Thursday, May 24, 2012

TAHNIAH PASUKAN RED WARRIOR KELANTAN

Ini adalah merupakan catatan sepanjang perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan pada 20hb Mei, iaitu hari selepas Pasukan Bolasepak Kelantan meraih kemenangan sulung Piala FA 2012. Aku memulakan perjalanan selepas menyegarkan perut dengan bersarapan pagi di Seri Hartamas yang ditemani putera sulungku dan sahabatnya. Sepatutnya kami bertolak lebih awal lagi iaitu kira-kira jam 7.30 pagi tetapi disebabkan kena mencari rumah sahabat putera sulungku itu di Pantai Hill Park Bangsar, maka perjalanan kami ini agak terlewat sedikit. Walau apa pun, kami telah sampai ke destinasi dengan selamat dengan mengambil masa hampir satu hari.

Aku sudah menjangkakan bahawa perjalanan ini akan menjadi menarik dan tidak membosankan kerana akan melihat sendiri kelompok-kelompok penyokong bolasepak Kelantan yang kesemuanya akan pulang ke Kelantan pada hari yang sama. Sudah pasti kumpulan-kumpulan ini akan pulang ke Kelantan dengan perasaan yang amat menggembirakan. Manakan tidak sebab sudah dua kali layak ke pertandingan akhir Piala FA dan kedua-duanya gagal. Kali ini mereka berjaya diikuti pula dengan membawa Piala yang baru bernilai lebih kurang lapan puluh ribu ringgit yang juga dibuat di Kelantan. Inilah kemenangan yang cukup bergaya yang mampu diraih oleh pasukan dari negeri dengan jolokan nama Wau Bulan.

Berlepas dari Tol Gombak, sudah kelihatan beberapa buah kereta penyokong Kelantan yang dilekatkan bendera Kelantan dan Red Warrior berwarna merah dan petak-petak putih merah dengan pelbagai gaya. Terdapat juga penyokong yang menyepitkan baju merah dan mufla merah putih  di cermin kereta mereka. Inilah suasana awal yang kelihatan semasa aku melalui Tol Gombak.

Ada di antara kumpulan ini sudah bergerak lebih awal lagi sebab sepanjang perjalanan ini aku asyik memintas kumpulan-kumpulan ini. Ada yang bergerak laju, pintas memintas di antara satu sama lain. Aku harap dalam suasana keriangan yang tidak terkata ini, janganlah berlaku sesuatu yang tidak diingini. Malangnya harapan aku itu menjadi hampa apabila tiba di satu selekoh kecil diantara Pekan Bentong dan Raub, aku mendapati salah sebuah kereta penyokong Red Warrior ini sudah berada di dalam lurah kecil kerana melanggar sebatang tiang lampu konkrit dan berpusing balik ke Bentong. Kemalangan ini hanya melibatkan sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam yang telah melanggar tiang lampu tersebut.

Beberapa buah kereta penyokong Kelantan turut berhenti untuk memerhati dan memberi pertolongan sekadar yang mampu. Mungkin ada yang tersepit di dalam kereta berkenaan kerana semasa aku melaluinya aku sempat menjeling ke arah kereta itu dan mendapati ada seseorang sedang menjengok ke arah tempat duduk pemandu. Aku berdoa agar tidak berlaku sesuatu yang lebih dasyat. Beberapa minit selepas aku melalui tempat kemalangan itu, aku dapati sebuah ambulan bergerak laju menghala ke tempat kejadian.

Sepanjang perjalanan sehingga melewati Kuala Lipis, tidak putus-putus aku memintas gerombolan penyokong Red Warrior ini. Setiba sahaja aku di Kampung Tunku, aku agak terkejut kerana di salah satu bahu kanan jalan ke Kelantan ini, didapati beberapa kanak-kanak dan dua tiga orang anak dara sedang mengibar bendera Kelantan dan Red Warrior ke arah kenderaan penyokong Kelantan. Aku pun turut dilambai-lambainya. Aku rasa terkejut juga sebab aku tidak pun melekat sebarang bendera Kelantan di kereta. Rupa-rupanya baru aku perasan bahawa aku memakai baju Polo bewarna merah. Malahan putera aku pun memakai baju bewarna merah. Kami berdua tergelak terbahak-bahak. Sungguh melucukan.

