PERHATIAN!
Untuk makluman rakan-rakan, saya ada meletakkan beberapa widget untuk digunakan sambil melayari blog ini. Antaranya MUSIC-boleh browse radio channel mengikut genre (on your right), SYMPTON CHECKER-boleh check kesakitan di tubuh dan mendapat nasihat (Below-pls scroll down), dan FREE TV CHANNEL AROUND THE WORLD-browse dan click mana-mana negara dan channel yang ingin ditonton (Below-pls scroll down also).
I will add up more interesting widgets from time to time to share with you. Hope you enjoy it. Thank you.
Monday, August 24, 2009
Sunday, August 23, 2009
AKU DAN KENANGAN 1
Entah kenapalah agaknya, apabila melihat isu-isu yang terjadi sekarang ini, fikiran aku sering hendak kembali kepada kisah-kisah lama. Apakah perkaitan yang hendak ditunjukkan kepada aku? Mungkin dalam penceritaan aku ini ada sesuatu yang hendak ditunjukkan. Entahlah!
Di sini aku ingin menyingkap kenangan silam semasa berada di dalam zaman budak-budak satu ketika dahulu. Mungkin aku mulakan cerita lama ini bermula pada penghujung tahun 60an. Memori pada ketika itu adalah teringat sikit-sikit. Aku sebenarnya tinggal bersama datuk, nenek dan mak cik (semuanya arwah) di kampung Sempang Jeram dekat Bakri Muar. Jarak dari kampung Sempang Jeram dengan Bandar Muar adalah lebih kurang 3 ½ batu. Kalau diperhatikan sekarang jarak itu memanglah dekat kerana di sepanjang jalan itu sekarang sudah dipenuhi apa yang dikatakan pembangunan pesat. Jadi tidaklah terasa jauhnya. Tetapi kalau hendak dibandingkan pada masa itu, memang terasa jauh. Al-maklumlah dengan pengangkutan awam yang terhad. Walau bagaimana pun aku berjaya juga dapat mengayuh basikal dari kampung aku itu ke Bandar Muar malahan menyeberangi Sungai Muar untuk ke Parit Bunga dan Kesang. Ini semua cerita zaman tengah gagah mengayuh basikal jantan.
Aku hendak ceritakan tentang suasana dan sedikit latar belakang kampung Sempang Jeram ini. Suasana persekitaran di kampung aku pada waktu itu boleh dikatakan dikelilingi pokok-pokok getah. Manakala di halaman setiap rumah boleh dikatakan ada pokok rambutan. Ada pokok rambutan kuning dan merah. Di rumah datuk aku pulak dekat tepi rumah ada pokok kuini di samping beberapa pokok rambutan gading (kuning) di tepi halaman rumah.
Pekerjaan utama penduduk kampung pada ketika itu ialah menoreh pokok getah. Kebun-kebun getah menyelubungi keseluruhan kawasan kampung aku dan kampung-kampung bersebelahan. Di celah-celah itu ada pokok buah-buahan utama seperti durian, rambutan, manggis dan rambai. Ada sebuah sahaja rumah di seberang jalan depan rumah datuk aku yang mempunyai sebatang pokok buah asam kundang. Buah asam kundang ini memang manis betul. Jadi apabila buah asam kundang masak, tuan punya pokok berpeluang buat bisnis. Kalau siapa hendak beli kenalah panjat sendiri dan tuan pokok menanti di bawah sahaja.
Memandangkan keseluruhan kawasan kampung aku ini dikelilingi pokok getah, jadi kalau rumah-rumah orang kampung pun dikelilingi pokok-pokok getah juga. Pada waktu malam akan nampaklah cahaya-cahaya lampu rumah di sebalik pokok-pokok getah itu. Kemudahan elektrik dan air memang sudah ada pada masa itu. Tetapi ada juga kediaman yang menggunakan lampu gas (lampu gasolin) atau pelita. Itulah gambaran kesenangan dan kesusahan pada masa itu.
Ada satu mercu tanda di kampung aku pada ketika itu iaitu sebuah paip air betul-betul terletak di tepi jalan. Ianya terletak sebelum sampai ke rumah datuk aku. Ada sebuah keluarga yang menyewa rumah di tanah datuk aku di seberang jalan itu. Keluarga inilah yang akan menggunakan paip tepi jalan ini untuk kegunaan harian mereka. Bahkan ada juga keluarga lain yang menggunakannya. Di situlah mereka akan bermandi-manda dan membasuh pakaian. Macam-macam gelagat ada yang berkemban dan sebagainya. Kalau kita lalu lalang dekat situ janganlah cuba nak ngorat-ngorat atau kutuk-kutuk, garenti kena simbah dengan air. Mana-mana yang terlebih degil macam kawan-kawan sekampung dulu, ada yang kena kejar dan kena baling dengan batu atau kayu.
