Kadangkala bila aku duduk berseorangan melayan diri dengan alam ini, fikiranku melayang jauh mengingati zaman mula-mula menapakkan kaki ke Intitusi Pengajian Tinggi pada suatu ketika dahulu. Tempat mula aku belajar pada masa itu dipanggil ITM (Institut Teknologi MARA). Aku cukup berminat dengan bidang kesenian. Minat aku begitu tinggi terhadap bidang ini walaupun aku mampu untuk menceburi bidang-bidang profesional yang lain seperti political sciences, undang-undang, management, mass com dan lain-lain. Pada ketika itu ITM hanya menawarkan peringkat Diploma sahaja. Apabila ITM dinaik taraf kepada UiTM, Diploma-Diploma jurusan tertentu yang mengambil masa empat tahun di konvert menjadi Ijazah.
Tahun 1981 adalah bermulanya pengajian aku. Memandangkan kursus yang ambil ini adalah selama 4 tahun, jadi pada tahun pertama kami semua kena ambil kursus peringkat pra-Diploma dahulu. Aku kena mendaftar sebagai pelajar di ITM Cawangan Dungun, Terengganu. Maka berangkatlah aku ke sana di hantar oleh kedua-dua orang tua aku. Semasa hendak mendaftar aku diarahkan untuk menggunting rambut dahulu sebab rambut aku masa itu boleh tahan juga panjangnya. Maka pergilah aku ke sebuah kedai gunting rambut berhadapan kampus berkenaan. Semasa tukang gunting itu mengerjakan rambut aku, aku tertidur. Bila sedar sahaja dan memandang ke cermin, sedih dan sayu sekali aku rasakan sebab fesyen rambut aku betul-betul macam tudung periok orang tua-tua kata. Tinggal sedikit sahaja di bahagian atas. Aku jerling ke arah tukang gunting rambut itu, dia cuma tersengih sahaja. Bila kedua-dua orang tua aku melihat aku mereka berdua tergelak besar. Trafic light muka aku dibuatnya.
Selepas mendaftar aku pun pergilah ke asrama yang terletak dekat bandar Dungun di belakang Ibu Pejabat Polis Dungun. Asrama ini adalah sebuah bangunan lama bertiangkan batu berdinding papan. Tingkapnya besar ditolak ke atas dan disandarkan dengan kayu. Di bahagian bawah sebahagiannya turut dibuatkan bilik. Berhampiran dengan pagar ada sebuag surau kecil sahaja. Yang kelakarnya dekat bahagian bawah ada beberapa buah kubur lama. Dekat atas kubur itulah dibuatnya tempat ampaian baju. Kalaulah begitunya keadaan pada zaman sekarang sudah tentu akan keluar dalam TV dan Akhbar.
Aku pun naiklah ke tingkat atas lalu memilih katil-katil yang sesuai. First come first serve basislah ni. Ruang bilik adalah secara dormetary dan kesemuanya ada empat dorm. Aku di dorm nombor dua. Katil semuanya double-decker. Yang bahagian bawah sudah disapu bersih, jadi kenalah aku memanjat katil di bahagian atas. Tidak lama aku duduk di atas sebab setiap kali aku bangun, bila aku duduk mejulur kaki ke bawah, kaki aku akan terkena orang di bawah. Member di bahagian bawah tidak tahan sebab kepala dia asyik berlanggar dengan tapak kaki aku, dia pun carilah tempat lain. Pucuk dicita ulam mendatang, aku pun berpindah ke katil bahagian bawah. Lega rasanya.
Aku masih ingat malam pertama aku di hostel itu. Aku baru sahaja hendak baring, tiba-tiba datang satu mamat tu konon-kononhya macam mafialah gitu. Dia pun bertanya siapa budak Johor yang masuk ke dorm ini? Aku secara selamba menjawab "Aku, ada apa hal?" Cara dia tanya macam big bos, kemudian dia terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan aku. Nak tahu siapa mamat tu, itulah dia Usop Kopratasa yang terkenal dengan lagu-lagu puisi sekarang ini. "Kau pandai main guitar?" tanya dia lagi. "Pandai tu tak ler sangat tapi kalau hendak menghayun dan melempar guitar macam Deep Purple tu bolehlah jugak" aku menjawab sambil menarik guitar yang aku bawa di atas almari bersebelahan katil aku. Untuk makluman guitar itu masih ada lagi aku simpan sampai sekarang. Yerlah masa itu orang panggil guitar kapok. Cuma di bahagian tepi itu terpaksa dilekatkan dengan tape hitam untuk mengelakkan dari ternganga.
