Tuesday, June 3, 2014

MASIH TIDAK CERDIK-CERDIK LAGI. LEBIH TEPAT DIPANGGIL BODOH.

Aku merasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan terhadap satu statement dari blog pemuda UMNO yang mencadangkan ibu kepada Dyana Calon DAP PRK Telok Intan dipecat keahlian UMNO beliau. Aku bukan hendak menyokong sesiapa dalam hal ini tetapi apa yang ingin aku katakana ialah perangai-perangai seperti inilah yang menyebabkan orang luar benci dan meluat kepada UMNO. Mengapa perlu kita highlight perkara ini? Walhal kita dalam UMNO masih banyak lagi perkara yang perlu ditangani. Sama ada kita sedar atau tidak kita sudah terperangkap dengan permainan parti lawan. Ini menunjukkan betapa tidak cerdiknya kalangan exco pemuda UMNO.
 
BN sudah menang di Teluk Intan. Jadi, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah memantapkan BN di tempat itu. Perlu turun padang terutamanya kalangan pemuda UMNO dan BN untuk terus menawan hati pengundi di sana. Kita sudah jelas dipertontonkan bahawa kalangan muda di sana memang mahukan orang muda mewakili mereka. Inilah kesempatan yang perlu diambil. Dengan hanya perbezaan 236 undi, apakah kita sudah boleh mendabik dada mengatakan kita sudah kuat? Kalau tidak ditangani secara halus dan mesra, berkemungkinan kerusi tersebut akan diambil balik oleh pihak lawan dalam PRU14 nanti.
 
Kalau asyik hendak menunjukkan kuasa, aku rasa tidak mustahil kita pulak akan duduk di kerusi pembangkang satu ketika nanti. Apa yang hendak katakan di sini ialah mentaliti kita terutmanya dalam kalangan pemuda masih cetek dan kosong. Asyik dipenuhkan dengan dendam kesumat yang sebenarnya boleh menghancurkan parti UMNO ini. Dalam hal ini aku lihat Ketua Pemuda UMNO khairi adalah lebih baik daripada anak-anak buahnya. Malangnya aku melihat dia keseorangan.
 
Aku selalu berbual dengan rakan-rakan UMNO yang lain (kami pun dari Pemuda UMNO juga satu ketika dulu) mengenai parti kami ini terutamanya mengenai Pemuda UMNO sekarang. Hendak mencari pelapis kepimpinan akan datang pun, aku masih kabur. Tidak ada ciri-ciri kepimpinan langsung dalam kalangan exco sedia ada sekarang. Kaki buat glamour melambak. Berpendidikan tinggi tetapi kepala otak letak kat tapak kaki.
 
Sebenarnya UMNO mempunyai ramai ahli fikir. Malangnya mereka ini tidak dipelawa untuk memberi sumbangan. Ramai dalam kalangan mereka adalah orang professional. Mereka inilah yang paling hampir dengan masyarakat. Mereka ini bukanlah dari jenis yang suka duduk dalam bilik berhawa dingin dan suka mengarah orang lain. Mereka ini ada di hadapan mata yang sentiasa bersedia sekiranya diperlukan khidmat dan kepakaran. Pengalaman mereka cukup luas sebab mereka sentiasa berdamping dengan masyarakat. Mereka adalah pelaksana segala dasar kerajaan dan memastikan dasar itu dipatuhi. Mereka Nampak di mana lubang-lubang yang kosong yang perlu ditampung atau dikambus sama sekali. Apa jadi kepada mereka? Mengapa tidak diberi peluang dalam kalangan terpinggir ini untuk mencetuskan sesuatu yang reality.
 
Kerana sikap sombong dan bongkak kita itulah mereka-mereka ini dipancing oleh pihak lawan. Bukan kita tidak tahu, kita memang sudah tahu tetapi disebabkan keduniaan sudah meliputi hati yang  memang sudah hitam pekat itu menyebabkan kita menjadi buta sehinggakan mereka yang betul-betul berada di hadapan kita, kita tidak Nampak lagi.
 
Akhir sekali apa yang ingin aku katakan ialah kalau UMNO ingin terus maju dan kekal malahan akan menjadi pilihan rakyat, kita perlu korbankan generasi yang ada sekarang. Selagi itu tidak dibuat, selagi itulah UMNO akan jadi seperti yang ada sekarang malahan lebih parah lagi. Aku masih sayangkan bangsa aku bangsa melayu.

Friday, May 9, 2014

Supaya jadi hamba, bukan jadi tuhan

SEKURANG-kurangnya, ada dua jawapan yang boleh saya kongsikan, mengapa perintah Allah yang pertama kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam dan umat ini adalah “BACA!”