Ini hendak cerita pasal zaman sekolah pulak. Walau pun di kampung itu ada sebuah sekolah kebangsaan tetapi aku telah di hantar untuk bersekolah di bandar Muar iaitu di Ismail School 2 yang terletak di Jalan Daud Muar. Sekolah ini adalah beraliran Inggeris. (Rupa-rupanya datuk aku dulu sudah nampak PPSMI). Sekolah ini berkongsi dengan Ismail School 1. Jadi semasa dalam standard 1, kami bersekolah pagi, standard 2 sekolah petang dan begitulah sehingga tamat standard 6. Bergilir dengan Ismail School 1. Padang sekolah akan berkongsi dengan Sekolah Menengah Dato’Amar DiRaja Muar.
Masa awal persekolahan aku naik kereta yang dibayar secara bulanan. Tuan punya kereta itu adalah orang kampung aku juga. Nama dia kalau tidak silap Haji Deraman orang panggil. Dia seorang sahaja yang ada kereta di kampung aku pada masa itu. Aku naik kereta ke sekolah cuma setakat standard 3 saje. Lepas itu kena naik bas sekolah. Bas sekolah ini pulak tidak masuk ke jalan kampung aku walau pun sudah bertar. Mestilah bertar sebab kediaman rumah Menteri Besar Johor (Datuk Othman Saat) pada masa itu terletak di Kampung Tengah dan untuk ke sana mesti melalui kampung Sempang Jeram.
Unifom sekolah semasa aku berada di sekolah rendah memang berbeza dengan sekolah kebangsaan. Kami dikehendaki memakai seluar pendek berwarna coklat dan berbaju putih siap dengan lencana sekolah yang dijahit. Aku masih ingat seluar sekolah yang pakai diperbuat dari kain tebal dan sentiasa berkanji. Boleh luka parah peha aku dibuatnya. Sudahlah tu dia punya kembang macam skirt pulak jadinya.
Semasa di standard 1, bag sekolah yang aku pakai betul-betul macam briefcase yang orang-orang korporat guna sekarang ini. Masa itu sudah terasa hebatnya bila pakai bag sekolah macam itu. Apabila naik ke standard 3, aku tidak mahu pakai lagi bag briefcase itu. Sebaliknya mula menggunakan bag macam raga yang dianyam dengan rotan siap dengan tangkai untuk di sangkut pada bahu. Masa itu ramailah yang pakai bag raga macam tu. Inilah yang dikatakan mengikuti perkembangan fesyen.
Kalau tidak silap aku apabila naik standard 5 atau 6 barulah kami semua kena pakai seluar pendek berwarna biru tua. Sayang juga hendak buang seluar sekolah berwarna coklat macam dalam filem P. Ramlee ”Penarik Beca” itu.
Aku masih ingat juga semasa aku dalam standard 3. Ada satu peraduan menulis karangan mengenai kesihatan gigi. Aku turut menyertai peraduan tersebut dengan dibantu oleh salah seorang uncle aku semasa di rumah. Arwah uncle aku yang garang inilah yang banyak memberi motivasi (masa itu tak ada lagi perkataan motivasi ni) kepada aku. Dia kata disamping fakta, tulisan mesti cantik macam tulisan dalam buku teks. Maka aku pun turutlah segala nasihat itu.
Semasa dalam satu perhimpunan tengahari, aku ni sebok berbual dengan kawan-kawan, tidak dengar nama aku dipanggil sebagai pemenang tepat pertama peraduan menulis karangan itu. Hadiahnya cukup menarik iaitu lebih kurang macam hamper jugaklah yang mengandungi beberapa tin susu tepung, berus gigi beserta ubat gigi dan entah apa lagi tak ingat dah. Tidak lupa juga ada sebuah trofi dan medal. Masa itu terasa kembang hidung dibuatnya. Semasa berada di atas pentas menerima hadiah utama itu, huuh! Kalau sekarang ini macam dalam AF (Akademi Fantasia) itulah. Sebulan bercerita tak habis-habis.
Sekolah kita orang ini juga terlibat di dalam pertandingan dan perarakan kereta berhias sempena keputeraan Sultan Johor pada masa itu. Sekolah kami telah membina seekor harimau (reclining tiger) yang cukup besar. Memang realistik betul rupa harimau itu. Semasa malam perarakan itu, adalah beberapa orang guru kami berpakaian kebaya, congsan dan sari, tersengih-sengih dekat tepi harimau sambil melambai-lambaikan bendera Johor. Tidak sia-sia jugalah guru-guru itu menjual sengih dan senyum apabila harimau belang sekolah kami diistiharkan juara.
Lama jugalah hayat harimau belang yang menjadi juara itu terbaring dekat tepi padang perhimpunan. Kalaulah pada masa itu ada digital camera atau camera fon, aku rasa mahu penuh album kesemua pelajar sekolah ini. Apa tidaknya posing dekat harimau yang menjadi juaralah katakan.
