Wednesday, February 13, 2013

SAMSENG KAMPUNG DUSUN

Assalammualaikum,

Sudah beberapa kali membuka halaman ini untuk mencoretkan sesuatu sekadar berkongsi tapi seperti orang lain juga mood itu mesti ada. Baharulah sedap kita menulis dan menghurai. Kali ini bukan sahaja mood yang ada malahan apabila membongkar pelbagai media yang saban hari menceritakan pasal samseng itu dan ini, membuat hati ini geram juga untuk berkata sepatah dua.
 
UMNO BERLAGAK MACAM SAMSENG. UMNO SAMSENG. POLIS JADI ALAT UMNO. Dan pelbagai tajuk berita yang terkeluar dalam media masa maya. Asyik UMNO sahaja yang jadi kepala. Tension juga penulis dibuatnya apabila membaca berita-berita setajuk dengannya. Gara-gara apakah gejala ini semakin hari semakin giat dilaksanakan? Apakah begini perlakuan kita sebagai orang Islam sejak beranak? Seorang Islam yang tonggang tonggek sembahyang berjemaah setiap hari Jumaat? Dicampur dengan Lima waktu pulak.
 
Sebenarnya bukan hendak marah sangat dengan berita perlakuan begini tetapi berasa sedih dengan gelagat yang dipertontonkan kepada kita. Yang menjadi samsengnya adalah orang melayu dan yang menjadi mangsanya juga adalah orang melayu. Samsengnya mereka-mereka ini sudah berada pada tahap menggunakan senjata tajam yang mampu mencabut nyawa seseorang. Baling kerusi dan batu juga silap-silap boleh membawa maut juga. Maki hamun dengan kata-kata yang tidak sepatutnya adalah merupakan ciri awal samseng melayu dan pemimpin melayu yang menyuburkan dan membiakkan budaya ini. Islam sudah lari dalam konteks ini.
 
Kepercayaan rakyat yang menjadi mangsa malahan kepada pemerhati juga, terhadap keselamatan yang diamanahkan kepada bidang kepolisian sudah tidak ada lagi. Anggota polis dilihat berfungsi sebagai pemerhati sahaja. Sekiranya benarlah dakwaan mengatakan pihak polis turut terlibat dengan kemaruk samseng ini, maka semakin hilanglah kepercayaan rakyat terhadap badan berunifom ini. Konsep halal bagiku haram bagimu semakin diadun dan dimasak sebegitu rupa hanya atas kepentingan mabuk dan gilakan kuasa yang tidak sebesar mana pun. Persoalannya sekarang dimanakah Menteri yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan rakyat? Adakah keselamatan itu hanya untuk mereka yang menyokong kerajaan sahaja manakala yang tidak menyokong dibenarkan samseng ini belasah sampai mati? Bagi yang menyokong dan tidak menyokong ini adakah mereka bukan rakyat negara ini?
 
Apa yang berlaku ini adalah merupakan bibit-bibit kejatuhan sesebuah kerajaan dari pelbagai bibit besar yang lain. Apakah kita masih tidak sedar lagi ke? Pendekatan sebegini pada masa lampau mungkin boleh dikatakan sesuai tetapi dalam keadaan rakyat sudah cerdik pandai dengan pelbagai ilmu pendidikan, pendekatan ini dilihat begitu kuno lagi tidak bertamadun. Bangsa lain cukup seronok melihat melayu bergaduh sesama sendiri dan mereka-mereka ini hanya menunggu sahaja saat dan ketika untuk menangguk di air yang keruh. Cuba lihat bangsa melayu yang menjadi rakyat Singapura. Kepala pun tidak berani hendak angkat. Kaki tangan mereka kesemuanya digari. Kalau A kata pemimpin maka A lah anggukkan mereka.
 
Punca berlakunya gelagat samseng ini adalah dari mana? Adakah disebabkan kepimpinan atau kebodohan dan keangkuhan diri sendiri? Pendidikan telah diberikan sedari kecil sehingga dewasa. Malangnya pendidikan yang diperolehi tidak disertakan ilmu. Sekiranya seseorang itu menghayati ilmu yang diperolehi tidak mungkin budaya samseng ini wujud dalam diri seseorang. Ilmu yang diperolehi tidak boleh disalahgunakan untuk memudaratkan seseorang yang lain. Ilmu itu sepatutnya digunakan untuk tujuan kebaikan. Seseorang yang mempelajari ilmu persilatan tidak boleh menggunakan ilmu itu untuk tujuan membelasah orang. Ilmu persilatan itu teramat luas kandungannya. Bukan setakat untuk menjadi pendekar semata-mata dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
 
Sifat samseng yang dipertontonkan kepada kita ini sepatutnya digunakan pada tempat yang betul. Bukan untuk tujuan menganiyai terhadap orang lain atas ketaksuban seseorang yang dipuja demi sekelumit kuasa yang ada padanya. Kalau kita benar-benar samseng, berani atau tidak kita menunjukkan samseng kita kepada puak zionis yang terang-terang menyembeleh umat Islam di Palestin umpamanya. Berani atau tidak kita membaling batu ke arah tentera zionis sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak dan pemuda Palestin di sana?
 