Pada malam itu aku diperkenalkan dengan geng-geng dorm nombor tiga. Dorm nombor satu dan empat, penghuninya adalah mat-mat cool. Dorm tiga ini adalah dihuni bakal-bakal rockers dan blues. Dorm aku pulak separuh mat kuda kepang separuh lagi blues. Kalau tidak silap ada empat biji guitar di situ. "Brader, lu boleh main blues atau scorpion?" tanya salah seorang daripada mereka. "Gua, lu kasi apa saje, gua tarik" aku menjawab sambil melabuhkan punggung di celah-celah mereka. "Aku kasi satu" satu suara kedengaran. Aku pun dengan segannya sudah goreng satu lagu blues. Terbeliaklah sekejap mata-mata yang ada di situ. Maka pada malam itu secara tidak rasmi tertubuhlah satu band. Boleh dikatakan setiap malam kita orang melalak. Ada sahaja lagu baru yang keluar kami akan praktis.
Kebetulan di kampus itu ada music house dan apabila dibuka boleh jadi macam pentas kecil. Semua peralatan muzik ada seperti guitar (3 biji), drum, keyboard, trombone, trumpet, sexaphone dan percussions. Siap dengan speakernya sekali. Pelajar-pelajar perempuan kesemuanya tinggal di dalam kampus. Jadi bila kami pegang micropone dan kata "testing..testing" maka bergayutlah mereka dekat verandah hostel masing-masing.
Aku akan bermain lead guitar, Mat Nan dengan guitar rythem, Tat (Mutaali) bermain bass kadang-kadang diganti dengan Karl (Khairul), Usop bermain drum (memang dia ni hebat dengan bab gendang-gendang), Zaki bermain keyboard dan ada dua tiga orang pak lawak akan mengayakan alat tiupan macam kumpulan black dog bone atau carefree. Penyanyi utamanya ialah Akil. Suara dia memang rockers dan blues. Untuk lagu-lagu melayu, Usoplah penyanyinya. Tidak berubah suara dia sampai sekarang. Lagu melayu yang menjadi pujaan ramai pada ketika itu ialah Ibu (Blues Geng). Sampai naik serak suara Usop mendendangkannya. Di hadapan pentas betul macam sedang menonton concert. Kamilah penghibur tetap penghuni di kampus ini. Biasanya kami akan jam di music house itu paling lama pun 2 jam sebab selepas itu masing-masing ada program. Ada yang pergi study, berdating dan buat kerja-kerja di studio. Kebanyakkannya pergi dating dululah, selepas maghrib atau Isyak baru buat kerja-kerja studio.
Sebelum kami meninggalkan kampus Dungun dan berpindah ke kampus Induk di Shah Alam selepas setahun di sana, kami telah mengadakan satu malam persembahan tanda perpisahan. Sebenarnya majlis ini adalah merupakan satu budaya kepada setiap kumpulan pelajar Art and Design yang belajar di sini. Jadi warga kampus boleh menilai batch yang mana yang paling popular. Agak terkejut juga kerana difahamkan batch kamilah yang paling terhangat dan terpopular sekali dalam sejarah.
Di bahagian belakang perpustakaan kampus memang sudah tersedia dengan sebuah pentas untuk berkonsert. Pentas ini menghala ke pantai. Pada malam persembahan itu, di hadapan pentas itu penuh dengan warga kampus, manakala di luar pagar penuh dengan orang-orang Dungun. Yerlah nak tengok concertlah katakan. Persembahan kami penuh dengan pelbagai eksperimentasi yang memaparkan kreativiti kami. Merekabentuk spotlight yang boleh bergerak sepertimana spotlight yang ada di mana-mana concert sehinggalah pelbagai aspek teknikal, kesemuanya mampu kami sedia dan lakukan. Bayangkan salah satu persembahan yang mengisahkan cerita pontianak dan suasana kubur. Penonton semuanya tidak menyangka tiba-tiba dari atas pokok Rhu terbang hantu pontianak melintasi mereka beserta bunyi mengilai lagi. Manakala senario kubur pulak siap dengan berasap dan bercahaya lagi. Nak tahu rahsia buat asap itu macamana? Tiga empat orang duduk bawah pentas dan hembus asap rokok. Kasihan kawan-kawan yang diberi tugas itu. Sampai naik pening dibuatnya. Orang lain tidak tahu apa berlaku di sebalik tabir itu. Member yang jadi orang mati hidup balik itu yang akan keluar dari lubang kubur itu pun sempat juga menghembus asap rokok. Hendak pecah perut aku memikirkan balik kisah itu.