Bercerita pulak mengenai pemberian makanan percuma kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Setiap hari semasa rehat berebut menghulurkan tangan hendak mendapatkan makanan tersebut. Hendak tahu apa makanannya sampai berebut-rebut bagai nak gila tu, roti seorang dua keping aje. Rebut punya rebut sampai roti dua keping itu jadi sepuluh kepingan kecil. Bukan anak orang susah sahaja yang berebut, yang ada duit pun turut berebut sekali. Lepas makan roti mulalah tercekik tekak, berebut pulak kat paip-paip air. Roti diberi tetapi air tidak, apalah malangnya nasib pada zaman itu.
Aku juga masih ingat semasa di standard 2, ada perlawanan tinju di antara Muhamad Ali dengan Joe Fraser kalau tidak silaplah. Maka semua murid-murid kena pergi ke dewan untuk menonton siaran langsung di kaca TV. Masa itu black and white sajelah. Baik guru apatah lagi murid-murid sekolah bagai nak roboh dewan sekolah dibuatnya. ”Tumbuk. Tumbuk....Ali...Ali...ada juga yang menyebut Fraser..Fraser. Alamat kena boo lah siapa yang menyokong Joe Fraser. Selepas habis menonton, baliklah semula ke kelas dan sambung kembali pelajaran.
Bab ini aku hendak ceritakan pasal basikal dan pengalaman mula-mula naik basikal. Dari rumah datuk aku ke jalan utama atau jalan besar, nampak dekat tapi kalau jalan kaki terasa juga jauhnya. Kadang-kadang datuk aku kena hantar aku kat Sempang Jeram itu naik basikal. Dulu orang panggil basikal jantan (basikal ini ada palang di tengah dan untuk dikayuh oleh orang jantan sahaja, manakala basikal betina tidak ada palang di tengah sebaliknya berbentuk V-Shape dan memudahkan orang perempuan naik basikal. Orang lelaki bila dia hendak naik basikal, dia kena hayun kaki macam hendak naik kuda baru boleh kayuh. Orang perempuan akan naik secara mengiring dan bila berkayuh nampak macam lutut bertemu lutut. Cukup sopan. Orang lelaki masa berkayuh kaki dia nampak terkangkang sebab palang di tengah-tengah itu lah. Kalau orang perempuan naik basikal jantan, nampak jelas hodohnya. Kalau orang lelaki naik basikal betina, alamak nampak lembut-lembutnya.) Ini cerita pada masa itu dan malas aku hendak bandingkan dengan zaman sekarang.
Aku hendak cerita sedikit aku mula-mula belajar naik basikal.Yang mengajar aku ialah uncle aku yang bongsu. Aku panggil dia Pok Su. Seperti biasa naik basikal jantan kepunyaan datuk aku. Aku kena kepit tempat duduk bawah ketiak tangan kanan dan berkayuh. Handel pulak dipegang dengan tangan kiri. Cuba bayangkan macamana rupanya. Nasib baik pada masa itu belum terfikir istilah mat rempit sebab gaya yang aku belajar itu samalah macam yang mat rempit buat sekarang. Cuma mat rempit banyak tersadai di tepi jalan tapi aku tenggelam separuh dalam longkang.
Berek pulak sama ada dengan kaki atau diberhentikan dengan batang pokok atau ada orang yang sambut atau terus meluncur ke dalam parit. Bila dah pandai sedikit mulalah berkayuh dengan duduk dekat kariar belakang. Pun sama juga akan berakhir di dalam parit. Akhirnya berjaya juga aku naik basikal cara koboi naik kuda.
Aku dengan kawan-kawan, kalau pasal bab menjaga basikal memang tidak boleh lawan. Basikal kami rimnya sentiasa berkilat. Ini belum ditambah dengan aksesorinya lagi. Dengan lampu kelip-kelipnya dan ada pulak dipasang dengan bendera kecil depan belakang basikal. Waktu malam pula, lampu basikal kami berwarna-warni. Semuanya kami buat lepas mendapat ilmu belajar sains di sekolah. Terus buat praktikal. Beli lampu, wayar, bateri lampu suluh dan yang berkaitan dengannya.
Yang seronoknya setiap rumah kami ada workshop basikal masing-masing. Dekat dinding mini workshop itu ada tergantung spanar, scew driver, plier, tukul besi, minyak tanah dan lain-lain lagi. Betul-betul macam bengkel mekaniklah gayanya. Apa tidaknya bila tengah mengerjakan basikal tentu tangan akan berminyak dan bertompok. Kadang-kadang tidak perasan tompok minyak hitam ada di muka. Ada juga kawan-kawan aku yang sengaja menyapu minyak kat muka supaya nampak macam real mekanik.
