Wednesday, March 18, 2009

RUMAH NABI S.A.W.


Rumah Nabi S.A.W. terletak di samping masjid Nabi. Ia dibina semasa bersamaan pembinaan masjid Nabi ketika sampai di Madinah. Rumahnya sederhana dan mempunyai dua bilik tidur. Sebuah untuk isterinya Saudah binti Zam’ah dan sebuah lagi untuk Aisyah binti Abu Bakar Siddik. Ketika dibina isteri-isteri banginda masih berada di Mekah, setelah tempat itu siap barulah mereka datang ke Madinah.

Tanah tempat rumah Nabi itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suheil. Kedua-duanya diasuh oleh As’ad bin Zararah. Di atas tanah itu terdapat banyak kuburan orang-orang Musyrik dan pohon-pohon tamar. Menurut perhatian baginda, tanah itu baik untuk pembinaan masjid dan baginda hendak membelinya daripada As’ad. Tetapi As’ad tidak mahu menjualnya kerana ia akan digunakan untuk masjid maka biarlah dipergunakan semata-mata kerana Allah.

Tetapi Nabi S.A.W. masih berkeras hendak membelinya kerana teringatkan beliau kepunyaan anak yatim. Akhirnya tanah itu dibeli dan harganya dibayar oleh Abu Bakar. Kemudian di sekitar kawasan itu berdirilah beberapa rumah lagi, manakala rumah baginda diperbesarkan dengan beberapa bilik utuk isteri-isteri baginda. Di rumah yang sederhana itu Nabi dan keluarga baginda hidup bersama. Orang ramai yang berkunjung juga bertambah dan bagi orang-orang yang tidak mampu, dibuatkan sebuah tempat yang bernama Shuffah iaitu yang menyerupai anjung rumah. Di situ juga baginda menempatkan tetamu yang mengunjungi baginda. Oleh kerana keadaan terlalu ramai dan mereka bebas sekali keluar masuk ke rumah baginda dan suasana menjadi tidak teratur, maka Allah telah memberi peraturan dalam rumah Nabi S.A.W.
Peraturan yang diturunkan Allah ialah melarang sesiapa sahaja dari masuk ke rumah baginda sebelum mendapat izin. Bila diajak makan, maka setelah selesai makan mereka hendaklah keluar dan begitu juga untuk bersembang lama-lama dan buang waktu adalah dilarang. Kalau ada yang perlu diminta pada isteri baginda hendaklah di sebalik tabir atau dinding.

Peraturan rumahtangga Nabi ini bertujuan memelihara kemuliaan Nabi dan ahli keluarga baginda. Malahan kepada isteri-isteri Nabi, Allah memberi peraturan agar rumahtangga tetap baik: ”Jangan berkata-kata dengan suara yang menawan hati orang lain. Bercakap dengan baik dan sopan. Di dalam rumah harus berkeadaan baik. Jangan mempamerkan diri pada orang umum. Kerjakan solat, bayar zakat dan ta’at kepada Allah dan RasulNya”.

Begitulah keadaan di rumah baginda yang serba sederhana itu. Baginda dan isteri-isterinya hidup secara sederhana walaupun baginda Rasul Allah dan Pemimpin Umat. Tidak seperti raja-raja di zaman itu yang mementingkan kemewahan dengan membebankan rakyatnya. (Petikan dari buku Kehidupan Ringkas Rasulullah S.A.W. oleh Nawawi Dusuki, Terbitan Wisdom Mind)
Gambar-gambar yang dipaparkan adalah merupakan tapak peninggalan rumah Nabi S.A.W. yang penulis jumpa semasa menerokai alam di dalam dunia siber ini. Semoga apa yang dipaparkan ini dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan di luar sana.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...