Thursday, April 24, 2014

MENDENGAR BISIKAN HATI



Perasaan sedih dan sayu memang tidak dapat hendak digambarkan tatkala aku berpisah dengan seseorang yang yang telah banyak mendidik aku tentang siapa diri aku sebenarnya. Keikhlasan beliau menerima aku tatkala aku masih muda dahulu masih jelas terpahat dalam diri aku. Bertambah syahdu lagi apabila beliau meletakkan dirinya sebagai ayah dan isterinya sebagai ibu kepada kami. Pewartaan itu berlaku setelah kami diterima sebagai anak-anak bukan dalam satu tempoh yang pendek tetapi setelah mengharungi satu tempoh masa yang agak lama atau dengan lain perkataan setelah kami diiktirafkan sebagai benar-benar matang dengan ilmu yang disampaikan. Kesinambungan daripada itu ialah apabila kami diterima beliau sebagai anak-anak didik yang tinggi kedudukannya,disisi beliau yang diwartakannya bukan di pijakan bumi Tanah Melayu ini tetapi di bumi Madinah itu sendiri. Ini adalah merupakan satu pengiktirafan kepada kami yang tidak kesemua dapat merasakannya. Perkataan syukur tidak terluah dengan pengiktirafan yang terlalu besar ini.


Pesanan Ayah kepada aku ialah walaupun kita berpisah tetapi kita tetap bersama. Beliau gembira dengan penghijrahan aku ini. Aku telah melalui satu proses baharu selama dua tahun untuk mengembalikan semula diri aku. Aku juga telah melalui satu pengorbanan untuk berpisah dengan isteri dan anak-anak dalam tempoh tersebut. Pelbagai bentuk ujian yang aku terima. Dari sekecil-kecilnya sehinggalah yang agak besar. Kesemuanya aku lalui dengan penuh kesabaran dan linangan airmata.


Pada malam terakhir aku di sana, aku seolah-olah dapat merasakan sesuatu yang sudah lama terbuku dalam hati Ayah. Sebelum ini aku banyak meluahkan perasaan dan persepsi aku mengenai adik beradik yang lain selain diri aku sendiri kepada beliau. Aku memaklumkan beliau perasaan ini sering bermain di dalam diri aku. Aku menjadi risau selain rungsing, adakah perasaan ini melambatkan hasrat yang hendak dicapai sebelum beliau meninggalkan kita semua? Kesemuanya sudah dicurahkan tetapi mengapa realitinya belum terjadi. Terjadi secara jelas yang boleh disentuh, dirasai, dinikmati, dikecapi dan sebagainya.


Dengan memek muka dan nada perlahan penuh kesedihan, terpancullah keluar pernyataan beliau yang mengesahkan apa yang aku sangkakan. Dalam setiap doa beliau tidak pernah lupa untuk memohon kepada Allah “ Ya Allah Ya Rasullullah, satukanlah hati-hati kami….”. Inilah yang menjadi pokok perbicaraan luahan hati beliau terhadap kami yang diiktirafnya sebagai anak. Inilah yang melambatkan proses pernyatuan tiang-tiang somad yang sepatutnya telah lama menjadi satu. Di manakah silapnya? Adakah kesilapan datang dari Ayah sendiri atau kami sebenarnya yang telah melakukan kesilapan bodoh itu. Bagi aku jawapan yang paling tepat adalah kesilapan bodoh dan bebal kami semua.


Seperti yang aku luahkan setelah mendapat keizinan daripada Ayah bahawasanya hati-hati kami sebenarnya langsung tidak bersatu. Masing-masing dengan somad masing-masing. Ego yang terlalu tinggi yang semakin menebal dalam hati kami menyebabkan kami menjadi begini. Daripada sekecil titik hitam kini sudah menjadi sebesar tasek dan sekiranya tidak ditegur pada malam itu, tidak mustahil akan menjadi seluas lautan seantero dunia. Dengan ego itu tadilah timbul sifat dan perangai hipokrit yang jelas dalam kalangan kami yang disebut-sebut adik beradik.