Pertama, peralihan manusia daripada Tauhid kepada Syirik, adalah akibat agama berpindah daripada satu generasi ke satu generasi, bukan lagi dengan ILMU. Kisah lima berhala kaum Nabi Nuh ‘alayhi al-salam, sudah pernah dikupas sebelum ini. Justeru, demi mengeluarkan manusia daripada kegelapan Jahiliah kepada cahaya Islam, daripada Syirik, kepada Tauhid, berilmu menjadi keutamaan, melalui perintah BACA.

“Bacalah!” tiga kali Jibril ‘alayhi al-salam memerintah baginda.

Baca tidak semestinya baca daripada apa yang ditulis. Baca juga, adalah daripada apa yang dibacakan kepada kita. Baca itu kenderaannya, ilmu itu penumpangnya. Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam yang ‘ummi’ itu diperintahkan oleh Allah untuk membaca.

Itu, perspektif pertama.

Perspektif yang ditekankan oleh Sayyid Qutb di dalam Tafsir Fi Dhilal al-Quran, betapa kita mungkin agak sambil lewa dalam memerhatikan impak perintah BACA kepada tamadun manusia.

Keduanya, beragama dengan ilmu, bererti beragama dengan berfikir.

Kita memerlukan perkataan untuk berfikir. Shakespeare menggunakan 80 ribu perkataan di dalam karya klasiknya. Demikian juga Goethe, beliau menggunakan 50 ribu perkataan di dalam novelnya. Dan karya mereka masih difahami oleh pelajar Inggeris serta Jerman hari ini. Ertinya perbendaharaan kata mereka berada di sekitar perbendaharaan kata Shakespeare dan Goethe.

Ini berbeza menurut Omar A Ergi di dalam karyanya, Can A Bridge Build Itself?, pelajar universiti di negaranya Turki, hanya mempunyai sekitar 3000 ke 4000 kata dalam perbendaharaan mereka. Sedikitnya perkataan bererti sedikitnya pemikiran dan ia datang daripada lemahnya sumber perkataan iaitu BACA.

Justeru, BACA menjadi perintah pertama Allah kepada hamba-Nya bernama manusia.

Allah membezakan manusia dalam penciptaannya berbanding dengan makhluk yang lain, adalah pada akal dan upaya fikir manusia. Tanpa membaca, manusia hilang upaya fikir. Tanpa upaya fikir, apa lagi yang tersisa pada kemanusiaan manusia?

BUKAN SEBARANG BACA

Sepatutnya membaca itu adalah amalan yang sangat asas. Membaca bukan tabiat orang kaya. Mencari ilmu bukan tabiat orang kelas atasan. Beragama dengan hujah bukan tabiat golongan elit. Semua itu tabiat MUSLIM. Apabila membaca menjadi asing, pembaca jadi ‘makhluk asing’. Lain benar kelakuannya sebelum membaca dengan selepas membaca. Sebelum membaca, dia biasa-biasa. Selepas membaca, dia jadi luar biasa.

Sebab itu perintah BACA bukan sebarang BACA.

“Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang mencipta” [Al-'Alaq 96: 1]

Baca itu ibadah. Baca itu kehambaan. Maka bacalah dengan nama Dia. Tuhan yang memerintahkan BACA itu juga tidak memperkenalkan nama-Nya. Belum lagi. Baca dulu, dengan nama Dia, Tuhan kamu yang Mencipta. Jika kamu enggan menerima AL-HAQ secara dogmatik, secara paksa, tidak mengapa. Mungkin itu yang sebaiknya. Tetapi kamu mesti baca. Kamu perlu baca, namun dengan nama Dia. Allah namanya? Tidak mengapa, yang penting, Tuhan yang menyuruh kamu BACA itu adalah Tuhan Maha Pencipta. Baca itu mesti dengan rasa sedar bahawa si pembaca adalah makhluk. Manakala yang memerintahkan baca adalah Khaliq.

Asas mengimani Tuhan, adalah pada kesedaran bahawa kita dan alam ini adalah ciptaan, dan yang menciptanya adalah Maha Pencipta. Andai ciptaan lain masih banyak berselubung keraguan, maka fokus pada ciptaan yang kamu tidak mampu ragu, iaitu diri kamu sendiri.

“Yang mencipta manusia daripada segumpal darah” [Al-'Alaq 96: 2]

Manusia memerlukan premis yang kukuh untuk yakin, menolak ragu.

