Thursday, March 12, 2009

MAULIDUR RASUL 2009

Pulang ke kampung halaman sesekali untuk bertemu dengan sanak saudara, adik beradik adalah sesuatu yang cukup indah lagi mengembirakan. Penulis juga tidak dapat lari dari merasakan saat kemanisan sedemikian rupa. Apatah lagi apabila dapat berjumpa dan beramah mesra dengan orang yang bergelar Ayah. Terpancar cahaya ceria apabila kami berlima saudara muncul di rumahnya.


Kami lima beradik yang berlainan kandungan dan susuan tetapi berada di dalam satu kandungan iaitu kandungan Muhammad Rasullullah. Keakraban kami semakin hari semakin padu, walaupun pada satu ketika untuk mencapai ke tahap ini banyak ketidakserasian telah berlaku di antara kami lima beradik ini. Itu adalah merupakan satu proses yang perlu dilalui untuk memantapkan diri kami sebenarnya.
Di rumah Ayah yang tercinta inilah merupakan tempat di mana kami bermuzakarah. Menceritakan kenangan (yang berupa aktiviti dan pengalaman secara sedar atau di bawah aras sedar) yang dilalui sambil bertukar-tukar pandangan menurut perspektif-perspektif yang berbeza yang pada akhirnya semua akan mengiyakan. Di sinilah terletaknya kelebihan hubungan kami. Di dalam menguji ilmu yang dikutip sepanjang perjalanan kehidupan ini, kami sering dilontar dengan pelbagai persoalan yang adakalanya di luar jangkauan pemikiran yang normal. Jawapan tidak muncul sekelip mata malah memerlukan setiap dari kami melalui dan merasai intipati persoalan itu dalam merungkai jawapan yang hakiki. Dalam menangani persoalan itu akan timbul lagi pelbagai persoalan.

Begitulah uniknya setiap kali kami bersama dengan Ayah. Beliau mahukan kami merasai, menyelami dan nampak secara jelas segala persoalan yang sebenarnya sengaja diadakan sebegitu rupa. Apa yang hendak dilihat ialah sejauhmana ketajaman pancaindera kami. Akhirnya semasa pengupasan dan penjelasan terhadap olahan jawapan yang kami paparkan akan dipertontonkan secara cukup terperinci satu persatu mengikut rantaian dan turutannya. Sekiranya olahan kami itu dirasakan tergelincir dari landasan kefahaman, beliau akan segera memperbetulkannya dan akan menjelaskan kepada kami sejelas mungkin. Tidak ada satu persoalan yang tidak ada jawapannya, kesemuanya sudah tersedia dengan jawapan. Penjelasan adalah berdasarkan kepada aras kefahaman dan pengalaman yang masing-masing lalui.

Setiap seorang daripada kami mempunyai bidang kepakaran yang berbeza-beza. Berdasarkan kelebihan yang terdapat di dalam diri kami ini, maka kami diberi tugas untuk mentadbirkannya mengikut kesesuaian diri masing-masing. Kadangkala tugas berkenaan diberikan mengikut situasi. Walaupun berlainan fungsi dan tugas, kami masih mampu untuk bersatu dan bermuzakarah di atas paksi yang sama. Inilah amanah yang cukup besar untuk kami realisasikan. Amanah untuk memakmurkan alam demi generasi akan datang.

Bukan mudah untuk kami mencapai tahap sedemikian rupa apatah lagi untuk disahkan secara mutlak. Ada di antara kami hampir-hampir hendak dinyah keluar di atas kebodohan mentadbir diri. Setelah diberi pedoman sebenar, ada yang perlahan dan ada juga yang cepat untuk bangkit kembali memperbetulkan landasan dan memperelokkan diri semula. Akhirnya kami saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Cukup berat ujian yang dilalui tetapi satu persatu dapat kami rungkaikan. ”Lakukanlah dengan bijaksana kerana di dalamnya terdapatnya kehebatan dan hikmatnya”, antara kata-kata yang menjadi pesanan kepada kami.

Pertemuan kami sekeluarga kali ini merupakan satu pertemuan yang cukup besar maknanya. Permasyhuran dan Pewartaan telah dilaksanakan. Pemegang amanah sudah diumumkan. Sekarang terserah kepada kami untuk menyempurnakan amanah yang disampaikan.

Apa yang diperkatakan di atas adalah merupakan salah satu episod bagaimana seorang Ayah mendidik dan membentuk anak-anaknya untuk menjadi insan yang sempurna. Yang sentiasa dikawal dan terkawal di atas satu paksi yang mutlak. Yang akan diiring semasa perjalanan itu nanti.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...