. Sebaliknya pegawai bawahanlah yang terpaksa membelanja mereka. Disinilah akan kelihatan bagaimana ideogi penerusan konsep pembodekan itu berlaku. Kaedah inilah yang terus menerus berlaku di hadapan mata kita. 

Jadi berbalik kepada cerita di atas, sebenarnya terdapat dua kumpulan DG dalam perkhidmatan pendidikan. Pertama DG di peringkat pusat dan kedua, DG di peringkat operasi iaitu di sekolah. Terus terang dikatakan apa yang dikecapi oleh DG peringkat sekolah sekarang ini adalah merupakan air tangan DG di peringkat pusat. DG di peringkat pusat inilah yang tidak tidur,dimaki dihamun, terpaksa meninggalkan anak isteri, hidup berjauhan, terpaksa menampung kos sara hidup yang cukup tinggi, disepak terajang ikut suka hati pihak berautoriti, berjuang dan berusaha untuk merealisasikan dasar kepada setiap program yang memberi benefit kepada golongan DG di sekolah. Yang membezakan kedua-dua DG ini ialah gelaran jawatan iaitu penolong pengarah dan guru atau Cikgu.

Mungkin beginilah kedudukannya:-

Pengarah  -  Pengetua (Gred teramat ketara)
Timbalan Pengarah  -  Timbalan Pengetua (Gred ketara dan setara)
Ketua Sektor  -  Penolong Kanan (Gred teramat ketara dan setara)
Ketua Penolong Pengarah  -  Ketua Bidang (Gred setara)
Penolong Pengarah  -  Guru Penolong atau guru yang mengajar (Gred setara dan ada lebih rendah)

Walau apa-apa pun, hakikatnya adalah kami yang berada di tempat sekarang ini adalah merupakan bekas-bekas guru belaka. Walau dimana pun kami berada darah guru tetap mengalir dalam diri ini. Tidak kiralah apa jawatan yang disandang hatta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sekalipun, kesemuanya adalah guru.

SELAMAT HARI GURU KEPADA RAKAN-RAKAN GURU DARI AKU YANG JUGA PERNAH MENJADI GURU

Tuesday, November 22, 2011

SUKAN ADALAH SUKAN, POLITIK ADALAH POLITIK

Malaysia berjaya mengekalkan pingat emas dalam bola sepak Sukan SEA di Indonesia. Tahniah atas kejayaan tersebut apatah lagi saingan akhir itu menemukan dua gergasi bola sepak peringkat Asia Tenggara. Memang tidak dinafikan kedua-dua gergasi ini hanya menyerlah di peringkat ini sahaja dan masih jauh lagi untuk menjadi gergasi Asia sebenar berbanding dengan Jepun, China, Korea dan negara Asia Tengah.


Dalam pertandingan yang disaksikan jutaan manusia seluruh Asia Tenggara malahan mungkin seluruh dunia, kita dipertontonkan dengan gelagat penyokong Indonesia yang cukup mengecewakan. Di manakah dikatakan semangat kesukanan? Setiap kali pertemuan kedua-dua negara ini dalam pertandingan sukan, gelagat yang meloyakan dari penyokong Indonesia memang tidak dapat dielakkan. Di manakah kesilapannya? Adakah terdapatnya faktor lain atau apakah sebenarnya? Dakwaan paling mudah dalam menilai perkara ini adalah kepincangan pihak penganjur dan tuan rumah Sukan SEA kali ini.


Dalam meraikan kemenangan yang agak berprestij ini, terdengar pula suara yang tidak berapa enak diperdengarkan. Satu kenyataan dari mulut orang politik Malaysia mengatakan punca kelakuan tidak sopan yang ditunjukkan oleh penyokong Indonesia adalah disebabkan peranan parti pembangkang atau Pakatan Pembangkang Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri. Perkara ini katakan telah menular dalam rakyat Indonesia hingga mereka dilihat amat membenci kepada tampuk pemerintahan Malaysia.


Mengapa cuba dikaitkan politik dalam negara dengan Sukan SEA ini? Ini adalah satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin muda negara. Bukankah kenyataan ini akan mengundang banyak lagi masalah apatah lagi dalam usaha kerajaan untuk meraih sokongan rakyat yang semakin meruncing dalam PRU13 nanti. Mengapakah kita terus menerus memberi peluru kepada pihak pembangkang?


Di manakah profesionalnya kita? Mengapa kita perlu mencetuskan isu ini? Apakah kita masih tidak membuka mata dan telinga mengenai isu yang kita sendiri ciptakan dan implikasinya kepada kita? Pihak mereka dengan begitu cepat sekali mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pasukan Malaysia yang berjaya mengekalkan kecemerlangan. Malangnya di pihak kita tanpa menggunakan kepala otak mengatakan perkara yang tidak sepatutnya.


Pergolakan dalam parti masih tidak reda sehinggakan pemimpin tertinggi juga mengatakan demikian. Kita sepatutnya memberi fokus untuk membetulkan keadaan dalam parti bukannya asyik mengaitkan dengan pihak lain. Rakyat semakin menjauhi parti kita. Kalau kita menyusur berita-berita dalam alam maya ini, boleh dikatakan setiap hari mereka menghentam kita dengan pelbagai perkataan yang cukup kurang sopan. Isu inilah yang perlu kita tangani.


Dulu kita disukai dan kita cukup popular di mata rakyat. Sekarang apa sahaja yang kita lakukan, kesemuanya mendapat pingat cemuhan. Kita sebenarnya masih mempunyai ruang untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita. Caranya ialah melakukan pengorbanan. Beranikah dalam kalangan kita melakukan pengorbanan iaitu duduk sama rendah diri sama tinggi dengan rakyat. Beranikah kita mengorbankan kesenangan dalam dunia penuh kemewahan dengan kesenangan yang sederhana dalam dunia kesengsaraan dan keresahan rakyat?. Sudah tentu sukar dan tidak mungkin untuk seseorang dengan apa yang diperolehi atau kecapi boleh melakukan tuntutan ini.


Malaysia menang pingat emas dalam acara bola sepak dengan mengalahkan Indonesia dengan sepakan penalti 4-3. Seluruh rakyat Malaysia bersorak menyambut kemenangan ini. Apakah seluruh rakyat Malaysia akan bersorak sebegitu rupa sekiranya dalam PRU13 nanti angka 4 diperolehi pihak mereka dan angka 3 diperolehi pihak kita?. Pada ketika itu siapa pula yang akan dikaitkan dan peranan siapa pula yang hendak kita tujukan.

Friday, October 14, 2011

SELAMAT BERADA DI ALAM PERSARAAN

Agak sukar juga hendak memilih rangkaian bahasa sebagai permula bicara dalam meluah isi rasa sempena mengenangi persaraan seorang sahabat dari perkhidmatan beliau dengan kerajaan. Walau pun tidak lama mengenali tuan punya badan tetapi sepanjang setahun bersama seolah-olah sudah mengenalinya begitu lama. Tanggal 10 hb Oktober 2011, maka genaplah tarikh perkhidmatan beliau bersama Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.


Walau pun beliau cuma berada di Jemaah Nazir ini hampir tiga tahun, keringat dan tenaga yang disumbangkan dalam ertikata menjalankan tugas sewajarnya diberi penghargaan dan pengiktirafan. Jemaah Nazir telah berjaya melaksanakan satu majlis dan diikuti dengan majlis lain sempena persaraan beliau.


Kesempatan mendengar ucapan beliau di dua majlis yang berbeza cukup teruja. Pendekatan ucapan yang berbeza dengan kandungan bicara yang tidak dijangka begitu menggamitkan suasana. Apa yang terpancul keluar dari mulut beliau adalah menggambarkan luahan isi hati yang penuh kejujuran dan keikhlasan.


Menyusuri detik bersama beliau di tempat bertugas, aku perhatikan beliau merupakan seorang yang cukup bersabar dalam menunaikan tangungjawab sebagai seorang Nazir Sekolah. Diherdik, ditengking malahan adakalanya menjadi bahan ketawa di kalangan Nazir, sedikit pun tidak dihiraukan. Malahan turut sama tertawa dengan apa yang berlaku. Apabila aku merenungi diri beliau, aku percaya jauh di sudut hatinya penuh dengan pelbagai torehan dan gurisan yang cuba diselindunginya. Entah kenapa aku merasa pilu dan sedih malahan sukar untuk aku perkatakan mengenai watak dan keperibadian salah seorang sahabat dan rakan seperjuanganku ini.


Aku sebenarnya cukup menyenangi kehadiran beliau sebagai rakan. Cara dia menangani herdikkan atau jeritan sang ketua, begitu bersahaja sekali. Katalah apa yang hendak dikata, makilah, herdik dan sebagainya, dia tetap bersahaja. Itulah kelebihannya sahabatku ini apabila berdepan dengan manusia-manusia berwajah hipokrit, sombong, bodoh lagi dungu. Hanya senyuman sahaja yang akan terukir apabila berada di dalam situasi sebegitu rupa.


Episod yang paling malang berlaku terhadap rakanku ini ialah apabila dia dicampakkan surat untuk bertukar atau bertugas di sekolah. Aku sendiri tidak mengerti mengapa perkara ini perlu berlaku di kala beliau cuma tinggal hampir sepuluh bulan sahaja lagi untuk bersara. Bahkan beliau ada memberitahu aku mengenai laporan prestasi yang cukup rendah diterimanya daripada sang ketuanya. Apakah ini merupakan konspirasi terhadap beliau atau apakah sebenarnya? Bagi aku kalau seseorang itu kurang pandai dalam melakukan sesuatu tugas maka adalah menjadi kewajipan mereka yang mengaku pandai untuk memberi bimbingan kepada yang kurang pandai ini. Malangnya itu tidak berlaku dan cara yang dikatakan mudah walhal menyusahkan banyak pihak adalah dengan menukarkannya ke tempat lain dan dalam hal ini balik ke sekolah.


Mereka yang bersekongkol dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini bukannya tidak tahu bahawa manusia yang diperlakukan sedemikian rupa ini mempunyai tanggungjawab yang cukup berat. Rakanku ini mempunyai seorang anak istimewa dan ini memerlukan penjagaan yang sistematik. Inilah yang membuatkan aku bahkan rakan-rakan yang sepemikiran denganku merasa cukup terkilan dan marah. Alhamdullillah dengan berkat kesungguhan, doa dan tunjuk ajar yang dianjurkan, pertukaran beliau dibatalkan. Semoga Allah membalas segala perbuatan mereka yang terlibat ini.


