Wednesday, February 25, 2009

DEMI ANAKANDA-ANAKANDA KU



Di sini penulis ingin mengambil kesempatan mengucapkan HAPPY BIRTHDAY kepada dua orang anakanda penulis. Pertama kepada Anakanda Muhammad Zul Heejaz yang genap 14 tahun pada 21hb Februari 2009. Manakala keduanya kepada Muhammad Zul Hafeeq yang sudah mencapai umur 18 tahun pada 24hb Februari 2009. Tarikh kedua-duanya cuma tikah sehari sahaja.



Terasa begitu cepat masa berlalu. Pejam celik sekali tengok ehh!! dah besar-besar anak-anak kita. Pelbagai pengisian telah diberikan sepanjang proses pembesaran itu. Dan pengisian ini perlulah berterusan sehingga ke akhir hayat. Bagi penulis, dirasakan pengisian yang dibekalkan itu memang belum mencukupi. Pengisian-pengisian ini perlu dihidupkan. Pengisian-pengisian ini perlu dihayati dan difahami, bukan sekadar memberinya sahaja. Kita sebagai ibubapa wajib bertanggungjawab terhadap pengisian yang diberikan itu. Pengisian duniawi dan akhirat perlukan keseimbangan. Kedua-duanya umpama cermin dan tidak boleh dipisahkan.

Anakanda penulis Muhammad Zul Heejaz meminati bidang Medical. Beliau begitu banyak menanya penulis tentang alam. Hubungkait alam dengan diri manusia dengan Maha Empunya Hak. Kefahaman yang diperolehi cuba dikaitkan pula dengan merencana strategi dalam menerokai susur galur alam ini. Beliau juga suka melukis dengan subject matternya manusia atau figura beraksi. Penulis sedikit-sedikit memberitahu beliau tentang sebab musabab sesuatu kejadian itu. Setiap yang terjadi adalah bersebab.

Bagi anakanda sulung penulis iaitu Muhammad Zul Hafeeq, sejak kebelakang ini beliau cukup meminati perundangan. Walau bagaimana pun, minat semulajadi beliau adalah bermain bolasepak. Beliau cepat mempelajari sesuatu dan akan berhujah dengan fakta berdasarkan tahap kefahaman sedia ada. Dalam hal ini penulis banyak memandu beliau dalam aspek kehidupan manusia. Apa yang manusia perlukan? Mengapa manusia memerlukan? Kenapa terjadinya demikian? Kesemuanya ini bersandarkan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Peraturan-peraturan inilah yang perlu difahami dan dihayati agar tidak tergelincir dari landasan yang telah disediakan.

Ibubapa perlu sentiasa bersedia menerima persoalan-persoalan yang bakal dikemukakan anak-anak. Penulis juga tidak dapat lari dari melalui proses perkembangan dan peremajaan anak-anak. Perlu bersifat terbuka dalam penerimaan tetapi bersifat kritikal dalam penyampaian maksud kepada persoalan.

Friday, February 20, 2009

AL-FATIHAH BUAT DATUK IBRAHIM HUSSEIN

Pada pagi kelmarin 19hb Februari 2009, saya mendapat berita bahawa Datuk Ibrahim Hussein telah kembali bertemu Allah setelah diserang penyakit jantung. Dikabarkan beliau meninggal dunia pada jam 4.30 pagi di Bangsar. Innallillah Wa inallillah hi rajiuun. Hanya seorang sahaja Ibrahim Hussein seperti mana individu-individu tersohor yang telah pergi sebelum ini. Tidak ada dua atau tiga. Itulah dia Ibrahim Hussein, seorang pelukis tanah air kita yang cukup terkenal seantero dunia. Jalinan garisan berwarna-warni yang cukup halus dan manis membelit di antara satu sama lain dalam setiap catan 'painting' beliau adalah identiti kepada pelukis atau seniman ini.



Mengapa saya mendokumentasikan perihal beliau dalam blog ini? Menyingkap kisah silam saya dalam dunia seni ini. Saya mula mengenali arwah pada tahun 1982 dalam satu pameran lukisan yang di adakan di Bangunan Galeri Seni Negara (kini Saloma Bistro) Jalan Ampang. Itulah merupakan pameran lukisan pertama di peringkat nasional yang saya sertai. Ibrahim Hussein juga turut serta dalam pameran berkenaan.





Saya masih ingat akan komen beliau terhadap karya seni cetak 'etching' saya yang 'subject matter'nya adalah figura manusia. Cukup pedas komentar beliau menyebabkan saya melawan balik kata-kata beliau itu dengan membuat komen yang keras juga terhadap karya beliau pula. Darah muda pada masa itu, pantang ditegur terus naik angin. Ya lah orang Fine Artlah katakan (kata-kata yang sering ditujukan kepada kumpulan saya pada masa itu).

