Thursday, November 24, 2011

PERJUANGAN BANGSA - DIKEKALKAN, DIBUAT PENAMBAHBAIKAN ATAU ADAKAN YANG BARU?

Aku berkesempatan menonton siaran temubual dengan mantan Presiden UMNO walau pun sudah jauh malam. Apa yang beliau sampaikan sebenarnya sudah lama menjadi tajuk perbualan dalam kalangan ahli dan yang bukan ahli. Parti sudah tua maka sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin yang sudah juga tua supaya berundur untuk memberi laluan kepada generasi muda bagi menjadikan parti ini muda semula. Bolehkah perkara ini menjadi realiti? Jawapannya juga sudah diberikan mantan Presiden.


Selagi keduniaan yang dikejar, tidak mungkin ada pemimpin yang sanggup mengundurkan diri. Asas perjuangan yang menjadi tonggak kepada kewujudan parti sudah tidak diberi perhatian. Segala kata-kata yang didokumenkan hanya menjadi retorik semata-mata. Bagaimana mungkin hendak mengembalikan kecemerlangan parti seperti sebelum ini. Bagaimana hendak menarik minat dan sokongan khususnya generasi muda dalam meneruskan kelangsungan parti. Sukar adalah jawapannya.


Ahli parti diminta membuat pengorbanan tetapi pucuk kepimpinan langsung tidak mahu menunjukkan pengorbanan. Kemaruk kepada perjuangan peribadi semakin menjadi-jadi. Tidak hairanlah kalau ada yang mengatakan sekiranya hendakkan kemewahan dan keduniaan, jadilah ahli parti ini. Kata-kata ini memang memedihkan telinga tetapi apakah daya yang perlu dilakukan. Cakaplah sebanyak mana sekalipun, isu ini akan terus menjadi isu.


Parti yang sudah tua ini perlu dipimpin generasi muda dengan idea-idea baru. Pasukan pelapis sedia ada langsung tidak menampakkan ciri-ciri kepimpinan seperti yang dipusakai kepimpinan terdahulu. Pasukan pelapis ini juga perlu diketepikan. Peranan mereka apakah sebenarnya. Pelbagai tohmahan yang dilemparkan langsung tidak diberi respon yang profesional. Peranan mereka asyik mencabar dan mencabar orang lain. Sepatutnya seperti kata mantan Presiden, mereka perlu memberi penjelasan sejelas-jelas mungkin terhadap tohmahan yang dilontarkan itu.


Kesilapan paling besar dalam membicarakan hal ini ialah peran contohan (role model) yang ditunjukkan kepimpinan yang ada. Tidak beradab, kurang ajar, tidak profesional (antaranya) inilah yang dipaparkan kepada generasi muda. Sikap-sikap seperti inilah yang menjadi ikutan pelapis sedia ada. Ini belum mengambilkira aspek ketahanan diri lagi. Akhirnya yang terlahir adalah barisan pelapis yang lemah dan lesu. Perjuangan bangsa dikesampingkan terus menerus. Mengejar kesenangan diri menjadi perjuangan hakiki yang bertopengkan perjuangan bangsa.


Dalam setiap Perhimpunan Agong Parti, jurucakap-jurucakap (meminjam kata-kata mantan Presiden) bercakap, bermadah, berpantun berapi-api seolah tidak berpijak di bumi yang nyata melaungkan isu berkaitan perjuangan dan nasib bangsa. Malahan amanat para pemimpin tertinggi tidak kurang hebatnya. Sebaik sahaja habis perhimpunan mewah ini, di manakah tindakan susulan yang perlu diambil tindakan sewajarnya? Panas hanya beberapa hari selepas tamat terus menjadi sejuk sesejuk-sejuknya malahan terus membeku.


Bangsa Melayu telah berpecah kepada tiga kelompok utama. Pelbagai kelompok lagi tumbuh selepas ini. Akibat dari pepecahan ini, kekuatan bangsa melayu sudah terhakis. Semua menuduh parti kita sebagai penyebabnya. Kalau dulu kita pernah terdengar bangsa melayu menjadi pengemis di negara sendiri, kini kenyataan itu sudah menunjukkan realitinya. Kita menjadi pengemis dan peminta sedekah kepada bangsa minoriti. Siapakah yang menjadi tonggak pemegang utama ekonomi negara?. Di manakah kesedaran kita?. Bukannya kita tidak sedar. Kita sengaja atau pura-pura tidak sedar.


