Tiadalah dapat digambarkan betapa gembiranya aku apabila Ayahandaku bersama adik beradik akan datang ke Kuala Lumpur sempena Majlis Awal Muharram pada awal tahun 2012 yang lalu. Kebetulan pada awal minggu tersebut aku ditugaskan ke Pulau Pinang dan hanya akan kembali pada penghujung minggu tersebut. Aku tidak sabar-sabar untuk menghabiskan tugas yang telah diprogram sebegitu rupa untuk berjumpa dengan keluarga kesayanganku ini.
Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada hari itu tidak begitu menyenangkan kerana boleh dikatakan sepanjang jalanan tersebut hujan telah turun dengan agak kasar. Aku berhenti sebentar di Tapah untuk menunaikan Solat Asar. Hujan sudah agak reda. Apabila menghampiri Kuala Lumpur, hujan mula turun dengan cukup lebat sekali sehingga berlaku kesesakan lalu lintas menuju ke Tol Damansara. Agak lama juga tersangkut dalam situasi itu. Badan aku memang cukup letih dan mata pulak memang terasa cukup mengantuk. Itu tidak aku hiraukan kerana aku tidak sabar-sabar untuk bersama dengan keluarga yang datang dari jauh.
Aku difahamkan mereka akan berada di pejabat baru adik bongsu kami selepas Maghrib untuk majlis solat hajat sempena pembukaan pejabat itu. Memandangkan waktu itu sudah menjelang maghrib, maka aku mengambil keputusan untuk tidak terus pulang ke rumah terlebih dahulu sebaliknya aku terus ke pejabat baru adik bongsu kami itu. Agak tinggi juga anak tangga yang perlu aku daki untuk ke tingkat tiga bangunan tersebut yang terletak di Ampang Point berhadapan Hotel De Palma Ampang. Kalau datang dari Pantai Timur kita akan menyusuri Hospital Swasta Ampang Puteri.
Apabila aku sampai di pejabat berkenaan, aku lihat mereka sedang menunaikan solat maghrib. Agak ramai juga sehingga ke muka pintu masuk pejabat. Memandangkan ruang untuk menyelit tidak ada, maka aku pun tunggu seketika sambil tercunggap-cunggap penat mendaki tangga itu.
Aku segera ke bilik air untuk membersihkan diri dengan ala kadar, lantas menunaikan solat Maghrib berseorangan. Agak menarik juga set-up pejabat baru ini dan aku juga adalah sedikit sebanyak memberi pandangan sebelum renovation dilakukan sebelum ini. Walaupun saranan aku tidak diberi perhatian, aku sedikit pun tidak berasa hati kerana yang lebih berhak adalah tuan punya pejabat ini. Kita boleh mencadangkan apa sahaja, yang akan berada di dalam pejabat adalah tuan dia. Kalau dia tidak mahu ikut, maka apa hak kita hendak pertikaikan. Malangnya ada juga terbunyi-bunyi suara pahat. Lucu juga mengenangkannya.
Aku kemudiannya diajak oleh adik bongsu kami bersama dengan rakan kongsi beliau yang juga aku kenali sebelum ini untuk makan malam di restoran mamak bahagian bawah pejabat. Semasa kami sedang makan, rombongan keluarga kami pun tiba. Aku bangun untuk melihat mereka. Disebabkan majlis solat hojat itu sudah hendak dimulakan, aku terpaksa bergegas naik ke atas walhal makanan aku belum habis lagi. Aku sebenarnya memang terlalu letih selepas hampir setengah hari berada di dalam kereta pulang dari Pulau Pinang. Demi kasih sayang terhadap adik beradik baik yang datang dari jauh mahu pun yang berada di Kuala Lumpur, segala kepenatan itu tidak terasa.