Cogito ergo sum - “Think, therefore am”

Ungkapan terkenal ini dilafazkan oleh RenĂ© Descartes. Makna yang mudah untuk ungkapan Latin ini ialah berfikir tentang kewujudan seseorang membuktikan di dalam diri yang berfikir serta mengenai diri yang berfikir bahawa ‘saya’ wujud untuk melakukan FIKIR itu tadi.

“Tidak mungkin kita meragui kewujudan diri, semasa kita ragu, kerana kita memerlukan diri, untuk melakukan perbuatan ragu itu” rumus Descartes.

Justeru, bacalah dengan nama Tuhanmu yang Mencipta itu, yang Mencipta manusia daripada segumpal darah. Baca dan dapatkan ilmu, untuk memahami bagaimana daripada segumpal darah, ia kemudiannya menjadi seorang pemikir, yang boleh membaca tentang biografi gumpalan darah berkenaan.

Membaca membawa manusia kepada kebenaran. Membaca menjadikan manusia bermodal untuk berfikir tentang kebenaran. Membaca mengangkat manusia ke martabat sempurna, mencapai potensi yang Penciptanya letakkan terhadap prospek seorang manusia.

Justeru manusia yang membaca, ketahuilah bahawa semakin banyak kamu membaca, semakin banyak kamu berfikir, semakin tinggi kamu berilmu, akhirnya yang kekal Paling Mulia, bukan kamu yang membaca, tetapi Tuhan kamu yang memerintahkan BACA.

“Bacalah, dan sesungguhnya Tuhan kamu adalah yang paling Mulia”  [Al-'Alaq 96: 3]

Masakan tidak. Masakan boleh seorang pembaca jadi angkuh. Kalau dia sedar bahawa dia boleh membaca, hakikatnya adalah kerana kebergantungan dia kepada modal-modal baca dan fikir yang diberikan oleh Tuhannya.

“Dialah Tuhan yang mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”  [Al-'Alaq 96: 4-5]

Pena diungkap dengan waw al-qasam (sumpahan) di dalam surah Pena (al-Qalam), pada menggambarkan tingginya nilai pena sebagai wasilah ilmu dan baca. Pena yang menjadi titik munasabah dan interaksi antara Tuhan Pengurnia Ilmu dan manusia yang mempelajarinya.

Mempelajari sesuatu yang dia tidak tahu.
Dengan ilmu, manusia yang tidak tahu menjadi tahu.
Dan semakin dia tahu, dia sepatutnya semakin menjadi manusia.
Bukan tuhan yang lupa diri, kembali bodoh dengan keilmuan dan kesarjanaannya.

Justeru, membaca adalah ibadah.

Membaca ilmu Syariatullah, atau membaca ilmu Sunnatullah, kedua-duanya adalah ibadah. Matlamat tertinggi membaca adalah mencari kebenaran, dan setia dengan kebenaran itu.

Mengapa dalam kebangkitan budaya baca, lahir kecenderungan untuk mencarut, menyebut segala aurat di kelangkang, berbahasa dengan bahasa longkang, dengan alasan ia simbol kebebasan, kemerdekaan dan jauh daripada kepura-puraan?

Memerhatikan kebodohan ini, bukan kita tidak ingin mencarut. Tetapi kita tidak mencarut, yang mengawal kita bukan JAKIM, bukan Kementerian Dalam Negeri, bukan Editor, bukan juga kehendak pasaran. Mencarut dan kurang ajar dalam baca, tulis dan fikir, walaupun dalam diri membuak-buak rasa untuk mengungkapkan kepada penulis sampah yang digilai remaja semasa, tidak terkeluar bukan kerana JAKIM, KDN atau Editor.

Tetapi kita tidak mencarut kerana alasan yang sama dengan pencarut. Kita tidak mahu hipokrit. Bukan hipokrit pada mengawal nafsu untuk mencarut. Tetapi kita tidak mahu hipokrit, manusia bodoh yang tidak tahu apa-apa, menyamar sebagai tuhan atas nama sebuah KEBEBASAN!

Sujudlah kepada-Nya.

Dekatilah Dia.


