Sama ada kita sedari atau tidak, sudah banyak milik kaum muslimin atau umat Islam yang hilang. Tetapi yang sering kita dengar baik dari mulut para pemimpin, ulama, penceramah, para pejuang Islam atau orang kebanyakkan ialah berkaitan ilmu pengetahuan sahaja, hinggakan hampir semua orang tahu bahkan mereka juga mengakui bahawa umat Islam telah kehilangan ilmu pengetahuan.
Sedangkan pada suatu masa dahulu umat Islamlah yang membawa ilmu dan menguasainya dalam pelbagai bidang.Sebelum ini umat Islam pernah menguasai ilmu selain yang bersumberkan Al Quran dan Hadis seperti ilmu falsafah, sains, kedoktoran, ilmu falak atau kaji bintang, geografi, sejarah, matematik, kesusasteraan dan lain-lain lagi. Dalam menguasai ilmu daripada Al Quran dan Hadis pula ramai yang pakar dalam ilmu tauhid, fekah, tasauf, tafsir, sirah dan lain-lain lagi.
Di waktu itu umat Islam menjadi tempat rujuk di dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Maka berbondong-bondonglah manusia dari pelbagai bangsa di dunia mendekati malah meneroka Negara umat Islam kerana mempelajari ilmu dari berbagai bidang itu.Sebenarnya ilmu yang dimiliki oleh orang-orang Barat sekarang ini, asalnya adalah warisan daripada ilmu yang pernah dimiliki oleh umat Islam. Kemudian mereka pula mempelajari, mendalaminya, memperluas dan memperkembangkannya sehingga mereka pula menjadi pakar kepada bangsa-bangsa lain di dunia ini. Termasuk juga umat Islam yang kini terpaksa pula mempelajari ilmu yang pernah menjadi hak mereka daripada orang-orang barat pula.
Oleh kerana kehilangan ilmu pengetahuan ini, sering disebut-sebut di dalam ucapan dan tulisan, maka ramai yang tidak nampak perkara-perkara lain yang telah hilang daripada umat Islam selain dari ilmu pengetahuan sahaja. Yang sebenarnya banyak perkara yang telah hilang dan ada sesetengahnya wajib kita dapatkan semula demi keselamatan di dunia dan akhirat.Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa secara khususnya umat Islam telah kehilangan perkara-perkara berikut:
1. pemimpin yang adil
2. ulama yang berani
3. sifat malu daripada kaum wanita
4. sifat sabar fakir miskin
5. sifat pemurah orang kaya
6. sifat tawadhuk golongan atasan
7. ilmu pengetahuan dari ahli ibadah
8. sifat lemah lembut dan bijaksana dari pejuang Islam
9. rasa khusyuk sembahyang
10. rasa amanah bila diberi tanggungjawab.
Manakala kehilangan secara umum pula adalah seperti berikut:
1. hilang ilmu pengetahuan
2. hilang akhlak dan budi pekerti
3. hilang rasa cemburu terhadap agama dan terhadap kaum wanita
4. hilang perpaduan
5. hilang rasa sabar, redha, qanaah, bertuhan, takut Tuhan, cinta akhirat
6. hilang sifat tolak ansur
7. hilang persahabatan
8. kehilangan perlembagaan Islam dan tamadun Islam.
Begitu banyak kehilangan yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan kalau begitu keadaannya, dalam ertikata lain umat Islam secara umum telah menjadi miskin dalam semua hal dan keadaan. Miskin dari segi material, miskin dari segi moral, miskin yang bersifat dunia mahupun yang bersifat akhirat. Miskin yang bersifat maddi mahupun yang bersifat maknawi atau rohani.
Jika kita ingin mengembalikan sesuatu yang telah hilang hingga umat Islam dapat memilikinya semula, sudah tentu ia memerlukan satu perjuanagn yang bukan calang-calang atau main-main. Kita memerlukan satu perjuangan yang gigih, tersusun, berdisiplin, kepimpinan yang boleh menjadi contoh terutama dari segi ketaqwaannya dan ilmunya. Perjuangan ini juga memerlukan pengorbanan apa sahaja, ketaatan dan kesetiaan pengikut. Perjuangan yang terus menerus tanpa henti serta kebijaksanaan dan akhir sekali memerlukan `role model' di kalangan para pejuang dan pemimpin-pemimpinnya.
Amat malang sekali apabila umat Islam hanya memandang serius akan kehilangan ilmu pengetahuan sahaja sedangkan kehilangan banyak perkara-perkara lain tidak dianggap begitu penting. Maka usaha untuk mengembalikan kehebatan Islam kurang diambil perhatian atau tidak begitu serius diperjuangkan.
Lantaran itu kehilangan perkara selain daripada ilmu pengetahuan itu sudah terasa amat payah untuk dicari semula. Malah terdapat sesetengah umat Islam tidak mengambil berat langsung mengenai solat, akhlak, ukhwah, kasih sayang dan sebagainya. Bahkan umat Islam sendiri tidak terasa lagi akan kehilangan iman, rasa sabar, rasa redha, rasa pemurah, kasih sayang dan tolak ansur dan banyak lagi.
Sebagai contohnya apabila ada seorang murid yang jadi harapan tidak lulus dalam peperiksaan, sudah tentu ibu bapa kepada murid tersebut merasa susah hati dan risau. Kemudian ibu bapa dan guru tersebut akan memberi berbagai-bagai panduan, nasihat dan cara serta tekanan dikenakan bagi memastikan murid itu lulus pada masa akan datang. Tetapi jika murid tersebut tidak solat, tidak berakhlak, tidak berukhwah, tidak sabar, guru atau ibu bapa tidak bising atau susah hati. Tidak pula kedengaran untuk memberi nasihat, ingatan atau memberi tekanan supaya murid itu solat atau berakhlak mulia. Kalau pun ada ianya Cuma dipandang macam perkara biasa sahaja dan tidak begitu menekan sangat.
Mengapa semua golongan begitu resah dan sibuk sekali untuk mengambil tahu dan memberi perhatian akan kehilangan ilmu? Jika sesuatu bangsa itu mundur ilmu pengethuannya, semua golongan susah hati tetapi jika ilmu pengetahuan sesuatu bangsa itu tinggi apatah lagi cemerlang semua orang suka? Kerana dengan ilmu itu mereka hendak menjadikan alat untuk mendapat keuntungan di dunia. Apabila kita menyebut solat, iman, taqwa, akhlak, sabar mereka berpandangan bahawa itu adalah lebih kepada urusan peribadi dan tiada hubungan dengan keuntungan dunia.
Sekiranya begitulah keadaannya sudah tentulah amat sukar untuk mengembalikan kehebatan Islam kerana umat Islam memandang kehilangan itu semua tidak merugikan dan tidak menguntungkan pula kalau dapat. Begitulah rosaknya jiwa dan cara berfikir umat Islam hari ini. Padahal kekuatan umat Islam, survivalnya, kemerdekaannya, kedaulatan, kemajuan, kejayaan, kebahagiaan, keharmoniannya, bukan ditentukan oleh faktor ilmu semata-mata. Oleh itu kita sebagai umat Islam wajib berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semua yang hilang daripada umat Islam agar ia menjadi hak mutlak kita semula. Di sanalah terletaknya kesemuanya kemuliaan dan kehebatan kita.
No comments:
Post a Comment