Maruah adalah merupakan satu perkara yang tidak boleh digurau-sendakan. Maruah ini adalah benteng diri kita. Menjatuhkan maruah malah mengaibkan maruah seseorang, Allah telah memberitahu kita hanya manusia sahaja yang boleh memaafkan perbuatan sesama manusia. Di sanalah nanti sebarang tuntutan dan dakwaan akan diperlihatkan kembali kepada kita.


Itulah sahabatku yang bernama Mohd Yusof Bin Maulud. Genap 56 tahun perkhidmatan beliau di alam pendidikan. Segala onak dan duri di alam yang lalu akan memberi kekuatan kepada beliau untuk terus berkhidmat kali ini kepada keluarga yang cukup disayanginya. Allah Maha Kaya, itulah yang sering aku beritahu kepada beliau setiap kali beliau menemui aku.


Kepada sahabatku Yusof, aku tetap akan mengenang budi baikmu sepanjang hayatku. Semoga persahabatan yang dibentuk walau pun hanya seketika, aku berharap agar ianya berkekalan. Semoga Allah mempermudahkan urusanmu di alam persaraan ini. Insyaallah.

Sunday, September 11, 2011

Ramadan dan Idil Fitri 2011

Pada tarikh ini sudah 12 hari kita berada di dalam bulan Idil Fitri. Ramadan yang lalu begitu besar ujiannya. Manakan tidak, inilah satu-satunya Ramadan yang mana aku tidak dapat bersama keluarga sepanjang tempoh tersebut. Tugas kepada Yang Menurut Perintah mana boleh diketepikan. Kalau tidak pergi maka akan didakwa sebagai tidak bertanggungjawab walhal perkara ini bukankah kita yang merancangkannya. Tarikh bukan tidak boleh dipinda cuma hendak atau tidak sahaja.


Sang Ketua dan Timbalan-timbalannya bukan hendak mengambil tahu hal ini sebab mereka adalah dari keturunan puak yang memang tidak suka beramadan bersama keluarga agaknya. Mereka terlalu amat suka berbuka di hotel-hotel di mana tempat mesyuarat diadakan. Bukan setakat malahan sewaktu berbuka puasa mereka inginkan diri mereka dirai umpama raja sehingga kita hendak berbuka pun tidak selesa. Dalam bulan Ramadan sepatutnya kita berlumba-lumba mencari pahala tetapi di sini sebaliknya. Ini belum lagi diarah untuk ke tempat jauh yang memerlukan perjalanan dengan kenderaan. Berbuka puasa dan bersahur mengikut apa yang ada.


Peliknya ada segelintir pengikut setia sanggup sepanjang ramadan untuk tidak bersama keluarga semata-mata untuk menuntut claim yang mencecah dua ke tiga ribu ringgit dengan alasan dungunya iaitu untuk duit raya. Tidak pernah aku jumpa ada manusia sebegini rupa sepanjang aku bekerja di tempat lain sebelum di tempat sedia ada sekarang. Malu dan memualkan dengan sikap dan perangai segelintir manusia ini.


Kini pengalaman itu sudah berlalu dan akan sentiasa terpahat di dalam diari hidup. Beberapa hari sebelum Raya aku telah mengambil cuti awal kerana hendak pulang beraya di kampung halaman bersama anak-anak dan keluarga. Hak untuk bercuti mana boleh dihalang tetapi hal ini ada berlaku di tempat aku berada sekarang. Kita hendak bercuti disingkatkan tetapi untuk yang menjadi ketua. dia hendak bercuti bersambung-sambung boleh pulak. Kalau tidak ada orang yang berani melawan maka akan tunduklah tetapi tidak bagi aku. Yang hak tetap yang berhak hatta ke mahkamah mana sekalipun aku sanggup hadapinya. Untuk diri yang berkuasa (kononnya...buat aku tergelak sahaja) apa yang mereka buat semuanya boleh. Mereka ini sebenarnya sudah jemu menjadi manusia. Jadi adalah sedikit malahan banyak aku rasa yang hendak menjadi tuhan pulak.


Menyambut Raya kali ini cukup berlainan sama sekali dengan yang sebelumnya. Aku dapat memberi ruang sepenuhnya kepada anak dan keluarga. Apa sahaja yang mereka inginkan akan aku sediakan malahan sepertimana menjadi kata-kata orang berkorban apa sahaja.


Pada raya kali ini aku diperlukan untuk menguruskan dua event yang besar iaitu majlis pertunangan dan perkahwinan. Pertunangan melibatkan anak saudara perempuan manakala perkahwinan melibatkan adik perempuan. Tarikh berlakunya ada serentak iaitu pada hari raya kelima. Terkejar-kejar aku dibuatnya ditambah lagi dengan salah seorang anakanda aku tiba-tiba tidak sehat. Begitu besar ujian yang aku lalui Idil Fitri kali ini. Alhamdullillah dalam terkejar-kejar aku berusaha juga untuk tidak menghampakan orang-orang yang mengharapkan aku. Terpulang kepada mereka untuk menilai apa yang aku lalui dan lakukan pada tarikh itu.


Pada malam raya pertama aku dan anakanda-anakanda aku mencurah kudrat membantu ibu mereka menyediakan juadah untuk pagi raya. Menu utama yang kami sediakan pada pagi raya itu adalah nasi empit, rendang ayam (lima ekor), lodeh, serunding dan sambal tumis. Dengan lain perkataan Menu Johor. Ramai sanak saudara yang datang ke rumah aku adalah untuk merasa kelainan menu yang terdapat di rumah aku berbanding dengan menu Kelantan yang tidak lepas dengan nasi dagang dan sataynya. Seperti biasa menu yang aku sediakan memanglah laris. Waktu petang boleh dikatakan sudah licin.


Raya kali ini aku cuma mengunjung lima buah rumah sahaja dan aku lebih suka duduk di rumah. Rumah para kawan langsung tidak aku kunjungi, sekadar menghantar ucapan sms sahaja. Terus terang aku katakan aku hendak banyakkan rehat di rumah kediamanku ini. Raya adalah sebulan jadi banyak lagi masa untuk mengunjungi rumah mereka.


Pada minggu hadapan aku akan pulang beraya di Johor pulak. Bertemu ayahanda tersayang bersama sanak saudara di sana adalah merupakan kewajipan. Walaupun tidak dapat beraya dengan mereka pada hari pertama, aku tetap akan menunaikan kewajipanku. Mereka sudah memahami situasi aku jadi tidak timbullah sebarang isu mengenainya.


Banyak peristiwa menarik kali ini. Ada yang lucu dan tidak kurang juga yang serious. Apa yang pasti ialah aku dapat memberi sumbangan kepada anak-anak, isteri dan keluarga dalam bentuk benda dan emosi. Aku tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka, cukuplah sekadar menjiwai apa yang telah aku ajarkan. Bagiku aku hanyalah aku.

Tuesday, August 23, 2011

CORETAN RINDU

Salam Sejahtera kepada sekalian alam,


Agak lama benar aku tidak mencoretkan sesuatu di halaman ini. Bukannya malas tetapi sudah ketandusan idea untuk merencanakan sesuatu di sini. Apa yang dinukilkan kesemuanya sudah membuat aku muak dan jemu. Aku seolah-olah seperti anjing menyalak bukit. Sampai bila pun bukit itu tidak akan runtuh untuk menunduk sedikit. Walau pun begitu pemerhatian, pengamatan dan pembacaan terhadap sesuatu yang menyentuh fikiranku, tidak akan aku lepas begitu sahaja.


Pandangan rakan serakyat denganku tetap aku amati dan menelitinya. Sejauhmana kebenaran itu berpihak kepada yang benar atau yang tidak benar, di sini memerlukan satu garapan minda yang terbuka yang tidak terjerut dengan satu aliran suara sahaja.


Saban hari medan peperangan melalui media alaf baru ini melaungkan pelbagai isu kampung sehingga kota raya yang boleh dikatakan kesemuanya mendapat feedback yang pelbagai. Kesemuanya adalah berpunca dari keresahan yang melanda hati dan jiwa mereka yang sensitif terhadap perlakuan persekitaran mereka. Malangnya keresahan yang dinyatakan dari kesemua lapisan dalam organisasi rakyat ini tidak mendapat respon yang sepadan. Yang dilayan adalah dari kalangan atau golongan yang membawa untung bukannya dari golongan yang membawa harapan.


Terlalu amat berbeza dengan aliran pemikiran sekarang berbanding dengan pemikiran 60 sehingga 80an. Pemikiran sekarang lebih berani dan tekal. Pendirian yang disuarakan adalah jelas dan tidak bergoyang. Perubahan inilah yang perlu dibaca oleh generasi lama yang berautoriti. Gabungan aliran pemikiran ini amat perlu untuk membentuk satu halaman baru bagi meneruskan kelangsungan apa yang sedia ada. Faktur keseimbangan dalam garapan aliran pemikiran ini juga perlu ada. Momentum sedia ada jangan sesekali direncatkan sebaliknya perlu dipacu sehebat mungkin sehingga realiti itu menjadi nyata di hadapan kita. Walau sebesar mana sekalipun tsunami melanda pemikiran sedia ada, kita mesti berupaya menyerapkannya untuk memantapkan lagi tenaga diri sedia ada kita. Walau pun sukar kedengarannya tetapi itulah hakikat yang wajib kita lalui dalam mencari ketenangan yang kita idamkan selama ini.

Friday, November 5, 2010

SERONOK BERHARI RAYA QURBAN

Hari Raya Haji atau Qurban semakin hampir. Aku memang ternanti-nanti akan ketibaannya. Setiap kali Hari istimewa ini menjelang aku sudah pasti akan menyambutnya di Kelantan. Berkorban sebahagian adalah merupakan kewajipanku setiap tahun. Apatah lagi apabila dapat melakukan ibadah korban bersama Guru dan yang lain-lain. Setiap kali kurban sudah pasti ada satu majlis yang tersangat istimewa yang menyusulinya. Inilah yang sering menjadi penantian kepada aku.


Bersama keluarga dan anak-anak pada hariraya korban adalah begitu bermakna dan nostalgik sekali. Ini adalah merupakan satu tradisi yang aku wujudkan di dalam diari keluarga kesayanganku. Insyaalah pada tahun hadapan sekirannya diberi keizinan Allah, aku akan melaksanakan ibadah kurban ini di Tanah Suci Mekah.

Thursday, September 16, 2010

ALAMAK! APA DAH JADI...CIKGU WAHID?