 

Thursday, April 24, 2014

MENDENGAR BISIKAN HATI



Perasaan sedih dan sayu memang tidak dapat hendak digambarkan tatkala aku berpisah dengan seseorang yang yang telah banyak mendidik aku tentang siapa diri aku sebenarnya. Keikhlasan beliau menerima aku tatkala aku masih muda dahulu masih jelas terpahat dalam diri aku. Bertambah syahdu lagi apabila beliau meletakkan dirinya sebagai ayah dan isterinya sebagai ibu kepada kami. Pewartaan itu berlaku setelah kami diterima sebagai anak-anak bukan dalam satu tempoh yang pendek tetapi setelah mengharungi satu tempoh masa yang agak lama atau dengan lain perkataan setelah kami diiktirafkan sebagai benar-benar matang dengan ilmu yang disampaikan. Kesinambungan daripada itu ialah apabila kami diterima beliau sebagai anak-anak didik yang tinggi kedudukannya,disisi beliau yang diwartakannya bukan di pijakan bumi Tanah Melayu ini tetapi di bumi Madinah itu sendiri. Ini adalah merupakan satu pengiktirafan kepada kami yang tidak kesemua dapat merasakannya. Perkataan syukur tidak terluah dengan pengiktirafan yang terlalu besar ini.


Pesanan Ayah kepada aku ialah walaupun kita berpisah tetapi kita tetap bersama. Beliau gembira dengan penghijrahan aku ini. Aku telah melalui satu proses baharu selama dua tahun untuk mengembalikan semula diri aku. Aku juga telah melalui satu pengorbanan untuk berpisah dengan isteri dan anak-anak dalam tempoh tersebut. Pelbagai bentuk ujian yang aku terima. Dari sekecil-kecilnya sehinggalah yang agak besar. Kesemuanya aku lalui dengan penuh kesabaran dan linangan airmata.


Pada malam terakhir aku di sana, aku seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang sudah lama terbuku dalam hati Ayah. Sebelum ini aku banyak meluahkan perasaan dan persepsi aku mengenai adik beradik yang lain selain diri aku sendiri kepada beliau. Aku memaklumkan beliau perasaan ini sering bermain di dalam diri aku. Aku menjadi risau selain rungsing, adakah perasaan ini melambatkan hasrat yang hendak dicapai sebelum beliau meninggalkan kita semua? Kesemuanya sudah dicurahkan tetapi mengapa realitinya belum terjadi. Terjadi secara jelas yang boleh disentuh, dirasai, dinikmati, dikecapi dan sebagainya.


Dengan memek muka dan nada perlahan penuh kesedihan, terpancullah keluar pernyataan beliau yang mengesahkan apa yang aku sangkakan. Dalam setiap doa beliau tidak pernah lupa untuk memohon kepada Allah “ Ya Allah Ya Rasullullah, satukanlah hati-hati kami….”. Inilah yang menjadi pokok perbicaraan luahan hati beliau terhadap kami yang diiktirafnya sebagai anak. Inilah yang melambatkan proses pernyatuan tiang-tiang somad yang sepatutnya telah lama menjadi satu. Di manakah silapnya? Adakah kesilapan datang dari Ayah sendiri atau kami sebenarnya yang telah melakukan kesilapan bodoh itu. Bagi aku jawapan yang paling tepat adalah kesilapan bodoh dan bebal kami semua.


Seperti yang aku luahkan setelah mendapat keizinan daripada Ayah bahawasanya hati-hati kami sebenarnya langsung tidak bersatu. Masing-masing dengan somad masing-masing. Ego yang terlalu tinggi yang semakin menebal dalam hati kami menyebabkan kami menjadi begini. Daripada sekecil titik hitam kini sudah menjadi sebesar tasek dan sekiranya tidak ditegur pada malam itu, tidak mustahil akan menjadi seluas lautan seantero dunia. Dengan ego itu tadilah timbul sifat dan perangai hipokrit yang jelas dalam kalangan kami yang disebut-sebut adik beradik.


Masing-masing mengatakan Berjaya dan Berjaya, walhal sebenarnya kami gagal segagal-gagalnya. Lakunan yang dipertontonkan bukan sahaja di hadapan Ayah malahan apabila kami duduk bersama rupa-rupanya. Masyaallah! Memang benar apa yang dikatakan oleh Ayah pada malam itu. Aku sedar bahawa apa yang diperkatakan pada ketika bukan boleh dibuat main. Bukan boleh untuk diselorohkan. Bukan untuk dijadikan bahan lawak untuk ditertawakan.