Ada satu ketika dulu, basikal kami akan menarik tin-tin susu, milo atau planta. Tin-tin ini kami tebuk lubang kiri kanan dan masukkan dawai dan ikat bersambung-sambung mengikut jumlah tin yang dapat. Kalau ditarik betul-betul macam roda stemrol tulah. Lepas itu kami akan ikat dan tarik deretan tin-tin yang diisi dengan ketulan-ketulan batu di belakang basikal masing-masing. Satu kampung Sempang Jeram akan menjadi riuh dengan bunyi gelekkan tin-tin itu. Kawan-kawan yang tidak ada basikal pun akan tarik juga tetapi secara manual lah. Yang penting nak dengar bunyi, itu sahaja. Bayangkan kalau di tarik atas jalanraya. Betapa punya bisinglah dibuatnya. Inilah yang dikatakan basikal berbunyi enjin.. Lembu-lembu yang sedang enjoy meragut rumput, garenti tension dibuatnya.
Zaman itu mana ada fikir nak naik motor. Yang ada kat kampung aku ialah motor vespa dan lamretta. Tuan punya motor vespa semuanya bergaya macam alahyarham A. Ramli dengan jambul sebesar penumbuk atau orang kata jambul sekapal. Usah mimpilah dapat naik, nak tengok dekat pun dah kena bunyi berdehem.
Thursday, August 20, 2009
KEHILANGAN YANG SAMA ADA DISEDARI ATAU SEBALIKNYA
Sama ada kita sedari atau tidak, sudah banyak milik kaum muslimin atau umat Islam yang hilang. Tetapi yang sering kita dengar baik dari mulut para pemimpin, ulama, penceramah, para pejuang Islam atau orang kebanyakkan ialah berkaitan ilmu pengetahuan sahaja, hinggakan hampir semua orang tahu bahkan mereka juga mengakui bahawa umat Islam telah kehilangan ilmu pengetahuan.
Sedangkan pada suatu masa dahulu umat Islamlah yang membawa ilmu dan menguasainya dalam pelbagai bidang.Sebelum ini umat Islam pernah menguasai ilmu selain yang bersumberkan Al Quran dan Hadis seperti ilmu falsafah, sains, kedoktoran, ilmu falak atau kaji bintang, geografi, sejarah, matematik, kesusasteraan dan lain-lain lagi. Dalam menguasai ilmu daripada Al Quran dan Hadis pula ramai yang pakar dalam ilmu tauhid, fekah, tasauf, tafsir, sirah dan lain-lain lagi.
Di waktu itu umat Islam menjadi tempat rujuk di dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Maka berbondong-bondonglah manusia dari pelbagai bangsa di dunia mendekati malah meneroka Negara umat Islam kerana mempelajari ilmu dari berbagai bidang itu.Sebenarnya ilmu yang dimiliki oleh orang-orang Barat sekarang ini, asalnya adalah warisan daripada ilmu yang pernah dimiliki oleh umat Islam. Kemudian mereka pula mempelajari, mendalaminya, memperluas dan memperkembangkannya sehingga mereka pula menjadi pakar kepada bangsa-bangsa lain di dunia ini. Termasuk juga umat Islam yang kini terpaksa pula mempelajari ilmu yang pernah menjadi hak mereka daripada orang-orang barat pula.
Oleh kerana kehilangan ilmu pengetahuan ini, sering disebut-sebut di dalam ucapan dan tulisan, maka ramai yang tidak nampak perkara-perkara lain yang telah hilang daripada umat Islam selain dari ilmu pengetahuan sahaja. Yang sebenarnya banyak perkara yang telah hilang dan ada sesetengahnya wajib kita dapatkan semula demi keselamatan di dunia dan akhirat.Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa secara khususnya umat Islam telah kehilangan perkara-perkara berikut:
1. pemimpin yang adil
2. ulama yang berani
3. sifat malu daripada kaum wanita
4. sifat sabar fakir miskin
5. sifat pemurah orang kaya
6. sifat tawadhuk golongan atasan
7. ilmu pengetahuan dari ahli ibadah
8. sifat lemah lembut dan bijaksana dari pejuang Islam
9. rasa khusyuk sembahyang
10. rasa amanah bila diberi tanggungjawab.
Manakala kehilangan secara umum pula adalah seperti berikut:
1. hilang ilmu pengetahuan
2. hilang akhlak dan budi pekerti
3. hilang rasa cemburu terhadap agama dan terhadap kaum wanita
4. hilang perpaduan
5. hilang rasa sabar, redha, qanaah, bertuhan, takut Tuhan, cinta akhirat
6. hilang sifat tolak ansur
7. hilang persahabatan
8. kehilangan perlembagaan Islam dan tamadun Islam.
Begitu banyak kehilangan yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan kalau begitu keadaannya, dalam ertikata lain umat Islam secara umum telah menjadi miskin dalam semua hal dan keadaan. Miskin dari segi material, miskin dari segi moral, miskin yang bersifat dunia mahupun yang bersifat akhirat. Miskin yang bersifat maddi mahupun yang bersifat maknawi atau rohani.
