Friday, July 2, 2010

SELAMAT TINGGAL SAHABATKU RAMZI (SELAMAT KEMBALI WAHAI RAMZI)

SELASA 29 Jun 2010 selepas waktu lunch di pejabat aku

"Hello, hello....", lamanya aku menanti jawapan.

Dua tiga minit kemudian baru terdengar jawapan"Hello....sorry...lambat jawap...aku tak larat nak ngangkat talipun...rasa penat..". Itulah jawapan yang aku dengar dan nada suaranya memang uzur benar.

"Hang kat mana ni bang?", aku bertanya lagi.

"Aku cuti..dok umah..dada aku masih sakit lagi",balas suara yg lemah itu.

"Awat aku dengar suara hang uzur sangat tu zee", rasa risau mula menerjah fikiran aku ketika itu.

"aaa....aku nak bitau hang, aku dah kena keluar dari BPG. Zahri hantaq aku balik sekolah", dia meneruskan perbualan.

"hantar balik sekolah?...gila ke apa dia ni! Sekolah mana?', tanyaku lagi semakin terkejut.

"tengoklah KL ke atau Selangor",jawapnya lagi.

"Habis tu macamana dengan permohonan hang ke Nazir?", tanyaku lagi.

"Aku dah bagi pada Dato' Misrah. Dia kata tak der masalah, cuma dia kata tunggu sekejap selepas excercise kenaikan pangkat 48. Untuk hanglah tu. Untuk sementara kalau boleh aku nak dok pejabat kat JPWP KL", jelas beliau agak panjang.

"Gini, bang. Aku sms hang nombor Nazri pastu hang maklum kat dia. Nanti aku akan bantu, insyallah takder masalah. Ok Zee, aku nak hang rehat dan cuba relax walaupun sukar,aku faham. Kalau ada apa-apa hang call aku..ok bang", fikiran aku mula berfikir untuk menyelesaikan masalah beliau.

"Ok, hang sms no dia no", itulah suara terakhir aku dengar dari sahabat baikku Ramzi.

Lantas aku terus sms dua nombor fon Nazri, satu handfon dan satu lagi pejabat. Dan jawapan terakhir melalui sms yang aku terima dari sahabatku itu berbunyi "TQ bang".

Rabu 30 Jun 2010 lebih kurang jam 5.15 ptg semasa aku berada di Petaling Jaya

Aku melihat banyak sekali panggilan talipun masuk dan tidak kurang juga dengan sms. Aku tengok nombor yang tertera semuanya kawan-kawan pejabat. Malas aku hendak melayan dia orang tetapi apabila satu call masuk dan aku perhatikan tertera nombor talipun salah seorang sahabat baik aku iaitu Rosley, aku terus membalas panggilan itu.


"Hello! ya Ley apa hal?', tanya aku seperti biasa.

"Kau ada dengar berita sahabat kita Ramzi?", balas sahabatku itu.

"Ramzi?...takder. Petang semalam aku baru bercakap dengan dia, rungsing juga aku ley dengan keadaan dia", jawapku juga seperti biasa.

"Ramzi sudah meninggal dunia, baru jap ni hah kat Hospital Serdang", jelas dan direct tidak berbunga-bunga penjelasan Rosley.

"Hah? kau biar betul bang, aku baru bercakap dengan dia semalam", badanku mula menggeletar dengan apa yang baru aku dengar. Wajah Ramzi terus terpancar di hadapanku.

Aku macam tidak percaya. Selepas itu banyaklah panggilan yang aku terima, bertalu-talu termasuk sms. Kesemuanya tidak aku balas kerana fikiranku masih tertanya-tanya. Lantas aku segerakan urusan aku di Petaling Jaya dan selepas itu aku meminta rakanku membawa aku terus ke Hospital Serdang. Waktu sudah menunjukkan pukul 6 lebih. Hujan pula mula turun dari perlahan menjadi lebat dan tidak sekata. Keadaan jalan memanglah tidak terkejut. Kesemua haluan sudah pasti jam. Aku memuji kecekapan rakan aku memotong memintas jalan short cut dan akhirnya dapat masuk ke lebuhraya persekutuan menghala ke Serdang.

Aku menghubungi Bashrim (salah seorang rakan baik kami) untuk bertanyakan status jenazah dalam aspek mandi kafan dan akan dibawa ke mana selepas ini. Bashrim memberitahu aku jenazah sedang dimandikan dan mungkin aku tidak berkesempatan untuk berada di sini. Dia mencadangkan aku terus ke rumah arwah. Beberapa minit selepas itu aku talipun Dr. Ramli, dia kata jenazah masih lagi dalam proses mandi dan kafan dan menyuruh aku terus ke sana.

Setiba sahaja aku di Hospital, aku terus menanyakan salah seorang staf hospital di mana tempat jenazah dimandikan. Dia menyuruh aku terus ke bahagian belakang hospital ke wad forensik. Setelah berpusing-pusing mencari wad berkenaan akhirnya aku pun terjumpa. Hujan masih turun walau pun tidak selebat tadi. Aku lihat ramai rakan-rakan aku di luar bilik mayat sedang menunggu. Turut kelihatan ialah seorang manusia bernama Zahri. Aku terus bersalaman dengan rakan-rakan yang ada tetapi aku langsung tidak menegur apatah lagi untuk bersalam dengan manusia itu.