Aku tidak mahu menuduh sesiapa dalam kalangan kami kerana aku juga sama seperti yang lain. Kalau diluahkan apa yang aku rasa, mungkin yang lain akan kata “ahhh…dia soranglah yang betul dan baik”. Bagi aku, kami semualah yang telah melakukan kesilapan. Cuma di sini, bagaimanakah untuk kami boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi seperti yang diharapkan oleh Ayah? Mampukah dalam kalangan kami untuk mengaku silap dan menyuarakan kemaafan? Kalau sebelum ini masing-masing mempunyai gandingan yang dikatakan tidak boleh dipisahkan, kini mampukah berdiri sendiri tanpa mengharapkan gandingan dari sipolan dan sipolan? Jika sebelum ini perasaan hormat hanya kepada seseorang yang kononnya hebat berbanding yang lain, mampukan perasaan hormat itu tidak lagi dalam konteks itu tetapi perasaan hormat kepada yang lebih tua dalam kalangan adik beradik? Aku masih lagi ingat dalam beberapa majlis besar, Ayah ada menyebut “hormatilah orang tua walaupun dalam kalangan awak orang adalah merupakan orang-orang lama”.


Seterusnya mengatakan aku lebih hebat dari orang lain atau mengatakan kehebatan seseorang itu melebihi orang lain. Apakah kehebatan yang hendak dicari atau apakah sebenarnya yang hendak dicari berdasarkan didikan yang diberikan melalui Ayah? Kalau dah semuanya hendak menjadi Tuhan maka yang lain itu tidak berTuhankah? Janganlah disebabkan kita diberikan sesuatu yang tidak diberikan kepada orang lain, maka kita menjadi lupa lantas mengatakan “ahh…dia tu belum sampai lagi tu. Masih jauh lagi” dan sebagainya. Walhal kita semua adalah sama-sama anak didik Ayah. Memang pada peringkat awal cara didikan adalah berdasarkan tahap kematangan seseorang. Kini boleh dikatakan kesemuanya sudah sama, kalau tidak pun sudah hampir sama. Malangnya kita tidak mahu menerima hakikat kebenaran itu. Kita masih lagi menguatkan kebebalan hati yang mengatakan aku lebih hebat dari yang lain. Inilah ego yang terus bermaharajalela dalam diri kita. Kita telah kecundang dengan ego dan emosi yang kita cipta sendiri. Bukankah kita sudah melalui proses pembersihan pada peringkat awal lagi?


Memang sedih dan begitu terasa sekali apabila Ayah mengatakan bahawa dia sudah redha untuk dipanggil balik pada bila-bila masa sahaja. Tidak terfikirkah kita mesej jelas yang terkeluar dari mulut beliau? Maknanya Ayah sudah mencurahkan segala-galanya kepada kita sebagai anak-anak yang amat dipercayai malah disayangi melebihi anak kandung sendiri.


Malangnya sehingga kini semenjak aku meninggalkan tapak aku di sana yang mana bekasnya aku bawa bersama, situasinya aku lihat masih sama dan belum menampakkan perubahan yang diharap-harapkan. Cahayanya masih belum terpancar. Adakah ini bermakna masih bersembunyi atau sengaja disembunyikan? Pemegang tongkat utama yang diamanahkan oleh Ayah masih berdiam diri walau pun sepengetahuan aku, dia sudah menyampaikan amanat Ayah kepada yang tiada pada malam itu.


Aku seperti sebelum ini, masih juga sama seperti sebelum ini. Terus menerus dikesampingkan dalam arus perdana. Hanya diperlukan ketika berkehendakkan sesuatu. Aku sentiasa terbuka menerima kedatangan untuk duduk bersekali membincang dan merangka perancangan dalam menstrukturkan semula organisasi ini berdasarkan teguran jelas dan nyata dari Ayah.


Apa yang jelas di sini ialah selagi ego tadi masih kuat terlekat di hati sanubari, selagi itulah hasrat tersebut akan terus terperosok di situ. Kita sepatutnya perlu berusaha membuang kesemua perasaan dengki, iri hati (entah apa yang hendak diirihatikan?), perasaan ego dan emosi yang sudah diketahui adalah mainan dan makanan Iblis yang cukup kuat. Mampukah  mengatakan “aku bersalah dan pohon kemaafan”. Bila lagi kita hendak membuka laluan baru atau membersihkan laluan yang sudah kita bina sejak sekian lama ini?.Aku sendiri tidak tahu di manakah yang dikatakan sukar itu. Sukar atau istilah apa sekalipun adalah terletak pada diri kita. Kita hendak atau pun tidak? Itu sahaja. Bukankah kita sudah tahu bahawa kita kini boleh mengawalnya.


Selagi kita senyap menyepi, bersantai tidur dibuai mimpi, akhirnya nanti kura-kura yang dikatakan berjalan perlahan tadi akan berjaya memintas sang arnab yang lina tidur berdengkur. Kura-kura yang berjalan perlahan itu sebenarnya adalah spesis yang kita pandang rendah. Kita yang mengelar mereka, walhal kita adalah dari sepsis yang sama. Jadi mengapa kita mengkura-kura mereka. Dengan lain perkataan tanggungjawab kita yang diamanahkan Ayah adalah besar. Mereka yang di bawah yang turut bersama dalam organisasi ini sedang memandang kita. Memandang kita sebagai pemegang-pemegang watikah, tongkat, amanah dan sebagainya dalam membawa mereka bergerak sederap dengan kita.