Jika kita ingin mengembalikan sesuatu yang telah hilang hingga umat Islam dapat memilikinya semula, sudah tentu ia memerlukan satu perjuanagn yang bukan calang-calang atau main-main. Kita memerlukan satu perjuangan yang gigih, tersusun, berdisiplin, kepimpinan yang boleh menjadi contoh terutama dari segi ketaqwaannya dan ilmunya. Perjuangan ini juga memerlukan pengorbanan apa sahaja, ketaatan dan kesetiaan pengikut. Perjuangan yang terus menerus tanpa henti serta kebijaksanaan dan akhir sekali memerlukan `role model' di kalangan para pejuang dan pemimpin-pemimpinnya.
Amat malang sekali apabila umat Islam hanya memandang serius akan kehilangan ilmu pengetahuan sahaja sedangkan kehilangan banyak perkara-perkara lain tidak dianggap begitu penting. Maka usaha untuk mengembalikan kehebatan Islam kurang diambil perhatian atau tidak begitu serius diperjuangkan.
Lantaran itu kehilangan perkara selain daripada ilmu pengetahuan itu sudah terasa amat payah untuk dicari semula. Malah terdapat sesetengah umat Islam tidak mengambil berat langsung mengenai solat, akhlak, ukhwah, kasih sayang dan sebagainya. Bahkan umat Islam sendiri tidak terasa lagi akan kehilangan iman, rasa sabar, rasa redha, rasa pemurah, kasih sayang dan tolak ansur dan banyak lagi.
Sebagai contohnya apabila ada seorang murid yang jadi harapan tidak lulus dalam peperiksaan, sudah tentu ibu bapa kepada murid tersebut merasa susah hati dan risau. Kemudian ibu bapa dan guru tersebut akan memberi berbagai-bagai panduan, nasihat dan cara serta tekanan dikenakan bagi memastikan murid itu lulus pada masa akan datang. Tetapi jika murid tersebut tidak solat, tidak berakhlak, tidak berukhwah, tidak sabar, guru atau ibu bapa tidak bising atau susah hati. Tidak pula kedengaran untuk memberi nasihat, ingatan atau memberi tekanan supaya murid itu solat atau berakhlak mulia. Kalau pun ada ianya Cuma dipandang macam perkara biasa sahaja dan tidak begitu menekan sangat.
Mengapa semua golongan begitu resah dan sibuk sekali untuk mengambil tahu dan memberi perhatian akan kehilangan ilmu? Jika sesuatu bangsa itu mundur ilmu pengethuannya, semua golongan susah hati tetapi jika ilmu pengetahuan sesuatu bangsa itu tinggi apatah lagi cemerlang semua orang suka? Kerana dengan ilmu itu mereka hendak menjadikan alat untuk mendapat keuntungan di dunia. Apabila kita menyebut solat, iman, taqwa, akhlak, sabar mereka berpandangan bahawa itu adalah lebih kepada urusan peribadi dan tiada hubungan dengan keuntungan dunia.
Sekiranya begitulah keadaannya sudah tentulah amat sukar untuk mengembalikan kehebatan Islam kerana umat Islam memandang kehilangan itu semua tidak merugikan dan tidak menguntungkan pula kalau dapat. Begitulah rosaknya jiwa dan cara berfikir umat Islam hari ini. Padahal kekuatan umat Islam, survivalnya, kemerdekaannya, kedaulatan, kemajuan, kejayaan, kebahagiaan, keharmoniannya, bukan ditentukan oleh faktor ilmu semata-mata. Oleh itu kita sebagai umat Islam wajib berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan semua yang hilang daripada umat Islam agar ia menjadi hak mutlak kita semula. Di sanalah terletaknya kesemuanya kemuliaan dan kehebatan kita.
Monday, August 17, 2009
MELIHAT KEIKHLASAN KITA
AGAMA mengajarkan bahwa semua ibadah hendaknya dilakukan semata-mata ikhlas karena Allah (QS Al-An’am, 6:162-163). Karena hanya dengan niat yang terikhlaslah, akan terjamin kemurnian ibadah yang akan membawa pelaksanaannya dekat kepada Allah. Tanpa adanya keikhlasan hati, mustahil ibadah akan diterima Allah (QS Al-Bayyinah, 98:5)
Al-Nasafi berkata: “Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas. Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata”.
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. [Al-Baqarah, Ayat : 264]
Ikhlas, suatu kata yang sudah tidak asing lagi di telinga kaum muslimin. Sebuah kata yang singkat namun sangat besar maknanya. Sebuah kata yang seandainya seorang muslim terhilang darinya, maka akan rosak dan hancurlah kehidupannya, baik kehidupan dunia apatah lagi kehidupannya di akhirat kelak. Ya itulah dia, sebuah keikhlasan. Amal seorang hamba tidak akan diterima jika amal tersebut dilakukan tidak ikhlas karena Allah.