Bermulanya dari Kampung Tunku, seterusnya melalui jalan ke Gua Musang, boleh dikatakan setiap beberapa kilometer akan adalah kumpulan kanak-kanak yang akan mengibarkan bendera sambil meniup trompet plastik (entah apa ke namanya, trumpet macam di World Cup kat Afrika dulu). Ada setengah daripada mereka meniup botol plastik yang di tebuk lubang dan mengeluarkan bunyi yang seakan trumpet. Bukan setakat tiupan malahan menjerit-jerit nama Kelantan. Pakaian mereka ke semuanya jersey pasukan Kelantan, siap dengan rambut plastik merah. Yang melucukan aku adalah satu kumpulan kanak-kanak berbaris di tepi jalan sambil tabik spring macam askar. Aku tidak henti tertawa melihat gelagat-gelagat ini.

Setiba RnR Gua Musang, boleh dikatakan kesemua yang keluar dari kenderaan memakai baju merah atau jersey Kelantan. Dengan aku-aku sekali pakai baju warna merah. Lepas satu kumpulan dan diikuti kumpulan lain melalui hentian RnR ini. Kesemuanya diketuai oleh kenderaan yang mengibarkan bendera. Bendera yang diikat pada batang penyapu ada tiga jenis iaitu Bendera Kelantan, Red Warrior dan Bendera PAS. Alamak, tidak ada Bendera UMNO. Frust betul aku dibuat.

Walaupun tidak ada bendera UMNO, tetapi kenderaan yang mempunyai sticker jajahan-jajahan tertentu siap dengan nombor ada kelihatan. Aku pasti inilah kumpulan yang ditaja oleh UMNO. Walau apa pun dalam kefanatikan bola sepak ini, aku dapati rakyat Kelantan terus membuang fahaman ideologi parti masing-masing. Politik diketepikan kerana semangat menyokong pasukan bola sepak negeri mereka adalah menjadi keutamaan. Inilah keunikan anak-anak Kelantan. Dalam Stadium Bukit Jalil, tidak ada PAS mahu pun UMNO. Yang ada hanyalah nama Red Warrior. Cukup hebat dan boleh jadi pengajaran kepada penyokong bola sepak negeri lain.

Selepas makan tengahari di RnR Gua Musang, aku mengambil keputusan untuk bersolat di Masjid Bandar Retro Gua Musang. Aku diberitahu oleh salah seorang ahli keluarga bahawa di dalam Masjid berkenaan ada kubur seorang wali Allah. Apabila aku memasuki ruang masjid berkenaan, memang benar, aku dapat melihat sebuah kubur yang ditutup dengan kotak kayu besar umpama keranda berhadapan dengan mimbar masjid. Aku menghadiahkan Al-Fatihah kepada arwah wali berkenaan dan terus mengimamkan solat.

Melepasi Gua Musang, rupa-rupanya di sepanjang jalan menghala ke Kuala Krai lagi hebat. Sehinggakan pada satu tempat itu, bukan sahaja budak-budak malahan emak bapak datuk nenek siap berpakaian baju merah (satu keluarga) pun turut bersorak, menjerit dan mengibarkan bendera. Aku menjadi sedikit emosi melihat suasana ini. Beberapa orang budak-budak menunggang motor sambil pemboncengnya berdiri mengibarkan bendera dan terjerit-jerit. Aku pulak terpaksa berhati-hati takut tergesel budak-budak yang tengah naik syeh ini.

