Monday, February 16, 2009

ORANG MELAYU DAN ILMU

Sebagai orang melayu kita sepatutnya perlu rasa bangga dengan keturunan kita. Kita sepatutnya tanamkan sifat sayang menyayangi sesama kita dan sentiasa menolong di antara satu sama lain sama ada di dalam bidang ekonomi mau pun pendidikan. Untuk menjayakan agenda tersebut orang melayu mesti berilmu. Dengan menguasai ilmu barulah kita boleh menguasai dunia.
Persoalannya sejauhmanakah orang melayu benar-benar menguasai ilmu-ilmu tersebut? Apakah sudah memadai dengan ilmu-ilmu yang sudah kita perolehi sekarang? Apakah kita sudah boleh berbangga dengan tahap pencapaian orang-orang melayu dalam arus perdana sekarang? Apakah aras pencapaian kita sudah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini?
Tidak perlu kita membandingkannya dengan bangsa barat sekiranya kita merujuk kepada yang bersifat global. Kita perlu lihat kepada bangsa-bangsa yang berada di negara kita. Tiga bangsa utama yang mendominasi negara kita iaitu Melayu, Cina dan India. Di manakah aras pencapaian kita dengan bangsa Cina dan India? Mungkin kita mendepani mereka dalam aspek pendidikan, benarkah? Lebih ke hadapan dalam bidang ekonomi, jauh sekali. Yang lebih menonjol dalam situasi sekarang ialah bidang politik. Orang melayu meletakkan politik sebagai kuasa (power) berbanding dengan orang Cina meletakkan wang sebagai punca kuasa. Sekiranya kita benar-benar mendominasi kuasa tadi, sepatutnya kita juga mendominasi bidang ekonomi yang menjurus kepada perolehan wang. Kita yang sepatutnya mengawal perolehan itu untuk membantu orang-orang melayu.
Sedihnya, berdasarkan situasi sekarang, kita dapati apa yang sepatutnya kita tumpukan iaitu memantap dan menyatukan institusi melayu dalam banyak hal tidak diberi penekanan semasak-masaknya. Kalaupun ada ianya tidak pernah sampai ke dasarnya. Mungkin setakat dua atau tiga lapisan sahaja. Mengapa terjadinya sedemikian rupa? Kita mempunyai barisan kepimpinan melayu yang mantap baik daripada pihak kerajaan dan begitu juga dengan bukan kerajaan. Malangnya pemimpin-pemimpin kita lebih banyak beretorik. Kita asyik disantak dengan semangat, semangat dan semangat kemelayuan. "Hidup Melayu" ??? Apakah dengan semangat semata-mata maka melayu akan berjaya? Bolekah kita hidup dengan semangat saje? Nak makan nak minum dengan apa, dengan semangat? Makan pulut semangat (pulut kuning) adalah, itu pun sekali-sekala.
Semangat tanpa bantuan dalam aspek kewangan tidak memungkinkan kita berjaya menjuarai ekonomi dan bidang-bidang lain. Kita juga mempunyai gagasan pemikir-pemikir melayu yang cukup hebat lagi gagah sama ada yang berakademik tinggi atau sebaliknya. Tidak terkecuali para pemimpin kita tadi. Maka dalam hal ini, segala bentuk sumbangan idea perlu disertakan dengan pelan tindakan. Dan saf kepimpinan perlu mengambil tindakan sehingga kejayaan hakiki diperolehi, bukan setakat dua atau tiga lapisan sahaja. Untuk menjayakan pelan tindakan itu perlu ada satu tabung kewangan yang bertujuan untuk disalur dan digunakan dalam merealisasikan hasrat membantu orang melayu.
Orang Melayu perlu bersatu. Malangnya orang melayu hanya akan bersatu sekiranya ada perkara yang membawa kepada kepentingan bersama iaitu semangat. Apabila orang melayu dicabar hatta Raja-Raja Melayu sekalipun, barulah orang melayu akan bersatu. Itu pun bersatu dalam kelompok masing-masing dengan slogan 'Aku lebih melayu daripada kamu'. Akhirnya berlaku seperti yang berlaku sekarang (bahkan sejak sekian lama, begitulah). Propaganda-propaganda yang diokestrakan oleh pihak-pihak yang sejak dahulu ingin menghancurkan kita membuatkan Melayu sesama melayu terus bercakaran. Inilah yang mereka mahukan. Malangnya ada juga orang melayu yang menggunakan pendekatan ini.
Orang melayu semakin hari semakin lemah. Mengapa? Kerana orang melayu tidak berilmu. Ilmu itu luas maksud dan pengertiannya. Kita perlu mencari dan mendalami ilmu yang Allah turunkan. Ilmu tanpa pengisian pun tidak berguna juga. Dengan ilmu yang mantap serta perkongsian ilmu sesama kita (dalam pelbagai bidang keilmuan dan kandungannya), trend pemikiran dan apa jua tindakan dalam wadah yang sama dapat digerakkan. Penyatuan inilah yang perlu kita cari dan lakukan untuk memperkasarayakan minda, imej dan tindakan dalam institusi melayu.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...