

Mengapa saya mendokumentasikan perihal beliau dalam blog ini? Menyingkap kisah silam saya dalam dunia seni ini. Saya mula mengenali arwah pada tahun 1982 dalam satu pameran lukisan yang di adakan di Bangunan Galeri Seni Negara (kini Saloma Bistro) Jalan Ampang. Itulah merupakan pameran lukisan pertama di peringkat nasional yang saya sertai. Ibrahim Hussein juga turut serta dalam pameran berkenaan.

Saya masih ingat akan komen beliau terhadap karya seni cetak 'etching' saya yang 'subject matter'nya adalah figura manusia. Cukup pedas komentar beliau menyebabkan saya melawan balik kata-kata beliau itu dengan membuat komen yang keras juga terhadap karya beliau pula. Darah muda pada masa itu, pantang ditegur terus naik angin. Ya lah orang Fine Artlah katakan (kata-kata yang sering ditujukan kepada kumpulan saya pada masa itu).
Komentar beliau yang pedas itu membuat saya merenung kembali hasil-hasil kerja saya pada masa itu. Saya mula membuat study terhadap karya-karya Ibrahim. Yang saya temui hanyalah 'stroke' dan warna-warna yang digunakannya. Minat saya terhadap karya beliau terutama garisan sama ada dalam bentuk hitam putih atau bewarna begitu memukau visual saya. Tetapi cuma setakat itu sahajalah sebab saya lebih cenderung kepada karya bersifat realistik. Karya berbentuk atau bercorak abstrak memang tidak dapat saya terima pada masa itu. Sehingga kini walaupun tidak lagi menyertai sebarang pameran, saya masih berupaya walaupun tidak sehebat pelukis-pelukis yang ada sekarang, untuk berkarya (masih berfahaman realistik, hyper dan super realistik) dalam masa-masa yang mengizinkan atau yang memerlukan.

Dan yang paling saya terkejut ialah nama Ibrahim Hussein juga terdapat dalam senarai bibliografi yang hendak dihasilkan. Siapa sangka saya dapat bertemu dengan Ibrahim semula semenjak peristiwa 1982 itu. Kami bertiga dengan kelengkapan fotografi telah pergi ke rumah Ibrahim Hussein di Bangsar. Rupa-rupanya Boon Seng ini adalah kawan juga kepada Ibrahim Hussein (ya lah orang-orang kaya apatah lagi jutawan, saper tak kenal). Bagi saya itu tidak penting. Apa yang saya fikirkan ialah dapat bertemu Ibrahim Hussein dalam rumah dia dan melihat sendiri studio tempat dia berkarya. Kami telah disambut oleh arwah dan isteri beliau Sim. Anak dia Alia masih kecil lagi.

Terdapat pelbagai objek seni apabila saya melangkah masuk ke dalam rumah beliau yang terletak di lereng bukit itu. Setelah bersembang seketika sambil memperkenalkan diri masing-masing, kami telah di bawa turun ke tingkat bawah yang menempatkan studio beliau. 'Wow! luasnya studio orang tua ni', hati saya berkata-kata. Yang terdapat ialah sebuah kanvas yang terletak di atas easel yang bersedia menerima contengan pelukis ini. Di satu sudut terdapat sebuah meja dengan barangan-barangan yang tersusun kemas dan di satu sudut lain adalah setor kelengkapan painting beliau. Tidak ada tin cat, catan-catan lain tersadai di dinding, tompok-tompok cat di atas lantai. Bersih sebersihnya. Saya bertanyakan beliau apakah ini sebagai persediaan untuk difotografikan? Jawapan beliau begitulah keadaannya setiap kali beliau berkarya dan akan memakai pakaian putih (baju dan seluar). Mungkin itulah cara beliau mendisiplinkan diri semasa berkarya.
Bagi saya semasa dalam beberapa hari bersama Ibrahim Hussein, banyak juga ilmu yang saya perolehi secara langsung atau tidak langsung. Saya masih menggunakan ilmu-ilmu itu semasa berkarya. Semasa pameran Retrospetif beliau di Balai Senilukis Negara (masa itu di hadapan Setesen Keretapi KTM), saya turut menjengok pameran beliau. Rupa-rupanya dia masih ingat lagi diri saya. Beliau telah memberi saya buku mengenai sejarah beliau dalam pameran itu. Bukan itu sahaja, malahan beliau telah mencoret satu sketsa dalam buku itu dan menandatanganinya sebelum buku itu dihadiahkan kepada saya. Itulah kali terakhir saya bersembang dan bersalaman dengan beliau sehinggalah saya mendapat berita beliau telah meninggal dunia pada pagi kelmarin.
No comments:
Post a Comment