Wednesday, August 21, 2013

DI SEBALIK MESIR OH! MESIR

"Wow! pagi-pagi lagi dah merenung jauh. Apa yang kau sedang fikirkan ni Lan?", Aku menyergah kawan sejawatku yang sedang mengelamun jauh itu.

"Tak, aku sebenarnya sedang memikirkan saudara-saudara seagama dengan kita yang setiap masa menjadi sasaran golongan yang anti kepada kita. Sekarang ini di Mesir pulak. Sampai bila akan berakhirnya penyeksaan ini", balas Lan sambil menghirup teh tarik yang berbuih itu.

"Allah Maha Mengetahui atas segala-galanya Lan. Bagi aku jawapannya mudah sahaja. selagi kita umat Islam tidak bersatu dan berdamai sesama sendiri secara mutlak, selagi itulah kita akan menjadi mangsa sasaran puak-puak ini", Aku menjawap persoalan kawan aku itu berdasarkan persepsi aku sendiri.

"Betul kata kau tapi aku tidak nampak apa yang dikatakan bersatu itu. Yang aku nampak perpecahan sahaja. Masing-masing tidak mahu tunduk atau mendengar pandangan orang lain"

"Alah...mudah aje Lan. Cara yang paling mudah dan kalau kita masih ingat Rasullullah SAW sebelum baginda wafat. Baginda berpesan kepada umatnya sekiranya ada permasalahan sesama kita atau puak yang anti kepada kita maka kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah. Di situlah tempat rujukan yang sehabis baik yang ditinggalkan Baginda", bagaikan Ustaz cara aku berkata.

"Aku bersetuju dengan apa yang kau kata tetapi apa yang kau suarakan tadi telah berkali-kali disebut oleh ulamak-ulamak pakar. Malangnya tidak ada siapa yang mendengar dan kalau ada yang dengar pun hanya sekadar mendengar ajelah" getus Lan dengan dahi yang berkerut.

"Sebenar demo-demo ni tidak faham Al-Quran itu apa sebenarnya. Boleh dikatakan keseluruhan orang Islam khususnya di negara kita sendiri melihat Al-Quran itu hanya untuk dibaca semata-mata. Terlalu sedikit yang berusaha untuk mencari isi dalam kandungan Al-Quran. Minta maaf Lan kawe nak sambung lagi. Sebenarnya Al-Quran ini ialah penjelasan tentang alam kehidupan yang mencakupi keseluruhan alam ciptaanNya baik alam nyata atau tidak nyata, usul asal alam sedari sebelum ada sehingga terujudnya ada. Ia umpama satu perjalanan yang bermula dengan satu titik dan berakhir dengan satu titik. Dalam perjalanan itu juga terkandung proses-prosesnya. Apabila menyebut proses sudah pasti akan adanya tatacara, pros and con, objektif, matlamat, tunjuk ajar dan sebagainya seperti mana yang kita sedang lalui sekarang. Kesemuanya ini adalah untuk menceritakan apa? Kesemuanya ini adalah untuk menceritakan tentang diri kita Lan. Diri Lan, diri itu sahaja", aku berhujah dengan mengeluarkan apa yang aku faham tentang Al-Quran walau pun bunyinya agak pelik.

"Wah! hebat kau ni. Aku tak sangka orang seni macam kau boleh cakap sebegini rupa. Mana kau dapat semuanya ni?", tanya Lan dengan nada terkejut.

"Al-Quran itu ibu segala-galanya Lan. Kalau kita rajin, kita boleh menggali Al-Quran sedalam-dalamnya dan sudah pasti kita akan menemui pelbagai benda yang tidak terlintas dengan akal diri kita yang kotor ini Lan. Aku pernah terdengar puak-puak Yahudi Israel ini mereka menugaskan sekumpulan dari mereka kerjanya hanyalah untuk mengkaji dan memahami isi kandungan Al-Quran sehingga terciptanya pelbagai benda yang tidak pernah terfikir oleh kita orang Islam sendiri. Allah memberi keizinan kepada mereka. Keizinan itu hanya untuk mereka kecapi sekadar di dunia ini sahajalah. Bukankah Allah telah berfirman bahawa dunia sedia ada ini merupakan shurga kepada mereka dan neraka bagi kita. Kat sini pun kita perlu faham betul-betul, bukan faham sekadar di permukaan sahaja. Bukan kerja mudah untuk memahami AL-Quran ni Lan. Kita perlu ada ilmunya", Aku menjawab pertanyaan Lan dengan agak panjang juga.