Ada juga persembahan cerita James Bond. Kawan aku dari Terengganu nama dia Yassin melakunkan watak Roger Moore. Sampai sekarang nama Roger terlekat dekat dia. Bayangkan Roger Moore naik ski lepas itu ada pulak salji turun dari atas. Memang real betul kumpulan ini buat. Kemudian ada pulak cerita cowboy yang dilakunkan oleh kawan-kawan dari utara. Cuba bayangkan cowboy-cowboy ini cakap loghat utara. Kostum bukan main-main buat begitu juga dengan setup setiap persembahan yang dipaparkan. Pentas kami tidak ada sebarang tirai. Persembahan kami lebih bersifat eksperimental.
Apabila sampai giliran kita orang buat jam session, malas nak cerita. Riuh macam konsert kat stadium Bukit Jalil dibuatnya. Kalau tidak silap kita bawa lagu Ibu, Cocaine, I Shot D Sheriff, Wonderful Tonight, Highway Star, lagu-lagu blues lain, Scorpion pun ada. Macam zaman hippies lagaknya. Saham kami naik macam dekat first board malam itu.
Blok school kami ini terletak di bahagian belakang kampus yang menghala ke laut, senang kata berdekatan dengan pantai. Bangunannya semua papan belaka. Bangunan-bangunan yang ada adalah belas peninggalan zaman colonial agaknya. Pensyarah-pensyarah kami pada masa itu ialah Mr. Joe Tan (dah lama pergi), Ruzaika, Tamyez, Tajali, Wan, Dzul. Mereka-mereka inilah yang mengajar kami the foundation of arts. Subjek lain ialah English, Agama, Art History dan Sociology. Untuk kokurikulum pulak kesemuanya wajib menyertai Kesatria (Tentera). Pada hari-hari tertentu berkawadlah kami kiri kanan kiri kanan di dalam kampus yang kecil ini. Jurulatih adalah puak-puak askar belaka. Muka mereka biasalah, berlakun jadi garang.
Di penghujung semester akhir di sana, Almarhum Sultan Terengganu telah datang untuk merasmikan kampus ITM yang baru di Sura Point. Kampus kami dipanggil Sura Gate. Kampus yang baru ini terletak di hujung pantai Dungun yang dikelilingi bukit. Memang cantik tempat itu tetapi kami tidak dapat merasakannya sebab kami akan memulakan pengajian kami di peringkat Diploma mengikut bidang yang dipilih di Kampus Shah Alam. Semasa majlis perasmian itu, kami ada membuat pameran hasil kerja tangan kami. Aku pulak ditugaskan menjadi pengiring lawatan pameran Almarhum Baginda Tuanku. Pada waktu petangnya pulak kami membuat persembahan dengan menaikkan wau berbentuk tiga dimensi. Wau yang kami hasilkan kesemuanya besar-besar. Ada yang berbentuk ikan, kapalterbang dan bermacam-macam lagi. Untuk aku pulak, wau yang aku hasilkan adalah merupakan cantuman kube bertingkat. Nasib baik bermain di tepi pantai, jadi semua wau boleh naik sebab angin yang kuat. Beberapa biji wau akhirnya terjunam ke dalam laut.
Untuk kami pergi ke kampus, setiap pagi bas ITM akan mengangkut kami ke sana pergi dan balik. Pada peringkat awal memang tidak miss naik bas tetapi bila kerja-kerja semakin banyak, kami akan ke kampus sudah tidak mengikut masa lagi. Waktu balik pun tidak menentu. Kadang-kadang melebihi 12 malam, jadi kami akan berjalan kaki pulang ke hostel. Bila kami nak bailk, kami akan melalui depan hostel budak-budak perempuan. Ada yang masih belum tidur selalu menunggu kami dengan usikkan-usikkan gatal. Kami panggil mereka Dewi Malam dan mereka panggil kami Dewa Tengah Malam.