Beginilah dengan bahasa mudah. Sekiranya yang sedang berceramah itu beserta pengawal yang ada mempunyai rifle M16, pistol, bom tangan dan sebagainya, berani tak yang dikatakan samseng itu membaling batu atau kerusi kepada mereka? Kita boleh lihatlah berapa butir kepala akan bersepai dibedil dengan M16 itu. Jadi apa yang ingin dikatakan di sini ialah samseng-samseng kampung itu hanyalah samseng tahi kucing sahaja. Kalaulah pihak yang menjadi mangsa itu membalas atau memberi respon, penulis percaya ramai yang akan menjadi mayat. Mati free sahaja. Penulis juga percaya mereka ini bukan calang-calang juga orangnya. Cuma kesabaran sebagai benteng yang diperlihatkan adalah begitu mantap kalau tidak mereka tidak akan berani menerjah masuk ke kawasan yang dipenuhi samseng tahi kucing kampung ini.
 
Penulis sebenarnya malu dengan gelagat setengah orang melayu terutamanya yang tinggal di pendalaman ini. Apa tidak adakah orang-orang tua di sana yang pandai agama. Apakah tidak ada seorang ustaz atau imam masjid yang boleh mendidik samseng-samseng ini. Di manakah selama ini dikatakan orang melayu yang terkenal dengan sifat sopan dan santun itu. Sifat itu penulis rasa sudah lama terpadam dalam diri orang melayu. Apatah lagi terdapat segelintir pemimpin melayu yang terus menerus menyuburkannya. Kini orang melayu mula bersifat kurang ajar. Kurang ajar ini bermakna mereka diberi didikan dengan didikan yang salah lagi menyesatkan.
 
Pihak kerajaan sedia ada telah memperkenalkan pelbagai nama dalam membentuk diri. Perkataan Jati Diri, Modal Insan dan sebagainya adalah merupakan rebranding terhadap kata yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis. Meminjam nama-nama tersebut semata-mata bertujuan menunjuk-nunjuk tanpa memperhalusi atau menjiwai rohnya. Maka inilah hasilnya. Disuburkan lagi dengan filem-filem melayu yang boleh dikatakan mempromosi gejala samseng ini. Masing-masing terpengaruh hendak menjadi hero (sekadar hero kampung). Penulis teringat kepada salah satu filem Allahyarham P.Ramlee di mana pelakunya Sharif Dol yang menjadi kepala samseng Kampung Dusun. Antara dialog yang diingati semasa P.Ramlee berlawan dengan Sharif Dol "Ini kepala bapak kau, ini kepala bapak aku. Kalau kau berani kau pijaklah kepala bapak aku". Menghayati dialog tersebut, penulis kira apa yang berlaku  sejak kebelakangan ini tidak ubah seperti apa yang didialogkan dalam filem P.Ramlee itu.
 
Penulis sering terdengar ramai mengatakan betapa bodohnya melayu-melayu samseng seperti itu. Adakah melayu-melayu itu memang sebenarnya bodoh atau sengaja diperbodohkan oleh orang-orang cerdik yang sebenarnya bodoh teramat bodoh? Bagaimana kita hendak menjadi melayu yang cerdik dan bertamadun kalau perangai begini masih tidak berjaya dihakiskan. Walhal panduan mutlak untuk menjadi bangsa yang berjaya dan disegani, setiap masa berada di hadapan kita. Bukankah kita ini ada agama. Bukankah Islam itu agama yang kita pilih. Kalau Islam yang sudah kita pilih, mengapa kita tidak menganutinya. Kalau Islam hanya sekadar menurut perbuatan bersolat dan berpuasa di bulan Ramadhan (tanpa roh kedua-duanya), maka jawabnya kita belum lagi Islam yang sebenar-benar Islam.
 
Cuma kata-kata akhir penulis kepada samseng-samseng kampung itu. Kalau benar-benar demo ini samseng, masuklah ke gelanggang dengan bersenjata dan tunjukkanlah kehebatan demo. Biarlah akhirnya hanya seorang sahaja yang bernyawa. Kita tengok siapa yang sebenar-benar samseng. Atau pun yang lebih tepat sekiranya demo tidak berani, suruhlah Tok Guru kedua-dua belah pihak masuk ke gelanggang. Biarlah mereka menunjukkan kepada kita siapa yang sebenar-benarnya kepala samseng. Jangan jadi seperti Sharif Dol sudahlah.
 
Gitulah......

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...