Masing-masing mengatakan Berjaya dan Berjaya, walhal sebenarnya kami gagal segagal-gagalnya. Lakunan yang dipertontonkan bukan sahaja di hadapan Ayah malahan apabila kami duduk bersama rupa-rupanya. Masyaallah! Memang benar apa yang dikatakan oleh Ayah pada malam itu. Aku sedar bahawa apa yang diperkatakan pada ketika bukan boleh dibuat main. Bukan boleh untuk diselorohkan. Bukan untuk dijadikan bahan lawak untuk ditertawakan.


Aku tidak mahu menuduh sesiapa dalam kalangan kami kerana aku juga sama seperti yang lain. Kalau diluahkan apa yang aku rasa, mungkin yang lain akan kata “ahhh…dia soranglah yang betul dan baik”. Bagi aku, kami semualah yang telah melakukan kesilapan. Cuma di sini, bagaimanakah untuk kami boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi seperti yang diharapkan oleh Ayah? Mampukah dalam kalangan kami untuk mengaku silap dan menyuarakan kemaafan? Kalau sebelum ini masing-masing mempunyai gandingan yang dikatakan tidak boleh dipisahkan, kini mampukah berdiri sendiri tanpa mengharapkan gandingan dari sipolan dan sipolan? Jika sebelum ini perasaan hormat hanya kepada seseorang yang kononnya hebat berbanding yang lain, mampukan perasaan hormat itu tidak lagi dalam konteks itu tetapi perasaan hormat kepada yang lebih tua dalam kalangan adik beradik? Aku masih lagi ingat dalam beberapa majlis besar, Ayah ada menyebut “hormatilah orang tua walaupun dalam kalangan awak orang adalah merupakan orang-orang lama”.


Seterusnya mengatakan aku lebih hebat dari orang lain atau mengatakan kehebatan seseorang itu melebihi orang lain. Apakah kehebatan yang hendak dicari atau apakah sebenarnya yang hendak dicari berdasarkan didikan yang diberikan melalui Ayah? Kalau dah semuanya hendak menjadi Tuhan maka yang lain itu tidak berTuhankah? Janganlah disebabkan kita diberikan sesuatu yang tidak diberikan kepada orang lain, maka kita menjadi lupa lantas mengatakan “ahh…dia tu belum sampai lagi tu. Masih jauh lagi” dan sebagainya. Walhal kita semua adalah sama-sama anak didik Ayah. Memang pada peringkat awal cara didikan adalah berdasarkan tahap kematangan seseorang. Kini boleh dikatakan kesemuanya sudah sama, kalau tidak pun sudah hampir sama. Malangnya kita tidak mahu menerima hakikat kebenaran itu. Kita masih lagi menguatkan kebebalan hati yang mengatakan aku lebih hebat dari yang lain. Inilah ego yang terus bermaharajalela dalam diri kita. Kita telah kecundang dengan ego dan emosi yang kita cipta sendiri. Bukankah kita sudah melalui proses pembersihan pada peringkat awal lagi?


Memang sedih dan begitu terasa sekali apabila Ayah mengatakan bahawa dia sudah redha untuk dipanggil balik pada bila-bila masa sahaja. Tidak terfikirkah kita mesej jelas yang terkeluar dari mulut beliau? Maknanya Ayah sudah mencurahkan segala-galanya kepada kita sebagai anak-anak yang amat dipercayai malah disayangi melebihi anak kandung sendiri.


Malangnya sehingga kini semenjak aku meninggalkan tapak aku di sana yang mana bekasnya aku bawa bersama, situasinya aku lihat masih sama dan belum menampakkan perubahan yang diharap-harapkan. Cahayanya masih belum terpancar. Adakah ini bermakna masih bersembunyi atau sengaja disembunyikan? Pemegang tongkat utama yang diamanahkan oleh Ayah masih berdiam diri walau pun sepengetahuan aku, dia sudah menyampaikan amanat Ayah kepada yang tiada pada malam itu.