KUANTAN 15 Sept. 2010 - Seorang guru muzik hanya berkesempatan meraikan Hari Raya Aidilfitri selama enam hari apabila dia hari ini dihukum penjara 15 tahun dan sebatan dua kali atas kesalahan melakukan seks luar tabii dan mencabul seorang pelajar perempuan, tiga tahun lalu.

Abdul Wahid Mohd. Haneepa, 43, dikenakan hukuman tersebut selepas Mahkamah Tinggi di sini menerima rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya daripada ketiga-tiga tuduhan yang dihadapinya. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan dua kali terhadap tertuduh bagi tuduhan seks oral dan penjara lima tahun bagi setiap dua tuduhan mencabul mangsa. Beliau bagaimanapun memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata, tertuduh tidak wajar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

''Tertuduh juga telah melakukan perbuatan tersebut lebih daripada sekali dan mengambil kesempatan sebagai seorang guru.

''Saya lihat tidak terdapat sebarang faktor yang mendorong untuk meringankan hukuman ke atas tertuduh,'' katanya.

Abdul Wahid sebelum ini telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pendakwaan tetapi selepas pendakwa raya mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi, kes itu dikembalikan semula ke mahkamah tersebut dan dia diperintah membela diri.

Guru sekolah menengah yang telah berkhidmat selama 16 tahun itu bagaimanapun sekali lagi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pembelaan. Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi. Abdul Wahid disabitkan kesalahan memaksa mangsa berusia 14 tahun ketika kejadian untuk melakukan seks oral di dalam bilik muzik sekolahnya kira-kira pukul 5.30 petang pada pertengahan April 2007.

Dakwaan terhadapnya yang diwakili peguam bela Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Tertuduh juga disabitkan dengan dua kesalahan mencabul mangsa yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kira-kira pukul 5.30 petang pada Mac dan awal April 2007 di tempat yang sama.
*sumber-petikan Utusan Malaysia 15 Sept 2010

Thursday, June 3, 2010

MENANGANI PERUBAHAN

Saya begitu tertarik dengan satu tajuk yang sering diperkatakan orang malahan tajuk ini sering menjadi bahan kupasan di dalam banyak seminar yang pernah dihadiri dan dengar baik secara langsung mahu pun melalui media elektronik. Tajuknya ialah mengenai PERUBAHAN. Dalam konteks ini saya ingin fokuskan kepada perubahan yang menyentuh sikap atau pun perbuatan makhluk Allah yang digelar manusia.

Kalau kita menyorot dari segi makna perubahan ialah The Process Of Becoming Different. Secara literalnya ialah proses untuk menjadi lain sama ada yang baik, lebih baik atau tidak baik langsung. Bagi memotivasikan pemikiran seseorang dalam melalui proses itu tadi, kita akan terdengar pelbagai pernyataan yang dibuat oleh ramai orang. Walau bagaimana pun pernyataan yang boleh dijadikan sumber rujukan dalam hubungan ini ialah dari orang yang berotoriti sebagai contoh Pemimpin Negara, pakar-pakar yang telah diakui atau yang paling bertepatan dan mutlak ialah dua dokumen rasmi yang telah diwasiatkan kepada kita. Antara pernyataan yang agak popular ialah “Melayu mudah lupa” oleh mantan Perdana Menteri kita.

Mengapa beliau tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan tersebut melalui sajak yang beliau hasilkan pada suatu ketika dahulu? Sebenarnya kalau disoroti secara mendalam beliau sebenarnya menegur sikap kita sebagai orang melayu dan apa yang diinginkan ialah melihat perubahan sikap dan diri orang melayu. Perubahan kepada sesuatu yang baru dan lebih baik dari sebelumnya. Ini melibatkan pemikiran dan tindakan yang akan dilakukan. Malangnya apa yang berlaku tidak secara menyeluruh malahan terlalu kecil peratus perubahan yang dihasratkan itu. Bertepatanlah seperti yang beliau katakan bahawa Melayu mudah lupa.

Sebenarnya banyak yang boleh kita ulaskan mengenai apa beliau katakan itu. Dalam kita menyingkap beberapa isu yang menyentuh tentang sikap orang melayu, memang apa yang dikatakan oleh mantan itu ada kebenarannya. Kebenarannya ialah masih lagi tidak berlakunya perubahan dalam minda orang melayu. Ramai di antara kita seolah-olah sudah begitu selesa dengan apa yang ada. Dalam keselesaan yang kononnya itu, kita menjadi lupa dengan sensitiviti persekitaran yang ada. Kita lupa kepada tanggungjawab kita dalam mendaulatkan bangsa apatah lagi agama. Kita menjadi lebih menjurus kepada hal kita sendiri dan kepentingan diri kita sahaja. Apa hendak jadi kepada orang lain itu mereka punya pasal. Akhirnya inilah yang menjadi kita satu bangsa yang lemah.

Kita tidak mahu hendak memikirkan secara holistic tentang nasib bangsa kita. Anasir luar setiap saat memerhatikan perkembangan bangsa kita. Melihat dan mengkaji kelemahan yang kita sendiri lakukan dan biarkan. Ini sebenarnya telah memudahkan anasir luar ini menyuntik pelbagai virus sebagai ujian makmal mereka untuk terus melemahkan bangsa kita. Dasar yang menjadi paksi ujikaji mereka ialah antaranya ialah sikap kita berkaitan pemikiran terbuka. Mereka mengasak minda kita agar menerima konsep pemikiran terbuka ini. Kita akan dikatakan kolot sekiranya tidak mahu menerimanya. Pemikiran terbuka ini akan menjurus kepada yang lebih bebas dan tiada ikatan. Yang dikatakan kolot adalah mereka yang tidak mahu berfikiran terbuka. Manakala yang pemikiran terbuka dikatakan sebagai mereka yang berfikiran baru selari dengan perubahan zaman dari alaf baru ke alaf yang lebih baru. Inilah sebenarnya unsur-unsur yang diserapkan ke dalam pemikiran bangsa kita terutamanya kepada generasi melayu baru.

Lebih memudahkan operasi anasir ini ialah apabila pemimpin kita sendiri meminta bangsanya sendiri agar melayani konsep tersebut atas nama perubahan kononnya. Dalam hal ini kita sepatutnya tidak melihat kepada satu aspek sahaja. Kita sepatutnya menjadi lebih sensitivf dengan membuat pelbagai analisis tentang aturan permainan perubahan ini. Dalam membuat analisis ini kita perlulah menggunakan instrumen penilaian yang telah dibekalkan kepada kita iaitu dua instrumen itu tadi (Al-Quran dan Hadith). Tetapi disebabkan faktur keselesaan yang berjaya diterapkan oleh anasir itu tadi, kita akan terus menjadi malas dan leka untuk membuat sebarang analisis dan usaha.

Serangan atau sasaran utama anasir tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu minda. Minda kita menjadi lemah kerana kita tidak mahu kebalkan dia. Untuk mngebalkan minda kita perlu menjadi sensitif kepada persekitaran yang saya katakan tadi. Senjata untuk menangkis sebarang serangan minda itu ialah dua dokumen wasiat yang itu juga. Kedua-dua dokumen itu adalah cukup selengkap-lengkapnya beserta contoh dan cara untuk menanganinya. Dengan lain perkataan apa sahaja permasalahan manusia sudah tersedia dengan jawapan untuk mengatasinya.

Saya akan cuba mengupas dengan lebih lanjut sedikit sebanyak dalam memperkatakan perubahan ini dalam penulisan akan datang. Saya teringat dengan kata-kata seorang rakan. Dia mengatakan bahawa dia percaya dan berharap seseorang itu akan berubah. Betul apa yang beliau katakan. Cuma bagi saya biarlah perubahan itu untuk kemanfaatan ummah atau diri seseorang itu sendiri kerana perubahan itu akan berlaku di dalam mana-mana dua laluan. Pertama ke arah yang lebih baik dan keduanya ke arah lebih menghancurkan.

Wednesday, March 10, 2010

MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN

Aku sendiri tidak faham mengapa ada satu gejala yang tidak sihat berlaku di kalangan penjawat awam yang berlainan gred. Gejala yang dimaksudkan itu ialah satu perasaan hasad dengki terhadap satu sama lain. Walhal mereka kesemuanya adalah dikategorikan sebagai penjawat awam. Permusuhan dan ketidakpuasan hati ini berlaku terhadap satu kumpulan penjawat awam yang dilihat begitu kebal, berkuasa dan tidak boleh disentuh. Mereka inilah dipanggil Pegawai Tadbir Diplomatik atau ringkasnya PTD dan gred mereka ialah Gred M. Kumpulan penjawat awam inilah yang menguasai atau lebih sesuai mengepalai penjawat awam dalam kerajaan di peringkat tertinggi iaitu Ketua Setiausaha Negara dan Ketua-Ketua Setiausaha setiap kementerian.

Sekiranya terdapat mana-mana kementerian ingin membuat cadangan untuk penambahan jawatan, maka kepada mereka inilah cadangan itu diajukan. Begitu juga dengan segala urusan kenaikan pangkat dan sebagainya, mestilah mendapat kelulusan daripada pihak ini. Mereka inilah yang menguasai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Isunya berdasarkan apa yang berlaku sekarang ialah setiap cadangan yang dikemukakan kepada pihak mereka sebagai contohnya yang melibatkan penambahan jawatan atau mewujudkan sesuatu jawatan baru mengikut keperluan kementerian boleh diluluskan dengan syarat pegawai Gred M mesti ada untuk mengepalai mana-mana bahagian atau unit-unit dengan kedudukan gred yang lebih tinggi dari gred jawatan sesebuah kementerian itu. Sekiranya ini dipersetujui maka dengan mudah dan tidak mengambil masa lama untuk mereka meluluskannya.

Ketidakpuasan hati mengenai isu seperti inilah yang menyebabkan permusuhan dan dendam tersebut tercetus. Kalau boleh kumpulan M ini hendak menjadi ketua kepada setiap bahagian di dalam kementerian dan pegawai-pegawai di dalam kementerian berkenaan mestilah sujud kepada mereka. Aku difahamkan gejala yang tidak begitu sihat ini mula berlaku di dalam sebuah kementerian yang dahulunya cukup sukar untuk ditembusi oleh pihak PTD atau M ini. Kementerian yang dimaksudkan itu ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Usaha halus telah dilakukan dan mereka sudah mula menguasai beberapa Bahagian penting dengan mengisi jawatan-jawatan yang sengaja diwujudkan untuk dipenuhkan dengan kumpulan mereka. Ini menyebabkan penjawat awam di KPM dengan gelaran DG (Perkhidmatan Pendidikan) mula menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada pihak pengurusan tertinggi KPM begitu juga kepada pihak Menteri Pelajaran malahan dimaklumkan juga kepada pihak Perdana Menteri sendiri.