Selepas solat hajat selesai dilakukan, aku terus bangun untuk berjumpa dengan adik beradik yang datang dari jauh untuk bersalaman dan berbual-bual. Apabila aku menghulurkan salam pada salah seorang dari mereka, aku dapati dia cuma menghulurkan hujung jari sahaja bukan pautan salam amalan tetap kami. Aku jadi terkedu sebentar dengan situasi itu. Malahan adik beradik yang lain turut tergaman dengan perlakuan itu. Pada mulanya aku cuma buat seperti biasa sahaja. Tidak terfikir langsung hal-hal negatif.
Semakin ketara keadaan ini apabila kami hendak turun menjamu selera di restoren mamak di bawah. Aku berada di hujung tangga untuk menunggu yang lain turun dan aku nampak adik tua yang hanya bersalam hujung jari dengan aku sedang turun. Peliknya dia langsung tidak memandang ke arah aku sebaliknya memandang ke atas. Aku berharap apabila dia turun aku bolehlah berjalan sekali dengannya. Titik tolak dari situ, aku mula terfikir-fikir apa yang tidak kena. Lebih mengecewakan lagi semasa makan dia duduk menjauhi daripada aku.
Pada malam berikutnya, majlis awal muharram telah diadakan di kediaman mewah salah seorang ahli keluarga di Cyberjaya. Pada mulanya aku ingatkan tidak mahu menghadirinya tetapi adik bongsu kami beria-ia benar mengajak aku kerana ini adalah satu majlis besar bersama ahli keluarga. Aku mengagahkan diri ke sana walaupun di kepala aku asyik memikirkan peristiwa yang berlaku pada malam sebelumnya. Aku masih menafikan akan peristiwa tersebut dan sentiasa menggangapnya sebagai perkara biasa.
Malangnya susulan dari peristiwa itu berterusan sehingga ke majlis awal muharram ini sehinggakan semasa menikmati juadah nasi beriani dan pelbagai juadah yang hebat-hebat, beliau tidak duduk makan bersama ahli keluarga malahan mencari sudut lain. Semasa duduk sambil minum nescafe panas, aku telah bangun dan menuangkan air tambahan kepada ahli keluarga yang lain dan apabila tiba kepada beliau dia cuma menggunakan isyarat tangan tidak mahu cawannya ditambah.
Apabila tamat majlis sebelum pulang, kami saling bersalaman dan apabila aku hendak bersalaman dengan beliau, dia langsung tidak melayan aku. Ini membuat aku semakin tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang telah berlaku. Lantas aku meninggalkan majlis dan menuju ke SUV Lexus kepunyaan adik bongsu keluarga ini.
Dalam perjalanan pulang aku bertanya kepada adik bongsu aku itu, apa yang sudah berlaku sehingga sedemikian rupa aku dimalukan di hadapan ahli keluarga yang lain. Dia sendiri tidak dapat memberi jawapan tepat kepada aku kerana dia sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Setiba di rumah aku telah menalipun salah seorang dari ahli keluarga untuk bertanyakan hal yang sama. Dia sendiri menjadi bingung atas peristiwa yang berlaku dan meminta aku melupakannya buat seketika.
Mana mungkin aku boleh melupakan hal ini kerana di antara kesemua adik beradik, dialah yang paling aku hormati kerana umur dan ilmu yang terdapat pada dirinya. Peristiwa ini membuat aku menjadi serba tidak kena. Sebelum ini aku sering menalipun dan bertanya kabar, malahan dia juga melakukan perkara yang sama. Hubungi kami sebagai adik beradik yang lebih tua cukup akrab. Setiap kali aku pulang ke Kota Bharu, orang pertama selain daripada ayahanda yang sering aku hubungi adalah beliau. Kami pasti akan berjumpa di Restoren Kopitiam sambil berbincang perkara berkaitan ilmu.
