Monday, September 2, 2013

SUDAH 56 TAHUN KITA MERDEKA RUPANYA YA!

31 Ogos Hari Kemerdekaan Malaysia. Tarikh keramatlah, itulah, inilah dan pelbagai keramat lagi. Yang hendak diingati adalah tarikh itu sendiri iaitu sempena Malaysia dimerdekakan oleh Kerajaan British. Yang hendak diingati ialah pengorbanan setiap lapisan masyarakat demi mencapai kemerdekaan dari tangan kolonial British. Yang hendak diingati ialah percikkan darah merah rakyat membasahi bumi Tanah Melayu demi mendapatkan ertikata kemerdekaan. Yang hendak diingati adalah pejuang-pejuang yang telah menggadaikan nyawa mereka demi kemerdekaan yang dicari. Yang hendak diingati ialah semangat kemerdekaan yang menular menjiwai diri setiap rakyat negara ini. Maka dengan itu sebutir lambang diujudkan untuk mengingatinya dan lambang itulah yang menjadikannya pengenalan kepada negara yang telah merdeka. Pada tanggal 31 Ogos 1957 bertempat di Stadium Merdeka, lambang itu dinaikkan dengan sorakan MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA. Lambang itu tertera Bulan Sabit dengan Bintang 13 penjuru bewarna kuning berlatarkan warna Biru dan keseluruhannya berlatarbelakangkan garisan merah dan putih. Berkibarlah bendera itu dengan megahnya pada tarikh itu sehingga kini yang dipanggil sedari dulu iaitu Bendera Malaysia.


"Kau tahu Man", aku memulakan bicara pada pagi ini.

"Tahu apa", pantas jawapan yang terkeluar dari mulut Man yang juga merupakan rakan sepejabat denganku.

"Setiap kali hendak menyambut merdeka, ada sahaja isu bodoh yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin kita ini. Sebelum ini semasa di bawah kepimpinan PM-PM kita yang terdahulu, tidak ada isu-isu bodoh ini yang dikeluarkan", aku menyambung lagi bicaraku.

"Apa maksud engkau dengan isu-isu itu. Aku tidak berapa jelas", tambah rakanku.

"Ni, pasal lagu negaraku dan kibaran bendera Malaysia sempena menyambut kemerdekaan yang dibangkitkan oleh Menterinya Shabery Chik. Tahun lepas pulak oleh Rais Yatim dengan cogankata dan logo sambutan merdeka. Benda-benda macam ini yang hendak ditonjolkan ini buat apa kejadahnya. Tak bolehke kau buat sahajalah tanpa bercakap banyak. Ini tidak, sikit-sikit press conference. Alamak! heh! rakyat Malaysia dah muaklah dengan permainan bodoh kau tu", nada menyampahku mula keluar.

"Well! kawan, inilah mentaliti kepimpinan yang ada pada hari ini. Kepimpinan pada hari ini kalau hendak menonjolkan diri perlu dibisingkan dalam media. Kalau tidak rakyat tidak tahu yang dia bekerja demi rakyat. Kepimpinan hari ini cuba hendak menerapkan nilai dalam jiwa rakyat. Malangnya rakyat bukan macam dulu. Mereka kata pandailah bercakap pasal nilai sedangkan nilai diri pemimpin itu sendiri macamana?"

"Aku masih ingat masa aku budak-budak dulu sekitar tahun 60an dan 70an, 31 Ogos itu macam hendak nyambut hari raya. Tak sabar-sabar hendak berbaris sepanjang jalanraya dengan kibaran bendera kecil Malaysia. Apabila Sultan dan kepimpinan negara lalu, kami akan mengibarkan bendera dan menjerit Merdeka, Merdeka, Merdeka. Manakala Sultan atau kepimpinan negara akan melambaikan tangan mereka kepada kami dengan senyuman. Masih jelas terbayang senario seperti itu dalam diri aku sekarang Man. Bukan setakat itu sahaja Man, malahan aku sanggup panjat pokok kat depan rumah Tok aku semata-mata hendak menaikkan Bendera Malaysia. Suasana di kampung aku pada masa itu, huuuu....meriah gila dibuatnya", kataku dengan penuh semangat.

"Itu kau kat Johor, ni aku kat Kelantan ini apa kurangnya. Kalau ada dalam kalangan kawan-kawan yang rumah mereka tidak terpacak bendera Malaysia, sah akan kena kutuk sepanjang bulan kemerdekaan. Semangat ini berjaya dididik dan diterapkan ke dalam diri kita di alam persekolahan semasa itu. Mungkin pendekatan pendidikan dahulu dengan sekarang tidak sama. Yerlah masa berubah, takkanlah pendekatan lama hendak digunakan lagi dalam zaman IT ini kan", balas Man.

"Betul kata kau tu Man. Tapi aku rasa pendekatan dari segi penerapan nilai itu patut dikekalkan sepertimana rakyat Amerika sedari dulu sehingga sekarang. Malahan setiap pelajar mereka wajib mempelajari sejarah penubuhan Amerika. Malangnya tidak di tempat kita sehinggakan ada seorang hamba Allah dalam akhbar aku baca tadi mengatakan pada hari merdeka nanti kalau hendak pergi menonton wayang cerita Tanda Putera, pakailah songkok. Apa punya lawak pagi dah. Hanya setakat itulah mentaliti segelintir rakyat Malaysia" tambahku lagi.