Kawasan kampus Sura Gate ini sebenarnya berhantu. Macam-macam cerita hantu diperdengarkan kepada kami oleh Pak Guard-Pak Guard. Ada lembaga perempuan berjalan tengah malam tanpa kepala, berjalan dari arah laut ke salah sebuah hostel budak perempuan. Peliknya kami tidak pernah terserempak dengan benda-benda macam itu. Budak-budak perempuan ramai juga yang kena histeria. Terjerit terlolong macam dirasuk hantu. Adalah dua tiga orang budak perempuan dari school kami yang kena rasuk. Bila kena rasuk semuanya hendak pergi ke laut. Biji mata terbeliak-beliak dan suara pulak sudah tidak original. Ada juga kawan-kawan aku yang cuba bomohkan. Aku cuma perhatikan sahaja dari jauh sebab tidak reti nak tolong macamana.
Cuma hendak dijadikan cerita disebabkan kami yang selalu balik tengah malam tidak pernah terserempak dengan lembaga itu, akhirnya kena juga. Pada malam itu salah seorang kawan aku ada bawa basikal. Entah dekat mana dia dapat basikal itu kami pun tidak pernah tanya. Setiap kali kami balik, kami akan lalu di hadapan bangunan admin sebelum sampai ke pintu utama. Dekat situ terdapatnya satu pondok talipun. Entah macamana apabila kami sampai di situ, tiba-tiba kami terdengar talipun berdering. Jadi kami tanpa memikir apa-apa terus ke pondok talipun itu. Deringan itu masih tidak henti-henti. Salah seorang kawan aku menyuruh aku menjawabnya. Aku mals hendak cakap banyak terus mengangkat ganggang talipun itu lalu bercakap. "Hello, hello" tidak ada jawapan. Lepas itu aku bertanya pulak "Hello, siapa ni, nak cakap dengan siapa malam-malam buta ni?". Terkejut juga aku bila aku dengar suara perempuan yang menjawab "Kalau hendak tahu siapa saya, pusinglah ke belakang". Bila terdengar jawapan macam itu barulah aku teringat pasal kisah hantu itu.
Kawan-kawan aku siboklah menanya "Siapa tu, apa katanya?". Aku jadi bisu sekejap, hendak cakap suara tidak mahu keluar. Akhirnya aku menjerit "Aku letak aje talipun ni, kau orang jangan banyak tanya, lari dan jangan pandang belakang ok! ada hantu niii..." Apa lagi kami pun berlarilah menuju ke pondok Pak Guard dengan sekuat hati. Kawan aku yang naik basikal itu, dia tidak naik basikal sebaliknya dia pikul basikal sambil berlari. Sampai dekat pondok Pak Guard, tercunggap-cunggap kami dibuatnya. "Mung nampak hantu dekat pondok talipung itu ork?" tanya Pak Guard. "Yer lah Pak Cik...tapi dengar suara jer dalam talipun" aku beritahu Pak Cik Guard itu. "Kang aku dah kata mung dok cayer, padang muka mung" balas Pak Cik Guard itu sambil ketawa. Aku rasa tentu Pak Guard ni yang bela hantu itu sebab aku nampak dia relaks sahaja. Itulah antara kisah seram yang aku lalui di dalam kampus.
Masih lagi pasal hantu tetapi yang ini berlaku di hostel kami. Bila kerja-kerja tengah banyak dan assesment pun sudah semakin dekat, maka ramailah buat kerja di bahagian bawah hostel. Ada yang tersandar kat batu nisan kubur dan tidak kisah langsung pasal kubur itu. Katil aku dekat tepi laluan yang dilindung dengan almari. Kadang-kadang akan terdengarlah bunyi selipar basah berjalan dekat laluan itu. Itu semua kawan-kawan yang baru balik dari bilik air di bawah. Pada satu ketika itu aku yang baru sampai di hostel setelah berjalan hampir dua batu lebih dari kampus, terus baring di atas katil sebab penat dan hampir nak terlelap. Aku nampak kawan aku Ruslan namanya baru balik dari bilik air. Tiba-tiba dia datang ke katil aku dan duduk di sebelah aku. Mukanya tengok tempat lain tetapi aku cam kawan aku ini. Aku pun tanyalah "u dari mana Russ, pergi mandi ke?" Dia senyap tidak berkata apa-apa. Kemudian aku rasa jari dia meraba dada aku terus ke pangkal leher aku lalu dicekiknya aku. Aku yang tengah letih itu terkejutlah. "Hei! apa ni Russ nak main-main macam ni, aku penat nilah" Aku cuba melepaskan cengkaman yang semakin kuat itu. Bila dah terlampau geram, aku libas tangan aku dekat muka dia, kedengang bunyinya, yang kena adalah pintu almari aku. Punyalah sakit tangan aku. Rupa-rupanya tidak ada sesiapa pun dekat katil aku.
