Tuesday, November 22, 2011

SUKAN ADALAH SUKAN, POLITIK ADALAH POLITIK

Malaysia berjaya mengekalkan pingat emas dalam bola sepak Sukan SEA di Indonesia. Tahniah atas kejayaan tersebut apatah lagi saingan akhir itu menemukan dua gergasi bola sepak peringkat Asia Tenggara. Memang tidak dinafikan kedua-dua gergasi ini hanya menyerlah di peringkat ini sahaja dan masih jauh lagi untuk menjadi gergasi Asia sebenar berbanding dengan Jepun, China, Korea dan negara Asia Tengah.


Dalam pertandingan yang disaksikan jutaan manusia seluruh Asia Tenggara malahan mungkin seluruh dunia, kita dipertontonkan dengan gelagat penyokong Indonesia yang cukup mengecewakan. Di manakah dikatakan semangat kesukanan? Setiap kali pertemuan kedua-dua negara ini dalam pertandingan sukan, gelagat yang meloyakan dari penyokong Indonesia memang tidak dapat dielakkan. Di manakah kesilapannya? Adakah terdapatnya faktor lain atau apakah sebenarnya? Dakwaan paling mudah dalam menilai perkara ini adalah kepincangan pihak penganjur dan tuan rumah Sukan SEA kali ini.


Dalam meraikan kemenangan yang agak berprestij ini, terdengar pula suara yang tidak berapa enak diperdengarkan. Satu kenyataan dari mulut orang politik Malaysia mengatakan punca kelakuan tidak sopan yang ditunjukkan oleh penyokong Indonesia adalah disebabkan peranan parti pembangkang atau Pakatan Pembangkang Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri. Perkara ini katakan telah menular dalam rakyat Indonesia hingga mereka dilihat amat membenci kepada tampuk pemerintahan Malaysia.


Mengapa cuba dikaitkan politik dalam negara dengan Sukan SEA ini? Ini adalah satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin muda negara. Bukankah kenyataan ini akan mengundang banyak lagi masalah apatah lagi dalam usaha kerajaan untuk meraih sokongan rakyat yang semakin meruncing dalam PRU13 nanti. Mengapakah kita terus menerus memberi peluru kepada pihak pembangkang?


Di manakah profesionalnya kita? Mengapa kita perlu mencetuskan isu ini? Apakah kita masih tidak membuka mata dan telinga mengenai isu yang kita sendiri ciptakan dan implikasinya kepada kita? Pihak mereka dengan begitu cepat sekali mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pasukan Malaysia yang berjaya mengekalkan kecemerlangan. Malangnya di pihak kita tanpa menggunakan kepala otak mengatakan perkara yang tidak sepatutnya.


Pergolakan dalam parti masih tidak reda sehinggakan pemimpin tertinggi juga mengatakan demikian. Kita sepatutnya memberi fokus untuk membetulkan keadaan dalam parti bukannya asyik mengaitkan dengan pihak lain. Rakyat semakin menjauhi parti kita. Kalau kita menyusur berita-berita dalam alam maya ini, boleh dikatakan setiap hari mereka menghentam kita dengan pelbagai perkataan yang cukup kurang sopan. Isu inilah yang perlu kita tangani.


Dulu kita disukai dan kita cukup popular di mata rakyat. Sekarang apa sahaja yang kita lakukan, kesemuanya mendapat pingat cemuhan. Kita sebenarnya masih mempunyai ruang untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita. Caranya ialah melakukan pengorbanan. Beranikah dalam kalangan kita melakukan pengorbanan iaitu duduk sama rendah diri sama tinggi dengan rakyat. Beranikah kita mengorbankan kesenangan dalam dunia penuh kemewahan dengan kesenangan yang sederhana dalam dunia kesengsaraan dan keresahan rakyat?. Sudah tentu sukar dan tidak mungkin untuk seseorang dengan apa yang diperolehi atau kecapi boleh melakukan tuntutan ini.


Malaysia menang pingat emas dalam acara bola sepak dengan mengalahkan Indonesia dengan sepakan penalti 4-3. Seluruh rakyat Malaysia bersorak menyambut kemenangan ini. Apakah seluruh rakyat Malaysia akan bersorak sebegitu rupa sekiranya dalam PRU13 nanti angka 4 diperolehi pihak mereka dan angka 3 diperolehi pihak kita?. Pada ketika itu siapa pula yang akan dikaitkan dan peranan siapa pula yang hendak kita tujukan.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...