Inilah antara kekecewaan yang sering kedengaran di telinga dari pelbagai kelompok masyarakat melayu. Kemampuan adalah amat terbatas dan yang mampu dilakukan adalah dengan penjelasan akan matlamat perjuangan yang merujuk kepada perjuangan asal penubuhan parti. Sejarah tetap sama walau pun zamannya berbeza. Generasi muda perlu disedarkan dan dididik semula dengan merujuk kepada sejarah itu.


Apakah asas perjuangan parti yang diwujudkan dahulu boleh diteruskan, dibuat penambahbaikan atau kita perlu mewujudkan asas perjuangan berbentuk lain?. Apakah asas perjuangan bangsa boleh diterima lagi pada masa kini atau perlukah kita menukarkan kepada asas perjuangan yang lebih besar iaitu Islam yang kini menjadi medan perjuangan yang terus menerus dibicarakan generasi sekarang. Oleh yang demikian, kalau kita masih menyayangi bangsa kita, maka kita perlu reviu semula perjuangan kita sejajar dengan dengan matlamat beserta panduan yang telah dibekalkan kepada kita sejak berkurun lamanya.


Bangsa lain yang bukan Islam sudah lama menggunakan panduan percuma ini dan mereka menjadi maju, boleh dikatakan di dalam semua bidang. Jadi, mengapa kita tidak mahu menggunakannya. Sebagai umat Islam, sudah pasti kita mempunyai kelebihan. Apa yang perlu kita lakukan adalah dengan menyeimbangkannya dan kita sebenarnya boleh menjadi lebih maju daripada mereka. YAKINLAH.


Tuesday, November 22, 2011

SUKAN ADALAH SUKAN, POLITIK ADALAH POLITIK

Malaysia berjaya mengekalkan pingat emas dalam bola sepak Sukan SEA di Indonesia. Tahniah atas kejayaan tersebut apatah lagi saingan akhir itu menemukan dua gergasi bola sepak peringkat Asia Tenggara. Memang tidak dinafikan kedua-dua gergasi ini hanya menyerlah di peringkat ini sahaja dan masih jauh lagi untuk menjadi gergasi Asia sebenar berbanding dengan Jepun, China, Korea dan negara Asia Tengah.


Dalam pertandingan yang disaksikan jutaan manusia seluruh Asia Tenggara malahan mungkin seluruh dunia, kita dipertontonkan dengan gelagat penyokong Indonesia yang cukup mengecewakan. Di manakah dikatakan semangat kesukanan? Setiap kali pertemuan kedua-dua negara ini dalam pertandingan sukan, gelagat yang meloyakan dari penyokong Indonesia memang tidak dapat dielakkan. Di manakah kesilapannya? Adakah terdapatnya faktor lain atau apakah sebenarnya? Dakwaan paling mudah dalam menilai perkara ini adalah kepincangan pihak penganjur dan tuan rumah Sukan SEA kali ini.


Dalam meraikan kemenangan yang agak berprestij ini, terdengar pula suara yang tidak berapa enak diperdengarkan. Satu kenyataan dari mulut orang politik Malaysia mengatakan punca kelakuan tidak sopan yang ditunjukkan oleh penyokong Indonesia adalah disebabkan peranan parti pembangkang atau Pakatan Pembangkang Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri. Perkara ini katakan telah menular dalam rakyat Indonesia hingga mereka dilihat amat membenci kepada tampuk pemerintahan Malaysia.


Mengapa cuba dikaitkan politik dalam negara dengan Sukan SEA ini? Ini adalah satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin muda negara. Bukankah kenyataan ini akan mengundang banyak lagi masalah apatah lagi dalam usaha kerajaan untuk meraih sokongan rakyat yang semakin meruncing dalam PRU13 nanti. Mengapakah kita terus menerus memberi peluru kepada pihak pembangkang?


Di manakah profesionalnya kita? Mengapa kita perlu mencetuskan isu ini? Apakah kita masih tidak membuka mata dan telinga mengenai isu yang kita sendiri ciptakan dan implikasinya kepada kita? Pihak mereka dengan begitu cepat sekali mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pasukan Malaysia yang berjaya mengekalkan kecemerlangan. Malangnya di pihak kita tanpa menggunakan kepala otak mengatakan perkara yang tidak sepatutnya.


