Monday, August 19, 2013

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATHIN

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATHIN. Begitulah ucapan yang pasti digunakan apabila menjelang setiap hari raya  baik di pagi Aidul Fitri mahu pun Aidil Adha. Maka bersalam-salamanlah kita sesama sendiri. Bersalaman sesama anak-anak, ibu bapa, datuk nenek, adik beradik, sahabat handai dan seterusnya. Tatkala bersalaman ada yang meraung menangis bercucuran airmata menunjukkan kesedihan, pilu, sayu dan sebagainya. Kadang-kadang rasa lucu juga apabila saban tahun inilah yang sering berlaku. Semasa bersalaman apatah lagi dengan pelukan dan dakapan, semakin kuat raungan kita. Ini hanya berlaku tatkala menjelang hari raya sahaja. Mengapa tidak berlaku apabila bukannya hari raya? Pelbagai persepsi boleh dijelmakan apabila membicarakan hal ini. Aku tidak mahu mengulas panjang mengenainya.
 
Ada juga yang tidak sepatah pun untuk mengucap kalimah Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Bathin. Hatta melalui sms atau email. Mengapa ya? Mungkin terlupa atau sengaja lupa. Tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Mungkin juga seseorang itu merasa marah atau timbul perasaan benci dalam diri. Mungkin juga. Atau pun mungkin kerana seseorang itu tidak membayar hutang menyebabkan perasaan marah dan menyampah mengatasi segala-galanya. Ya! Mungkin juga.
 
Perkara ini dilihat berlaku dalam kalangan adik beradik baik yang kandung atau yang diminta menjadi adik beradik. Sesama adik kandung ianya tidak menjadi isu kerana apabila berkesempatan pasti akan diselesaikan. Sesama yang bukan adik kandung, inilah yang menjadi isu. Kadangkala ada betulnya juga sehingga ada yang mempersoalkan tentang kewujudan istilah adik beradik dalam konteks ini iaitu dalam konteks adik beradik seperguruan atau sepembelajaran. Adik beradik dalam konteks ini hanya wujud apabila salah seorang mengalami masalah dan kesusahan. Apabila sudah mencapai tahap kesenangan, ungkapan adik beradik tidak akan timbul sama sekali sehingga terdengar dengan jelas lagi nyata ayat yang terpacul keluar dari mulutnya "Penatlah nak jaga adik beradik macam ini". Kalau hendak digunapakai ungkapan tersebut, sudah lama boleh digunakan dikala mengharungi zaman kesusahan sehingga tidak mampu hendak membeli susu anak walau sesudu. Anehnya perkara itu tidak pernah ditimbulkan walaupun seseorang itu sudah mencapai status MILLIONAIRE. Seolah-olah tidak mahu dingati.
 
Ada juga yang mengatakan "Betul ke jadi adik beradik atau pun berlakon sahaja. Bohonglah kalau dikatakan adik beradik". Memang pedih dan sedih apabila ungkapan itu juga kedengaran. Ada yang benar-benar ikhlas dalam melafazkan "adik beradik" ini tetapi dikatakan berbohong. Ada juga yang mengatakan "mengarutlah semua ini". Kalau betul-betul adik beradik kenapa tidak ada tolong menolong?" Tidak boleh disalahkan juga apabila dikatakan begitu kerana masing-masing sudah mencapai tahap hebat. "Akulah lebih hebat, awak siapa?"
 
Dalam kalangan kita ada yang mungkin terlupa. Memang betul segala apa yang dikecapi sekarang adalah dari titik peluh sendiri. Berhabisan wang dan tenaga tetapi barang diingat tatkala hendak memulakan sesuatu itu akan keluarlah kerahan untuk melakukan majlis sembahyang sunat hajat dan sebagainya. Kerahan tenaga ini akan datang tanpa mengatakan "tidak" apatah lagi sekiranya arahan ini datang dari mulut orang tua walaupun terpaksa mengorbankan masa, wang dan tenaga. Di akhir solat hajat kesemuanya akan menadahkan tangan mengaminkan doa. Kita tidak tahu yang mengaminkan doa dari siapakah yang memakbulkan hajat itu tadi. Malangnya perkara ini tidak pernah dibincangkan walaupun orang tua sering berpesan mengenainya.
 
Apabila sudah berjaya dan hajat tadi dimaklbulkan Allah, mereka yang datang dari jauh dengan pengorbanan yang bukan sedikit nilainya tidak diberi sebarang tanda ingatan. Tanda ingatan sebagai adik beradik. Tidak semestinya berbentuk harta seperti menghadiahkan kereta BMW seorang satu atau pun rumah bungalow. Paling tidak pun berkongsi sedikit sebanyak hasil yang diperolehi. Pernah juga berlaku selepas bersusah payah berperang dan berdoa, tiada langsung minuman dan makanan disediakan hanya sebungkus rokok. Jadi dalam hal sedemikian siapa yang sepatutnya layak mengeluarkan kata-kata "penatlah hendak jaga adik beradik".
 
Inilah di antara perkara yang kadang-kadang kita lupa atau sengaja lupa. Kita ingat apabila kita telah berjaya, semuanya adalah datang dari usaha kita sendiri. Kita lupa pada doa-doa orang disekeliling kita. Semasa susah kita mencari adik beradik, apabila sudah senang untuk bertanya kabar pun tidak mampu dilakukan.
 
Ada juga yang berkroni dan memilih siapa yang sepatutnya menjadi adik beradik. Kemana sahaja pergi, berkronilah mereka. Lagi sekali apabila dilanda masalah, yang tidak berkroni inilah yang menjadi sasaran tempat meluahkan seribu satu perasaan.
 
Aku teringat kepada satu pesanan dari orang tua "Duduk sama rendah, diri sama tinggi. Walaupun sudah mencapai tahap sama tetapi jangan sesekali lupa kepada orang yang lebih tua dari kita". Dalam hal ini pun ada juga berlaku yang muda mengaku lebih tua dari yang tua. Kerana apa ya? Kerana hendak menjadi Ketua. Maharaja Lawak sungguh.
 
Bagaimana pula bagi adik beradik yang berjanji untuk menolong adik beradik yang sedang dalam kesusahan? Semasa berjanji seolah-olah sudah macam kun fa yakun bunyinya dan diperbaharui setiap tahun. Malangnya sudah berlarutan untuk sekian lama segala yang dijanjikan tidak satu yang lekat. Bunyinya cukup gah tetapi sehingga kini pihak yang satu lagi terus dirundung malang dan kesusahan. Pengorbanan yang tidak sepatutnya berlaku di kala usia sebegini rupa. Inilah dikatakan adik beradik yang bukan sesusuan.
 
Teringat juga kata seseorang " Biarlah, kita tengokkan sahaja. Orang sedang kemaruk yang sedang popular dalam kalangan sejenis dengannya mana mungkin mengingatkan kita apatah lagi kita ini dia sudah tahu tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau dia mati esok-esok kita pergi ziarah, itu pun kalau kita tahu". Memang betul kata hamba Allah ini. Aku cukup bersetuju dengannya. 
 
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI. MAAF ZAHIR DAN BATHIN. SALAH SILAP HARAP DIMAAFKAN. MAKAN MINUM MOHON DIHALALKAN. INSYAALLAH SEGALA HUTANG AKAN DIJELASKAN.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...