Cukup lama tidak
mengeluarkan sebarang pandangan terhadap scenario politik atau apa-apa yang
berkaitan dengannya. Sepanjang tempoh masa tersebut sebenarnya aku lebih banyak
membuat pemerhatian, pembacaan dan bersembang dengan pelbagai jenis rakan dan kawan.
Apa yang hendak aku sorotkan di sini adalah mengenai scenario politik yang pada
bila-bila masa akan mencapai klimaks sama ada ianya menjana kepuasan atau
sebaliknya.
Sepertimana dalam ertikata
pertembungan mesti ada lawan dan dalam hal politik ini ada pembangkang dan
penyokong, yang menentang dan yang memerintah. Kedua-dua mereka ini adalah sama
sahaja bebalnya iaitu tidak pernah walau sedikit pun berpuas hati dengan apa
yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak. Dalam bahasa budak-budak, nak tunjuk
hero dan ini adalah masanya.
Dalam saat masing-masing
menunggu tarikh pilihanraya (yang begitu keramat gamaknya), pelbagai perkara
dibangkitkan atau ditimbulkan yang mengatakan pihak sebelah sana tidak betul
dan hanya pihak kami sahaja yang betul dalam apa jua tindakan. Semakin hebat
seseorang itu rupanya bukan menjadi semakin hebat tetapi menjadi semakin tidak
cerdik dan dungu.
Setiap yang dilafazkan atau
dibatukkan dengan sengaja atau tidak oleh bintang-bintang dari kedua belah
pihak pasti akan menjadi bahan untuk diketengahkan. Hiduan dari hidung-hidung
pemberita mengalahkan hidung anjing polis menghidu bahan dadah terhadap
sebarang berita yang boleh disensasikan begitu berleluasa sekarang ini.
Pemberita formal atau yang makan upah seolah-olah tidak ada rumah untuk tidor,
asyik bersengkang mata mencari, menghidu dan mengorek isu yang boleh
menyeronokkan bintang kedua belah pihak itu tadi.
Menunggu detik pilihanraya,
tidak sama seperti kita menunggu detik tahun baru atau ambang kemerdekaan
kerana kita sudah tahu bahawa tepat jam 12.00 malam maka bolehlah kita
berteriak meyambut detik tersebut. Berbeza dengan pilihanraya, kita tidak tahu
bilakah detik itu akan berlaku. Yang tahu hanyalah mereka yang memegang tampuk
pemerintahan itu. Sehingga kita pernah dimaklumkan hatta isteri pemegang tampuk
itu sendiri tidak tahu bilakah detik untuk diumumkan pilihanraya. Bunyi memang
kelakar tetapi itulah yang sering rakyat diperdengarkan.
Dalam kesibukan setiap
rakyat menanti saat pilhanraya, setiap hari pelbagai spekulasi mengenai tarikh
pilihanraya diperkatakan. Malahan pelbagai andaian mengenainya juga kedengaran.
Ada yang mengatakan sudah sampai masanya, inilah masa yang sesuai dan ada juga
mengatakan tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat atau akan diadakan pada
tahun hadapan. Pelbagai versi yang berkumandang di udara atau di darat.
Ramai di antara kita yang
tidak semena-mena menjadi Tukang Ramal, Tok Bomoh dan Tok Dukun. Di antaranya
adalah mantan PM keempat. Dialah tukang ramal yang cukup popular sekarang.
Seolah-olah kata beliau adalah kata yang boleh diterima kerana beliau pernah
berada di tampuk itu. Kita cukup menghormati orang tua ini. Orang tua yang
terlalu berjasa kepada Negara. Orang tua yang telah membawa Negara kita keluar
dari kepompong kemiskinan dan bergerak ke destinasi Negara maju menjelang 2020
nanti (8 tahun dari sekarang).
Mengapa beliau beria-ia
benar mencampuri urusan pemerintahan sedia ada sekarang? Adalah lebih baik
beliau duduk diam-diam dan fokus kepada saat-saat akhir alam kehidupan beliau.
Kalau boleh segala urusan kerajaan, kesemuanya hendak diambil tahu. Kesemuanya
hendak diberi pandangan. Kesemuanya membuatkan beliau tidak puas hati. Tidak
usahlah menyebukkan diri dengan hal seperti ini. Biarkanlah PM sedia ada
menentukannya. Sepertimana beliau dulu selalu mengatakan “belum dapat ilham lagi”.
Jadi mungkin PM sekarang belum dapat ilham lagi agaknya.
Menyentuh tentang
kemungkinan-kemungkinan tarikh pilihanraya, sebenarnya kalau dilihat dengan
mata kasar sememangnya sudah boleh diadakan dalam jangkamasa terdekat ini.
Tetapi kalau dipandang secara halus, kemungkinan-kemungkinan atau probabilities
untuk diadakan pilihanraya dalam jangkamasa terdekat ini agak sukar sedikit.
