Dalam ucapan penggulungan Menteri Pelajaran yang juga merupakan Naib Presiden UMNO yang baru menang itu ada menyuarakan hasrat beliau mengenai penglibatan guru-guru kumpulan A dalam politik. Berdasarkan apa yang difahamkan hasrat beliau itu ditujukan kepada mereka-mereka yang ingin melibatkan diri secara aktif dalam UMNO sebenarnya. Penulis yakin dan percaya bahawa beliau menyuarakan hasrat itu secara sedar dan insaf semata-mata untuk memperjuangkan nasib bangsa melayu. Siapa sangka dengan tidak semena-mena isu ini menjadi begitu panas sekali sehingga dalam akbar perdana semenjak dari tarikh itu sehingga sekarang terus diperkatakan ramai. Malahan diadakan secara langsung perbincangan dan perdebatan menerusi TV. Ini menunjukkan betapa hebat dan gahnya guru di mata rakyat.
Pelbagai reaksi yang dapat kita lihat apabila YB Datuk Seri Hishammuddin mencetuskan cadangan tersebut. Ada yang menyokong sepenuhnya untuk dilaksanakan tetapi perlu bersyarat dan sebagainya. Tidak kurang juga yang menyatakan tidak setuju termasuk juga di kalangan Kesatuan Guru. Ada juga yang mengatakan bahawa sekiranya guru-guru ini terlibat dalam politik maka pelajar-pelajar sekolah akan tertinggal dalam pelajaran dan macam-macam lagi. Malahan terdapat seribu alasan yang tidak membenarkan golongan guru bergiat aktif dalam arena politik.
Bagi penulis kita perlu melihat saranan ini dalam skop yang luas. Dan apa yang penulis ingin bicarakan di sini ialah dalam konteks penglibatan dalam parti UMNO. Cuba kita perhatikan kepada parti-parti politik lain sama ada dalam gabungan BN ataupun pembangkang. Pernah kita mengkaji dan melihat kekuatan yang mereka ada? Cuba kita perhatikan kepada ahli-ahli parti mereka. Jelas di dalamnya terdapat pelbagai gabungan komuniti intelektual dari peringkat sehabis bawah sehingga yang paling profesional. Siapa yang memegang jawatan-jawatan dari peringkat cawangan sehingga peringkat pusat? Pelbagai lapisan dalam organisasi masyarakat.
Sekarang kita perhatikan pula tentang lapisan masyarakat dalam struktur parti UMNO. Golongan atau kumpulan mana yang mendominasi kedudukan dalam menerajui jawatan-jawatan tertinggi parti baik di peringkat pusat atau cawangan dan bahagian? Kalau dalam parti lain terdapat pelbagai lapisan profesional yang menerajui kepimpinan tetapi dalam UMNO cuma satu golongan sahaja iaitu teknokrat. Kita dapat lihat seolah-olah pucuk kepimpinan UMNO hanya untuk golongan ini sahaja. Bagi mereka golongan guru ini hanya layak mengajar di sekolah sahaja. Sudah sampai masanya pemikiran begini ditolak ketepi. Sekiranya golongan guru ini diberi peluang melibatkan diri dalam parti maka keseimbangan itu dapat dilakukan. Penulis cukup yakin golongan guru sekiranya diberi peluang untuk aktif dalam parti, mereka mampu menjadikan oragnisasi dalam UMNO ini lebih melayu lagi.
Guru adalah satu-satunya kumpulan dalam kerajaan yang berkhidmat di peringkat paling bawah sekali sekiranya hendak dibandingkan dengan profesion lain. Mereka bukan sahaja berdepan dengan anak-anak murid malahan sehingga ke peringkat keluarga murid-murid berkenaan dan masyarakat setempat. Paling jelas dalam PIBG. Merekalah orang yang pertama mendengar keluhan hatta apa yang berlaku di peringkat bawahan ini. UMNO memerlukan kumpulan ini dalam memikirkan perancangan memartabatkan kedududkan orang-orang melayu keseluruhannya.
Bagi pemimpin-pemimpin, kita memang sudah tahu mereka akan turun ke bawah secara bermusim. Pelbagai alasan diberikan sekiranya mereka tidak turun ke bawah. Untuk menunjukkan keprihatinan kononnya, mereka mendirikan pusat-pusat khidmat masyarakat dengan harapan segala keluhan dan rintihan rakyat dapat disalurkan ke situ. Metodologi begini bukannya tidak baik tetapi masyarakat sebenarnya hendak melihat bahawa mereka ini didampingi. Karenah-karenah pemimpin dalam menangani isu sebegini rupa bukan setakat tertumpu kepada yang paling atas malahan di peringkat Bahagian seterusnya cawangan. Kebanyakan yang diangkat kepada pengetahuan pemimpin atasan adalah yang baik-baik sahaja. Masalah sebenar yang sepatutnya disampaikan entah kemana. Jadi siapa sebenarnya yang sentiasa dekat dengan masyarakat?
Dalam hal ini yang boleh diberi kepercayaan adalah kumpulan guru seperti mana senario yang dinyatakan di atas. Masyarakat di kampung sehingga kini masih menaruh perasaan hormat kepada guru bahkan daripada anak-anak didik mereka sendiri.
Kita tidak mahu golongan guru ini cuma menjadi kuli atau budak suruhan orang politik. Isu guru-guru menjadi budak suruhan orang politik ini sudah lama berlaku. Sebagai contoh sekiranya ada sebarang majlis yang melibatkan pucuk pimpinan parti yang diadakan di sekolah. Yang paling sibok ke hulu ke hilir sehingga waktu untuk menguruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terpaksa digunakan adalah tidak lain selain daripada guru-guru inilah. Kalau tersilap susunan atau apakebala, guru-guru inilah yang akan menjadi mangsa. Orang politik mengherdik pengetua dan pengetua pula naik angin pada guru. Sampai bila golongan guru ini hendak menjadi tunggangan mereka-mereka itu?
Apabila Naib Presiden UMNO mengangkat usul supaya Guru kumpulan A dibenarkan aktif dalam parti, maka pihak guru ini perlu memanfaatkan cadangan tersebut untuk segera direalisasikan. Golongan ini perlu bersuara dan mempunyai wakil atau tempat dalam saf kepimpinan tertinggi parti. Penulis menggesa agar golongan ini segera tampil ke hadapan kerana laluan sudah dibuka. Perbincangan dalam suasana yang sihat perlu diadakan dari masa ke semasa sehingga hasrat murni ini menjadi realiti.
Penulis cukup yakin dan percaya sekiranya perlembagaan atau peruntukan membenarkan golongan ini aktif dalam parti, UMNO akan menjadi relevan semula di hati masyarakat melayu. Kita perlu melihatnya dalam konteks jangkamasa panjang. Mungkin golongan ini mampu meredakan kemelut yang tidak menentu dalam parti ini. Sama-samalah kita memikirkan sesuatu yang dapat memanfaatkan orang melayu khususnya.
No comments:
Post a Comment