Komentar beliau yang pedas itu membuat saya merenung kembali hasil-hasil kerja saya pada masa itu. Saya mula membuat study terhadap karya-karya Ibrahim. Yang saya temui hanyalah 'stroke' dan warna-warna yang digunakannya. Minat saya terhadap karya beliau terutama garisan sama ada dalam bentuk hitam putih atau bewarna begitu memukau visual saya. Tetapi cuma setakat itu sahajalah sebab saya lebih cenderung kepada karya bersifat realistik. Karya berbentuk atau bercorak abstrak memang tidak dapat saya terima pada masa itu. Sehingga kini walaupun tidak lagi menyertai sebarang pameran, saya masih berupaya walaupun tidak sehebat pelukis-pelukis yang ada sekarang, untuk berkarya (masih berfahaman realistik, hyper dan super realistik) dalam masa-masa yang mengizinkan atau yang memerlukan.

Setelah tamat mengaji Fine Art, saya tidak lagi mengikuti perkembangan karya Ibrahim secara serius. Malah jauh sekali untuk bertemu beliau. Saya mula memasuki alam 'commercial' pada pertengahan 1985. Pada masa yang sama turut menjadi ahli Persatuan Pelukis Malaysia (tidak diketahui sama ada Persatuan ini masih wujud atau sebaliknya pada masa ini. Saya rasa sudah berkubur lama). Pada tahun 1986, saya dan rakan saya bernama Chim (nama penuh Lim Chin Pang) telah mendapat kepercayaan dari seorang 'client' kami yang juga merupakan kawan iaitu Tan Boon Seng (anak kepada keluarga Tan and Tan) untuk membuat bibliografi bergambar tokoh-tokoh terkenal tanah air antaranya ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman (dapat juga merakamkan foto bersama beliau yang ketika itu kelihatan uzur. Entah di mana saya selitkan gambar ini, frust mencarinya).

Dan yang paling saya terkejut ialah nama Ibrahim Hussein juga terdapat dalam senarai bibliografi yang hendak dihasilkan. Siapa sangka saya dapat bertemu dengan Ibrahim semula semenjak peristiwa 1982 itu. Kami bertiga dengan kelengkapan fotografi telah pergi ke rumah Ibrahim Hussein di Bangsar. Rupa-rupanya Boon Seng ini adalah kawan juga kepada Ibrahim Hussein (ya lah orang-orang kaya apatah lagi jutawan, saper tak kenal). Bagi saya itu tidak penting. Apa yang saya fikirkan ialah dapat bertemu Ibrahim Hussein dalam rumah dia dan melihat sendiri studio tempat dia berkarya. Kami telah disambut oleh arwah dan isteri beliau Sim. Anak dia Alia masih kecil lagi.

Terdapat pelbagai objek seni apabila saya melangkah masuk ke dalam rumah beliau yang terletak di lereng bukit itu. Setelah bersembang seketika sambil memperkenalkan diri masing-masing, kami telah di bawa turun ke tingkat bawah yang menempatkan studio beliau. 'Wow! luasnya studio orang tua ni', hati saya berkata-kata. Yang terdapat ialah sebuah kanvas yang terletak di atas easel yang bersedia menerima contengan pelukis ini. Di satu sudut terdapat sebuah meja dengan barangan-barangan yang tersusun kemas dan di satu sudut lain adalah setor kelengkapan painting beliau. Tidak ada tin cat, catan-catan lain tersadai di dinding, tompok-tompok cat di atas lantai. Bersih sebersihnya. Saya bertanyakan beliau apakah ini sebagai persediaan untuk difotografikan? Jawapan beliau begitulah keadaannya setiap kali beliau berkarya dan akan memakai pakaian putih (baju dan seluar). Mungkin itulah cara beliau mendisiplinkan diri semasa berkarya.

Bagi saya semasa dalam beberapa hari bersama Ibrahim Hussein, banyak juga ilmu yang saya perolehi secara langsung atau tidak langsung. Saya masih menggunakan ilmu-ilmu itu semasa berkarya. Semasa pameran Retrospetif beliau di Balai Senilukis Negara (masa itu di hadapan Setesen Keretapi KTM), saya turut menjengok pameran beliau. Rupa-rupanya dia masih ingat lagi diri saya. Beliau telah memberi saya buku mengenai sejarah beliau dalam pameran itu. Bukan itu sahaja, malahan beliau telah mencoret satu sketsa dalam buku itu dan menandatanganinya sebelum buku itu dihadiahkan kepada saya. Itulah kali terakhir saya bersembang dan bersalaman dengan beliau sehinggalah saya mendapat berita beliau telah meninggal dunia pada pagi kelmarin.