Aku seperti sebelum ini, masih juga sama seperti sebelum ini. Terus menerus dikesampingkan dalam arus perdana. Hanya diperlukan ketika berkehendakkan sesuatu. Aku sentiasa terbuka menerima kedatangan untuk duduk bersekali membincang dan merangka perancangan dalam menstrukturkan semula organisasi ini berdasarkan teguran jelas dan nyata dari Ayah.


Apa yang jelas di sini ialah selagi ego tadi masih kuat terlekat di hati sanubari, selagi itulah hasrat tersebut akan terus terperosok di situ. Kita sepatutnya perlu berusaha membuang kesemua perasaan dengki, iri hati (entah apa yang hendak diirihatikan?), perasaan ego dan emosi yang sudah diketahui adalah mainan dan makanan Iblis yang cukup kuat. Mampukah  mengatakan “aku bersalah dan pohon kemaafan”. Bila lagi kita hendak membuka laluan baru atau membersihkan laluan yang sudah kita bina sejak sekian lama ini?.Aku sendiri tidak tahu di manakah yang dikatakan sukar itu. Sukar atau istilah apa sekalipun adalah terletak pada diri kita. Kita hendak atau pun tidak? Itu sahaja. Bukankah kita sudah tahu bahawa kita kini boleh mengawalnya.


Selagi kita senyap menyepi, bersantai tidur dibuai mimpi, akhirnya nanti kura-kura yang dikatakan berjalan perlahan tadi akan berjaya memintas sang arnab yang lina tidur berdengkur. Kura-kura yang berjalan perlahan itu sebenarnya adalah spesis yang kita pandang rendah. Kita yang mengelar mereka, walhal kita adalah dari sepsis yang sama. Jadi mengapa kita mengkura-kura mereka. Dengan lain perkataan tanggungjawab kita yang diamanahkan Ayah adalah besar. Mereka yang di bawah yang turut bersama dalam organisasi ini sedang memandang kita. Memandang kita sebagai pemegang-pemegang watikah, tongkat, amanah dan sebagainya dalam membawa mereka bergerak sederap dengan kita.


Berdasarkan kefahaman aku tentang luahan rasa ketidakpuasan hati, kecil hati dan kesedihan yang tergambar pada diri Ayah malam itu, aku dapat rumuskan bahawa Sidiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah yang menuju kepada keikhlasan hakiki dalam hati kita masih dalam kesamaran. Perasaan syak wasangka masih menebal dalam hati kita. Kita tidak bersangka baik. Kita asyik bersangka negatif di antara satu sama lain. Inilah hijab perangai yang dibukakan kepada kita.


Aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan adik beradik lain. Aku keseorangan dan aku sering mencari adik beradik yang ada ini untuk tumpang bersama. Aku sedar bahawa aku tidak diperlukan dalam kalangan ini. Aku bukan tempat rujukan dan aku pun tidak mahu dijadikan begitu kerana aku memang bukan tempat rujukan. Kalau ada pun yang bersama dengan aku sebelum ini, itu hanyalah semata-mata lakunan bagi menyedapkan lagi jalan cerita. Nanti apabila ditanya Ayah, ada berjumpa dengan aku. Jawabnya ada. Itu sahaja. Maka terhiburlah.


Apabila aku mengatakan bahawa aku merasa cukup sedih untuk berpisah dengan Ayah, sebenarnya aku tidak dapat bersamanya seperti sebelum ini. Sudah pastinya sesekali aku kembali ke sana nanti, di rumah Ayahlah tempat aku bertandang kecuali kalau Ayah sudah tidak mahu menerima aku lagi.


Kalau sebelum ini pada malam-malam tertentu aku dapat menghadirkan diri dengan batang tubuh ini di rumah Ayah, kini aku hanya mampu menghadirkan suara aku sahaja. “Janganlah hendak jadi Ayah tetapi jadilah diri sendiri”. Insyaallah aku akan jadi diri aku sendiri berdasarkan ilmu yang diberikan Ayah. Bukan ilmu Ayah, bukan ilmu aku, bukan ilmu kita tetapi ilmu Dia. “Ya Allah Ya Rasullullah”  

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...