Difahamkan pihak Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran telah mengambil maklum perkara ini dan meminta pihak pengurusan tertinggi KPM melakukan sesuatu memandangkan dari segi jumlah penjawat awam, KPM adalah satu-satunya kementerian mempunyai bilangan penjawat awam yang tertinggi jumlahnya iaitu hampir lima ratus ribu yang majoritinya adalah bergred DG. Malangnya apa yang berlaku sekarang, pihak pengurusan tertinggi yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) beserta anggota-anggotanya yang terdiri dari Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah (TKP) seramai 3 orang dan Pengarah-Pengarah Bahagian tidak berbuat sesuatu atau dengan bahasa mudah tidak memainkan peranan mereka untuk mengambil tindakan untuk menasihati pihak Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran sendiri.

Jumlah Bahagian dalam struktur baru organisasi KPM adalah sebanyak 32 Bahagian di mana 12 Bahagian diketuai pihak PTD dengan gelaran Setiausaha Bahagian dan selebihnya 20 Bahagian diketuai pihak DG dengan gelaran Pengarah Bahagian. Hampir kesemua Pengarah dan Setiausaha Bahagian berada di tangga gred Jusa C ke atas. Sekiranya KPPM mempunyai 3 TKPPM untuk kumpulan DG, maka kumpulan M yang diketuai Ketua Setiausaha KPM juga mempunyai dua orang Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) yang menjaga Pembangunan dan Pengurusan. Dari segi ranking sepatutnya kedua-dua KSU dan KPPM menjadi pengapit kepada Menteri Pelajaran. Dari segi kuasa dan autoriti semasa zaman KPPM Allahyarham Tan Sri Rafaei Mahat, perkara ini memang berlaku dan kehebatan Allahyarham ialah KSU dan kumpulan PTD tidak berani untuk cuba mengambil alih tugas kumpulan DG sehinggalah ke akhir hayat beliau. Maksudnya segala urusan berkaitan bajet dan kewangan adalah diuruskan oleh KSU, manakala dari aspek pengurusan pendidikan adalah di bawah kawalan KPPM. Kedua-dua pihak walaupun sebumbung masih boleh berkompromi dan hormat di antara satu sama lain.

Allahyarham Tan Sri Rafaei telah diamanahkan di Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) setelah tamat tempoh beliau berkhidmat dan menjaga kepentingan warga pendidik sebagai KPPM yang cukup lama di samping mesra pendidik. Semasa beliau di SPP, pihak PTD terus membuat cubaan untuk memasuki KPM tetapi masih mendapat tentangan kuat dari Allahyarham sehinggakan beliau mengatakan ”langkah mayat aku dulu”. Dengan pemergian beliau ke rahmatullah pada sekitar tahun 2007, pihak PTD benar-benar melangkah mayat beliau dan terus sedikit demi sedikit menguasai dan mengambil alih tugas-tugas tertentu yang selama ini disandang oleh pihak DG seterusnya mengetuai unit-unit yang mana ahlinya adalah terdiri dari kumpulan DG.

Perkara ini berlaku dengan begitu mudah dan tersusun semasa KPPM disandang oleh Datuk Ahamad Sipon. Semasa hayat Tan Sri Rafaei masih ada di SPP, agenda ini masih tidak dapat dilakukan. Selang tidak lama selepas beliau meninggal dunia maka bergeraklah agenda menurunkan bidang tugas kumpualn DG dengan begitu hebat sekali. Ini disokong dan diketuai oleh Datuk Ahamad Sipon sendiri seratus peratus bersetuju dengan mengatakan bahawa pihak DG tidak mampu dan pandai dalam bidang pengurusan. Mereka lebih layak mengajar di sekolah sahaja. Kenyataan beliau itu amat memedihkan hati para pendidik yang sejak sekian lama berkhidmat dan menguruskan KPM sebagai pegawai-pegawai yang telah bertungkus lumus menjayakan setiap rancangan Malaysia berkaitan pembangunan pendidikan.

Menteri Pelajaran pada ketika itu telah mendiamkan hasrat pihak PTD untuk menguasai Bahagian, Jabatan Palajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seterusnya kepada pentadbiran sekolah. Beliau menunggu nasihat dari pihak KPPM mengenai isu ini untuk dipertahankannya kepada pihak kepimpinan negara. Malangnya nasihat yang diberikan adalah beliau iaitu KPPM sendiri mengatakan bersetuju dan memang sesuai diterajui oleh pihak PTD. Difahamkan juga pihak menteri telah beberapa kali meminta kepastian dan beliau KPPM tetap dengan ketetapan itu. Agak lama juga pihak menteri hendak meneruskan operasi ini dan pelbagai syarat dan ketetapan telah dikenakan kepada pihak PTD.

Kini pihak PTD telah memasuki dan mengambil alih tugas yang selama ini dipikul oleh pihak DG di JPN. Aku tidak pasti tentang PPD. Yang pastinya mereka tidak diberi peluang untuk memasuki pengurusan sekolah. Sejauhmanakah perkara ini dapat dipertahankan, tidak dapatlah aku hendak katakan di sini.

Agenda mereka untuk terus menembusi dan mengambil alih jawatan dan tugas-tugas tertentu kumpulan DG semakin rancak dijalankan. Apatah lagi dengan KPPM kini disandang pula oleh Tan Sri Alimuddin. Ingatkan beliau yang diketahui umum (warga pendidik) adalah merupakan individu yang dibawa dan dinaikkan oleh Allahyarham Tan Seri Rafaei, akan mengikuti jejak Allahyarham, malangnya langsung tidak mempunyai bibit-bibit atau bau seperti yang diharapkan.

Warga pendidik melihat beliau tidak ada satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk benar-benar memartabatkan mereka. Sepanjang beliau menjadi KPPM tidak ada satu pun peninggalan atau ’legacy’ yang menggembirakan warga pendidik. Yang kelihatan apa yang dilakukan beliau adalah semata-mata untuk kepentingan diri beliau seorang sahaja iaitu dengan mengejar pangkat, gelaran dan harta. Beliau cukup gembira apabila disambut dan disembah umpama raja di mana-mana.

Inilah legacy yang ditinggalkan beliau, yang semakin menidakkan dan mengusir kumpulan DG apabila aku difahamkan satu surat dari pejabat beliau yang ditanda tangani beliau sendiri telah sampai ke Bahagian dan JPN. Kandungan surat seperti yang diceritakan kepada aku ialah penukaran gred DG kepada M kepada yang hanya ditawarkan kepada mereka yang berada di Gred DG48, 52 dan 54. Apa yang boleh aku katakan ialah KPPM yang ini aku lihat seperti menjadi agen kepada pihak PTD. Bukankah urusan berkaitan dengan perjawatan dan sebagainya adalah terletak di bawah Bahagian Sumber Manusia. Jadi mengapa surat seperti ini perlu dikeluarkan oleh KPPM?

Sebenarnya aku tidak mengetahui apakah dan bagaimanakah mekanisme untuk melaksanakan penukaran gred DG kepada M ini. Kedua, mengapakah ianya ditawarkan hanya kepada mereka yang berada di gred DG48 sehingga 54? Apakah ’excercise’ ini akan berterusan kepada setiap dari mereka yang akan memasuki gred tersebut atau ’excercise’ yang hendak dilakukan ini adalah untuk mereka yang sudah berada di gred berkenaan pada masa ini atau pun sehabis lewat untuk setahun atau dua tahun hadapan? Kebanyakkan mereka-mereka yang menyandang gred DG48, 52 dan 54 adalah terdiri dari mereka-mereka yang sudah hendak bersara. Mungkin sehabis lama pun tidak sampai 10 tahun.

Kembali kepada persoalan tadi, selepas kesemua mereka yang bersetuju untuk bertukar ke gred M itu bersara nanti atau manalah tahu ada di antara mereka dikenakan tindakan disiplin dan sebagainya, maka siapakah pula yang bakal mengisi kekosongan tersebut? Apakah akan berlaku kepada kekosongan itu nanti? Kita perlu ingat bahawa warga pendidik yang berada di gred DG48,52 dan 54 adalah terdiri daripada mereka-mereka yang memegang jawatan utama dalam Bahagian iaitu Ketua Penolong Pengarah, Timbalan dan ada juga Pengarah. Bercerita pasal mengisi kekosongan itu dalam bahasa mudahnya post tersebut akan menjadi pos terbuka kepada mana-mana mereka yang berada di dalam kumpulan M yang bukan sahaja kumpulan DG yang bertukar ke M.

Sekiranya ini berlaku, semua Bahagian yang diterajui kumpulan DG akan dikuasai secara total oleh kumpulan M, seterusnya ke pringkat JPN, PPD dan cukup mudah untuk terus meresap ke peringkat sekolah. Akhirnya nanti segala hasrat untuk memartabatkan profesion perguruan, menjadikan sistem pendidikan bertaraf dunia dan sebagainya akan hancur berkecai kerana yang bakal menerajui kepimpinan pendidikan itu nanti adalah terdiri daripada mereka-mereka yang bukan berlatarkan bidang perguruan. Yang tidak tahu tentang selok belok, asam garam, lurah gelinciran dunia perguruan dan sistem pendidikan.

Kalau suatu ketika dahulu guru dilihat sebagai orang yang cukup dihormati dan disanjungi, apabila berlakunya gelombang pertukaran seperti yang dinyatakan di atas, golongan guru atau warga pendidik itu nanti akan menjadi lebih hina dari tukang sapu sampah dan pembersih longkang. Maknanya kata-kata mereka tidak akan didengar lagi dan warga pendidik akan dibuli semahu-mahunya. Aku tidak akan terkejut sekiranya apa yang dikatakan itu tadi berlaku, percayalah masalah sosial akan menjadi semakin gila dan beban yang akan semakin menjadi-jadi. Protes daripada pihak guru sudah pasti akan berlaku seandainya perkara ini terjadi.

