Monday, October 15, 2012

KEJANTANAN BERPOLITIK

Semakin menghampiri musim pilihanraya, semakin tenat aku perhatikan desakan, keluhan dan pelbagai ketidakpuasan hati dalam senario politik negara. Di dada akhbar, blog, twitter dan pelbagai media maya lain, boleh dikatakan saban saat, minit dan waktu rata-rata berbahas dalam bahasa yang sama iaitu laras bahasa politik. Adab sopan entah ke mana. Luahan rasa diluahkan tanpa memikirkan implikasinya. Hatta, kanak-kanak sekolah sudah pandai membuat penilaian dalam laras bahasa mereka mengenai politik yang semakin bercelaru ini.
 
Pantang satu statement terkeluar dari mulut seseorang ahli politik, maka akan dijadikan isu untuk membalun seseorang. Bagi wartawan, inilah akan disensasikan melalui akhbar masing-masing. Kadang-kadang terasa muak untuk menatap berita-berita sebegini rupa. Tulisan dalam akhbar sepatutnya mencerdikkan si pembaca tetapi ini tidak berlaku di negara kita. Akhbar prokerajaan akan membantai akhbar propembangkang dan begitulah sebaliknya. Kita dapat melihat dengan jelas dalam zaman sekarang bahawa perbahasan itu bukanlah secara berdepan di antara si A dan si B. Kini perbahasan boleh dilakukan melalui media massa. Tidak payah memerlukan orang secara live.
 
Maka dalam hal sebegini rupa, setiap serangan dan jawapan balik kesemuanya boleh dikemukakan melalui media massa. Berbeza dengan negara-negara maju di dunia di mana perbahasan dalam kalangan ahli politik adalah secara berdepan dan dipertontonkan. Mungkin cara ini tidak sesuai dipraktikkan di negara kita sebabnya kita masih lagi jauh ke belakang dalam banyak aspek. Politik kita hanya berani di sebalik media massa, dayus secara berdepan. Walhal kalau di sekolah, murid-murid didedahkan dengan perbahasan secara berdepan iaitu ada penyokong dan pembangkang. Bahkan di peringkat pengajian tinggi juga pendedahan ini dilakukan secara berdepan. Realitinya di luar tidak sebegitu.
 
Dalam sisten pendidikan sekarang aspek kepimpinan diberi tumpuan utama dengan kononnya memupuk kepimpinan dalam kalangan murid seawal persekolahan mereka. Malangnya kepimpinan yang diterapkan dalam kalangan murid tidak dipertontonkan satu model yang baik dalam kalangan kepimpinan negara sedia ada.
 
Ada beberapa orang pemimpin kerajaan yang cuba berhujah dalam konteks politik yang benar tetapi mendapat terjahan dari kalangan rakan politik sendiri. Yang lebih mendukacitakan beliau mendapat desakan yang tidak masuk akal oleh beberapa ahli politi yang sudah tidak diterima masyarakat dan beberapa orang lain yang sedang cuba hendak menonjolkan diri dalam politik. Inilah antara contoh yang diperlihatkan kepada murid-murid sekolah tadi.
 
Itulah sebabnya aku mengatakan bahawa, politik kita sebenarnya bukannya maju ke hadapan mengikut perkembangan zaman sebaliknya kita semakin mundur ke belakang. Cara perbahasan juga sudah lapuk. Mengugut dan mendesak seseorang meletak jawatan dan sebagainya adalah merupakan perbahasan yang amat novis bagi seseorang yang mengaku dirinya terlebih dahulu makan garam.
 
Di manakah kejantanan orang berpolitik? Maksud aku merujuk kepada senario politik tanah air. Di negara maju, apabila mereka berdebat dan berbahas, isu yang dibangkitkan adalah untuk kelangsungan rakyat negara mereka dalam aspek keselesaan yang menjadi keutamaan. Mereka tidak membabilaknatkan seseorang yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka tidak membunuh karier politik pihak lawan. Masing-masing dalam berhujah akan cuba menawarkan pelbagai formula untuk kesejahteraan rakyat dan negara mereka. Inilah yang dikatakan profesional dan briliant and smart politician.
 
Sekadar berkongsi, itu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...