"Entahlah, sudah 56 tahun negara ini merdeka. Memang tidak dinafikan negara kita sudah banyak berubah terutamanya dari aspek pembangunan fizikal. Kita boleh berbangga dengan hal itu sebab sudah setanding dengan negara-negara maju yang lain. Cuma aku tengok ada satu lagi yang belum betul-betul berubah iaitu cintakan negara. Kita dipaksa cintakan negara. Bercinta mana boleh secara paksaan. Bercinta mesti dengan kerelaan. Tanpa dipaksa atau disogok dengan kebendaan. Cinta tanpa keiklasan akan berakhir dengan penderitaan. Ini berbalik kepada soal pendidikan. Penerapan nilai ini dalam pendidikan zaman moden sudah tidak berlaku. Para pendidik kita diberi mandat untuk merealisasikan perkara ini tidak dapat melakukannya kerana terlalu banyak campur tangan. Ibu bapa menyerahkan anak mereka untuk mendapat pendidikan yang sempurna kepda para pendidik. Malangnya dalam usaha membentuk anak-anak mereka ini, mereka tidak dibenarkan menyentuh walau sejari pun terhadap anak-anak ini. Sentuhan fizikal tidak boleh, sentuhan verbal pun tak boleh. Jadi macamana para pendidik ini hendak membentuk anak-anak ini. Berlaku sahaja sentuhan-sentuhan tadi sudah pasti akan bergegar seluruh negara. Para pendidik ini bukannya robot, mereka juga adalah manusia biasa. Nak cakap pasal nilai? Nilai apa?", balas rakanku dengan agak panjang.

"Kesemua yang kau katakan itu Man perlu dilihat semula secara holistik dalam kontek kenegaraan. Pendekatan politi yang menjadi penggerak perlu diaplikasikan secara menyeluruh bukan secara sempit seperti yang berlaku sekarang. Pemimpin kita mesti berani bukan kerana takut tidak dapat sokongan. Mesti berprinsip sepertimana kepimpinan sebelum merdeka. Ketika itu prinsip menjadi senjata utama. Dengan prinsip yang kukuh itulah kita digeruni penjajah British. Aku lihat sekarang semangat itu sudah tidak ada langsung walau pun terdapat usaha-usaha menyedarkan pihak kepimpinan itu ada. Contohnya melalui laungan-laungan puisi yang terpapar setiap hari dalam media-media perdana dan yang bukan perdana. Macam anjing menyalak bukit aje aku tengok", sambungku lagi.

"Sebenarnya kalau kau perhatikan, isu-isu yang timbul ini adalah bermusim. Kalau kau tidak percaya kau tengok musim lain, akan ada pulak isunya. Tujuannya apa? Tujuannya ialah untuk rakyat terus berbahas dan berhujah mengenai musim itu. Dalam sebok kita berbahas sehingga ke nada kurang ajar, puak-puak kat atas nu terus mengaut keuntungan demi keuntungan. Puak-puak kat atas itu ialah puak-puak yang kita sendiri pilih yang kononnya mewakili kita. Kita yang beri depa laluan mudah untuk meraih keuntungan. Laluan mereka mudah tetapi laluan kita semasa menjalani proses itu, hemm... malas aku nak cakap. Jadi kalau terdapat rakyat negara ini masih lagi tidak mengibarkan bendera Negara atau berdiri tegak semasa menyanyikan lagu NegaraKu, kita jangan secara terus menyalahkan mereka tetapi tengok peranan role-model melalui kepimpinan kita. Kalau dalam suasana menyambut kemerdekaan ini juga masih lagi bernada politik sempit, masih lagi menuduh dan bersangka buruk terhadap kawan dan lawan, masih lagi menyalahkan rakyat, selagi itulah kita akan kedengaran lagu ini dimainkan pada tahun-tahun akan datang. Mungkin sampai kiamat", Man mengakhiri hujahnya.

Kami bangkit meninggalkan kedai kopi itu. Sambil berjalan aku mendongakkan kepalaku ke arah Bendera NegaraKu yang sedang berkibar ditiup angin pagi. "Kau hanyalah sehelai kain yang dicorakkan dengan pelbagai warna. Kaulah juga yang mencetuskan pelbagai reaksi dari segenap lapis rakyat. Kaulah yang menjadi mangsa kebiadapan dan ketidaksenangan orang terhadap perkara lain. Kau juga diagongkan, kau juga dihinakan. Kau hanyalah sehelai kain yang diwarnakan yang mana orang tidak tidak tahu yang kau sebenarnya kain apa. Kau hanyalah sekadar lambang. Malangnya orang tidak tahu makna lambang itu sendiri. Maka menjadi mangsalah kau wahai kain putih yang diwarnakan dengan warna kuning, biru, merah dan putih", getus hatiku lagi.

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...