PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan bilik operasi bagi membanteras jenayah jalanan seperti diperincikan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diwujudkan di Bukit Aman dan kementerian. Selaras dengan usaha menggembleng tenaga semua pihak termasuk rakyat dalam membanteras jenayah berkenaan pula, KDN meminta orang ramai memberikan maklumat mengenai ‘kawasan panas’ kepada pihak berkuasa, terutama kejadian ragut, supaya tindakan dapat diambil segera. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata selain disalurkan terus kepada polis, orang ramai juga boleh memberikan maklumat menerusi portal KDN.
"Saya fikir jenayah jalanan ini adalah penting untuk kita mengenal pasti ‘hot spot’ yang tepat. Tumpuan khusus kepada jenayah ragut kerana ia adalah jenayah yang memberi kesan trauma. "Kita hendak buat dengan betul-betul turun ke bawah dan pastikan kawasan berlaku kes ragut, rompak dan lain-lain yang memberi gambaran satu realiti di kawasan tertentu yang menyebabkan mereka tak selamat, itu kena ditangani dalam masa terdekat,"
Hishammuddin berkata, beliau sendiri sudah mula turun padang dan memantau dari dekat selain mengarahkan bilik operasi di Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri diwujudkan. "Saya juga minta Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pertahanan yang boleh bantu dengan menjemput sama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan kita juga babitkan Jabatan Penerangan, serta badan-badan beruniform di bawah Kementerian Pelajaran. "Gerakan kesukarelaan dalam konteks membasmi dan mengurangkan jenayah ini adalah tanggungjawab bersama. Kalau kembali kepada konsep 1Malaysia, ini satu perkara yang tidak lihat kepada warna kulit, agama dan ideologi politik, mungkin ini satu perkara yang boleh dilihat dalam pembinaan negara bersatu padu," katanya.
Penulis melihat tindakan yang akan dilakukan oleh KDN merupakan satu tindakan yang tepat dalam menangani isu-isu sosial seperti yang dinyatakan dan dalam hal ini ianya lebih kepada jenayah. Harus diingat bahawa isu jenayah ini bukan sahaja berlaku di kawasan-kawasan panas semata. Kawasan-kawasan lain yang tidak dilabelkan itu perlu juga mendapat perhatian. Ini adalah kerana jenayah yang berlaku dewasa ini adakalanya tidak terancang. Oleh yang demikian apa yang perlu dilakukan adalah pemantauan secara berterusan bukannya bermusim.
Adalah lebih baik dalam usaha ini, disediakan pondok-pondok polis di setiap kawasan atau taman perumahan dan pastikan anggota keselamatan berada di sana 24 jam. Anggota-anggota keselamatan inilah yang akan membuat rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan perumahan tersebut. Jika pihak kerajaan boleh mengadakan pondok kawalan polis secara peribadi di kediaman-kediaman VIP, maka rakyat juga perlu mendapat perkhidmatan yang sama tetapi diadakan secara kelompok bukan individu. Sekiranya ini dapat dilakukan, tidak payahlah rakyat atau penduduk di kawasan-kawasan perumahan perlu mengeluarkan wang untuk mengupah pihak RELA atau jaga untuk menjaga kawasan perumahan mereka. Bukankah sepatutnya ini merupakan tanggungjawab pihak KDN?
Pendekatan CCTV seperti yang diuar-uarkan juga merupakan antara pendekatan yang cukup baik. Maklumat yang dirakamkan boleh disalurkan terus ke pejabat-pejabat polis berdekatan atau terus ke pondok-pondok pengawal yang dicadangkan di atas. Lokasi CCTV hanya perlu dipasangkan di tempat-tempat yang strategik. Dalam dunia teknologi ICT yang teramat canggih ini, pendekatan sistem wireless boleh digunakan untuk mengimplementasi pendekatan ini.
Mahu atau tidak, isu jenayah yang berlaku tanpa disedari ini amat menakutkan kita. Penjenayah-penjenayah ini baik dari rakyat tempatan mahu pun pendatang asing, mereka tidak peduli asalkan habuan yang mereka targetkan tercapai. Sebab itulah kadang-kadang ada baik juga penjenayah-penjenayah ini ditembak mati sahaja daripada ditangkap dan dipenjarakan. Jika itu pilihan pekerjaan mereka, maka menjadi pilihan pekerjaan anggota keselamatan untuk menghapuskan mereka.
Walau bagimanapun isu keselamatan rakyat perlulah diutamakan. Masalah jenayah dan kes sosial yang lain perlu ditangani dengan berani dan berterusan. Mengapa perlu menunggu ada kematian barulah tindakan hendak diambil? Bukan isu ini sudah sekian lama menyerang rakyat. Mengapa pihak berwajib tidak mengambil satu tindakan yang drastik. Mengapa perlu menerima arahan dari Menteri barulah hendak dilaksanakan. Pihak keselamatan perlu proaktif dan kreatif dalam usaha membanteras jenayah-jenayah ini. Kita tidak mahu isu-isu ini dijadikan debatan politik yang tidak berkesudahan. Oleh itu segala yang difikirkan memberi manfaat kepada rakyat dalam isu keselamatan ini, janganlah dilewatkan tindakan dan pelaksanaannya.
No comments:
Post a Comment