Berdasarkan kefahaman aku tentang luahan rasa ketidakpuasan hati, kecil hati dan kesedihan yang tergambar pada diri Ayah malam itu, aku dapat rumuskan bahawa Sidiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah yang menuju kepada keikhlasan hakiki dalam hati kita masih dalam kesamaran. Perasaan syak wasangka masih menebal dalam hati kita. Kita tidak bersangka baik. Kita asyik bersangka negatif di antara satu sama lain. Inilah hijab perangai yang dibukakan kepada kita.


Aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan adik beradik lain. Aku keseorangan dan aku sering mencari adik beradik yang ada ini untuk tumpang bersama. Aku sedar bahawa aku tidak diperlukan dalam kalangan ini. Aku bukan tempat rujukan dan aku pun tidak mahu dijadikan begitu kerana aku memang bukan tempat rujukan. Kalau ada pun yang bersama dengan aku sebelum ini, itu hanyalah semata-mata lakunan bagi menyedapkan lagi jalan cerita. Nanti apabila ditanya Ayah, ada berjumpa dengan aku. Jawabnya ada. Itu sahaja. Maka terhiburlah.


Apabila aku mengatakan bahawa aku merasa cukup sedih untuk berpisah dengan Ayah, sebenarnya aku tidak dapat bersamanya seperti sebelum ini. Sudah pastinya sesekali aku kembali ke sana nanti, di rumah Ayahlah tempat aku bertandang kecuali kalau Ayah sudah tidak mahu menerima aku lagi.


Kalau sebelum ini pada malam-malam tertentu aku dapat menghadirkan diri dengan batang tubuh ini di rumah Ayah, kini aku hanya mampu menghadirkan suara aku sahaja. “Janganlah hendak jadi Ayah tetapi jadilah diri sendiri”. Insyaallah aku akan jadi diri aku sendiri berdasarkan ilmu yang diberikan Ayah. Bukan ilmu Ayah, bukan ilmu aku, bukan ilmu kita tetapi ilmu Dia. “Ya Allah Ya Rasullullah”  

RENONG-RENONGLAH WAHAI ORANG MELAYU AKAN TULISAN INI....


Minggu lalu aku dijemput untuk hadir satu perbincangan intelektual secara tertutup anjuran sebuah kumpulan akademik yang teratas. Judul perbincangan itu adalah “Melayu-Islam dan Ancaman Masa Kini”.

Ramai yang mengomel bercakap tentang ‘ancaman’ liberalisme, Syiah, Ahmadiyyah, kumpulan universalis dalam kalangan pendukung hak asasi manusia, gerakan Kristianisasi, sekularis ala mendiang Karpal Singh dan bermacam-macam ‘ancaman’ yang belum pernah aku dengarkan.

Tanggapan awal aku adalah kumpulan ini adalah sejumlah ilmuwan yang sedang takut dan lemah lutut oleh sekian ancaman oleh pelbagai kumpulan, seolah-olah survival mereka dalam bahaya dan sangat berisiko.

Menurut mereka budaya Melayu Islam akan pupus dan terkorban jika mereka tidak bertindak dan bangkit melawan. Mereka mahu menyelamatkan Melayu yang sedang digigit dibaham pelbagai ancaman.

Salah seorang ilmuwan bertaraf profesor telah menyatakan dengan begitu tegas sekali: “Kembalikan maruah Melayu. Kita mesti kembalikan maruah Melayu.”

Salah seorang peserta kemudian, mungkin, untuk menarik lebih perhatian dari orang lain, atau untuk mencipta kelainan; telah menyatakan kebimbangan, dan mengungkit betapa industri bomoh adalah satu ancaman kepada Melayu Islam memandangkan terdapatnya beberapa insiden oleh Raja Bomoh yang didakwa menyebabkan Malaysia mendapat aib besar.

Menurut beliau lagi Melayu dianggap bangsa bodoh dan digelakkan seantero dunia lantaran tindak tanduk Raja Bomoh tersebut.

Walaupun aku tidak berminat dan tidak berniat untuk membela apatah lagi mempertahankan seorang bomoh dengan dua biji kelapa, bubu lukah, air dalam tempurung dan kayu sakti, aku akhirnya mengambil keputusan untuk bercakap dari mendiamkan diri.