Allah berfirman yang artinya, “Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya.” (Qs. Az Zumar: 2)
Keikhlasan merupakan syarat diterimanya suatu amal perbuatan di samping syarat lainnya yaitu mengikuti tuntunan Rasulullah s.a.w. Ibnu Mas’ud Radhiyallahu anhu berkata, “Perkataan dan perbuatan seorang hamba tidak akan bermanfaat kecuali dengan niat (ikhlas), dan tidaklah akan bermanfaat pula perkataan, perbuatan dan niat seorang hamba kecuali yang sesuai dengan sunnah (mengikuti Rasulullah s.a.w)”
Apakah yang dikatakan Ikhlas sebenarnya ?
Banyak para ulama yang memulai kitab-kitab mereka dengan membahas permasalahan niat (dimana hal ini sangat erat kaitannya dengan keikhlasan), di antaranya Imam Bukhari dalam kitab Shahih-nya, Imam Al Maqdisi dalam kitab Umdatul Ahkam, Imam Nawawi dalam kitab Arbain An-Nawawi dan Riyadhus Shalihin-nya, Imam Al Baghowi dalam kitab Masobihis Sunnah serta ulama-ulama lainnya. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya keikhlasan tersebut. namun, apakah sesungguhnya makna dari ikhlas itu sendiri ?
Yang dimaksud dengan keikhlasan adalah ketika engkau menjadikan niatmu dalam melakukan suatu amalan hanyalah karena Allah semata, engkau melakukannya bukan karena selain Allah, bukan karena riya (ingin dilihat manusia) ataupun sum’ah (ingin didengar manusia), bukan pula karena engkau ingin mendapatkan pujian serta kedudukan yang tinggi di antara manusia, dan juga bukan karena engkau tidak ingin dicela oleh manusia. Apabila engkau melakukan suatu amalan hanya karena Allah semata bukan karena kesemua hal tersebut, maka ketahuilah itu berarti engkau telah ikhlas. Fudhail bin Iyadh berkata, “Beramal karena manusia adalah syirik, meninggalkan amal karena manusia adalah riya.”
Maka kita akan bertanya,”Dalam Hal Apa Aku Harus Ikhlas”? Sebahagian manusia menyangka bahwa yang namanya keikhlasan itu hanya ada dalam perkara-perkara ibadah semata seperti sholat, puasa, zakat, membaca al qur’an , haji dan amal-amal ibadah lainnya. Namun ketahuilah bahwa keikhlasan harus ada dalam amalan-amalan yang berhubungan dengan muamalah. Ketika kita tersenyum terhadap saudara kita, kita harus ikhlas. Ketika mengunjungi saudara kita, kita harus ikhlas. Ketika meminjamkan saudara kita barang yang dia harapkankan, kita pun harus ikhlas. Tidaklah kita lakukan itu semua kecuali semata-mata karena Allah, kita tersenyum kepada saudara kita bukan karena agar dia berbuat baik kepada kita, tidak pula kita pinjamkan atau membantu saudara kita agar kelak suatu ketika nanti ketika kita mengharapkan sesuatu maka kita pun akan dibantu olehnya atau tidak pula kerana kita takut dikatakan sebagai orang yang pelik. Maka jadikanlah semua amal tersebut karena Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada seorang laki-laki yang mengunjungi saudaranya di kota lain, maka Allah mengutus malaikat di perjalanannya, ketika malaikat itu bertemu dengannya, malaikat itu bertanya, “Hendak ke mana engkau ?” maka dia pun berkata “Aku ingin mengunjungi saudaraku yang tinggal di kota ini.” Maka malaikat itu kembali bertanya “Apakah engkau memiliki suatu kepentingan yang menguntungkanmu dengannya ?” orang itu pun menjawab: “Tidak, hanya saja aku mengunjunginya karena aku mencintainya karena Allah, malaikat itu pun berkata “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk mengabarkan kepadamu bahwa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu karena-Nya.” (HR. Muslim)
Melihat kepada hadits ini, tidaklah orang ini mengunjungi saudaranya tersebut kecuali hanya karena Allah, maka sebagai balasannya, Allah pun mencintai orang tersebut. Tidakkah engkau ingin dicintai oleh Allah?