"Jadi bagaimana kaitannya dengan apa yang berlaku terhadap saudara-saudara Islam di seluruh dunia dan dalam hal ini di Mesir?", tanya Lan untuk menguji minda aku.

"Bukan setakat di Mesir sahaja Lan, di Afghanistan, Palestin, Sudan, Syria, Indonesia hatta di di negara kita sendiri Malaysia. Jangan sesekali kau lupa itu. Apabila kita sebut pasal bersatu bukannya bersatu seperti Gabungan negara-negara Islam yang dipanggil OIC. Yang ini memang tidak boleh pakai sebab OIC ini sengaja dicipta hasil perancangan pihak Yahudi untuk menyedapkan hati negara-negara Islam sahaja"

"Jadi bersatu yang bagaimana yang engkau maksudkan?", tanya Lan lagi kerana dia masih belum jelas dengan apa yang aku katakan tadi.

"Aku teringat kepada satu doa yang menyebut 'Ya Allah satukanlah hati-hati kami Ya Allah dalam mendapat keredhaanMu Ya Allah'. Satukanlah hati-hati kami. Hati-hati kami ini adalah hati yang macamana? Hati ini adalah hati yang benar-benar bersih tanpa setitik kekotoran. Kalau ada hatta setitik seperti satu titik dari mata pen, masih dikira kotor lagi. Tapi Allah Dia Maha Penyayang, walau pun ada setitik kekotoran sekalipun Dia masih membenarkan kita bermohon kepadaNya. Boleh atau tidak itu adalah Hak Dia. Untuk membersihkan hati, kita perlu ada kesedaran. Kesedaran yang kita mengetahui tentang maksud doa itu. Malangnya ada dalam kalangan kita, beria-ia mengaminkan doa tersebut tetapi kerja buat selepas itu tidak sepadan dengan apa yang diaminkan. Itu menunjukkan hati kita masih kotor dan 'satu hati-hati kami' masih belum wujud. Kalau di peringkat hati pun masih belum bersatu, bagaimana untuk kita bersatu secara fizikal dan mental dengan sesama saudara Islam kita. Sama juga apabila kita membicarakan soal fahaman. Fahaman nasionalismelah, Islamiklah dan pelbagai lagi. Kesemuanya ini akan berbalik kepada soal hati tadi"

"Huuh! tinggi ilmu kau sehingga tidak pernah terfikir aku tentang apa yang kau cakap ini", nada Lan penuh keyakinan.

"Tidak timbul soal tinggi atau rendah Lan. Usia kita ni pun dah menuju senja kata orang. Jadi selagi kita diberikan izin menggunakan nafasNya, sama-samalah kita mencari dan mendalaminya dengan harapan dapat kita gunakan sama ada untuk diri kita selain disampaikan kepada anak-anak cucu kita atau kepada generasi akan datang yang akan meneruskan kelangsungan kehidupan alam ini. Kita kongsilah ilmu-ilmu yang Allah salurkan kepada kita untuk difahami secara mutlak oleh generasi akan datang ini. Ilmu Allah ni Lan tidak akan habis sehingga bila-bila...infiniti", balas aku lagi.

"Kalaulah kita dapat bersatu sepertimana yang kau sebutkan tadi, aku pasti mereka tidak berani hendak menganyang kita sesuka hati mereka. Dengan lain perkataan gerun kepada kita", bersemangat sekali nada yang keluar dari kawan aku Lan.

"Bukan gerun kepada kita Lan tetapi gerun beserta malu kepada Allah", jawapku ringkas mengahkiri perbualan pada pagi itu.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...