3 penghuni asal Nusantara

Aku menjelaskan kepada hadirin bahawa rantau Nusantara ketika zaman prasejarah, menurut Profesor G De Sieveking terletak di bawah pengaruh budaya Hoabinhian.

Demikian tuanya Nusantara dan orang Melayu, Hamka dalam Sejarah Umat Islam ada memetik satu gagasan yang entah dari mana ia perolehi bahawa tanah Melayu telah pun disebut-sebut dalam naskhah tua sebuah buku Yunani Periploustes Erythras Thalasses.

Khabarnya Tanah Melayu atau sekarang Semenanjung Malaysia dirujuk sebagai Chryses yang bererti ‘negeri emas’. Kononnya Chryses juga disebut Chersonesos. Nama negeri-negeri sekitarnya seperti Barousai yang dikatakan bermakna Barus, Sabadebai yang ertinya Jawadwipa atau Andalas turut disentuh sambil lalu.

Kata Hamka, buku Yunani itu bertarikh 70 Masehi. Ia menambah, Protolomeus yang hidup pada sekitar tahun 150 Masehi juga telah menjelaskan lagi hubungan itu, sehingga menjadi lebih nyata Chryses adalah Tanah Melayu.

Buat seketika ahli kumpulan tersebut berasa seronok dan terjungkit punggung kerana itu buktinya Melayu telah wujud ribuan tahun justeru itu juga menjadi bukti Melayu adalah bangsa yang bukan calang-calang.

Dalam satu kesimpulan; bangsa yang superior dari bangsa-bangsa lain yang ada di sini. Seolah-olah mengesahkan kepala otak mereka yang Melayu adalah bangsa hos, dan bangsa-bangsa lain adalah bangsa penumpang.

Tatkala aku menatap muka-muka ‘Nazi Melayu’ yang berada di hadapanku itu aku menyambung dengan memberitahu mereka bahawa penghuni Nusantara yang asal dibahagi kepada tiga kelompok iaitu Negrito yang merupakan penduduk pertama di rantau ini dan mempunyai banyak persamaan dengan manusia di Afrika.

Kelompok kedua ialah Veddoid yang dikatakan mempunyai campuran bangsa Kaukasian di mana menghasilkan pula suku kaum Senoi, Sakai dan Kubu serta dapat dikenali berdasarkan ciri-ciri fizikal seperti rambut kerinting, bulu badan tidak begitu tebal dan warna kulit sawo.

Sementara kelompok terakhir ialah Palae Mongoloid atau Melayu yang dipecahkan pula kepada Melayu Proto yang mendiami kawasan pedalaman dan Melayu Deutro.

Percampuran kebudayaan

Pada waktu aku menerangkan darihal itu, aku dapat melihat riak kehampaan pada wajah-wajah ‘ilmuwan’ tersebut seolah-olah aku menyatakan bahawa Melayu asal-usulnya adalah dari beruk dan monyet.

Profesor yang dengan gah menyatakan “kembalikan maruah Melayu” sebentar tadi kelihatan mencebik sedikit dan menunjukkan gejala marah seperti bibirnya terketar, jari tangannya diketuk-ketuk di permukaan meja, cermin matanya digosok berkali-kali dengan hujung tudung dan ia mendesah-desah seperti pelakon porno Itali mendapat kenikmatan persetubuhan.

Ternyata bahasa badannya memberitahuku yang Melayu seharusnya bukan sakai dan jakun.

Tanpa berlengah aku memberitahu, dengan pandangan tepat ke matanya yang ‘keimanan’ Melayu paling awal dan dominan adalah dinamisme-animisme di mana kepercayaan terhadap Tuhan Yang Esa sudah ada tetapi dalam bentuk yang terlalu kabur.

Dalam masa yang sama dua bangsa manusia yang mempunyai peradaban tinggi iaitu bangsa Cina di Timur dan India di Barat telah menjadikan rantau ini kawasan lalu lintas perdagangannya dan ada yang menyinggah lantas terjadi percampuran kebudayaan secara sinkretis iaitu pelbagai unsur kebudayaan masuk bersatu sehingga sukar untuk dibezakan dan dipisahkan.

Aku menaburkan poin bahawa dinamisme-animisme bermakna kepercayaan adanya tenaga tidak berperibadi dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan benda-benda.

Beberapa kepercayaan lain penghuni Nusantara pada zaman lampau antara lain adalah mempercayai jiwa dan roh dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia.

Animisme ini membibitkan pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa yang berperibadi kerana orang berasa terikat kepada roh dan menyakini ia boleh mendatangkan nasib buruk atau nasib baik.