Sehubungan dengan itu kemanakah warga pendidik hendak mengadu dan menyuarakan pandangan mereka? Apakah Pengarah-pengarah, TKPPM-TKPPM hatta KPPM sendiri akan melayan keluhan dan pandangan warga pendidik ini? Berdasarkan kepada realiti semasa dan sejak sekian lama, baik pengarah-pengarah mahu pun TKP-TKP kesemua mereka ini adalah merupakan individu-individu yang tidak berani menyatakan yang hak. Mereka adalah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa mengiyakan sahaja semata-mata untuk menjaga reputasi dan kedudukan mereka. Mereka-mereka ini akan berbuat baik dengan KPPM dengan harapan akan dinaikkan pangkat ke Jusa B atau A, disamping dicalonkan untuk mendapat gelaran Dato’ oleh mana-mana Sultan. Mereka akan bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan perhatian dari KPPM. Apabila tiba pada hari lahir KPPM, kita akan lihat jambangan bunga dari siapa yang akan sampai dahulu.

Inilah budaya yang ditunjukkan oleh kalangan warga pendidik iaitu budaya mengampu dan membodek kata orang melayu. TKP akan mengampu KPPM. Pengarah (P) akan mengampu TKP dan KPPM. Timbalan Pengarah(TP) akan mengampu P, TKP dan KPPM. Ketua Sektor(KS) akan mengampu TP, P, TKP dan KPPM. Ketua Penolong Pengarah (KPP) akan mengampu KS, TP, P ( boleh sampai ke TKP dan KPPM kepada mereka yang berhajat). Ketua Unit (KU) akan mengampu KPP, KS, TP dan P. Penolong Pengarah (PP) akan mengampu KU,KPP,TP dan P. Pembantu Penolong Pengarah (PPP) atau Pengelola akan mengampu PP, KU, KPP, KS, TP dan P. Urutan budaya mengampu dan membodek ini boleh dipanjangkan sehingga ke JPN, PPD dan Sekolah.

Inilah juga menunjukkan betapa akrabnya hubungan sesama warga pendidik sehingga dilihat rantaian itu sukar untuk diputuskan atau dilalui. Mungkin inilah yang diperhatikan oleh pihak PTD dalam membaca kelemahan-kelemahan pihak DG untuk mereka merangka dan menjalankan agenda tersirat dan tersurat mereka itu. Dalam situasi seperti ini, aku lihat Kesatuan-kesatuan Guru Negeri dan NUTP (National Union Teachers Profession) perlu memainkan peranan mereka semantap yang boleh sekiranya mereka hendak melihat profesion ini terus dihormati dan disanjungi masyarakat. Sekiranya pihak PTD ingin mengambil alih tugas dan peranan kita, maka kita juga seharusnya bersedia untuk mengambil alih tugas dan peranan mereka dari peringkat bawah sampai ke KSU seterusnya KSN.

Sebenarnya KPM dan warganya memerlukan pemimpin yang berani bersuara dan mengambil risiko. Situasi Menang Menang perlu kita tukar kepada perlu menang. Situasi memang menang ini dilihat banyak dimanfaatkan oleh pihak PTD sebab mereka betul-betul mengusahakannya. Kepimpinan Pendidikan sekarang terlalu sangat dengan perkataan ”tidak apa”,”apa salahnya”, ”biarlah”, ”kita inikan guru”. Kita perlu ubah ”environment” dan syndrome bacul ini. Kita mesti berani mengatakan perkara yang salah dan yang hak. Apa ruginya kita berbuat begitu. Bukankah kita ada undang-undang dan pelbagai saluran yang boleh menyokong kita. Di alaf baru ini kita lihat kelantangan suara dari pelbagai daerah begitu lantang kedengaran sehingga mampu menggegar daerah yang lain yang dikatakan kuat itu. Maka adakalanya kita perlu melakukan hal yang serupa. Kalau suara-suara kita itu bergabung dan mengeluarkan satu desingan yang sama, bukan sahaja daerah-daerah itu akan bergegar malahan bumi yang menampung daerah-daerah itu mampu terbelah dan menelannya.

Friday, January 15, 2010

MENGINGATI KAWAN-KAWAN YANG TELAH PERGI

Awal kemasukan tahun 2010, aku dikejutkan dengan pemergian menemui Illahi beberapa orang kawan-kawan aku. Pertama ialah kawan yang sama-sama belajar di Intitut Teknologi MARA pada tahun 1980 dulu. Namanya ialah Zaini Md. Nor dan yang kedua ialah Abdullah atau nama timangannya Abang Lah yang sama-sama bertugas di tempat yang sama. Jenazah Abang Lah telah dikebumikan di Raub, Pahang. Manakala jenazah Zaini di kebumikan di tanah perkuburan UPM Serdang.

Dalam aku mengingatkan sa'at-sa'at bersama mereka berdua, aku juga dimaklumkan bahawa ada dua lagi kawan-kawan yang sama menuntut di ITM dulu pun telah kembali menemui Illahi. Mereka ialah Baharuddin yang kami panggil Benson dan Syakila Kedah. Nampaknya sehingga kini kawan-kawan aku yang sama-sama belajar dulu yang telah pergi adalh seramai enam orang setakat dalam pengetahuan. Mereka-mereka termasuk yang aku sebutkan tadi adalah seperti berikut:-

1. Sharin - meninggal dunia lebih kurang sebulan selepas konvo akibat kemalangan jalanraya di Subang. Koma selama seminggu sebelum meninggal dunia. Beliau adalah dari jurusan Industrial Design.

2. Yusof (Gelewak) - meninggal dunia juga akibat kemalangan jalanraya di Shah Alam. Dikebumikan jenazah beliau di Terengganu dalam keadaan hujan lebat. Beliau adalah dari jurusan Fine Metal.

3. Baizurah - meninggal dunia akibat barah payudara. Beliau adalah dari jurusan Pottery and Ceramic.

4. Baharuddin (Benson) - tidak pasti apakah penyakit yang dihadapi. Beliau adalah dari jurusan Graphic Design.

5. Syakila Kedah - juga tidak pasti punca kematiannya. Beliau adalah dari jurusan Tekstil.

6. Zaini Md. Nor - meninggal dunia akibat barah payudara juga. Beliau adalah dari jurusan Pottery and Ceramic.

Mungkin ada lagi yang telah pergi yang aku tidak diberi perkabaran. Walau apa pun seperti yang biasa kita sering perkatakan apabila sudah sampai masa kita akan pergi juga. Rupa-rupanya dalam diam tidak diam, umur kita semua (kawan-kawan yang sama menuntut di ITM pada tahun 1980) sudah hendak mencecah separuh abad. Malahan ada yang telah melepasi tahap umur 50. Begitu cepat masa berjalan tanpa kita sedari sebenarnya. Itulah perjalanan hidup kita yang dulu pernah aku katakan dalam tesis peringkat Ijazah mengenai manusia adalah sebahagian daripada alam. Alam akan pasti menemui kematiannya.

Menyedari hakikat ini, ramai juga di antara kawan-kawan aku mengatakan bahawa sudah sampai masanya untuk membuat segala persiapan rapi ke arah itu. Aku tidak mahu memberi komen lanjut mengenai itu kerana cukuplah sekadar kita mengetahui serta memahaminya. Sekiranya amalan itu belum memadai maka perlulah kita memperbanyakkannya. Kalau hendak diikutkan dalam konteks duniawi, memang banyak lagi yang perlu kita tangani. Untuk itu adalah menjadi kewajipan untuk terus berusaha dan berusaha. Selebihnya adalah mengikut kepada kehendak Yang Maha Empunya Hak.

Kepada kawan-kawan yang telah terlebih dahulu mengadap Illahi, aku dan kawan-kawan lain mendoakan agar dipermudahkan segala laluan dan mendapat keampunan serta keredhaan dari Allah Yang Maha Kuasa terhadapa apa yang telah kita lakukan sebagai hambanya di muka bumi ini. AL- Fatihah.

Wednesday, October 21, 2009

MENILAI CINTA

Menyentuh soal cinta, jangan pula kita lupa melakukan perubahan kepada diri kita dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan. Oleh yang demikian tidak salah sekiranya kita selalu menilai cinta kita kepada orang yang tersayang. Renungilah apa yang tertera di bawah untuk menilai cinta dan progresnya.

Lupakan masa lalu Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin. Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.

Temui ramai orang Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna. Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.

Ubah penampilan Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan. Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.

Jangan terburu-buru Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.

Jangan terlalu memilih Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.

Buat keputusan Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

MENGAPA WANITA KADANGKALA BERBOHONG

Umumnya, wanita berbohong bukannya disebabkan mereka tiada arah tuju atau cuba mencipta sesuatu perkara yang tidak masuk fikiran. Terdapat beberapa alasan yang mendorong mereka melakukan hal ini.

1. Balas dendam

Sekiranya kamu berani mengkhianati cintanya, dia juga akan berani membalasnya. Bahkan, dia lebih hebat daripada kamu. Walaupun tindakannya itu telah diketahui, mungkin dia sengaja melakukan sedemikian. Ramai wanita mempunyai cara tersendiri saat menghadapi situasi pembohongan yang dilakukan kekasihnya. Malah, dia juga berani melakukannya dengan secara tersembunyi, tanpa pengetahuan kamu.

2. Urutan kasih

Wanita sememangnya menginginkan dirinya dicintai dan dihargai. Apatah lagi, mengharapkan sebuah percintaan yang tiada titik noktahnya. Lebih-lebih lagi daripada insan tersayang. Mereka ingin menjadi wanita pertama di dalam hidup kamu dan bukannya, berada di tangga kedua atau berikutnya. Sekali kamu menduakan cintanya, dia akan berkali-kali mengkhianati hidup kamu.

3. Kekerasan

Kini, ramai wanita semakin sedar tentang pentingnya penghargaan yang patut diterimanya. Salah satunya ialah bersikap tegas ketika pasangannya melakukan kekerasan (umumnya secara fizikal) kepadanya. Mungkin pada awalnya dia akan cuba bertahan, tetapi apabila kamu kembali mengulangi tindakan tersebut, mereka akan meninggalkan kamu tanpa sebaris nota. Mereka yakin, masih ramai lelaki di luar sana yang dapat menghargai dirinya yang jauh lebih baik daripada kamu.

4. Hambar

Wanita begitu gemar hal-hal yang remeh atau kecil. Misalnya, hari ulang tahunnya, hari jadi kamu berdua atau hal-hal istimewa lainnya. Hati-hati bila kamu menganggap semua ini sebagai hal yang remeh. Apatah lagi apabila selama ini, si dia selalu mengurus hal yang melibatkan pengorbanan demi kekasihnya. Sekiranya, kamu tidak pernah sesekali menghargai apa yang dia lakukan untuk kamu dan mengabaikan hal-hal yang dianggapnya penting, bersiap sedialah menghadapi pertengkaran yang hebat.