Dalam hadits lain, Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah engkau menafkahi keluargamu yang dengan perbuatan tersebut engkau mengharapkan wajah Allah, maka perbuatanmu itu akan diberi pahala oleh Allah, bahkan sampai sesuap makanan yang engkau letakkan di mulut istrimu.” (HR Bukhari Muslim)
Renungkanlah sabda baginda, bahkan “hanya” dengan sesuap makanan yang seorang suami letakkan di mulut isterinya, apabila dilakukan ikhlas karena Allah, maka Allah akan memberinya pahala. Bagaimana pula dengan pengabdianmu terhadap orang yang engkau lakukan ikhlas karena Allah? bukankah itu semua akan mendapat ganjaran dan balasan pahala yang lebih besar? Sungguh merupakan suatu keberuntungan yang terlalu amat besar seandainya kita dapat menghadirkan keikhlasan dalam seluruh gerak-gerik kita.
Sesungguhnya yang diwajibkan dalam amal perbuatan kita bukanlah banyaknya amal namun tanpa keikhlasan. Amal yang dinilai kecil di mata manusia, apabila kita melakukannya ikhlas karena Allah, maka Allah akan menerima dan melipat gandakan pahala dari amal perbuatan tersebut. Abdullah bin Mubarak berkata, “Betapa banyak amalan yang kecil menjadi besar karena niat, dan betapa banyak pula amal yang besar menjadi kecil hanya karena niat.”
Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang laki-laki melihat dahan pohon di tengah jalan, ia berkata: Demi Allah aku akan singkirkan dahan pohon ini agar tidak mengganggu kaum muslimin, Maka ia pun masuk surga karenanya.” (HR. Muslim)
Betapa kecilnya amalan yang dia lakukan, namun hal itu sudah cukup bagi dia untuk mendapat surga karenanya. Dalam hadits lain Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dahulu ada seekor anjing yang berputar-putar mengelilingi sumur, anjing tersebut hampir-hampir mati karena kehausan, kemudian hal tersebut dilihat oleh salah seorang pelacur dari bani israil, ia pun mengisi sepatunya dengan air dari sumur dan memberikan minum kepada anjing tersebut, maka Allah pun mengampuni dosanya.” (HR Bukhari Muslim)
Subhanallah, seorang pelacur diampuni dosanya oleh Allah hanya karena memberi minum seekor anjing, betapa remeh perbuatannya di mata manusia, namun dengan hal itu Allah mengampuni dosa-dosanya. Maka bagaimanakah pula apabila seandainya yang dia tolong adalah seorang muslim? Dan sebaliknya amal perbuatan yang besar nilainya, seandainya dilakukan tidak ikhlas, maka hal itu tidak akan berfaedah baginya. Dalam sebuah hadits dari Abu Umamah Al Bahili, dia berkata: Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu tentang seseorang yang berperang untuk mendapatkan pahala dan agar dia disebut-sebut oleh orang lain?” maka Rasulullah pun menjawab: “Dia tidak mendapatkan apa-apa.” Orang itu pun mengulangi pertanyaannya tiga kali, Rasulullah pun menjawab: “Dia tidak mendapatkan apa-apa.” Kemudian beliau berkata: “Sesungguhnya Allah tidak akan menerima suatu amalan kecuali apabila amalan itu dilakukan ikhlas karenanya.” (Hadits Shahih Riwayat Abu Daud dan Nasai). Dalam hadits ini dijelaskan bahwa seseorang yang dia berjihad, suatu amalan yang sangat besar nilainya, namun dia tidak ikhlas dalam amal perbuatannya tersebut, maka dia pun tidak mendapatkan balasan apa-apa.
Apakah buah yang akan didapatkan oleh orang yang ikhlas?. Seseorang yang telah beramal ikhlas karena Allah (di samping amal tersebut harus sesuai dengan tuntunan Rasulullah s.a.w), maka keikhlasannya tersebut akan mampu mencegah setan untuk menguasai dan menyesatkannya. Allah berfirman tentang perkataan Iblis laknatullah alaihi yang artinya: Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.” (Qs. Shod: 82-83).
Buah lain yang akan diperolehi oleh orang yang ikhlas adalah orang tersebut akan Allah jaga dari perbuatan maksiat dan kejelekan, sebagaimana Allah berfirman tentang Nabi Yusuf yang artinya “Demikianlah, agar Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang ikhlas. “ ( Qs. Yusuf : 24). Pada ayat ini Allah mengisahkan tentang penjagaan Allah terhadap Nabi Yusuf sehingga beliau terhindar dari perbuatan keji, padahal faktor-faktor yang mendorong beliau untuk melakukan perbuatan tersebut sangatlah kuat. Akan tetapi karena Nabi Yusuf termasuk orang-orang yang ikhlas, maka Allah pun menjaganya dari perbuatan maksiat. Oleh yang demikian apabila kita sering dan berulang kali terjatuh dalam perbuatan kemaksiatan, ketahuilah sesungguhnya hal tersebut diakibatkan tidak adanya keikhlasan di dalam diri kita, maka suluhlah diri dan perbaikilah niat kita selama ini, semoga Allah menjaga kita dari segala kemaksiatan dan menjadikan kita termasuk orang-orang yang ikhlas.
Allah menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Tidak aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku".