Pergolakan dalam parti masih tidak reda sehinggakan pemimpin tertinggi juga mengatakan demikian. Kita sepatutnya memberi fokus untuk membetulkan keadaan dalam parti bukannya asyik mengaitkan dengan pihak lain. Rakyat semakin menjauhi parti kita. Kalau kita menyusur berita-berita dalam alam maya ini, boleh dikatakan setiap hari mereka menghentam kita dengan pelbagai perkataan yang cukup kurang sopan. Isu inilah yang perlu kita tangani.


Dulu kita disukai dan kita cukup popular di mata rakyat. Sekarang apa sahaja yang kita lakukan, kesemuanya mendapat pingat cemuhan. Kita sebenarnya masih mempunyai ruang untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita. Caranya ialah melakukan pengorbanan. Beranikah dalam kalangan kita melakukan pengorbanan iaitu duduk sama rendah diri sama tinggi dengan rakyat. Beranikah kita mengorbankan kesenangan dalam dunia penuh kemewahan dengan kesenangan yang sederhana dalam dunia kesengsaraan dan keresahan rakyat?. Sudah tentu sukar dan tidak mungkin untuk seseorang dengan apa yang diperolehi atau kecapi boleh melakukan tuntutan ini.


Malaysia menang pingat emas dalam acara bola sepak dengan mengalahkan Indonesia dengan sepakan penalti 4-3. Seluruh rakyat Malaysia bersorak menyambut kemenangan ini. Apakah seluruh rakyat Malaysia akan bersorak sebegitu rupa sekiranya dalam PRU13 nanti angka 4 diperolehi pihak mereka dan angka 3 diperolehi pihak kita?. Pada ketika itu siapa pula yang akan dikaitkan dan peranan siapa pula yang hendak kita tujukan.

Friday, October 14, 2011

SELAMAT BERADA DI ALAM PERSARAAN

Agak sukar juga hendak memilih rangkaian bahasa sebagai permula bicara dalam meluah isi rasa sempena mengenangi persaraan seorang sahabat dari perkhidmatan beliau dengan kerajaan. Walau pun tidak lama mengenali tuan punya badan tetapi sepanjang setahun bersama seolah-olah sudah mengenalinya begitu lama. Tanggal 10 hb Oktober 2011, maka genaplah tarikh perkhidmatan beliau bersama Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.


Walau pun beliau cuma berada di Jemaah Nazir ini hampir tiga tahun, keringat dan tenaga yang disumbangkan dalam ertikata menjalankan tugas sewajarnya diberi penghargaan dan pengiktirafan. Jemaah Nazir telah berjaya melaksanakan satu majlis dan diikuti dengan majlis lain sempena persaraan beliau.


Kesempatan mendengar ucapan beliau di dua majlis yang berbeza cukup teruja. Pendekatan ucapan yang berbeza dengan kandungan bicara yang tidak dijangka begitu menggamitkan suasana. Apa yang terpancul keluar dari mulut beliau adalah menggambarkan luahan isi hati yang penuh kejujuran dan keikhlasan.


Menyusuri detik bersama beliau di tempat bertugas, aku perhatikan beliau merupakan seorang yang cukup bersabar dalam menunaikan tangungjawab sebagai seorang Nazir Sekolah. Diherdik, ditengking malahan adakalanya menjadi bahan ketawa di kalangan Nazir, sedikit pun tidak dihiraukan. Malahan turut sama tertawa dengan apa yang berlaku. Apabila aku merenungi diri beliau, aku percaya jauh di sudut hatinya penuh dengan pelbagai torehan dan gurisan yang cuba diselindunginya. Entah kenapa aku merasa pilu dan sedih malahan sukar untuk aku perkatakan mengenai watak dan keperibadian salah seorang sahabat dan rakan seperjuanganku ini.


Aku sebenarnya cukup menyenangi kehadiran beliau sebagai rakan. Cara dia menangani herdikkan atau jeritan sang ketua, begitu bersahaja sekali. Katalah apa yang hendak dikata, makilah, herdik dan sebagainya, dia tetap bersahaja. Itulah kelebihannya sahabatku ini apabila berdepan dengan manusia-manusia berwajah hipokrit, sombong, bodoh lagi dungu. Hanya senyuman sahaja yang akan terukir apabila berada di dalam situasi sebegitu rupa.