5. Seks

Meskipun kamu tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap si dia, ketidakpuasan dalam urusan seks mampu memberi kesan yang mendalam terhadap perhubungan. Ingat, akibat kurangnya layanan seks, ia akan mendatangkan kesan bahaya dalam perkahwinan. Oleh itu, segeralah mencari jalan penyelesaiannya.

6. Cadangan

Saat putus cinta, biasanya kaum wanita lebih cepat 'menderita' ketika menghadapi hari-hari mendatang sebelum mampu bangkit semula untuk hidup gembira. Ini kerana, sewaktu dia mendapat petunjuk bahawa perhubungan itu tidak dapat dipertahankan lagi, mungkin dia akan mencari pengganti kamu. Jadi, sekiranya kamu benar-benar mencintainya, perbaikilah hubungan kamu dengannya segera.

7. Jejaka bermasalah

Maksudnya, terdapat banyak perkara di sekeliling kamu yang membuatkan pasangan merasakan kamu tidak diperlukan lagi. Sebabnya, selain menjalani hubungan cinta yang sudah tentunya tidak lepas daripada kekangan masalah, kamu juga harus menangani karakter kekasih yang semakin berani. Ingat, dia bersikap sedemikian disebabkan kamu yang memulakannya dahulu.

8. Hubungan tiada kesudahan

Kebiasaannya, saat menjalani hubungan dengan pasangan, wanita menginginkan adanya hubungan yang penuh komitmen, iaitu hubungan yang diakhiri dengan keputusan membanggakan. Apabila sudah lama menjalin hubungan cinta, tetapi tiada keputusan untuk ke jinjang pelamin, wanita akan berfikir bahawa kamu tidak lagi menginginkan dia dalam hidupnya. Jadi, buat apa menunggu kamu dengan lebih lama?

9. Bosan

Hal ini muncul disebabkan dia terperangkap dalam rutin hariannya sama ada kerja rumah mahupun hubungan yang dijalinkan itu begitu membosankan. Baginya, jika kamu tidak memberinya perhatian yang diharapkan dan waktu kamu pula lebih banyak dihabiskan untuk urusan lain, biasanya wanita akan mencari jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Perlu diingatkan bahawa wanita gemarkan suatu kejutan dan selalu ingin dirinya lebih istimewa.

10. Hubungan tidak diduga

Pada awalnya, dia berasa terlalu selesa saat menjalin hubungan dengan kamu. Tetapi ternyata, dia tidak menikmati kehangatan bersama dan terasa begitu terikat dengan kamu. Tidak hairanlah apabila kamu masih cuba membawanya ke sana dan ke sini, dia mula bersikap dingin kerana sudah menyerahkan seluruh perasaannya kepada insan lain.

Thursday, October 15, 2009

KISAH MULA-MULA MASUK IPTA

Kadangkala bila aku duduk berseorangan melayan diri dengan alam ini, fikiranku melayang jauh mengingati zaman mula-mula menapakkan kaki ke Intitusi Pengajian Tinggi pada suatu ketika dahulu. Tempat mula aku belajar pada masa itu dipanggil ITM (Institut Teknologi MARA). Aku cukup berminat dengan bidang kesenian. Minat aku begitu tinggi terhadap bidang ini walaupun aku mampu untuk menceburi bidang-bidang profesional yang lain seperti political sciences, undang-undang, management, mass com dan lain-lain. Pada ketika itu ITM hanya menawarkan peringkat Diploma sahaja. Apabila ITM dinaik taraf kepada UiTM, Diploma-Diploma jurusan tertentu yang mengambil masa empat tahun di konvert menjadi Ijazah.

Tahun 1981 adalah bermulanya pengajian aku. Memandangkan kursus yang ambil ini adalah selama 4 tahun, jadi pada tahun pertama kami semua kena ambil kursus peringkat pra-Diploma dahulu. Aku kena mendaftar sebagai pelajar di ITM Cawangan Dungun, Terengganu. Maka berangkatlah aku ke sana di hantar oleh kedua-dua orang tua aku. Semasa hendak mendaftar aku diarahkan untuk menggunting rambut dahulu sebab rambut aku masa itu boleh tahan juga panjangnya. Maka pergilah aku ke sebuah kedai gunting rambut berhadapan kampus berkenaan. Semasa tukang gunting itu mengerjakan rambut aku, aku tertidur. Bila sedar sahaja dan memandang ke cermin, sedih dan sayu sekali aku rasakan sebab fesyen rambut aku betul-betul macam tudung periok orang tua-tua kata. Tinggal sedikit sahaja di bahagian atas. Aku jerling ke arah tukang gunting rambut itu, dia cuma tersengih sahaja. Bila kedua-dua orang tua aku melihat aku mereka berdua tergelak besar. Trafic light muka aku dibuatnya.

Selepas mendaftar aku pun pergilah ke asrama yang terletak dekat bandar Dungun di belakang Ibu Pejabat Polis Dungun. Asrama ini adalah sebuah bangunan lama bertiangkan batu berdinding papan. Tingkapnya besar ditolak ke atas dan disandarkan dengan kayu. Di bahagian bawah sebahagiannya turut dibuatkan bilik. Berhampiran dengan pagar ada sebuag surau kecil sahaja. Yang kelakarnya dekat bahagian bawah ada beberapa buah kubur lama. Dekat atas kubur itulah dibuatnya tempat ampaian baju. Kalaulah begitunya keadaan pada zaman sekarang sudah tentu akan keluar dalam TV dan Akhbar.

Aku pun naiklah ke tingkat atas lalu memilih katil-katil yang sesuai. First come first serve basislah ni. Ruang bilik adalah secara dormetary dan kesemuanya ada empat dorm. Aku di dorm nombor dua. Katil semuanya double-decker. Yang bahagian bawah sudah disapu bersih, jadi kenalah aku memanjat katil di bahagian atas. Tidak lama aku duduk di atas sebab setiap kali aku bangun, bila aku duduk mejulur kaki ke bawah, kaki aku akan terkena orang di bawah. Member di bahagian bawah tidak tahan sebab kepala dia asyik berlanggar dengan tapak kaki aku, dia pun carilah tempat lain. Pucuk dicita ulam mendatang, aku pun berpindah ke katil bahagian bawah. Lega rasanya.

Aku masih ingat malam pertama aku di hostel itu. Aku baru sahaja hendak baring, tiba-tiba datang satu mamat tu konon-kononhya macam mafialah gitu. Dia pun bertanya siapa budak Johor yang masuk ke dorm ini? Aku secara selamba menjawab "Aku, ada apa hal?" Cara dia tanya macam big bos, kemudian dia terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan aku. Nak tahu siapa mamat tu, itulah dia Usop Kopratasa yang terkenal dengan lagu-lagu puisi sekarang ini. "Kau pandai main guitar?" tanya dia lagi. "Pandai tu tak ler sangat tapi kalau hendak menghayun dan melempar guitar macam Deep Purple tu bolehlah jugak" aku menjawab sambil menarik guitar yang aku bawa di atas almari bersebelahan katil aku. Untuk makluman guitar itu masih ada lagi aku simpan sampai sekarang. Yerlah masa itu orang panggil guitar kapok. Cuma di bahagian tepi itu terpaksa dilekatkan dengan tape hitam untuk mengelakkan dari ternganga.

Pada malam itu aku diperkenalkan dengan geng-geng dorm nombor tiga. Dorm nombor satu dan empat, penghuninya adalah mat-mat cool. Dorm tiga ini adalah dihuni bakal-bakal rockers dan blues. Dorm aku pulak separuh mat kuda kepang separuh lagi blues. Kalau tidak silap ada empat biji guitar di situ. "Brader, lu boleh main blues atau scorpion?" tanya salah seorang daripada mereka. "Gua, lu kasi apa saje, gua tarik" aku menjawab sambil melabuhkan punggung di celah-celah mereka. "Aku kasi satu" satu suara kedengaran. Aku pun dengan segannya sudah goreng satu lagu blues. Terbeliaklah sekejap mata-mata yang ada di situ. Maka pada malam itu secara tidak rasmi tertubuhlah satu band. Boleh dikatakan setiap malam kita orang melalak. Ada sahaja lagu baru yang keluar kami akan praktis.

Kebetulan di kampus itu ada music house dan apabila dibuka boleh jadi macam pentas kecil. Semua peralatan muzik ada seperti guitar (3 biji), drum, keyboard, trombone, trumpet, sexaphone dan percussions. Siap dengan speakernya sekali. Pelajar-pelajar perempuan kesemuanya tinggal di dalam kampus. Jadi bila kami pegang micropone dan kata "testing..testing" maka bergayutlah mereka dekat verandah hostel masing-masing.

Aku akan bermain lead guitar, Mat Nan dengan guitar rythem, Tat (Mutaali) bermain bass kadang-kadang diganti dengan Karl (Khairul), Usop bermain drum (memang dia ni hebat dengan bab gendang-gendang), Zaki bermain keyboard dan ada dua tiga orang pak lawak akan mengayakan alat tiupan macam kumpulan black dog bone atau carefree. Penyanyi utamanya ialah Akil. Suara dia memang rockers dan blues. Untuk lagu-lagu melayu, Usoplah penyanyinya. Tidak berubah suara dia sampai sekarang. Lagu melayu yang menjadi pujaan ramai pada ketika itu ialah Ibu (Blues Geng). Sampai naik serak suara Usop mendendangkannya. Di hadapan pentas betul macam sedang menonton concert. Kamilah penghibur tetap penghuni di kampus ini. Biasanya kami akan jam di music house itu paling lama pun 2 jam sebab selepas itu masing-masing ada program. Ada yang pergi study, berdating dan buat kerja-kerja di studio. Kebanyakkannya pergi dating dululah, selepas maghrib atau Isyak baru buat kerja-kerja studio.

Sebelum kami meninggalkan kampus Dungun dan berpindah ke kampus Induk di Shah Alam selepas setahun di sana, kami telah mengadakan satu malam persembahan tanda perpisahan. Sebenarnya majlis ini adalah merupakan satu budaya kepada setiap kumpulan pelajar Art and Design yang belajar di sini. Jadi warga kampus boleh menilai batch yang mana yang paling popular. Agak terkejut juga kerana difahamkan batch kamilah yang paling terhangat dan terpopular sekali dalam sejarah.