Dr. Ramli menyuruh aku masuk ke bilik mayat. Apabila aku menolak daun pintu bilik itu, aku terpandang sekujur tubuh yang basah dan kaku di atas troley. Badannya sudah dipenuhi dengan kapas, cuma bahagian mukanya sahaja jelas kelihatan. Aku merenung wajah itu. Kelihatan seolah-olah sedang tidur lena sepertimana aku mengenali dia sejak sekian lama. Rakanku yang berada di situ menghulur kepada aku bekas yang dipenuhi kapur barus dan meminta aku menyempurnakannya. Aku tanpa banyak bicara mengenggam kapur barus dan melumurkan permukaan kapas yang menutupi tubuh jenazah sahabatku itu. Aku juga diberi peluang oleh Allah Yang Maha Esa untuk turut membalut kain kafan sehelai demi sehelai pada tubuh sahabat aku yang menderita dengan sakit jantung dan tekanan yang diterima dari manusia bernama Zahri.

Solat jenazah disempurnakan oleh Imam di Bahagian itu dan beliau sendiri menyatakan kejutannya kerana melihat begitu ramai sahabat handai berada di dalam solat berkenaan. Dan aku pula berdiri di belakang Imam selari dengan bahagian kepala jenazah sahabatku itu. Jenazah kemudiannya dihantar ke rumah kediaman beliau di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Aku juga berkesempatan berbual dengan isteri arwah dan beliau menceritakan apa yang berlaku, keadaan arwah menjadi semakin serious apabila dia menerima surat diarahkan bertukar ke sekolah oleh Pengarah BPG yang juga pernah bersekali bersama kami sebagai pegawai biasa semasa di Bahagian Perancangan dahulu.

Pada malam itu hujan semakin lebat. Cukup lebat sekali dan sudah lama tidak turun hujan selebat itu. Aku tidak dapat ke rumah arwah pada malam itu kerana badan aku mula rasa tidak berapa sedap. Ini diikuti dengan batuk yang yang cukup memeritkan tekak aku. Apabila batuk dia akan tangkap bahagian kepala pulak dan ianya agak menyakitkan juga.


Khamis 1 Julai 2010 Hari Pengkebumian

Pada kesokkan paginya aku terus ke rumah arwah. Kenderaan yang membawa jenazah dari UPM tiba lebih kurang pukul lapan lebih. Aku turut mengangkat jenazah sahabatku untuk diletakkan ke atas pembaringan di dalam keranda seterusnya ke dalam kenderaan itu.

Di masjid UPM, ramai sekali orang sedang menunggu untuk menyembahyang jenazah beliau. Aku tidak mahu ketinggalan dalam tujuan itu. Selepas itu dalam pukul 9 lebih jenazah dibawa ke tanah perkuburan UPM yang terletak di atas sebuah bukit. Aku melihat jenazah sahabatku dibaringkan mengiring di dalam liang lahad itu dan sedikit demi sedikit tanah merah mula menutup tubuh sahabat aku dengan begitu padat. Setelah itu upacara tahlil dan prosedur menalkinkan jenazah dilakukan oleh Imam. Semasa proses itu berlangsung imam yang mengurus upacara itu turut menangis teresak-esak sehingga adakalanya tidak kedengaran suaranya.

Aku sempat memerhatikan anak-anak arwah sahabatku yang masih kecil itu seramai 3 orang dan seorang lagi di dalam kandungan ibunya. Anak-anak itu tidak tahu apa-apa, tidak tahu bahawa ayah yang membesarkan mereka sudah kembali kepada Allah dan tidak akan bersama mereka lagi. Perkara mengandung ini ada disampaikan kepada aku oleh arwah lebih kurang sebulan yang lalu. Aku turut bergurau dengan beliau apabila dia memberitahu isterinya mengandung. Sedih dan sebak apabila aku memeluk anak sulungnya yang bernama Irfan. Masa depan yang masih jauh dengan ketiadaan seorang bapa untuk memandu hala tuju kehidupan mereka. Bersama rakan-rakan lain kami akan berbincang selepas ini apa yang wajar dan perlu dilakukan untuk membantu meringankan masalah ini, membantu dengan kadar yang mampu untuk meneruskan legasi beliau, maksudku masa depan anak-anak beliau.

Untuk sahabatku Ramzi, walaupun sudah masuk hari kedua kau meninggalkan kami, wajah kau tetap bermain di dalam ingatanku, mengenangkan saat-saat akhir kita bersama iaitu ke kota Damansara untuk memeriksa keadaan sakit yang kau hadapi. Apatah lagi suaramu yang masih kedengaran di telingaku sehari sebelum kau diarah pulang kepada empunya hak. Sepertimana yang aku janjikan pada diriku, aku akan sentiasa menghadiahkan fatihah untukmu setiap kali aku berhadapan denganNya dan memohon kepadaNya agar dipermudahkan urusan mu di alam barzakh yang sedang kau lalui. Insyaallah.

Dan kepada manusia yang bernama Zahri, aku mendoakan kepada Allah agar terbukalah pintu hatimu melalui episod ini agar dibuka ruang keinsafan bahawa kita ini adalah kepunyaan Dia Yang Maha Esa. Tidak seharusnya apabila kita diberi peluang menjadi Ketua di dalam sesebuah organisasi maka kita bebas melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati seseorang tanpa memikirkan perasaan dan keadaan ahli yang membentuk organisasi itu. Setiap perbuatan kita akan dipersoalkan kembali, itu adalah pasti. Kita mungkin berjaya dan terlepas pada hari ini tetapi hari esok belum tentu lagi. Masih belum terlambat untuk memohon ampun daripadaNya.

Inallillah Wa Inallillah Hi Rajiuun.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...