Sudah lama aku tak berjumpa dengan Ayahanda. Entah dia gembira atau sebaliknya apabila aku balik nanti, tidak dapatlah hendak aku jangkakan. Cuma dalam diri ini beranggapan yang baik sahaja. Hampir setengah tahun tidak ketemu, sudah tentu pelbagai perkara yang akan ditanya dan dipertanyakan. Mana yang boleh aku jawab, aku akan jawab.
Tidak menghubungi beliau bukan bermakna aku derhaka atau tidak mengingatinya. "Setiap saat hati ini mengingati dia". Kalau hendak hendak dikatakan rindu, memang tidak berdaya untuk aku melafazkannya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Manakan boleh aku sebagai anak boleh melupakan beliau apatah lagi menderhaka. Teringat aku kisah Hang Jebat yang dikatakan menderhaka itu. Aku sering terfikir apakah benar Hang Jebat itu menderhaka? Seorang anak melayu yang diisikan dengan maklumat alam yang penuh jisim-jisim seruan Maha Kuasa, mana mungkin dia boleh menjadi derhaka.
Aku bukan Hang Jebat bukan juga Hang Tuah. Aku juga diberi sedikit kekuatan sepertimana yang terdapat kepada kedua-dua pendekar melayu yang unggul ini. Kekuatan untuk aku meneruskan agenda yang diamanahkan kepada aku. Amanah untuk mengimarakkan lagi alam yang sudah semakin uzur dek kerakusan penghuninya yang tidak tidak tahu untuk berterima kasih atas kesudian mengizinkan kita berada di atasnya.
Mana bisa aku melupakan tunjuk ajar, didikan dan panduan mutlak yang diperturunkan kepada aku oleh seseorang yang aku panggil dengan nama Ayahanda. Tidak sesekali akan aku lupakan. Walaupun dimarahi atau disergah dengan apa cara sekalipun, hormat dan sayang aku terhadap beliau tidak akan padam walaupun apabila aku dipanggil kembali ke tempat asal aku nanti. Aku tidak perlu untuk membuktikan kepada sesiapa hatta sehebat mana sekalipun dari anak-anak beliau yang lain.
Aku telah diajar dengan acuan yang terdapat di dalam diri aku. Peduli aku dengan acuan orang lain. Yang merasa bahang panas, sejuk kaku, pahit maung manis derita dan sebagainya adalah acuan aku. Aku telah diajar untuk menjadi sebegitu rupa. Dalam dan luar adalah serupa walaupun terdapat kelainan sekirannya ada, adalah merupakan satu yang tidak boleh dipisahkan. Berpisah salah satu maka hancurlah aku. Hancur atau tidak bukanlah tugas aku untuk memikirkannya. Aku sekadar pinjaman untuk sementara sahaja dan akan kembali kepada tuannya nanti. Inilah yang dikabarkan kepada aku oleh sesusuk tubuh kerdil yang bernama Ayahanda.
Aku dengan alam aku, orang lain dengan alam mereka. Kaedah, cara atau metodolgi apa sekalipun boleh dipraktikkan asalkan tidak lari dari batas-batas yang telah dipupuk pada peringkat awal dahulu lagi. Saat untuk penyatuan tetap akan berlaku. Yang pasti saat dan ketika yang telah dimaktubkan tetap dan wajib akan berlaku.
Untuk Ayahanda yang sentiasa aku dalam ingatannya, percayalah aku tetap menyayangimu. Aku akan kembali merafak sembah penuh dengan alunan dan hayunan umpama merak memperagakan kilauan bulunya dan umpama sang harimau yang menjeling bersedia untuk menunjukkan gerak langkahnya. Itulah jawapan yang akan aku kabarkan kepada mu, Ayahanda ku.
No comments:
Post a Comment