Di bahagian belakang perpustakaan kampus memang sudah tersedia dengan sebuah pentas untuk berkonsert. Pentas ini menghala ke pantai. Pada malam persembahan itu, di hadapan pentas itu penuh dengan warga kampus, manakala di luar pagar penuh dengan orang-orang Dungun. Yerlah nak tengok concertlah katakan. Persembahan kami penuh dengan pelbagai eksperimentasi yang memaparkan kreativiti kami. Merekabentuk spotlight yang boleh bergerak sepertimana spotlight yang ada di mana-mana concert sehinggalah pelbagai aspek teknikal, kesemuanya mampu kami sedia dan lakukan. Bayangkan salah satu persembahan yang mengisahkan cerita pontianak dan suasana kubur. Penonton semuanya tidak menyangka tiba-tiba dari atas pokok Rhu terbang hantu pontianak melintasi mereka beserta bunyi mengilai lagi. Manakala senario kubur pulak siap dengan berasap dan bercahaya lagi. Nak tahu rahsia buat asap itu macamana? Tiga empat orang duduk bawah pentas dan hembus asap rokok. Kasihan kawan-kawan yang diberi tugas itu. Sampai naik pening dibuatnya. Orang lain tidak tahu apa berlaku di sebalik tabir itu. Member yang jadi orang mati hidup balik itu yang akan keluar dari lubang kubur itu pun sempat juga menghembus asap rokok. Hendak pecah perut aku memikirkan balik kisah itu.

Ada juga persembahan cerita James Bond. Kawan aku dari Terengganu nama dia Yassin melakunkan watak Roger Moore. Sampai sekarang nama Roger terlekat dekat dia. Bayangkan Roger Moore naik ski lepas itu ada pulak salji turun dari atas. Memang real betul kumpulan ini buat. Kemudian ada pulak cerita cowboy yang dilakunkan oleh kawan-kawan dari utara. Cuba bayangkan cowboy-cowboy ini cakap loghat utara. Kostum bukan main-main buat begitu juga dengan setup setiap persembahan yang dipaparkan. Pentas kami tidak ada sebarang tirai. Persembahan kami lebih bersifat eksperimental.

Apabila sampai giliran kita orang buat jam session, malas nak cerita. Riuh macam konsert kat stadium Bukit Jalil dibuatnya. Kalau tidak silap kita bawa lagu Ibu, Cocaine, I Shot D Sheriff, Wonderful Tonight, Highway Star, lagu-lagu blues lain, Scorpion pun ada. Macam zaman hippies lagaknya. Saham kami naik macam dekat first board malam itu.

Blok school kami ini terletak di bahagian belakang kampus yang menghala ke laut, senang kata berdekatan dengan pantai. Bangunannya semua papan belaka. Bangunan-bangunan yang ada adalah belas peninggalan zaman colonial agaknya. Pensyarah-pensyarah kami pada masa itu ialah Mr. Joe Tan (dah lama pergi), Ruzaika, Tamyez, Tajali, Wan, Dzul. Mereka-mereka inilah yang mengajar kami the foundation of arts. Subjek lain ialah English, Agama, Art History dan Sociology. Untuk kokurikulum pulak kesemuanya wajib menyertai Kesatria (Tentera). Pada hari-hari tertentu berkawadlah kami kiri kanan kiri kanan di dalam kampus yang kecil ini. Jurulatih adalah puak-puak askar belaka. Muka mereka biasalah, berlakun jadi garang.

Di penghujung semester akhir di sana, Almarhum Sultan Terengganu telah datang untuk merasmikan kampus ITM yang baru di Sura Point. Kampus kami dipanggil Sura Gate. Kampus yang baru ini terletak di hujung pantai Dungun yang dikelilingi bukit. Memang cantik tempat itu tetapi kami tidak dapat merasakannya sebab kami akan memulakan pengajian kami di peringkat Diploma mengikut bidang yang dipilih di Kampus Shah Alam. Semasa majlis perasmian itu, kami ada membuat pameran hasil kerja tangan kami. Aku pulak ditugaskan menjadi pengiring lawatan pameran Almarhum Baginda Tuanku. Pada waktu petangnya pulak kami membuat persembahan dengan menaikkan wau berbentuk tiga dimensi. Wau yang kami hasilkan kesemuanya besar-besar. Ada yang berbentuk ikan, kapalterbang dan bermacam-macam lagi. Untuk aku pulak, wau yang aku hasilkan adalah merupakan cantuman kube bertingkat. Nasib baik bermain di tepi pantai, jadi semua wau boleh naik sebab angin yang kuat. Beberapa biji wau akhirnya terjunam ke dalam laut.

Untuk kami pergi ke kampus, setiap pagi bas ITM akan mengangkut kami ke sana pergi dan balik. Pada peringkat awal memang tidak miss naik bas tetapi bila kerja-kerja semakin banyak, kami akan ke kampus sudah tidak mengikut masa lagi. Waktu balik pun tidak menentu. Kadang-kadang melebihi 12 malam, jadi kami akan berjalan kaki pulang ke hostel. Bila kami nak bailk, kami akan melalui depan hostel budak-budak perempuan. Ada yang masih belum tidur selalu menunggu kami dengan usikkan-usikkan gatal. Kami panggil mereka Dewi Malam dan mereka panggil kami Dewa Tengah Malam.

Kawasan kampus Sura Gate ini sebenarnya berhantu. Macam-macam cerita hantu diperdengarkan kepada kami oleh Pak Guard-Pak Guard. Ada lembaga perempuan berjalan tengah malam tanpa kepala, berjalan dari arah laut ke salah sebuah hostel budak perempuan. Peliknya kami tidak pernah terserempak dengan benda-benda macam itu. Budak-budak perempuan ramai juga yang kena histeria. Terjerit terlolong macam dirasuk hantu. Adalah dua tiga orang budak perempuan dari school kami yang kena rasuk. Bila kena rasuk semuanya hendak pergi ke laut. Biji mata terbeliak-beliak dan suara pulak sudah tidak original. Ada juga kawan-kawan aku yang cuba bomohkan. Aku cuma perhatikan sahaja dari jauh sebab tidak reti nak tolong macamana.

Cuma hendak dijadikan cerita disebabkan kami yang selalu balik tengah malam tidak pernah terserempak dengan lembaga itu, akhirnya kena juga. Pada malam itu salah seorang kawan aku ada bawa basikal. Entah dekat mana dia dapat basikal itu kami pun tidak pernah tanya. Setiap kali kami balik, kami akan lalu di hadapan bangunan admin sebelum sampai ke pintu utama. Dekat situ terdapatnya satu pondok talipun. Entah macamana apabila kami sampai di situ, tiba-tiba kami terdengar talipun berdering. Jadi kami tanpa memikir apa-apa terus ke pondok talipun itu. Deringan itu masih tidak henti-henti. Salah seorang kawan aku menyuruh aku menjawabnya. Aku mals hendak cakap banyak terus mengangkat ganggang talipun itu lalu bercakap. "Hello, hello" tidak ada jawapan. Lepas itu aku bertanya pulak "Hello, siapa ni, nak cakap dengan siapa malam-malam buta ni?". Terkejut juga aku bila aku dengar suara perempuan yang menjawab "Kalau hendak tahu siapa saya, pusinglah ke belakang". Bila terdengar jawapan macam itu barulah aku teringat pasal kisah hantu itu.

Kawan-kawan aku siboklah menanya "Siapa tu, apa katanya?". Aku jadi bisu sekejap, hendak cakap suara tidak mahu keluar. Akhirnya aku menjerit "Aku letak aje talipun ni, kau orang jangan banyak tanya, lari dan jangan pandang belakang ok! ada hantu niii..." Apa lagi kami pun berlarilah menuju ke pondok Pak Guard dengan sekuat hati. Kawan aku yang naik basikal itu, dia tidak naik basikal sebaliknya dia pikul basikal sambil berlari. Sampai dekat pondok Pak Guard, tercunggap-cunggap kami dibuatnya. "Mung nampak hantu dekat pondok talipung itu ork?" tanya Pak Guard. "Yer lah Pak Cik...tapi dengar suara jer dalam talipun" aku beritahu Pak Cik Guard itu. "Kang aku dah kata mung dok cayer, padang muka mung" balas Pak Cik Guard itu sambil ketawa. Aku rasa tentu Pak Guard ni yang bela hantu itu sebab aku nampak dia relaks sahaja. Itulah antara kisah seram yang aku lalui di dalam kampus.

Masih lagi pasal hantu tetapi yang ini berlaku di hostel kami. Bila kerja-kerja tengah banyak dan assesment pun sudah semakin dekat, maka ramailah buat kerja di bahagian bawah hostel. Ada yang tersandar kat batu nisan kubur dan tidak kisah langsung pasal kubur itu. Katil aku dekat tepi laluan yang dilindung dengan almari. Kadang-kadang akan terdengarlah bunyi selipar basah berjalan dekat laluan itu. Itu semua kawan-kawan yang baru balik dari bilik air di bawah. Pada satu ketika itu aku yang baru sampai di hostel setelah berjalan hampir dua batu lebih dari kampus, terus baring di atas katil sebab penat dan hampir nak terlelap. Aku nampak kawan aku Ruslan namanya baru balik dari bilik air. Tiba-tiba dia datang ke katil aku dan duduk di sebelah aku. Mukanya tengok tempat lain tetapi aku cam kawan aku ini. Aku pun tanyalah "u dari mana Russ, pergi mandi ke?" Dia senyap tidak berkata apa-apa. Kemudian aku rasa jari dia meraba dada aku terus ke pangkal leher aku lalu dicekiknya aku. Aku yang tengah letih itu terkejutlah. "Hei! apa ni Russ nak main-main macam ni, aku penat nilah" Aku cuba melepaskan cengkaman yang semakin kuat itu. Bila dah terlampau geram, aku libas tangan aku dekat muka dia, kedengang bunyinya, yang kena adalah pintu almari aku. Punyalah sakit tangan aku. Rupa-rupanya tidak ada sesiapa pun dekat katil aku.