Monday, February 16, 2009

ORANG MELAYU DAN ILMU

Sebagai orang melayu kita sepatutnya perlu rasa bangga dengan keturunan kita. Kita sepatutnya tanamkan sifat sayang menyayangi sesama kita dan sentiasa menolong di antara satu sama lain sama ada di dalam bidang ekonomi mau pun pendidikan. Untuk menjayakan agenda tersebut orang melayu mesti berilmu. Dengan menguasai ilmu barulah kita boleh menguasai dunia.
Persoalannya sejauhmanakah orang melayu benar-benar menguasai ilmu-ilmu tersebut? Apakah sudah memadai dengan ilmu-ilmu yang sudah kita perolehi sekarang? Apakah kita sudah boleh berbangga dengan tahap pencapaian orang-orang melayu dalam arus perdana sekarang? Apakah aras pencapaian kita sudah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini?
Tidak perlu kita membandingkannya dengan bangsa barat sekiranya kita merujuk kepada yang bersifat global. Kita perlu lihat kepada bangsa-bangsa yang berada di negara kita. Tiga bangsa utama yang mendominasi negara kita iaitu Melayu, Cina dan India. Di manakah aras pencapaian kita dengan bangsa Cina dan India? Mungkin kita mendepani mereka dalam aspek pendidikan, benarkah? Lebih ke hadapan dalam bidang ekonomi, jauh sekali. Yang lebih menonjol dalam situasi sekarang ialah bidang politik. Orang melayu meletakkan politik sebagai kuasa (power) berbanding dengan orang Cina meletakkan wang sebagai punca kuasa. Sekiranya kita benar-benar mendominasi kuasa tadi, sepatutnya kita juga mendominasi bidang ekonomi yang menjurus kepada perolehan wang. Kita yang sepatutnya mengawal perolehan itu untuk membantu orang-orang melayu.
Sedihnya, berdasarkan situasi sekarang, kita dapati apa yang sepatutnya kita tumpukan iaitu memantap dan menyatukan institusi melayu dalam banyak hal tidak diberi penekanan semasak-masaknya. Kalaupun ada ianya tidak pernah sampai ke dasarnya. Mungkin setakat dua atau tiga lapisan sahaja. Mengapa terjadinya sedemikian rupa? Kita mempunyai barisan kepimpinan melayu yang mantap baik daripada pihak kerajaan dan begitu juga dengan bukan kerajaan. Malangnya pemimpin-pemimpin kita lebih banyak beretorik. Kita asyik disantak dengan semangat, semangat dan semangat kemelayuan. "Hidup Melayu" ??? Apakah dengan semangat semata-mata maka melayu akan berjaya? Bolekah kita hidup dengan semangat saje? Nak makan nak minum dengan apa, dengan semangat? Makan pulut semangat (pulut kuning) adalah, itu pun sekali-sekala.
Semangat tanpa bantuan dalam aspek kewangan tidak memungkinkan kita berjaya menjuarai ekonomi dan bidang-bidang lain. Kita juga mempunyai gagasan pemikir-pemikir melayu yang cukup hebat lagi gagah sama ada yang berakademik tinggi atau sebaliknya. Tidak terkecuali para pemimpin kita tadi. Maka dalam hal ini, segala bentuk sumbangan idea perlu disertakan dengan pelan tindakan. Dan saf kepimpinan perlu mengambil tindakan sehingga kejayaan hakiki diperolehi, bukan setakat dua atau tiga lapisan sahaja. Untuk menjayakan pelan tindakan itu perlu ada satu tabung kewangan yang bertujuan untuk disalur dan digunakan dalam merealisasikan hasrat membantu orang melayu.
Orang Melayu perlu bersatu. Malangnya orang melayu hanya akan bersatu sekiranya ada perkara yang membawa kepada kepentingan bersama iaitu semangat. Apabila orang melayu dicabar hatta Raja-Raja Melayu sekalipun, barulah orang melayu akan bersatu. Itu pun bersatu dalam kelompok masing-masing dengan slogan 'Aku lebih melayu daripada kamu'. Akhirnya berlaku seperti yang berlaku sekarang (bahkan sejak sekian lama, begitulah). Propaganda-propaganda yang diokestrakan oleh pihak-pihak yang sejak dahulu ingin menghancurkan kita membuatkan Melayu sesama melayu terus bercakaran. Inilah yang mereka mahukan. Malangnya ada juga orang melayu yang menggunakan pendekatan ini.
Orang melayu semakin hari semakin lemah. Mengapa? Kerana orang melayu tidak berilmu. Ilmu itu luas maksud dan pengertiannya. Kita perlu mencari dan mendalami ilmu yang Allah turunkan. Ilmu tanpa pengisian pun tidak berguna juga. Dengan ilmu yang mantap serta perkongsian ilmu sesama kita (dalam pelbagai bidang keilmuan dan kandungannya), trend pemikiran dan apa jua tindakan dalam wadah yang sama dapat digerakkan. Penyatuan inilah yang perlu kita cari dan lakukan untuk memperkasarayakan minda, imej dan tindakan dalam institusi melayu.

Sypmtom Checker

loading...