Sunday, August 23, 2009

AKU DAN KENANGAN 1

Entah kenapalah agaknya, apabila melihat isu-isu yang terjadi sekarang ini, fikiran aku sering hendak kembali kepada kisah-kisah lama. Apakah perkaitan yang hendak ditunjukkan kepada aku? Mungkin dalam penceritaan aku ini ada sesuatu yang hendak ditunjukkan. Entahlah!

Di sini aku ingin menyingkap kenangan silam semasa berada di dalam zaman budak-budak satu ketika dahulu. Mungkin aku mulakan cerita lama ini bermula pada penghujung tahun 60an. Memori pada ketika itu adalah teringat sikit-sikit. Aku sebenarnya tinggal bersama datuk, nenek dan mak cik (semuanya arwah) di kampung Sempang Jeram dekat Bakri Muar. Jarak dari kampung Sempang Jeram dengan Bandar Muar adalah lebih kurang 3 ½ batu. Kalau diperhatikan sekarang jarak itu memanglah dekat kerana di sepanjang jalan itu sekarang sudah dipenuhi apa yang dikatakan pembangunan pesat. Jadi tidaklah terasa jauhnya. Tetapi kalau hendak dibandingkan pada masa itu, memang terasa jauh. Al-maklumlah dengan pengangkutan awam yang terhad. Walau bagaimana pun aku berjaya juga dapat mengayuh basikal dari kampung aku itu ke Bandar Muar malahan menyeberangi Sungai Muar untuk ke Parit Bunga dan Kesang. Ini semua cerita zaman tengah gagah mengayuh basikal jantan.

Aku hendak ceritakan tentang suasana dan sedikit latar belakang kampung Sempang Jeram ini. Suasana persekitaran di kampung aku pada waktu itu boleh dikatakan dikelilingi pokok-pokok getah. Manakala di halaman setiap rumah boleh dikatakan ada pokok rambutan. Ada pokok rambutan kuning dan merah. Di rumah datuk aku pulak dekat tepi rumah ada pokok kuini di samping beberapa pokok rambutan gading (kuning) di tepi halaman rumah.

Pekerjaan utama penduduk kampung pada ketika itu ialah menoreh pokok getah. Kebun-kebun getah menyelubungi keseluruhan kawasan kampung aku dan kampung-kampung bersebelahan. Di celah-celah itu ada pokok buah-buahan utama seperti durian, rambutan, manggis dan rambai. Ada sebuah sahaja rumah di seberang jalan depan rumah datuk aku yang mempunyai sebatang pokok buah asam kundang. Buah asam kundang ini memang manis betul. Jadi apabila buah asam kundang masak, tuan punya pokok berpeluang buat bisnis. Kalau siapa hendak beli kenalah panjat sendiri dan tuan pokok menanti di bawah sahaja.

Memandangkan keseluruhan kawasan kampung aku ini dikelilingi pokok getah, jadi kalau rumah-rumah orang kampung pun dikelilingi pokok-pokok getah juga. Pada waktu malam akan nampaklah cahaya-cahaya lampu rumah di sebalik pokok-pokok getah itu. Kemudahan elektrik dan air memang sudah ada pada masa itu. Tetapi ada juga kediaman yang menggunakan lampu gas (lampu gasolin) atau pelita. Itulah gambaran kesenangan dan kesusahan pada masa itu.

Ada satu mercu tanda di kampung aku pada ketika itu iaitu sebuah paip air betul-betul terletak di tepi jalan. Ianya terletak sebelum sampai ke rumah datuk aku. Ada sebuah keluarga yang menyewa rumah di tanah datuk aku di seberang jalan itu. Keluarga inilah yang akan menggunakan paip tepi jalan ini untuk kegunaan harian mereka. Bahkan ada juga keluarga lain yang menggunakannya. Di situlah mereka akan bermandi-manda dan membasuh pakaian. Macam-macam gelagat ada yang berkemban dan sebagainya. Kalau kita lalu lalang dekat situ janganlah cuba nak ngorat-ngorat atau kutuk-kutuk, garenti kena simbah dengan air. Mana-mana yang terlebih degil macam kawan-kawan sekampung dulu, ada yang kena kejar dan kena baling dengan batu atau kayu.

Ini hendak cerita pasal zaman sekolah pulak. Walau pun di kampung itu ada sebuah sekolah kebangsaan tetapi aku telah di hantar untuk bersekolah di bandar Muar iaitu di Ismail School 2 yang terletak di Jalan Daud Muar. Sekolah ini adalah beraliran Inggeris. (Rupa-rupanya datuk aku dulu sudah nampak PPSMI). Sekolah ini berkongsi dengan Ismail School 1. Jadi semasa dalam standard 1, kami bersekolah pagi, standard 2 sekolah petang dan begitulah sehingga tamat standard 6. Bergilir dengan Ismail School 1. Padang sekolah akan berkongsi dengan Sekolah Menengah Dato’Amar DiRaja Muar.