Keesokkan paginya semasa aku sedang bermekap,kawan aku Ruslan lalu depan aku. Tidak pasal-pasal dia kena maki hamun dengan aku. Terpingga-pingga sekejap kawan aku itu. Boleh dikatakan ada sahaja bunyi selipar basah berjalan dekat laluan dalam hostel ini. Dah jadi lali kami dibuatnya. Aku pulak tidak ada lagi makhluk yang tidak nampak itu mengacau aku. Mungkin sebab sudah merasa libasan tangan aku agaknya. Ada lagi yang paling lucu berlaku di hostel kami. Ini kisah penghuni dorm empat. Dekat hujung dorm empat ada tangga hendak ke bilik air di bahagian bawah hostel. Dekat sebelah tangga itu ada satu pohon Rhu dan di tepi-tepi pagar banyak lagi pokok-pokok ini. Suatu pagi, aku dengar riuh rendah penghuni dorm empat. Kami semua pun bergegas ke sana hendak tahu apa sebabnya. Hendak tahu apa sebabnya, dekat atas pokok Rhu itu tergantung semua kain-kain cadar penghuni dorm empat. Macam-macam dibuatnya.

Aku juga masih ingat pada suatu malam semasa kami lebih kurang seramai enam tujuh orang berada di dalam surau bersebelahan hostel itu. Kami lepas bersolat Isyak. Semasa kami bersembahyang, bumbung zing surau itu kami dengar bunyi pasir di lempar-lempar. Lepas sembahyang bila kami berbicara pasal agama, bunyi pasir tadi akan berbunyi lagi. Geram juga kami dibuatnya. Kami terus pergi keluar dan tengok ke atas, tidak ada apa-apa pun. Salah seorang kawan aku telah mengutip beberapa biji batu lalu dilemparkannya ke arah sepohon pokok berdekatan surau itu.

Dalam bilik air pun ada bermacam-macam cerita. Dengar orang masuk ke tandas sebelah bila ditanya tidak berjawab. Bila ditolak pintu tidak ada orang. Kadang dengar bunyi orang mandi di bilik sebelah, bila dilihat tidak ada siapa-siapa. Mula-mula memanglah rasa seram sehinggakan kalau hendak pergi ke bilik air atau tandas kenalah berteman. Tetapi setelah tinggal lama di hostel itu, perkara-perkara seperti itu tidak kami hiraukan lagi sebab sama-sama sudah menjadi hantu malam. Kalau ada bunyi selipar basah berjalan, kami akan ikut dari belakang. Kalau daun tingkap buka tutup sendiri, kami akan sama-sama main buka tutup daun tingkap yang lain.

Itulah antara kisah-kisah yang kadang-kadang aku teringat bila duduk berseorangan disamping melihat kepada alam. Kisah-kisah lama ini mengingatkan aku kepada kawan-kawan lama aku. Di manakah mereka sekarang? Yang sering berkomunikasi dengan aku ialah Usop dan seorang lagi ialah Roger. Cuma baru-baru ini dapat pulak berkomunikasi dengan Russlan. Yang lain-lain memang tidak pernah berjumpa. Cuma dikabarkan mereka berada di situ dan sini. Yang sudah kembali ke rahmatullah, setakat yang tahu ialah tiga orang. Yang kawin cerai dan gila talak pun ada juga. Yang jadi orang kaya pun ada dan yang macam ini memang sudah tidak ingat kawan-kawan langsung. Walau bagaimana pun boleh dikatakan seperti yang dikabarkan, kesemua kawan-kawan aku sudah berjaya di dalam kehidupan masing-masing. Alhamdulillah, aku sentiasa mendoakan kawan-kawan dalam batch aku ini semoga sentiasa sihat dan selamat. Tidak kiralah siapa mereka sekarang, kaya ke, sombongke, berpangkat besar ke, yang susah mahupun yang sederhana. Diharap suatu hari nanti aku dapat berjumpa kesemua yang masih bernyawa ini. Insyaallah.

Friday, October 9, 2009

CATATAN KISAH KAWAN-KAWAN

Rata-rata penulis dengar dalam mana-mana perbualan mengenai kehidupan, boleh dikatakan hampir kesemuanya mempunyai cita-cita untuk menjadi kaya raya. Hidup mewah seperti orang-orang kaya yang sedia ada sekarang. Mungkin 99 peratus manusia mempunyai keinginan seperti itu. Itulah harapan bagi golongan sederhana dan susah lagi papa kedana.

Bagi golongan kaya pulak, ada yang memang dilahirkan dalam keturunan yang memang dah kaya raya. Walau bagaimana pun kita tidak tahu bagaimana nenek moyang mereka itu jadi kaya. Ada kemungkinan nenek moyang mereka adalah lanun pada masa lalu sebab untuk lahir dan terus kaya memang tidak logik langsung. Ada juga yang betul-betul berusaha sehingga nak mampus sehingga menjadi kaya. Ada juga yang menggunakan keringat orang lain lalu menjadi kaya. Ini termasuklah menghamba-abdikan orang lain dan inilah dikatakan berkepentingan.

Mereka mengguna dan memerah segala keringat yang ada pada orang ini dan apabila sudah berjaya mendapatkan hasilnya, orang ini terus ditinggalkan malahan dilupakan dari ingatan. Kalaupun ada upahnya, hanya setakat duit beli air dan makan nasi pada ketika diperlukan itu sahaja. Kalau semasa hendak mendapatkan sesuatu, mereka akan mengunjung orang ini boleh dikatakan paling tidak selang dua hari. Orang ini akan dilayan seperti Yang Berhormat gamaknya. Setiap kali perjumpaan akan dilakukan di Hotel-hotel mewah. Setakat sekali minum dan makan sehingga tiga empat ratus ringgit, tidak ada masalah. Bukan setakat perjumpaan di hotel malahan ada juga dibawa bersiar-siar ke luar negara. Ini semua adalah apa yang dikatakan gula-gula untuk menarik perhatian orang yang dikudatunggangkan ini.

Ramailah kenalan-kenalan orang kaya ini diperkenalkan kepada orang yang menjadi mangsa ini. Yang menjadi mangsa ini sebenarnya memang ikhlas dalam membantu orang-orang kaya ini. Dia tidak pernah meletakkan sebarang peratusan sekiranya berjaya dibantu. Ada juga yang macam itu. Tetapi ada juga yang meletakkan portion atau bahagian terlebih awal. Ini semuanya terletak di atas nawaitu masing-masing. Yang tidak meletakkan peratusan itu adalah semata-mata melihat orang yang dibantu itu sebagai kawan yang diperkenalkan oleh kawan-kawan juga. Dengan harapan sebagai kawan, tentulah kawan tidak makan kawan. Rupa-rupanya kawan ini adalah lebih kejam dari musuh yang sememangnya nyata.

Yang menjadi mangsa ini, setelah apa yang berlaku, hanya mampu berdoa dan menjadikan apa yang berlaku itu sebagai satu proses dalam mencari dan mengenal salah satu pengertian dalam kehidupan ini. Walaupun berbuih mulut menceritakan kepada yang sepatutnya tetapi apa yang boleh rakan-rakan lain lakukan. Mereka sekadar menyatakan simpati disamping melepaskan kemarahan terhadap kawan-kawan seperti itu. Yang kelakarnya ada di kalangan rakan-rakan yang turut membinatangbabikan kawan-kawan seperti itu, akhirnya turut sama menjadi babi yang dimakikan itu.

Inilah antara gambaran cita-cita untuk menjadi kaya yang kadang kala perlu dilalui walaupun perit untuk ditelani. Yang kaya terus dengan kekayaannya manakala yang mengharap untuk menjadi kaya terus dengan doa dan khayalan. Ada yang mengatakan hidup ini umpama roda. Sekejap di atas sekejap di bawah. Yang kelakarnya ialah si kaya terus menerus duduk di atas, entah bila yang di bawah hendak merasa duduk di atas

Tuesday, September 29, 2009

DI SEBALIK PERGERAKAN BADAN SESEORANG

Cuba kita renungkan pendedahan di bawah ini tentang apa yang kita lihat pada seseorang ataupun apa yang orang lihat pada kita. Maksudnya pernahkah kita melihatnya dan ada atau tidak kita sendiri yang melakukannya. Renung-renungkanlah untuk memantapkan explorasi kita terhadap alam ini.

1.Melindungi atau menutup mulut dengan tangan bila bercakap.
Tindakan ini membayangkan yang dia kemungkinan berdusta, mutarbelitkan perkara, ragu, atau dia sendiri tidak yakin dengan perkara yang diucap atau cakapkan.

2.Berpeluk tubuh ketika bercakap.
Dia memperlihatkan satu sikap yang defensif. Dia tidak akan menerima apa-apa yang kita cakapkan. Tindakan ini juga mengambarkan yang dia sukar mengalah atau bersetuju dan bekerjasama dengan kita. Gerak laku yang demikian juga menunjukkan yang dia berbeza pendapat, serba salah atau kemungkinan tidak berpuas hati dengan kita.

3.Matanya tidak memberi tumpuan atau merayap ke sana dan ke mari.
Gerak laku sedemikian menunjukkan dia tidak berminat pada perkara yang kita ucapkan. Kalaulah kita baru berkenalan dengannya, maka perlakuan sebegini menunjukkan yang dia tidak benar-benar berminat pada diri kita.

4.Mata dan dahi berkerut-kerut.
Ini menandakan dia berminat dengan apa yang kita ucapkan tapi tidak percaya apa yang kita ceritakan padanya.

5.Mata berkelip lebih laju daripada biasa.
Gerak laku ini pula mengambarkan yang dia pendusta. Kata-katanya tidak boleh dipercayai.

6.Memandang tepat ke mata kita sewaktu kita bercakap.
Ini menunjukkan dia amat berminat dengan isi percakapan kita betul-betul menarik minatnya. Atau kiranya isi percakapan itu tidak menimbulkan minatnya, kemungkinan dia benar-benar berminat untuk berkenalan dengan kita secara lebih dekat.

7.Memandang kita, tetapi tidak pada mata sewaktu kita bercakap (memandang hidung, dagu, dahi, atau leher kita ).
Ini bermakna dia berminat, tetapi dia seorang pemalu. Perasaannya tidak selesa. Dia tidak releks.

8.Ketika kita bercakap dia bersandar ke belakang.
Dia bersikap nagetif kapada kita. Dia kekungkinan berasa bosan, menyampah ragu atau memandang rendah diri kita.

9.Mengiringkan badan ke kiri dan ke kanan sewaktu kita bercakap.
Ini memperlihatkan dia berasa ragu dan terancam dengan isi dan cara kita bercakap. Dia juga berada dalam keadaan resah dan fikirannya tegang.

10.Mencekak pinggang dan menarik-narik seluarnya ke atas.
Orang yang bersikap siap sedia. Orang sebegini selalunya mempunyai objektif dan cita-citanya jelas. Dia juga biasanya memiliki nafsu hidup yang tinggi dan didorong oleh hasrat untuk berjaya.

Sypmtom Checker

loading...