Lebih kurang sebulan selepas itu, aku telah pulang ke Kota Bharu. Pada satu malam Jumaat aku bersama dengan putera pertama aku telah pergi ke rumah Ayahanda kerana putera aku ingin sangat hendak berjumpa dengan Datuknya. Semasa kami sedang berbual-bual tiba-tiba muncul adik bersama dengan keluarganya. Seperti biasa aku yang memang sukakan anak-anak kecil terus bermain dengan anak bongsu beliau. Agak lama juga barulah dia naik ke atas rumah. Aku duduk bersebelahan ayahanda pada masa itu. Dia terus menuju ke arah ayahanda untuk bersalaman. Sementara aku bersedia untuk menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi dia terus berjalan menuju ke bilik ruangan TV. Pada masa yang bersama putera aku sudah pun bangun menghulurkan salam sebagai tanda hormat kepada bapa saudara tua, malangnya dia langsung tidak memandang ke arah putera aku apatah lagi bersalaman.
Aku menjadi tergamam dan teramat-amat malu dengan perbuatan ini. Malahan ayahanda yang duduk di sebelah aku terkelu lidah tanpa bersuara untuk beberapa ketika. Salah seorang adik bongsu kami yang turut berada di situ juga tidak terkata. Aku sudah bercadang untuk meninggalkan ayahanda tetapi disebabkan program bersama ayahanda sudah diatur sebegitu rupa, maka aku terpaksa menebalkan muka yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata.
Perkara yang sama juga berlaku apabila beliau hendak pulang. Anak-anak beliau kesemuanya bersalam dengan aku dan yang lain tetapi apabila tiba giliran dia, dia hanya bersalam dengan ayahanda dan terus menuju ke pintu. Kami bertiga hanya mampu memandang sahaja tingkahlaku ini. Aku terasa amat malu terhadap putera aku kerana sebelum ini perkara seumpama ini tidak pernah berlaku malahan aku boleh katakan ianya tidak akan hatta tidak mungkin berlaku kerana dia merupakan orang yang aku segani.
Pada malam berikutnya, aku telah bertandang lagi di rumah ayahanda berseorangan. Pada masa cuma kami bertiga sahaja iaitu aku, ayahanda dan mama. Ayahanda telah memecah kesunyian perbualan dengan bertanya kepada aku apa yang sudah berlaku diantara aku dan adik kepada mama itu. Aku berterus terang dengan ayahanda bahawa aku sendiri sedang mencari punca kepada episod malang ini. Ayahanda dengan nada yang teramat kecewa dan kesal mengatakan perkara sebegini rupa tidak sepatutnya terjadi di atas rumah beliau. Yang amat dikesalkan adalah apabila putera aku menghulurkan tangan untuk bersalaman, dia langsung tidak memandangkan mukanya lalu terus berjalan. Inilah yang tidak boleh diterima oleh ayahanda terhadap apa yang berlaku kepada cucunya sehingga ke sa'at ini.
Dalam mencari kebenaran ini, aku telah menitiskan air mata di hadapan ayahanda dan mama. Memang sukar untuk menitiskan air mata tetapi episod malang ini benar-benar menyentuh emosi aku. Nada kekesalan terus menerus keluar dari mulut ayahanda. Malahan mata mama turut digenangi air mata. Akhirnya ayahanda memberitahu aku supaya dibiarkan hal itu. Aku telah memberitahu Ayahanda sekiranya perkara ini berpunca dari aku, aku bersedia untuk memohon maaf. Isunya ialah aku sendiri tidak tahu apakah sebenarnya yang membolehkan beliau tergamak melakukan perbuatan yang jauh dari sebenar diri beliau.
Lama selepas peristiwa itu, akhirnya aku dapat mengenal pasti punca mengapa tergamak dia menunjukkan sikap sebegitu rupa. Aku sendiri sudah tidak mengingati bila berlakunya peristiwa tersebut. Ianya difahamkan berlaku semasa kami bersembang-sembang dan seperti biasa perkataan gurauan pasti terselit. Aku diberitahu apabila dia meminta salinan dokumen perbincangan ilmu daripada aku, aku mengatakan lain kali salinlah sendiri. Lepas itu aku diberitahu telah mengeluarkan perkataan padan muka kepada beliau. Walhal semua tahu bahawa itu termasuk dalam perbualan dan gurauan.