Setiba sahaja di Bandar Kuala Krai, suasana semakin rancak. Boleh dikatakan hampir kesemua lori baik kecil atau treler akan menekan hon sepanjang jalan. Kalaulah aku dapat merakamkan detik-detik ini dan upload di Youtube, alangkah seronoknya. Semua boleh lihat ragam ini.

Aku tiba di Kota Bharu pada jam empat lebih. Aku sempat juga berhenti di sebuah gerai tidak jauh dari Bangunan Wisma Yati (Ayam Percik) dan kedai pakaian G-NINE. Selepas perkena nasi berlauk daging goreng, manakala puteraku dan sahabatnya berlauk ayam pedas, kami menyambung perjalanan ke Pengkalan Chepa (PC). Apabila aku melepasi lampu isyarat dan menghala ke PC, aku dapati kiri-kanan jalan penuh dengan limpahan manusia berjersi merah.

Rupa-rupanya mereka sedang menanti perarakan Piala FA dan pemain bolasepak yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail pada petang itu. Aku mendengar bunyi siren kereta peronda polis dan bunyi deruman motor beserta bunyi hon motor. Dari jauh berhampiran Taman Uda Murni, aku dapat melihat sebuah treler panjang yang diubahsuai sedang membawa pemain bolasepak Kelantan dan Piala FA yang dimenangi. Orang pertama yang aku nampak adalah Jurulatih Bolasepak Kelantan yang licin bersinar kepalanya. Aku juga dapat melihat si Apek goal keeper Kelantan (yang sedang mengejar populariti hendak menjadi superstar, alamat tidak lamalah hayat budak ini dalam bolasepak) duduk di bahagian belakang tereler berkenaan.

Di belakang treler berkenaan terdapat entah berapa ratus biji motor kumpulan mat rempit yang mengekori sambil menekan hon motor masing-masing. Ini diikuti dengan deretan ratusan buah kereta yang bergerak secara slow motion yang panjangnya sehingga di Lapangan Terbang. Nasib baik di Pengkalan Chepa ada lampu isyarat, senang aku belok untuk menuju ke rumah. Kalau tidak, kenalah berkhemah di tepi jalan sambil menyanyi lagu penyokong Red Warrior versi aku sendiri. Bunyinya macam lagu "We will...we will.. rock you". Kalau diubah liriknya akan berbunyi macam ni.."Go....mo Kelaaate Gomo"(ikut ajer beat tu)...doom...doom...tak....doom...doom...tak..dikuti dengan lirik yang sama sampai pengsan.

Walaupun perjalanan ini mengambil masa hampir satu hari, aku sedikit pun tidak terasa letih kerana asyik dengan suasana yang dipertontonkan kepada aku. Apa lagi yang hendak aku katakan? Ucapan aku untuk pasukan bolasepak kelantan, terutamanya bukan para pemain (mereka telah mempamirkan permainan peringkat akhir yang amat mengecewakan) tetapi para penyokong mereka yang sanggup mensunyi-sepikan Bandar Kota Bharu dan Jajahan lain semata-mata untuk memberi sokongan padu kepada pasukan bolasepak ini. Sewajarnya penyokong-penyokong ini diberi ganjaran yang setimpal, kalau tidak dengan wang tunai (seperti mana yang diberikan kepada para pemain dengan jumlah RM500,000), paling tidak pun jamuan makan dari pagi sampai malam di Stadium Sultan Muhammad ke 4 dan juga di jajahan lain. Berapalah sangat kosnya. Kalau ditumbangkan dua hingga 3 ratus lembu untuk setiap jajahan, tidak pun sampai lima ratus ribu RM. Ini belum masuk sumbangan percuma dari puak-puak orang kaya dan fanatik-fanatik bolasepak Kelantan.

Well done Red Warrior. Piala FA sudah dalam genggaman. Piala Liga Malaysia sudah garenti. Menang pulak Piala AFC nanti, maka akan menanglah segala-galanya.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...