Keikhlasan beribadah seseorang kepada Allah adalah bertolak dari niat seseorang itu mengerjakan ibadah tersebut. Ini jelas sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah di dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan".
Ibadat itu perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadat-ibadat lain yang dikerjakan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah menjadi syarat penerimaan ibdah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu." Dengan ini jelas Allah melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.
Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah s.a.w. Maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya"
Ia juga merupakan landasan yang kukuh di atas mana-mana orang yang melaksanakan bermacam-macam amal dan tugas kebaikan dan sifat keikhlasan itulah pokok segala kebahagiaan. Sesuatu kerja yang tidak keluar dari hati yang ikhlas nescaya tidak menghasilkan buah bahkan mungkin akan merugikan kepada diri sendiri. Orang yang bekerja tanpa keikhlasan dia bekerja hanya untuk lahir sahaja lupa kepada tujuan dan matlamat dia bekerja sedang tiap-tiap amal tanpa ikhlas pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah.
Orang yang tidak mempunyai keikhlasan hati bererti tidak yang berdiri di tempat gelap tidak mempunyai lampu cahaya untuk meneranginya, tidak mempunyai sayap untuk terbang tinggi, dia bekerja hanya untuk dorongan hawa nafsu sahaja. Cara yang demikian menjatuhkan tuannya ke lembah kebinasaan dan kehinaan. Tuhan memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran. Dalam surah yang lain Allah menerangkan maksudnya: "Tidaklah mereka diperintahkan kecuali untuk berbakti memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan”.
Oleh yang demikian jelaslah kita bahawa Allah memerintahkan kita semua supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas dengan erti kata kita kerjakan sesuatu amalan, sesuatu kerja kerana Allah bukan sekali-kali kerana sesuatu atau seseorang yang lain lebih-lebih lagi kerana sesuatu ganjaran kebendaan.
Syeikh Al Khushairi seorang pengasas Tasauf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri kepada Allah s.w.t. bukan kerana untuk mencari kesayangan orang atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri kepada Allah Tuhan yang menjadikan kita.
Sifat keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang di dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Ianya merupakan alat yang menyampaikan cita-cita yang mulia. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan hatinya tentunya tidak mudah patah atau putus harapan di tengah jalan. Tidak mudah putus asa, dia tidak akan puas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Mereka di dalam bekerja teguh pendirian kuat hemah dan kemahuan, dia tidak akan tersinggung hati lantaraan celaan dan kritikan orang lain. Tidak sombong kerana menerima pujian, tidak bangga kerana dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan orang yang bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha hingga tercapai yang dicita-citakan dan tidak akan memberhentikan kerja itu walaupun akan menghadapi rintangan, halangan dan menempuh pengorbanan yang besar kerana mereka mengharapkan keredaan Allah yang tidak ada batasannya.
Dalam hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : "Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk"
Demikian caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi. Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan sebagaimana firman Allah s.w.t. Maksudnya: "Iblis berkata wahai tuhanku oleh sebab engkau telah memutuskan aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hambaMu yang mengerjakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.
Untuk dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah bererti:
"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nekmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka.
Adapun yang menuntut ilmu dan telah mengajar pula serta menjadi pembaca Al-Quran, orang ini dibawa ke pengadilan Tuhan di hari kiamat sedang dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Dihadapan Tuhan ditanya apa amalmu jawabnya "aku banyak membaca Al Quran" Berfirman Allah kepadanya engkau bohong! Engkau menuntut ilmu itu agar dikatakan orang engkau seorang yang alim, engkau membaca Al-Quran itu supaya dikatakan orang seorang Qari dan yang demikian itu telah engkau dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam neraka.
Adapun seorang lelaki yang telah mendapat kelapangan rezeki sebahagian hartanya dibahagikan kepada orang lain kemudian orang itu pun dibawa menghadap Allah untuk dibicarakan dan dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Di hadapan Allah dia ditanya apa kerjamu dia menjawab "aku telah membelanjakan hartaku kepada jalan yang engaku redai dan itu telah aku kerjakan kerana engkau". Allah telah berfirman kepadanya engkau berbohong engkau berbuat demikian itu adalah supaya dikatakan orang engkau seorang pemurah sedangkan yang demikian itu telah dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam api neraka. Demikianlah riwayat hadis tiga jenis orang beramal tidak ikhlas. Amalan mereka ditolak tidak diterima oleh Allah dan akibatnya mereka dicampakkan ke dalam api neraka.
Kesimpulan apa yang telah diperkatakan tadi ialah bahawa beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran dan untuk menjadikan amalan itu agar kekal abadi sempurna lahir dan batin perlulah kita lakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah Taala tanpa mengira waktu dan mudah-mudahan dapat diterima oleh Allah s.w.t. dan dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya.
Subscribe to:
Posts (Atom)