Masih lagi mengenai orang Melayu. Tetapi kali ini penulis hendak fokus kepada orang Melayu dalam UMNO terutama sekali dalam Sayap Pemuda. Penulis juga merupakan orang-orang Pemuda juga pada satu ketika dulu tetapi tidak memegang sebarang jawatan, cuma ahli biasa sahaja. Kini sudah terkeluar dari kelompok umur Pemuda dan menjadi ahli UMNO sahaja. Apa yang hendak diluahkan di sini ialah mengenai sikap, tingkahlaku, watak dan keperibadian sebahagian besar di kalangan Pemuda melayu ini. Terdapat pelbagai cara ditunjukkan atau diluahkan oleh orang yang menyayangi parti ini.
Penulis melihat aspek-aspek di atas itu masih lagi tidak berubah malah semakin parah dibuatnya. Pertama mengenai sikap hormat kepada orang-orang yang lebih tua dan juga sesama sendiri. Cukup jelas diperlihatkan imej dan perangai sebenar golongan ini ialah semasa pilihanraya baik di peringkat umum maupun di dalam parti. Isu ini sudah dibangkitkan dan diperbahaskan oleh pakar-pakar hal ehwal politik terutamanya selepas pilihanraya ke 12 yang tahun lalu. Teguran dan saranan sudah berbuih disemburkan. Malangnya tiada siapa yang mengambil peduli malahan isu ini terus di kesampingkan hatta daripada pucuk kepemimpinan sendiri. Inilah yang cukup menyedihkan.
Orang melayu cukup terkenal dengan budi bahasa, adat bersopan-santun dan saling menghormati sesama sendiri. Zaman penulis budak-budak dahulu, penulis tinggal di kampung. Masih teringat lagi kalau hendak lalu di depan orang, kena bongkok dan hulurkan tangan kanan ke bawah meminta izin hendak lalu. Bahkan kalau duduk kena bersila, tidak boleh duduk berlutut (memeluk lutut).Tapak kaki tidak boleh di hala kepada orang. Bagi yang perempuan pulak kena duduk bersimpuh. Kalau orang tua sedang bercakap tidak boleh menyampuk atau mencelah. Ini adalah merupakan sebahagian daripada asas keperibadian orang melayu yang dipertontonkan kepada generasi pada masa itu. Apabila asas sudah ada dan sentiasa dipraktikkan serta dikawalselia sejak dahulu, sudah pasti ia akan menjurus kepada perwatakan yang bertamadun. Perkara inilah yang dilihat tidak ada di kalangan anak-anak melayu dewasa ini.
Banyak faktur yang mungkin menjadi penyebab di dalam membicarakan hal sedemikian. Antaranya ialah dari segi family up bringing itu sendiri. Hal sebegini asas perlu dilakukan secara berterusan dari generasi ke generasi. Malangnya pelbagai pencemaran minda yang melanda di kalangan orang melayu menyebabkan perkara asas ini terus hilang dimakan virus modernisasi.
Penulis cukup sedih sekali melihat gejala seperti ini terus menerus berlaku tanpa ada sebarang kesedaran di dalam diri golongan ini. Tidak ada perasaan hormat kepada orang lain langsung seolah-olah merekalah yang paling berkuasa dan tidak boleh ditegur. Muka masing-masing langsung tidak bercahaya. Kalau hendak kata berlagak, memang tepat sekali panggilan tersebut. Bukan hendak mengata atau memfitnah tetapi inilah yang dipertontonkan kepada kita. Yang menjadi ikutannya siapa? Sudah tentulah generasi-generasi pelapis yang ada sekarang. Yang menjadi masalahnya ialah apabila perkara ini diajukan kepada pucuk kepimpinan, masih tidak ada perubahan. Sedangkan kita dengar setiap lapisan mengata dan memberitahu hendakkan perubahan. Apakah mereka faham atau tidak dengan perkataan perubahan yang dilaung-laungkan? Apakah mereka faham dengan maksud dan konsep perubahan tersebut? Sebenarnya bukan perubahan yang kita tekankan, sebaliknya bagaimana hendak meletakkan semula parti melayu ini di landasan yang sebenar. Landasan yang menjadi asas kepada perjuangan asal kita. Landasan yang sekian lama menjadi pegangan dan paksi perjuangan bangsa yang tidak mudah dipintal hatta dirobek sekalipun oleh mana-mana pihak lain.
Kita mahukan orang lain menghormati kita tetapi kita sendiri tidak ada perasaan itu terhadap bangsa kita sendiri. Kita sendiri yang membunuh bangsa kita. Tidak payahlah ada sesiapa yang hendak menafikannya. Inilah hakikat realiti yang berlaku sejak kebelakangan ini di kalangan orang melayu. Kalau kita berani menghentam orang maka kita cukup harus berani dihentam orang. Jangan hentam keromo tetapi hentam dengan bijaksana dan terima dengan bijaksana.
Bagi penulis perkara asas yang perlu golongan ini lakukan perubahan ialah dari segi sikap, tingkahlaku, adab sopan, gaya, pertuturan, ada perasaan hormat dan yang tidak lupa juga jujur (satu-satunya perkataan yang sering dipertikaikan). Kalau perlu diadakan program bagi membantu menyedarkan mereka dengan adab dan tatasusila orang melayu, maka ianya amat dialu-alukan. Ada di antara rakan penulis mengatakan bahawa mereka-mereka ini sudah liat dan susah untuk diperbentukan. Penulis tidak percaya dengan alasan-alasan sedemikian kerana penulis berkeyakinan bahawa orang melayu tidak sedegil dan sebodoh itu. Kalau ada kemahuan di mana-mana pun ada jalan untuk mengatasinya.
Sebab itulah kita perlu kembali kepada ilmu dan pendidikan di dalam Islam. Kita mempunyai ramai bijak pandai dalam aspek agama. Kita juga mempunyai ramai bijak pandai dalam memperkatakan motivasi. Jadi, mengapa kita tidak mengambil peluang ini? Kalau benar kita ada melaksanakannya, sejauhmanakah pengisian itu benar-benar dihayati dan realisasikan di hadapan kita? Kita selalu memberi motivasi dan pendekatan agama di kalangan pelajar sekolah tetapi kita tidak pernah hendak memotivasikan diri kita. Dengan lain perkataan bercakap cukup pandai tetapi apabila terkena diri sendiri, buat-buat tidak tahu sahaja. Apabila orang lain tuduh kita macam-macam maka mulalah hendak memberontak. Riuh satu dunia dibuatnya.
Golongan pemuda adalah merupakan pelapis kepada kepimpinan masa depan. Terjadi dan terdapatnya masalah sedemikian rupa adalah berpunca dari siapa? Kalau hendak dikatakan pemimpin pun iya juga. Hendak dikatakan orang-orang yang dipimpin pun iya juga. Hendak dikatakan organisasi pun tidak salah juga.Bagi penulis yang salahnya adalah diri sendiri. Tidak jujur pada diri sendiri. Membohongi diri sendiri. Memperhambakan diri sendiri untuk mengutip kesenangan yang ternyata palsu. Membiarkan jiwa diterokai orang lain. Mengapa ya? Sebab kita tidak kenal diri kita. Tidak mahu cuba mengenali diri kita. Lantas membiarkan sahaja diri itu. Inilah padahnya.
No comments:
Post a Comment