Episod yang paling malang berlaku terhadap rakanku ini ialah apabila dia dicampakkan surat untuk bertukar atau bertugas di sekolah. Aku sendiri tidak mengerti mengapa perkara ini perlu berlaku di kala beliau cuma tinggal hampir sepuluh bulan sahaja lagi untuk bersara. Bahkan beliau ada memberitahu aku mengenai laporan prestasi yang cukup rendah diterimanya daripada sang ketuanya. Apakah ini merupakan konspirasi terhadap beliau atau apakah sebenarnya? Bagi aku kalau seseorang itu kurang pandai dalam melakukan sesuatu tugas maka adalah menjadi kewajipan mereka yang mengaku pandai untuk memberi bimbingan kepada yang kurang pandai ini. Malangnya itu tidak berlaku dan cara yang dikatakan mudah walhal menyusahkan banyak pihak adalah dengan menukarkannya ke tempat lain dan dalam hal ini balik ke sekolah.


Mereka yang bersekongkol dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini bukannya tidak tahu bahawa manusia yang diperlakukan sedemikian rupa ini mempunyai tanggungjawab yang cukup berat. Rakanku ini mempunyai seorang anak istimewa dan ini memerlukan penjagaan yang sistematik. Inilah yang membuatkan aku bahkan rakan-rakan yang sepemikiran denganku merasa cukup terkilan dan marah. Alhamdullillah dengan berkat kesungguhan, doa dan tunjuk ajar yang dianjurkan, pertukaran beliau dibatalkan. Semoga Allah membalas segala perbuatan mereka yang terlibat ini.


Maruah adalah merupakan satu perkara yang tidak boleh digurau-sendakan. Maruah ini adalah benteng diri kita. Menjatuhkan maruah malah mengaibkan maruah seseorang, Allah telah memberitahu kita hanya manusia sahaja yang boleh memaafkan perbuatan sesama manusia. Di sanalah nanti sebarang tuntutan dan dakwaan akan diperlihatkan kembali kepada kita.


Itulah sahabatku yang bernama Mohd Yusof Bin Maulud. Genap 56 tahun perkhidmatan beliau di alam pendidikan. Segala onak dan duri di alam yang lalu akan memberi kekuatan kepada beliau untuk terus berkhidmat kali ini kepada keluarga yang cukup disayanginya. Allah Maha Kaya, itulah yang sering aku beritahu kepada beliau setiap kali beliau menemui aku.


Kepada sahabatku Yusof, aku tetap akan mengenang budi baikmu sepanjang hayatku. Semoga persahabatan yang dibentuk walau pun hanya seketika, aku berharap agar ianya berkekalan. Semoga Allah mempermudahkan urusanmu di alam persaraan ini. Insyaallah.

Sunday, September 11, 2011

Ramadan dan Idil Fitri 2011

Pada tarikh ini sudah 12 hari kita berada di dalam bulan Idil Fitri. Ramadan yang lalu begitu besar ujiannya. Manakan tidak, inilah satu-satunya Ramadan yang mana aku tidak dapat bersama keluarga sepanjang tempoh tersebut. Tugas kepada Yang Menurut Perintah mana boleh diketepikan. Kalau tidak pergi maka akan didakwa sebagai tidak bertanggungjawab walhal perkara ini bukankah kita yang merancangkannya. Tarikh bukan tidak boleh dipinda cuma hendak atau tidak sahaja.


Sang Ketua dan Timbalan-timbalannya bukan hendak mengambil tahu hal ini sebab mereka adalah dari keturunan puak yang memang tidak suka beramadan bersama keluarga agaknya. Mereka terlalu amat suka berbuka di hotel-hotel di mana tempat mesyuarat diadakan. Bukan setakat malahan sewaktu berbuka puasa mereka inginkan diri mereka dirai umpama raja sehingga kita hendak berbuka pun tidak selesa. Dalam bulan Ramadan sepatutnya kita berlumba-lumba mencari pahala tetapi di sini sebaliknya. Ini belum lagi diarah untuk ke tempat jauh yang memerlukan perjalanan dengan kenderaan. Berbuka puasa dan bersahur mengikut apa yang ada.