Ini juga merupakan pandangan secara nyata.
Hint untuk pilihanraya ini
banyak bergantung kepada status isu berkaitan ekonomi dan masalah semasa yang
mana kesemuanya akan dipolitikkan. Isu-isu inilah yang akan menggamitkan
suasana keriangan menjelang pilihanraya (bukan hari raya). Isu-isu inilah
sepertimana yang dikatakan di atas akan dipentaskan oleh kedua-dua pihak. Yang
menjadi sukar untuk golongan tertentu untuk bernafas dengan selesa (sekarang
terpaksa guna oksigen dalam balang) adalah isu yang dibombardkan oleh pihak
kiri. Isu yang dilontarkan oleh pihak kiri ini nampaknya seperti ada realistik sedikit
berbanding dengan isu yang dijentikkan pihak kanan.
Pihak kiri membawa isu
rintihan rakyat secara keseluruhan. Antaranya kenaikan harga barangan asas,
keselesaan tempat tinggal, pengangkutan awam, pendidikan, pembaziran wang, kos
sara hidup hidup berbanding pendapatan yang masih rendah (yang ini tidak ada
pula kedengaran dibuat perbandingan dengan Negara maju), kenaikan harga minyak
(yang ini akan dibuat perbandingan dengan Negara luar, kita masih lagi murah
sebab ada subsidi), gejala social, jenayah, tanah, prasarana asas seperti caj
penggunaan air dan letrik yang tinggi, jalanraya dan caj tol, harga rumah yang
menjulang tinggi (mengalahkan seperti tinggal di USA atau Negara kelas pertama pulak),
dan pelbagai akta yang sudah luput. Hal-hal lain yang turut menggangu gugat
rakyat ialah lambakan pekerja asing yang tidak terkawal dan memberi hak
kerakyatan atau kewarganegaraan kepada pekerja asing semata-mata untuk menjamin
kemenangan mudah kerajaan sedia ada dalam pilihanraya seperti yang didakwa.
Boleh dikatakan apa yang dibawa oleh pihak kiri adalah kesemuanya menyebelahi
rakyat.
Berbanding dengan pihak
kanan, isu yang dibawa kebanyakannya berbentuk sensitiviti kepada golongan
tertentu sama ada melibatkan Institusi Raja dan Pemerintah atau kaum-kaum
tertentu. Itu yang banyak diaktifkan sekarang ini. Dengan harapan, Isu yang
dibangkitkan ini akan menaikkan sentimen rakyat terutamanya kepada orang melayu
yang sangat sensitif apabila hal berkaitan dengan Raja ini disentuh. Begitulah
sinonimnya orang melayu dengan Raja Melayu. Sekiranya bangsa lain menghina Raja
Melayu, mereka dikatakan kurang ajar dan sekiranya orang melayu sendiri
menghina Raja Melayu, mereka digelar penderhaka.
Jadi apa yang diperkatakan
di sini ialah terdapat perbezaan yang amat ketara dalam mengetengahkan isu-isu
menjelang pilihanraya ini iaitu sensitivi rakyat berbanding sensitivi golongan
tertentu. Maka yang menjadi juri dan hakim dalam menentukan siapa pentadbir Negara
untuk seterusnya adalah datang dari rakyat dan timbullah istilah Mahkamah
Rakyat.
Rakyat pula dikelaskan
kepada beberapa golongan. Golongan pertama adalah Rakyat Ultra atau Elit, kedua
Rakyat Mewah dan Kaya, ketiga Rakyat Kaya dan Senang, keempat Rakyat Sederhana
dan Senang, kelima Rakyat Sederhana dan Susah, keenam Rakyat Miskin dan Sederhana,
ketujuh Rakyat Miskin dan Susah,dan kelapan Rakyat Miskin, Papa Kedana dan
Hidup Merempat.
Inilah antara golongan
rakyat yang akan menganggotai mahkamah rakyat yang juga sebagai penentu kepada
siapa yang layak meneruskan atau mentadbir Negara untuk sesi akan datang. Dari
segi statistik, berapa peratuskah rakyat yang mewakili kelapan-lapan golongan
itu? Jawapannya ada di hadapan mata kita yang menjadi sebahagian dari rakyat
itu tadi.
Untuk itu dalam kita menanti
dengan penuh debaran saat pilihanraya yang bakal terjadi, kita akan didedahkan
secara langsung dengan pelbagai isu panas dari kedua belah pihak. Hanya akal
dan fikir sahaja bagi orang yang tahu menggunakannya berupaya untuk membuat
penilaian. Tidak kira pihak mana yang menang, apa yang kita mahukan adalah satu
kehidupan yang selesa tanpa bebanan yang tidak masuk akal.
No comments:
Post a Comment