Saturday, May 12, 2012

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN UMNO KE 66

Aku tidak dapat menghadiri Majlis Ulangtahun UMNO ke 66 di Satadium Bukit Jalil malam ini kerana berjauhan dari tempat berkenaan. Walau bagaimana pun aku berkesempatan menonton siaran langsung perhimpunan tersebut melalui RTM sebentar tadi. Lautan merah dengan entah berapa sebenar jumlah ahli UMNO yang turut serta dalam majlis itu. Sebenarnya aku telah mendapat jemputan ke sana sejak awal minggu ini lagi. Aku sudah maklumkan Setiausaha Bahagian tempat aku bahawa aku tidak dapat hadir kerana aku berada di luar kawasan. Pagi tadi aku menerima mesej dari beliau mengatakan Ketua Bahagian mengarah semua ahli mesti hadir.

Dalam aku melihat suasana di Stadium Bukit Jalil dengan dipenuhi puluhan ribu ahli UMNO, aku nampak macam perhimpunan agung UMNO saje. Semuanya bersorak gembira dengan setiap laungan semangat kedua-dua pemimpin tertinggi parti. Begitu bersemangat sekali, bagai nak runtuh Stadium itu dibuatnya. Nasib baik struktur stadium Bukit Jalil mantap dan padu. Kalaulah buat di Stadium Terengganu (yang runtuh itu) semasa belum runtuh, entah berapa banyak ambulan kena angkut ahli-ahli UMNO ke hospital.

Aku tidak mahu komen tentang perhimpunan itu tetapi aku berasa cukup kuatir dan gerun dengan ucapan-ucapan oleh pemimpin parti. Apakah ini sebagai pembakar semangat atau sebaliknya. Aku lebih suka mendengar kata-kata memberitahu rakyat tentang apa yang UMNO dah buat daripada mengaitkan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan parti kita. Masalahnya ialah ahli UMNO memang sukakan nada begitu. Kalau tidak menghentam orang seolah-olah itu bukan imej UMNO. Ini menunjukkan bahawa masih tidak ada lagi perubahan dalam UMNO.

Aku lebih suka dalam majlis yang dikatakan MAHA hebat ini (gerun mendengarnya), pemimpin menasihatkan ahli UMNO tentang parti UMNO ini. Melihat kembali mengapa sebenarnya parti ini mula dijauhi rakyat dan bagaimana menanganinya serta apakah peranan setiap ahli UMNO dalam memantapkan lagi parti tertua ini. Ucapan Presiden UMNO walaupun berkobar-kobar penuh semangat tetapi mesejnya agak lemah. Ahli UMNO mesti berubah. Berubah dari perangai, fe'el, imej, peradaban dan tatasusila. Ini yang patut ditekankan pucuk kepimpinan parti. Dengan bahasa mudah ialah membuat refleksi kendiri atau muhassabah diri.

Dalam setiapkali perhimpunan sebegini rupa, semua yang hadir akan terjerit terlolong macam burung kakatua. Bila kena temuramah, semuanya akan bercakap dengan nada yang bersemangat dengan tersembur-sembur air liur. Janganlah silap tanya soalan sudah pasti kena penalti kick. Apabila tamat perhimpunan dan balik ke kandang masing-masing, semuanya akan ternganga dan terlopong mulut. Balik ke kandang semuanya tidur sebab kekenyangan yang amat sangat. Suruh buat kerja mesti ada upah dahulu baru boleh buat kerja. Memang sudah terlalu jauh pendekatan dalam kononnya memperjuangkan bangsa. Kalau perkara yang paling asas ini pun sudah berat punggong nak bergerak, entahlah.

Apa yang pasti baik setara mana pun kita kata tentang parti kita, rakyat Malaysia terutamanya orang melayu sudah beralih angin kepada yang lebih diyakini. Perkara ini berlaku secara terang-terangan di hadapan kita. Mengapa kita masih berdegil tidak memahami mesej yang jelas lagi bersuluh dalam kalangan rakyat Malaysia. Taburlah banyak mana sekalipun duit kepada rakyat, yang pasti mereka akan ambil. Yang menjadi tetapi ialah adakah mereka bersama kita. Inilah yang perlu kita selami, dengar dan hayati.

Sekarang kita dipertontonkan dengan pelbagai gelombang warna, Merah, kuning, hijau, biru. Gelombang sebenar yang sedang menanti adalah gelombang gabungan merah, putih, biru dan kuning. Inilah gelombang yang akan menjadi penentu kelangsungan parti kita.

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN UMNO KE 66. 

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...