Peliknya ada segelintir pengikut setia sanggup sepanjang ramadan untuk tidak bersama keluarga semata-mata untuk menuntut claim yang mencecah dua ke tiga ribu ringgit dengan alasan dungunya iaitu untuk duit raya. Tidak pernah aku jumpa ada manusia sebegini rupa sepanjang aku bekerja di tempat lain sebelum di tempat sedia ada sekarang. Malu dan memualkan dengan sikap dan perangai segelintir manusia ini.


Kini pengalaman itu sudah berlalu dan akan sentiasa terpahat di dalam diari hidup. Beberapa hari sebelum Raya aku telah mengambil cuti awal kerana hendak pulang beraya di kampung halaman bersama anak-anak dan keluarga. Hak untuk bercuti mana boleh dihalang tetapi hal ini ada berlaku di tempat aku berada sekarang. Kita hendak bercuti disingkatkan tetapi untuk yang menjadi ketua. dia hendak bercuti bersambung-sambung boleh pulak. Kalau tidak ada orang yang berani melawan maka akan tunduklah tetapi tidak bagi aku. Yang hak tetap yang berhak hatta ke mahkamah mana sekalipun aku sanggup hadapinya. Untuk diri yang berkuasa (kononnya...buat aku tergelak sahaja) apa yang mereka buat semuanya boleh. Mereka ini sebenarnya sudah jemu menjadi manusia. Jadi adalah sedikit malahan banyak aku rasa yang hendak menjadi tuhan pulak.


Menyambut Raya kali ini cukup berlainan sama sekali dengan yang sebelumnya. Aku dapat memberi ruang sepenuhnya kepada anak dan keluarga. Apa sahaja yang mereka inginkan akan aku sediakan malahan sepertimana menjadi kata-kata orang berkorban apa sahaja.


Pada raya kali ini aku diperlukan untuk menguruskan dua event yang besar iaitu majlis pertunangan dan perkahwinan. Pertunangan melibatkan anak saudara perempuan manakala perkahwinan melibatkan adik perempuan. Tarikh berlakunya ada serentak iaitu pada hari raya kelima. Terkejar-kejar aku dibuatnya ditambah lagi dengan salah seorang anakanda aku tiba-tiba tidak sehat. Begitu besar ujian yang aku lalui Idil Fitri kali ini. Alhamdullillah dalam terkejar-kejar aku berusaha juga untuk tidak menghampakan orang-orang yang mengharapkan aku. Terpulang kepada mereka untuk menilai apa yang aku lalui dan lakukan pada tarikh itu.


Pada malam raya pertama aku dan anakanda-anakanda aku mencurah kudrat membantu ibu mereka menyediakan juadah untuk pagi raya. Menu utama yang kami sediakan pada pagi raya itu adalah nasi empit, rendang ayam (lima ekor), lodeh, serunding dan sambal tumis. Dengan lain perkataan Menu Johor. Ramai sanak saudara yang datang ke rumah aku adalah untuk merasa kelainan menu yang terdapat di rumah aku berbanding dengan menu Kelantan yang tidak lepas dengan nasi dagang dan sataynya. Seperti biasa menu yang aku sediakan memanglah laris. Waktu petang boleh dikatakan sudah licin.


Raya kali ini aku cuma mengunjung lima buah rumah sahaja dan aku lebih suka duduk di rumah. Rumah para kawan langsung tidak aku kunjungi, sekadar menghantar ucapan sms sahaja. Terus terang aku katakan aku hendak banyakkan rehat di rumah kediamanku ini. Raya adalah sebulan jadi banyak lagi masa untuk mengunjungi rumah mereka.


Pada minggu hadapan aku akan pulang beraya di Johor pulak. Bertemu ayahanda tersayang bersama sanak saudara di sana adalah merupakan kewajipan. Walaupun tidak dapat beraya dengan mereka pada hari pertama, aku tetap akan menunaikan kewajipanku. Mereka sudah memahami situasi aku jadi tidak timbullah sebarang isu mengenainya.


Banyak peristiwa menarik kali ini. Ada yang lucu dan tidak kurang juga yang serious. Apa yang pasti ialah aku dapat memberi sumbangan kepada anak-anak, isteri dan keluarga dalam bentuk benda dan emosi. Aku tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka, cukuplah sekadar menjiwai apa yang telah aku ajarkan. Bagiku aku hanyalah aku.

