Friday, October 9, 2009

CATATAN KISAH KAWAN-KAWAN

Rata-rata penulis dengar dalam mana-mana perbualan mengenai kehidupan, boleh dikatakan hampir kesemuanya mempunyai cita-cita untuk menjadi kaya raya. Hidup mewah seperti orang-orang kaya yang sedia ada sekarang. Mungkin 99 peratus manusia mempunyai keinginan seperti itu. Itulah harapan bagi golongan sederhana dan susah lagi papa kedana.

Bagi golongan kaya pulak, ada yang memang dilahirkan dalam keturunan yang memang dah kaya raya. Walau bagaimana pun kita tidak tahu bagaimana nenek moyang mereka itu jadi kaya. Ada kemungkinan nenek moyang mereka adalah lanun pada masa lalu sebab untuk lahir dan terus kaya memang tidak logik langsung. Ada juga yang betul-betul berusaha sehingga nak mampus sehingga menjadi kaya. Ada juga yang menggunakan keringat orang lain lalu menjadi kaya. Ini termasuklah menghamba-abdikan orang lain dan inilah dikatakan berkepentingan.

Mereka mengguna dan memerah segala keringat yang ada pada orang ini dan apabila sudah berjaya mendapatkan hasilnya, orang ini terus ditinggalkan malahan dilupakan dari ingatan. Kalaupun ada upahnya, hanya setakat duit beli air dan makan nasi pada ketika diperlukan itu sahaja. Kalau semasa hendak mendapatkan sesuatu, mereka akan mengunjung orang ini boleh dikatakan paling tidak selang dua hari. Orang ini akan dilayan seperti Yang Berhormat gamaknya. Setiap kali perjumpaan akan dilakukan di Hotel-hotel mewah. Setakat sekali minum dan makan sehingga tiga empat ratus ringgit, tidak ada masalah. Bukan setakat perjumpaan di hotel malahan ada juga dibawa bersiar-siar ke luar negara. Ini semua adalah apa yang dikatakan gula-gula untuk menarik perhatian orang yang dikudatunggangkan ini.

Ramailah kenalan-kenalan orang kaya ini diperkenalkan kepada orang yang menjadi mangsa ini. Yang menjadi mangsa ini sebenarnya memang ikhlas dalam membantu orang-orang kaya ini. Dia tidak pernah meletakkan sebarang peratusan sekiranya berjaya dibantu. Ada juga yang macam itu. Tetapi ada juga yang meletakkan portion atau bahagian terlebih awal. Ini semuanya terletak di atas nawaitu masing-masing. Yang tidak meletakkan peratusan itu adalah semata-mata melihat orang yang dibantu itu sebagai kawan yang diperkenalkan oleh kawan-kawan juga. Dengan harapan sebagai kawan, tentulah kawan tidak makan kawan. Rupa-rupanya kawan ini adalah lebih kejam dari musuh yang sememangnya nyata.

Yang menjadi mangsa ini, setelah apa yang berlaku, hanya mampu berdoa dan menjadikan apa yang berlaku itu sebagai satu proses dalam mencari dan mengenal salah satu pengertian dalam kehidupan ini. Walaupun berbuih mulut menceritakan kepada yang sepatutnya tetapi apa yang boleh rakan-rakan lain lakukan. Mereka sekadar menyatakan simpati disamping melepaskan kemarahan terhadap kawan-kawan seperti itu. Yang kelakarnya ada di kalangan rakan-rakan yang turut membinatangbabikan kawan-kawan seperti itu, akhirnya turut sama menjadi babi yang dimakikan itu.

Inilah antara gambaran cita-cita untuk menjadi kaya yang kadang kala perlu dilalui walaupun perit untuk ditelani. Yang kaya terus dengan kekayaannya manakala yang mengharap untuk menjadi kaya terus dengan doa dan khayalan. Ada yang mengatakan hidup ini umpama roda. Sekejap di atas sekejap di bawah. Yang kelakarnya ialah si kaya terus menerus duduk di atas, entah bila yang di bawah hendak merasa duduk di atas

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...