Aku berkesempatan menonton siaran temubual dengan mantan Presiden UMNO walau pun sudah jauh malam. Apa yang beliau sampaikan sebenarnya sudah lama menjadi tajuk perbualan dalam kalangan ahli dan yang bukan ahli. Parti sudah tua maka sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin yang sudah juga tua supaya berundur untuk memberi laluan kepada generasi muda bagi menjadikan parti ini muda semula. Bolehkah perkara ini menjadi realiti? Jawapannya juga sudah diberikan mantan Presiden.
Selagi keduniaan yang dikejar, tidak mungkin ada pemimpin yang sanggup mengundurkan diri. Asas perjuangan yang menjadi tonggak kepada kewujudan parti sudah tidak diberi perhatian. Segala kata-kata yang didokumenkan hanya menjadi retorik semata-mata. Bagaimana mungkin hendak mengembalikan kecemerlangan parti seperti sebelum ini. Bagaimana hendak menarik minat dan sokongan khususnya generasi muda dalam meneruskan kelangsungan parti. Sukar adalah jawapannya.
Ahli parti diminta membuat pengorbanan tetapi pucuk kepimpinan langsung tidak mahu menunjukkan pengorbanan. Kemaruk kepada perjuangan peribadi semakin menjadi-jadi. Tidak hairanlah kalau ada yang mengatakan sekiranya hendakkan kemewahan dan keduniaan, jadilah ahli parti ini. Kata-kata ini memang memedihkan telinga tetapi apakah daya yang perlu dilakukan. Cakaplah sebanyak mana sekalipun, isu ini akan terus menjadi isu.
Parti yang sudah tua ini perlu dipimpin generasi muda dengan idea-idea baru. Pasukan pelapis sedia ada langsung tidak menampakkan ciri-ciri kepimpinan seperti yang dipusakai kepimpinan terdahulu. Pasukan pelapis ini juga perlu diketepikan. Peranan mereka apakah sebenarnya. Pelbagai tohmahan yang dilemparkan langsung tidak diberi respon yang profesional. Peranan mereka asyik mencabar dan mencabar orang lain. Sepatutnya seperti kata mantan Presiden, mereka perlu memberi penjelasan sejelas-jelas mungkin terhadap tohmahan yang dilontarkan itu.
Kesilapan paling besar dalam membicarakan hal ini ialah peran contohan (role model) yang ditunjukkan kepimpinan yang ada. Tidak beradab, kurang ajar, tidak profesional (antaranya) inilah yang dipaparkan kepada generasi muda. Sikap-sikap seperti inilah yang menjadi ikutan pelapis sedia ada. Ini belum mengambilkira aspek ketahanan diri lagi. Akhirnya yang terlahir adalah barisan pelapis yang lemah dan lesu. Perjuangan bangsa dikesampingkan terus menerus. Mengejar kesenangan diri menjadi perjuangan hakiki yang bertopengkan perjuangan bangsa.
Dalam setiap Perhimpunan Agong Parti, jurucakap-jurucakap (meminjam kata-kata mantan Presiden) bercakap, bermadah, berpantun berapi-api seolah tidak berpijak di bumi yang nyata melaungkan isu berkaitan perjuangan dan nasib bangsa. Malahan amanat para pemimpin tertinggi tidak kurang hebatnya. Sebaik sahaja habis perhimpunan mewah ini, di manakah tindakan susulan yang perlu diambil tindakan sewajarnya? Panas hanya beberapa hari selepas tamat terus menjadi sejuk sesejuk-sejuknya malahan terus membeku.
Bangsa Melayu telah berpecah kepada tiga kelompok utama. Pelbagai kelompok lagi tumbuh selepas ini. Akibat dari pepecahan ini, kekuatan bangsa melayu sudah terhakis. Semua menuduh parti kita sebagai penyebabnya. Kalau dulu kita pernah terdengar bangsa melayu menjadi pengemis di negara sendiri, kini kenyataan itu sudah menunjukkan realitinya. Kita menjadi pengemis dan peminta sedekah kepada bangsa minoriti. Siapakah yang menjadi tonggak pemegang utama ekonomi negara?. Di manakah kesedaran kita?. Bukannya kita tidak sedar. Kita sengaja atau pura-pura tidak sedar.
Inilah antara kekecewaan yang sering kedengaran di telinga dari pelbagai kelompok masyarakat melayu. Kemampuan adalah amat terbatas dan yang mampu dilakukan adalah dengan penjelasan akan matlamat perjuangan yang merujuk kepada perjuangan asal penubuhan parti. Sejarah tetap sama walau pun zamannya berbeza. Generasi muda perlu disedarkan dan dididik semula dengan merujuk kepada sejarah itu.
Apakah asas perjuangan parti yang diwujudkan dahulu boleh diteruskan, dibuat penambahbaikan atau kita perlu mewujudkan asas perjuangan berbentuk lain?. Apakah asas perjuangan bangsa boleh diterima lagi pada masa kini atau perlukah kita menukarkan kepada asas perjuangan yang lebih besar iaitu Islam yang kini menjadi medan perjuangan yang terus menerus dibicarakan generasi sekarang. Oleh yang demikian, kalau kita masih menyayangi bangsa kita, maka kita perlu reviu semula perjuangan kita sejajar dengan dengan matlamat beserta panduan yang telah dibekalkan kepada kita sejak berkurun lamanya.
Bangsa lain yang bukan Islam sudah lama menggunakan panduan percuma ini dan mereka menjadi maju, boleh dikatakan di dalam semua bidang. Jadi, mengapa kita tidak mahu menggunakannya. Sebagai umat Islam, sudah pasti kita mempunyai kelebihan. Apa yang perlu kita lakukan adalah dengan menyeimbangkannya dan kita sebenarnya boleh menjadi lebih maju daripada mereka. YAKINLAH.
No comments:
Post a Comment