Kekuasaan alam

Ketika itu juga Melayu mempercayai magis dan religis. Magis adalah keyakinan adanya penguasaan terhadap tenaga ghaib dengan tindakan tertentu.

Sementara religis pula ialah pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa ghaib di mana manusia di sini mengharap perlindungan atau meminta sesuatu hajat kepadanya.

Antara jenis magis ini yang masih diwarisi orang Melayu tanpa disedari adalah magis analogis seperti membuka pintu ketika melahirkan anak dengan tujuan kononnya untuk memudahkan kelahiran, juga magis imitatif seperti menikam pisau pada jantung pisang untuk melukakan seseorang, ini termasuk juga magis bahasa di mana contohnya pawang dalam perburuan memanggil atau menyeru dengan pantun tertentu semangat atau jembalang rusa.

Ilmuwan yang ada di hadapanku mulai berkerut. Peserta yang menyatakan kekhuatirannya terhadap Raja Bomoh mulai menunjukkan wajah resah dan geram tidak semena-mena. Giginya diketap-ketap.

Tanpa membiarkan mereka tertunggu aku melanjutkan yang kepercayaan totemisme turut pernah menguasai kepercayaan awal penghuni rantau ini (orang Melayu).

Totemisme bermaksud mempercayai diri mereka berasal dari sebangsa haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau antara mereka dan haiwan atau tumbuh-tumbuhan itu ada pergantungan nasib.

Justeru mereka menghormati haiwan atau tumbuhan tersebut sambil menganggapnya nenek moyang serta melarang ia dari dimakan melainkan pada upacara tertentu sahaja.

Kepercayaan lain yang turut diterima termasuklah Javadwipa iaitu pengagungan alam semesta seperti memuja dewi yang menguasai lautan Hindi di sebelah selatan Jawa iaitu Nyi Roro Kidul.

Ulama terkenal Hamka juga pernah menyebut hal yang sama iaitu sebelum kemunculan agama Buddha dan Hindu, rantau ini lebih mempercayai kepada kekuasaan alam.

Masa berleter telah tamat

Justeru timbullah pemujaan terhadap matahari, hujan dan roh nenek moyang sehingga menurutnya fahaman-fahaman dinamisme, animisme dan totemisme ini telah bercampur baur.

Waktu itu, tegas Hamka lagi sudah pun ada konsep Hyang atau yang paling berkuasa.

Siri kepercayaan tidak teratur ini lebih terurus kemudiannya bila tiba agama Hindu yang membahagikan semua tersebut kepada tiga jurusan iaitu Krishna (yang mencipta), Vishnu (yang memelihara) dan Shiva (yang merosak) sementara kedatangan agama Buddha pula menokok dari segi rohani dan jasmani di mana ajaran mengenai buddhi dan prakharti diketengahkan.

Seingatku juga, Hamka turut mengemukakan pandangannya mengenai kewujudan agama Hindu di rantau ini.

Menurut beliau kerajaan Hindu tua telah dijangka wujud kira-kira tahun 400 Masehi iaitu dua abad sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW, kerajaan tersebut bertapak di Kalimantan Timur iaitu di Kutai, di mana telah ditemui batu tercatat mengenai raja bernama Mulawarman dan huruf pada batu itu adalah bertulisan Pallawa yang menjelaskan ada hubungan kerajaan ini dengan kerajaan di India Selatan.

Sebuah lagi kerajaan di Jawa Barat bernama Taruma Negara dalam abad kelima (satu abad sebelum kelahiran nabi Muhammad SAW) pula dipimpin raja Purnawarman.

Lain-lain kerajaan yang diketahui oleh ahli sejarah adalah Sriwijaya, Sambojaya, Langkasuka dan Kataha, Sailendra, Kalinga dan Mataram, Kediri dan Singasari, Majapahit, Darmashraya, Aditiawarman dan Pagarruyung.

Kerajaan Hindu paling akhir menurut Hamka ialah Majapahit di mana ketika itu rajanya ialah Kartarajasa (1292-1309), di mana pada masa yang sama kerajaan-kerajaan Islam sudah mula bertapak kukuh di Pasai.

Profesor yang ingin mengembalikan maruah Melayu Islam cuba mencelah kerana barangkali resah mendengar kata Hindu dan Buddha berulang kali sedangkan yang harus didiskusikan ialah Islam.

Aku menolak permintaannya untuk menyampuk, aku mengatakan yang tatkala mereka berleter aku telah bersabar, dan kali ini giliranku tiba.

Sypmtom Checker

loading...