Masa awal persekolahan aku naik kereta yang dibayar secara bulanan. Tuan punya kereta itu adalah orang kampung aku juga. Nama dia kalau tidak silap Haji Deraman orang panggil. Dia seorang sahaja yang ada kereta di kampung aku pada masa itu. Aku naik kereta ke sekolah cuma setakat standard 3 saje. Lepas itu kena naik bas sekolah. Bas sekolah ini pulak tidak masuk ke jalan kampung aku walau pun sudah bertar. Mestilah bertar sebab kediaman rumah Menteri Besar Johor (Datuk Othman Saat) pada masa itu terletak di Kampung Tengah dan untuk ke sana mesti melalui kampung Sempang Jeram.

Unifom sekolah semasa aku berada di sekolah rendah memang berbeza dengan sekolah kebangsaan. Kami dikehendaki memakai seluar pendek berwarna coklat dan berbaju putih siap dengan lencana sekolah yang dijahit. Aku masih ingat seluar sekolah yang pakai diperbuat dari kain tebal dan sentiasa berkanji. Boleh luka parah peha aku dibuatnya. Sudahlah tu dia punya kembang macam skirt pulak jadinya.

Semasa di standard 1, bag sekolah yang aku pakai betul-betul macam briefcase yang orang-orang korporat guna sekarang ini. Masa itu sudah terasa hebatnya bila pakai bag sekolah macam itu. Apabila naik ke standard 3, aku tidak mahu pakai lagi bag briefcase itu. Sebaliknya mula menggunakan bag macam raga yang dianyam dengan rotan siap dengan tangkai untuk di sangkut pada bahu. Masa itu ramailah yang pakai bag raga macam tu. Inilah yang dikatakan mengikuti perkembangan fesyen.

Kalau tidak silap aku apabila naik standard 5 atau 6 barulah kami semua kena pakai seluar pendek berwarna biru tua. Sayang juga hendak buang seluar sekolah berwarna coklat macam dalam filem P. Ramlee ”Penarik Beca” itu.

Aku masih ingat juga semasa aku dalam standard 3. Ada satu peraduan menulis karangan mengenai kesihatan gigi. Aku turut menyertai peraduan tersebut dengan dibantu oleh salah seorang uncle aku semasa di rumah. Arwah uncle aku yang garang inilah yang banyak memberi motivasi (masa itu tak ada lagi perkataan motivasi ni) kepada aku. Dia kata disamping fakta, tulisan mesti cantik macam tulisan dalam buku teks. Maka aku pun turutlah segala nasihat itu.

Semasa dalam satu perhimpunan tengahari, aku ni sebok berbual dengan kawan-kawan, tidak dengar nama aku dipanggil sebagai pemenang tepat pertama peraduan menulis karangan itu. Hadiahnya cukup menarik iaitu lebih kurang macam hamper jugaklah yang mengandungi beberapa tin susu tepung, berus gigi beserta ubat gigi dan entah apa lagi tak ingat dah. Tidak lupa juga ada sebuah trofi dan medal. Masa itu terasa kembang hidung dibuatnya. Semasa berada di atas pentas menerima hadiah utama itu, huuh! Kalau sekarang ini macam dalam AF (Akademi Fantasia) itulah. Sebulan bercerita tak habis-habis.

Sekolah kita orang ini juga terlibat di dalam pertandingan dan perarakan kereta berhias sempena keputeraan Sultan Johor pada masa itu. Sekolah kami telah membina seekor harimau (reclining tiger) yang cukup besar. Memang realistik betul rupa harimau itu. Semasa malam perarakan itu, adalah beberapa orang guru kami berpakaian kebaya, congsan dan sari, tersengih-sengih dekat tepi harimau sambil melambai-lambaikan bendera Johor. Tidak sia-sia jugalah guru-guru itu menjual sengih dan senyum apabila harimau belang sekolah kami diistiharkan juara.

Lama jugalah hayat harimau belang yang menjadi juara itu terbaring dekat tepi padang perhimpunan. Kalaulah pada masa itu ada digital camera atau camera fon, aku rasa mahu penuh album kesemua pelajar sekolah ini. Apa tidaknya posing dekat harimau yang menjadi juaralah katakan.

Bercerita pulak mengenai pemberian makanan percuma kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Setiap hari semasa rehat berebut menghulurkan tangan hendak mendapatkan makanan tersebut. Hendak tahu apa makanannya sampai berebut-rebut bagai nak gila tu, roti seorang dua keping aje. Rebut punya rebut sampai roti dua keping itu jadi sepuluh kepingan kecil. Bukan anak orang susah sahaja yang berebut, yang ada duit pun turut berebut sekali. Lepas makan roti mulalah tercekik tekak, berebut pulak kat paip-paip air. Roti diberi tetapi air tidak, apalah malangnya nasib pada zaman itu.

Aku juga masih ingat semasa di standard 2, ada perlawanan tinju di antara Muhamad Ali dengan Joe Fraser kalau tidak silaplah. Maka semua murid-murid kena pergi ke dewan untuk menonton siaran langsung di kaca TV. Masa itu black and white sajelah. Baik guru apatah lagi murid-murid sekolah bagai nak roboh dewan sekolah dibuatnya. ”Tumbuk. Tumbuk....Ali...Ali...ada juga yang menyebut Fraser..Fraser. Alamat kena boo lah siapa yang menyokong Joe Fraser. Selepas habis menonton, baliklah semula ke kelas dan sambung kembali pelajaran.