Keesokkan paginya semasa aku sedang bermekap,kawan aku Ruslan lalu depan aku. Tidak pasal-pasal dia kena maki hamun dengan aku. Terpingga-pingga sekejap kawan aku itu. Boleh dikatakan ada sahaja bunyi selipar basah berjalan dekat laluan dalam hostel ini. Dah jadi lali kami dibuatnya. Aku pulak tidak ada lagi makhluk yang tidak nampak itu mengacau aku. Mungkin sebab sudah merasa libasan tangan aku agaknya. Ada lagi yang paling lucu berlaku di hostel kami. Ini kisah penghuni dorm empat. Dekat hujung dorm empat ada tangga hendak ke bilik air di bahagian bawah hostel. Dekat sebelah tangga itu ada satu pohon Rhu dan di tepi-tepi pagar banyak lagi pokok-pokok ini. Suatu pagi, aku dengar riuh rendah penghuni dorm empat. Kami semua pun bergegas ke sana hendak tahu apa sebabnya. Hendak tahu apa sebabnya, dekat atas pokok Rhu itu tergantung semua kain-kain cadar penghuni dorm empat. Macam-macam dibuatnya.
Aku juga masih ingat pada suatu malam semasa kami lebih kurang seramai enam tujuh orang berada di dalam surau bersebelahan hostel itu. Kami lepas bersolat Isyak. Semasa kami bersembahyang, bumbung zing surau itu kami dengar bunyi pasir di lempar-lempar. Lepas sembahyang bila kami berbicara pasal agama, bunyi pasir tadi akan berbunyi lagi. Geram juga kami dibuatnya. Kami terus pergi keluar dan tengok ke atas, tidak ada apa-apa pun. Salah seorang kawan aku telah mengutip beberapa biji batu lalu dilemparkannya ke arah sepohon pokok berdekatan surau itu.
Dalam bilik air pun ada bermacam-macam cerita. Dengar orang masuk ke tandas sebelah bila ditanya tidak berjawab. Bila ditolak pintu tidak ada orang. Kadang dengar bunyi orang mandi di bilik sebelah, bila dilihat tidak ada siapa-siapa. Mula-mula memanglah rasa seram sehinggakan kalau hendak pergi ke bilik air atau tandas kenalah berteman. Tetapi setelah tinggal lama di hostel itu, perkara-perkara seperti itu tidak kami hiraukan lagi sebab sama-sama sudah menjadi hantu malam. Kalau ada bunyi selipar basah berjalan, kami akan ikut dari belakang. Kalau daun tingkap buka tutup sendiri, kami akan sama-sama main buka tutup daun tingkap yang lain.
Itulah antara kisah-kisah yang kadang-kadang aku teringat bila duduk berseorangan disamping melihat kepada alam. Kisah-kisah lama ini mengingatkan aku kepada kawan-kawan lama aku. Di manakah mereka sekarang? Yang sering berkomunikasi dengan aku ialah Usop dan seorang lagi ialah Roger. Cuma baru-baru ini dapat pulak berkomunikasi dengan Russlan. Yang lain-lain memang tidak pernah berjumpa. Cuma dikabarkan mereka berada di situ dan sini. Yang sudah kembali ke rahmatullah, setakat yang tahu ialah tiga orang. Yang kawin cerai dan gila talak pun ada juga. Yang jadi orang kaya pun ada dan yang macam ini memang sudah tidak ingat kawan-kawan langsung. Walau bagaimana pun boleh dikatakan seperti yang dikabarkan, kesemua kawan-kawan aku sudah berjaya di dalam kehidupan masing-masing. Alhamdulillah, aku sentiasa mendoakan kawan-kawan dalam batch aku ini semoga sentiasa sihat dan selamat. Tidak kiralah siapa mereka sekarang, kaya ke, sombongke, berpangkat besar ke, yang susah mahupun yang sederhana. Diharap suatu hari nanti aku dapat berjumpa kesemua yang masih bernyawa ini. Insyaallah.
Saya penuntut di uitm dungun tahun 2000
ReplyDeleteDelegasi muzik masih diteruskan di situ saban tahun dengan battle of the band. Memang tempat terbaek. Tahun lepas bila ke sana, semuanya dh banyak berubah dan moden. Xmacam dulu dah.