Friday, October 14, 2011

SELAMAT BERADA DI ALAM PERSARAAN

Agak sukar juga hendak memilih rangkaian bahasa sebagai permula bicara dalam meluah isi rasa sempena mengenangi persaraan seorang sahabat dari perkhidmatan beliau dengan kerajaan. Walau pun tidak lama mengenali tuan punya badan tetapi sepanjang setahun bersama seolah-olah sudah mengenalinya begitu lama. Tanggal 10 hb Oktober 2011, maka genaplah tarikh perkhidmatan beliau bersama Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.


Walau pun beliau cuma berada di Jemaah Nazir ini hampir tiga tahun, keringat dan tenaga yang disumbangkan dalam ertikata menjalankan tugas sewajarnya diberi penghargaan dan pengiktirafan. Jemaah Nazir telah berjaya melaksanakan satu majlis dan diikuti dengan majlis lain sempena persaraan beliau.


Kesempatan mendengar ucapan beliau di dua majlis yang berbeza cukup teruja. Pendekatan ucapan yang berbeza dengan kandungan bicara yang tidak dijangka begitu menggamitkan suasana. Apa yang terpancul keluar dari mulut beliau adalah menggambarkan luahan isi hati yang penuh kejujuran dan keikhlasan.


Menyusuri detik bersama beliau di tempat bertugas, aku perhatikan beliau merupakan seorang yang cukup bersabar dalam menunaikan tangungjawab sebagai seorang Nazir Sekolah. Diherdik, ditengking malahan adakalanya menjadi bahan ketawa di kalangan Nazir, sedikit pun tidak dihiraukan. Malahan turut sama tertawa dengan apa yang berlaku. Apabila aku merenungi diri beliau, aku percaya jauh di sudut hatinya penuh dengan pelbagai torehan dan gurisan yang cuba diselindunginya. Entah kenapa aku merasa pilu dan sedih malahan sukar untuk aku perkatakan mengenai watak dan keperibadian salah seorang sahabat dan rakan seperjuanganku ini.


Aku sebenarnya cukup menyenangi kehadiran beliau sebagai rakan. Cara dia menangani herdikkan atau jeritan sang ketua, begitu bersahaja sekali. Katalah apa yang hendak dikata, makilah, herdik dan sebagainya, dia tetap bersahaja. Itulah kelebihannya sahabatku ini apabila berdepan dengan manusia-manusia berwajah hipokrit, sombong, bodoh lagi dungu. Hanya senyuman sahaja yang akan terukir apabila berada di dalam situasi sebegitu rupa.


Episod yang paling malang berlaku terhadap rakanku ini ialah apabila dia dicampakkan surat untuk bertukar atau bertugas di sekolah. Aku sendiri tidak mengerti mengapa perkara ini perlu berlaku di kala beliau cuma tinggal hampir sepuluh bulan sahaja lagi untuk bersara. Bahkan beliau ada memberitahu aku mengenai laporan prestasi yang cukup rendah diterimanya daripada sang ketuanya. Apakah ini merupakan konspirasi terhadap beliau atau apakah sebenarnya? Bagi aku kalau seseorang itu kurang pandai dalam melakukan sesuatu tugas maka adalah menjadi kewajipan mereka yang mengaku pandai untuk memberi bimbingan kepada yang kurang pandai ini. Malangnya itu tidak berlaku dan cara yang dikatakan mudah walhal menyusahkan banyak pihak adalah dengan menukarkannya ke tempat lain dan dalam hal ini balik ke sekolah.


Mereka yang bersekongkol dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini bukannya tidak tahu bahawa manusia yang diperlakukan sedemikian rupa ini mempunyai tanggungjawab yang cukup berat. Rakanku ini mempunyai seorang anak istimewa dan ini memerlukan penjagaan yang sistematik. Inilah yang membuatkan aku bahkan rakan-rakan yang sepemikiran denganku merasa cukup terkilan dan marah. Alhamdullillah dengan berkat kesungguhan, doa dan tunjuk ajar yang dianjurkan, pertukaran beliau dibatalkan. Semoga Allah membalas segala perbuatan mereka yang terlibat ini.


Maruah adalah merupakan satu perkara yang tidak boleh digurau-sendakan. Maruah ini adalah benteng diri kita. Menjatuhkan maruah malah mengaibkan maruah seseorang, Allah telah memberitahu kita hanya manusia sahaja yang boleh memaafkan perbuatan sesama manusia. Di sanalah nanti sebarang tuntutan dan dakwaan akan diperlihatkan kembali kepada kita.


Itulah sahabatku yang bernama Mohd Yusof Bin Maulud. Genap 56 tahun perkhidmatan beliau di alam pendidikan. Segala onak dan duri di alam yang lalu akan memberi kekuatan kepada beliau untuk terus berkhidmat kali ini kepada keluarga yang cukup disayanginya. Allah Maha Kaya, itulah yang sering aku beritahu kepada beliau setiap kali beliau menemui aku.


Kepada sahabatku Yusof, aku tetap akan mengenang budi baikmu sepanjang hayatku. Semoga persahabatan yang dibentuk walau pun hanya seketika, aku berharap agar ianya berkekalan. Semoga Allah mempermudahkan urusanmu di alam persaraan ini. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...