Sunday, September 11, 2011

Ramadan dan Idil Fitri 2011

Pada tarikh ini sudah 12 hari kita berada di dalam bulan Idil Fitri. Ramadan yang lalu begitu besar ujiannya. Manakan tidak, inilah satu-satunya Ramadan yang mana aku tidak dapat bersama keluarga sepanjang tempoh tersebut. Tugas kepada Yang Menurut Perintah mana boleh diketepikan. Kalau tidak pergi maka akan didakwa sebagai tidak bertanggungjawab walhal perkara ini bukankah kita yang merancangkannya. Tarikh bukan tidak boleh dipinda cuma hendak atau tidak sahaja.


Sang Ketua dan Timbalan-timbalannya bukan hendak mengambil tahu hal ini sebab mereka adalah dari keturunan puak yang memang tidak suka beramadan bersama keluarga agaknya. Mereka terlalu amat suka berbuka di hotel-hotel di mana tempat mesyuarat diadakan. Bukan setakat malahan sewaktu berbuka puasa mereka inginkan diri mereka dirai umpama raja sehingga kita hendak berbuka pun tidak selesa. Dalam bulan Ramadan sepatutnya kita berlumba-lumba mencari pahala tetapi di sini sebaliknya. Ini belum lagi diarah untuk ke tempat jauh yang memerlukan perjalanan dengan kenderaan. Berbuka puasa dan bersahur mengikut apa yang ada.


Peliknya ada segelintir pengikut setia sanggup sepanjang ramadan untuk tidak bersama keluarga semata-mata untuk menuntut claim yang mencecah dua ke tiga ribu ringgit dengan alasan dungunya iaitu untuk duit raya. Tidak pernah aku jumpa ada manusia sebegini rupa sepanjang aku bekerja di tempat lain sebelum di tempat sedia ada sekarang. Malu dan memualkan dengan sikap dan perangai segelintir manusia ini.


Kini pengalaman itu sudah berlalu dan akan sentiasa terpahat di dalam diari hidup. Beberapa hari sebelum Raya aku telah mengambil cuti awal kerana hendak pulang beraya di kampung halaman bersama anak-anak dan keluarga. Hak untuk bercuti mana boleh dihalang tetapi hal ini ada berlaku di tempat aku berada sekarang. Kita hendak bercuti disingkatkan tetapi untuk yang menjadi ketua. dia hendak bercuti bersambung-sambung boleh pulak. Kalau tidak ada orang yang berani melawan maka akan tunduklah tetapi tidak bagi aku. Yang hak tetap yang berhak hatta ke mahkamah mana sekalipun aku sanggup hadapinya. Untuk diri yang berkuasa (kononnya...buat aku tergelak sahaja) apa yang mereka buat semuanya boleh. Mereka ini sebenarnya sudah jemu menjadi manusia. Jadi adalah sedikit malahan banyak aku rasa yang hendak menjadi tuhan pulak.


Menyambut Raya kali ini cukup berlainan sama sekali dengan yang sebelumnya. Aku dapat memberi ruang sepenuhnya kepada anak dan keluarga. Apa sahaja yang mereka inginkan akan aku sediakan malahan sepertimana menjadi kata-kata orang berkorban apa sahaja.


Pada raya kali ini aku diperlukan untuk menguruskan dua event yang besar iaitu majlis pertunangan dan perkahwinan. Pertunangan melibatkan anak saudara perempuan manakala perkahwinan melibatkan adik perempuan. Tarikh berlakunya ada serentak iaitu pada hari raya kelima. Terkejar-kejar aku dibuatnya ditambah lagi dengan salah seorang anakanda aku tiba-tiba tidak sehat. Begitu besar ujian yang aku lalui Idil Fitri kali ini. Alhamdullillah dalam terkejar-kejar aku berusaha juga untuk tidak menghampakan orang-orang yang mengharapkan aku. Terpulang kepada mereka untuk menilai apa yang aku lalui dan lakukan pada tarikh itu.


Pada malam raya pertama aku dan anakanda-anakanda aku mencurah kudrat membantu ibu mereka menyediakan juadah untuk pagi raya. Menu utama yang kami sediakan pada pagi raya itu adalah nasi empit, rendang ayam (lima ekor), lodeh, serunding dan sambal tumis. Dengan lain perkataan Menu Johor. Ramai sanak saudara yang datang ke rumah aku adalah untuk merasa kelainan menu yang terdapat di rumah aku berbanding dengan menu Kelantan yang tidak lepas dengan nasi dagang dan sataynya. Seperti biasa menu yang aku sediakan memanglah laris. Waktu petang boleh dikatakan sudah licin.


Raya kali ini aku cuma mengunjung lima buah rumah sahaja dan aku lebih suka duduk di rumah. Rumah para kawan langsung tidak aku kunjungi, sekadar menghantar ucapan sms sahaja. Terus terang aku katakan aku hendak banyakkan rehat di rumah kediamanku ini. Raya adalah sebulan jadi banyak lagi masa untuk mengunjungi rumah mereka.


Pada minggu hadapan aku akan pulang beraya di Johor pulak. Bertemu ayahanda tersayang bersama sanak saudara di sana adalah merupakan kewajipan. Walaupun tidak dapat beraya dengan mereka pada hari pertama, aku tetap akan menunaikan kewajipanku. Mereka sudah memahami situasi aku jadi tidak timbullah sebarang isu mengenainya.


Banyak peristiwa menarik kali ini. Ada yang lucu dan tidak kurang juga yang serious. Apa yang pasti ialah aku dapat memberi sumbangan kepada anak-anak, isteri dan keluarga dalam bentuk benda dan emosi. Aku tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka, cukuplah sekadar menjiwai apa yang telah aku ajarkan. Bagiku aku hanyalah aku.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...