Aku sendiri tidak menyangka bahawa perkataan itu diambil serius oleh beliau. Kalau hendak diungkit semula, banyak lagi kata-kata gurauan yang keluar dari mulut adik beradik lain. Kalau hendak diambil serius, banyak perkataan yang sebenarnya menyakitkan hati tetapi atas dasar perbualan dan gurauan, semuanya aku ketepikan. Kalau sudah begitu perangai adik beradik, kita terimalah seadanya. Mengapa apabila adik beradik lain bergurau lebih teruk dari itu, beliau boleh terima malahan menyokong dan ketawa? Mengapa selama ini aku juga berseloroh dan bergurau, dia juga boleh terima? Mengapa pulak dengan tiba-tiba perkataan padan muka yang aku sebut (entahlah aku sendiri pun tidak ingat bila masa aku sebutnya sebab itu cuma perbualan biasa) boleh menyebabkan dia memutuskan untuk bermusuh dengan aku malahan dengan keluarga aku sekali?
Semua orang boleh marah. Bukan hak kita untuk menyuruh orang tidak marah. Aku juga boleh marah tetapi kalau aku marah biarlah bertepatan dengan apa yang hendak dimarahkan. Kalau dengan ayat padan muka yang dikatakan aku melafazkannya dijadikan sebab kepada permusuhan bodoh ini, berbanding dengan ayat yang sama dilafazkan orang lain boleh diterima, maka aku rasakan mesti ada punca lain yang mungkin telah dipendamkannya sebegitu lama dan ayat itu hanya sebagai alasan untuk dijadikan penyebab.
Peristiwa yang sedang berlaku ini, sebenarnya agak sukar untuk diterima sekiranya seseorang itu masih waras apatah lagi ianya datang dari seorang yang begitu tinggi ilmunya. Yang bakal menjadi tempat rujukan dan penyelesaian masalah. Yang sudah dinobatkan tempat tahtanya. Yang menjadi harapan untuk generasi akan datang. Yang bakal menjadi legacy seterusnya.
Perlu ada noktah terhadap situasi yang tidak sihat ini. Kita pernah berada di dalam satu kesatuan yang cukup hebat sehingga terpancar cahaya kemenangan menyebabkan ramai yang mencemburui kita. Goyang kesatuan ini disebabkan isu ini maka yang lain akan turut bergoyang sama. Nah! lihatlah apa yang sedang berlaku sekarang. Apakah ini yang kita semua mahukan? Apakah ini hasilnya setelah berusaha dengan begitu lama dengan pelbagai halangan dan cabaran yang sama-sama kita harungi dan lepasi? Sampai bila?
Aku masih berharap agar sinar yang pernah dikecapi sebelum ini akan bersinar kembali. Apakah tidak terdetik nun di sudut hati tentang sa'at kegembiraan yang pernah kita lalui sebelum ini? Ketahui tidak kita bahawa keluarga kita sedang menjadi bahan ketawa orang lain seperti mana kita menonton Maharaja Lewak Mega.
Cuma aku berharap janganlah dipaculkan ayat-ayat begini secara berterusan dan tersembunyi......ahhhhh..!!..peduli apa aku!. Aku punya pasallah!.....pergi mapuhlah mu....menate mu ni....mu kata padae muka aku....sekarang..hah...padae mukamu lah...hahaha...baru tahu aku siapa....aku tuhae mu tau tak?.....
Demi menjaga ukhuwah pembentukan keluarga ini, sekiranya ayat-ayat di atas masih lagi hendak disebut dan ditujukan kepada aku, maka teruskanlah. Teruskanlah sekiranya boleh menyejukkan hati, melapangkan dada. Aku rela menerima cemuhan sebegitu rupa tetapi aku tidak rela kita berputus sebagai adik beradik. Sekiranya terdapat ahli keluarga yang tidak menghormati aku hatta membenci aku, aku sedia menerimanya. Untuk aku membenci kalian adalah jauh dan tidak sama sekali. Aku yakin kita semua boleh bertaut kembali sepertimana kiambang di permukaan air.
Insyaallah.
No comments:
Post a Comment