Bab ini aku hendak ceritakan pasal basikal dan pengalaman mula-mula naik basikal. Dari rumah datuk aku ke jalan utama atau jalan besar, nampak dekat tapi kalau jalan kaki terasa juga jauhnya. Kadang-kadang datuk aku kena hantar aku kat Sempang Jeram itu naik basikal. Dulu orang panggil basikal jantan (basikal ini ada palang di tengah dan untuk dikayuh oleh orang jantan sahaja, manakala basikal betina tidak ada palang di tengah sebaliknya berbentuk V-Shape dan memudahkan orang perempuan naik basikal. Orang lelaki bila dia hendak naik basikal, dia kena hayun kaki macam hendak naik kuda baru boleh kayuh. Orang perempuan akan naik secara mengiring dan bila berkayuh nampak macam lutut bertemu lutut. Cukup sopan. Orang lelaki masa berkayuh kaki dia nampak terkangkang sebab palang di tengah-tengah itu lah. Kalau orang perempuan naik basikal jantan, nampak jelas hodohnya. Kalau orang lelaki naik basikal betina, alamak nampak lembut-lembutnya.) Ini cerita pada masa itu dan malas aku hendak bandingkan dengan zaman sekarang.

Aku hendak cerita sedikit aku mula-mula belajar naik basikal.Yang mengajar aku ialah uncle aku yang bongsu. Aku panggil dia Pok Su. Seperti biasa naik basikal jantan kepunyaan datuk aku. Aku kena kepit tempat duduk bawah ketiak tangan kanan dan berkayuh. Handel pulak dipegang dengan tangan kiri. Cuba bayangkan macamana rupanya. Nasib baik pada masa itu belum terfikir istilah mat rempit sebab gaya yang aku belajar itu samalah macam yang mat rempit buat sekarang. Cuma mat rempit banyak tersadai di tepi jalan tapi aku tenggelam separuh dalam longkang.

Berek pulak sama ada dengan kaki atau diberhentikan dengan batang pokok atau ada orang yang sambut atau terus meluncur ke dalam parit. Bila dah pandai sedikit mulalah berkayuh dengan duduk dekat kariar belakang. Pun sama juga akan berakhir di dalam parit. Akhirnya berjaya juga aku naik basikal cara koboi naik kuda.

Aku dengan kawan-kawan, kalau pasal bab menjaga basikal memang tidak boleh lawan. Basikal kami rimnya sentiasa berkilat. Ini belum ditambah dengan aksesorinya lagi. Dengan lampu kelip-kelipnya dan ada pulak dipasang dengan bendera kecil depan belakang basikal. Waktu malam pula, lampu basikal kami berwarna-warni. Semuanya kami buat lepas mendapat ilmu belajar sains di sekolah. Terus buat praktikal. Beli lampu, wayar, bateri lampu suluh dan yang berkaitan dengannya.

Yang seronoknya setiap rumah kami ada workshop basikal masing-masing. Dekat dinding mini workshop itu ada tergantung spanar, scew driver, plier, tukul besi, minyak tanah dan lain-lain lagi. Betul-betul macam bengkel mekaniklah gayanya. Apa tidaknya bila tengah mengerjakan basikal tentu tangan akan berminyak dan bertompok. Kadang-kadang tidak perasan tompok minyak hitam ada di muka. Ada juga kawan-kawan aku yang sengaja menyapu minyak kat muka supaya nampak macam real mekanik.

Ada satu ketika dulu, basikal kami akan menarik tin-tin susu, milo atau planta. Tin-tin ini kami tebuk lubang kiri kanan dan masukkan dawai dan ikat bersambung-sambung mengikut jumlah tin yang dapat. Kalau ditarik betul-betul macam roda stemrol tulah. Lepas itu kami akan ikat dan tarik deretan tin-tin yang diisi dengan ketulan-ketulan batu di belakang basikal masing-masing. Satu kampung Sempang Jeram akan menjadi riuh dengan bunyi gelekkan tin-tin itu. Kawan-kawan yang tidak ada basikal pun akan tarik juga tetapi secara manual lah. Yang penting nak dengar bunyi, itu sahaja. Bayangkan kalau di tarik atas jalanraya. Betapa punya bisinglah dibuatnya. Inilah yang dikatakan basikal berbunyi enjin.. Lembu-lembu yang sedang enjoy meragut rumput, garenti tension dibuatnya.

Zaman itu mana ada fikir nak naik motor. Yang ada kat kampung aku ialah motor vespa dan lamretta. Tuan punya motor vespa semuanya bergaya macam alahyarham A. Ramli dengan jambul sebesar penumbuk atau orang kata jambul sekapal. Usah mimpilah dapat naik, nak tengok dekat pun dah kena bunyi berdehem.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...