Tuesday, August 23, 2011

CORETAN RINDU

Salam Sejahtera kepada sekalian alam,


Agak lama benar aku tidak mencoretkan sesuatu di halaman ini. Bukannya malas tetapi sudah ketandusan idea untuk merencanakan sesuatu di sini. Apa yang dinukilkan kesemuanya sudah membuat aku muak dan jemu. Aku seolah-olah seperti anjing menyalak bukit. Sampai bila pun bukit itu tidak akan runtuh untuk menunduk sedikit. Walau pun begitu pemerhatian, pengamatan dan pembacaan terhadap sesuatu yang menyentuh fikiranku, tidak akan aku lepas begitu sahaja.


Pandangan rakan serakyat denganku tetap aku amati dan menelitinya. Sejauhmana kebenaran itu berpihak kepada yang benar atau yang tidak benar, di sini memerlukan satu garapan minda yang terbuka yang tidak terjerut dengan satu aliran suara sahaja.


Saban hari medan peperangan melalui media alaf baru ini melaungkan pelbagai isu kampung sehingga kota raya yang boleh dikatakan kesemuanya mendapat feedback yang pelbagai. Kesemuanya adalah berpunca dari keresahan yang melanda hati dan jiwa mereka yang sensitif terhadap perlakuan persekitaran mereka. Malangnya keresahan yang dinyatakan dari kesemua lapisan dalam organisasi rakyat ini tidak mendapat respon yang sepadan. Yang dilayan adalah dari kalangan atau golongan yang membawa untung bukannya dari golongan yang membawa harapan.


Terlalu amat berbeza dengan aliran pemikiran sekarang berbanding dengan pemikiran 60 sehingga 80an. Pemikiran sekarang lebih berani dan tekal. Pendirian yang disuarakan adalah jelas dan tidak bergoyang. Perubahan inilah yang perlu dibaca oleh generasi lama yang berautoriti. Gabungan aliran pemikiran ini amat perlu untuk membentuk satu halaman baru bagi meneruskan kelangsungan apa yang sedia ada. Faktur keseimbangan dalam garapan aliran pemikiran ini juga perlu ada. Momentum sedia ada jangan sesekali direncatkan sebaliknya perlu dipacu sehebat mungkin sehingga realiti itu menjadi nyata di hadapan kita. Walau sebesar mana sekalipun tsunami melanda pemikiran sedia ada, kita mesti berupaya menyerapkannya untuk memantapkan lagi tenaga diri sedia ada kita. Walau pun sukar kedengarannya tetapi itulah hakikat yang wajib kita lalui dalam mencari ketenangan yang kita idamkan selama ini.

Monday, July 11, 2011

ART SPEAKS

FOR THE SAKE OF THIS OBJECTIVES I ABIDE THE RULING.
SOMEWHERE SOMEHOW I WILL STILL SHARE MY THOUGHT WITH OTHERS, MAY BE WITH A DIFFERENT APPROACH.

AT THE MOMENT I CAN'T GENERATE ANY IDEAS YET. TOO COMPLICATED. ANYTHING THAT TOUCHES ON MALAY, I WILL GET FURIOUS. FOR SURE I WILL SCRIBBLE SOMETHING HERE.

ANYHOW, THAT'S THE WAY IT IS. AGAIN I HAVE NO IDEAS WHATSOEVER. REALLY AM.
BUT ONCE I START STROLLING , THERE'S NO TURNING BACK.

SOMEHOW RATHER I REMEMBER THIS PHRASE BY ONE OF THE GREAT CHINESE PAINTER (FORGOT HIS NAME) HE SAID " IF YOU WANT TO DRAW A BAMBOO, YOU MUST FIRST BECOME A BAMBOO, THEN ONLY YOU CAN DRAW THE BAMBOO ". THAT'S WHY IN HIS ARTWORKS WE CAN SEE THE FLUIDITY OF THE STROKES RESEMBLES REALISM. I REALLY LOVE THAT. THAT'S REALLY A TRUE ART. WE CAN SEE HIS BRUSH DANCING ON THE SURFACE GENERATED BY THE ENERGY IN HIS MIND AND SOUL ORCHESTRATED BY THE SOFT ARTISTIC FINGERS OWN BY THIS PAINTER.

Sypmtom Checker

loading...