Tuesday, January 15, 2013

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT 12 JAN 2013- IT'S A WAKE-UP CALLED

Satu catatan sejarah telah berlaku sempena bermulanya tahun 2013. Tanggal 12 Januari 2013, negara telah digegarkan dengan satu perhimpunan yang lebih hebat dari perhimpunan Sambutan Kemerdekaan Negara pada tahun 1957. Perhimpunan kali ini bukannya menyatakan hasil tuntutan kemerdekaan dari British. Sebaliknya perhimpunan ini dilihat menuntut kemerdekaan dari kerajaan yang telah menuntut kemerdekaan daripada British satu ketika dahulu. Kemerdekaan apakah yang sebenarnya menjadi tuntutan kepada perhimpunan yang begitu berani sekali ini. Dulu kita menuntut kemerdekaan dari si penjajah British. Betul. Tetapi sekarang apakah sebenarnya yang menjadi ledakan atau punca kepada tuntutan yang ini?
 
Berdasarkan apa yang dibaca atau dilihat melalui pelbagai saluran media, jawapan kepada persoalan di atas itu mudah sahaja iaitu menuntut kemerdekaan dari kerajaan yang dikatakan telah menzalimi segenap lapisan rakyat sejak sekian lama. Apakah benar kerajaan sedia ada telah bertindak zalim kepada rakyat? Adakah pihak kerajaan telah membunuh rakyat sepertimana yang kita lihat berlaku di negara-negara yang sedang membangun atau negara-negara Islam lain di muka bumi ini? Adakah rakyat didera dengan pelbagai bentuk penderaan sehingga tidak dapat makan, minum dan sebagainya? Atau apakah yang sebenarnya dimaksudkan dizalimi?
 
Kalau hendak dibincangkan dalam ertikata dizalimi dalam konteks apa yang sedang berlaku sekarang, memang boleh terhasil sebuah buku. Jadi tidak payahlah hendak dipanjangkan di sini. Apa yang penulis faham ialah sebahagian besar rakyat menuntut keadilan daripada pihak kerajaan dalam ke semua aspek kehidupan bernegara. Rakyat begitu menginginkan keadilan yang saksama dan bukannya berpuak-puak seperti yang dituntut dalam Al-Quran. Keadilan itu perlu disebarkan secara menyeluruh dan meluas, tidak terbatas-batas seperti yang berlaku sekarang. Begitulah fahaman penulis. Mudah sahaja.
 
Penulis pernah mengatakan tentang keresahan rakyat dan impaknya kepada ketidakpuasan hati mereka tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan. Yang kaya akan menjadi maha kaya manakala yang miskin akan terus menjadi papa kedana. Dalam dunia yang sudah semakin berubah dari segi iklim dan persekitaran sosial dan politik, perkara yang menjadi ledakan kepada ketidakpuasan hati dan ketidakadilan layanan sepatutnya tidak berlaku terhadap rakyat yang selama ini didoktrinisasikan dengan kata-kata demokrasi. Tahap kecerdikan rakyat sudah berubah. Beri wang mereka ambil, menyokong kerajaan tidak tentu lagi.
 
Orang melayu yang selama ini meletakkan UMNO sebagai tulang belakang negara sudah mula sedar dan memahami struktur perancangan dan hala tuju yang selama ini dibawa. Mereka melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan corak atau pola yang dibentuk sebegitu rupa. Semakin hari semakin jelas penglihatan mereka terhadap ruang-ruang yang selama ini diselaputi kabus halus. Apabila mereka menggilap dinding cermin yang selama ini dikabusi sedikit demi sedikit, akhirnya mereka mula melihat apa yang sedang berlaku di dalamnya. Siapa yang memberi kain pengelap itu? Adakah kerajaan sendiri atau siapa?

Siapa yang memberi adalah tidak penting. Yang pentingnya ialah adakah suara jutaan rakyat ini didengari atau tidak. Adakah didengari kerajaan yang memerintah sekarang atau didengari dan diberi perhatian secara sirius oleh mereka yang bakal menjadi kerajaan? Dalam hal ini, dilihat tindakan oleh pihak kerajaan terlalu lambat malahan lebih lambat dari sang kura-kura. Penulis ingin sangat melihat barisan Pemuda dalam UMNO menjuarai perkara ini tetapi malangnya tidak ada. Ini secara jelas membuktikan bahawa mereka yang dilantik ini boleh penulis gelarkan sebagai pengecut. Tugas mereka kalau diperhatikan ialah asyik memfitnah orang. Duduk di atas kerusi empuk umpama raja sambil mengarahkan barua-barua mereka mengarang cerita-cerita mengaibkan orang. Dosa pahala sudah tidak wujud pada mereka. Melacurkan idea dan diri demi mencari rezeki menyara diri, itulah yang dikejari.

Penentangan rakyat terhadap kumpulan seperti ini sudah tidak mampu untuk disekat lagi. Kalau diperhatikan dalam ratusan ribu rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka pada 12 Jan 2013 itu, rata-rata boleh dikatakan merupakan golongan muda. Inilah golongan muda yang bakal mencatatkan sejarah pilihanraya ke13 nanti. Golongan muda yang begitu sarat dengan dendam yang terkumpul disebabkan oleh kelancauan mulut Pemuda yang berkuasa seperti di atas. Penulis pasti mereka akan menerima padah dan giliran pula. Mungkin bukan setakat diludah malahan akan dibogelkan untuk tatapan umum.

Berbalik kepada himpunan pada hari petang sabtu itu. Impak kepada kerajaan adalah terlalu besar dan kerajaan tidak boleh mengambil mudah dalam hal ini. Suara rakyat yang menuntut kepada keadilan di dalam pelbagai aspek wajar diberi perhatian. Sekiranya mandat diberikan sekali lagi kepada kerajaan sedia ada, maka kerajaan tidak boleh tidak menunaikan segala harapan yang dikehendaki. Kalau dilihat kepada senario perhimpunan tersebut boleh dikatakan mandat yang diharapkan kerajaan sedia ada mungkin agak sukar untuk dinikmati.

Pihak di sebelah sana dilihat mendapat suntikan hebat daripada rakyat pelbagai bangsa dan agama. Senario ini memang mengusarkan pihak kerajaan. Dakwaan yang pelbagai yang dilemparkan kepada pengurusan dan pentadbiran kerajaan, hampir satu pun tidak mampu ditangkis hatta menjawabnya. Sikap mendiam diri dalam kalangan pemerintah seolah-olah mengiakan segala dakwaan tersebut. Kalau ada pun, apa yang terkeluar dari mulut pemerintah sudah tidak mahu didengar lagi. Maka di sini perlu kita melihat kembali apa yang telah dilakukan sepanjang masa kita memegang kuasa yang diamanahkan rakyat.

Penulis pernah mengatakan pada suatu ketika dahulu bahawa kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah yang diamalkan oleh waris-waris terdahulu. Zaman kita tidak sama langsung dengan zaman mereka. Zaman kita adalah zaman yang penuh dengan maklumat. Kita yang mahukan rakyat menjelang 2020 menjadi rakyat yang bermaklumat. Kita yang memberi laluan kepada rakyat untuk menjadi begitu. Kita yang menentukan hala tuju rakyat. Kita sangkakan yang lain akan berlaku. Rupa-rupanya lain pulak yang berlaku tidak sepertimana yang kita unjurkan. Untuk berpatah balik adalah mustahil sama sekali. Oleh yang demikian, kita perlulah menghadapinya dengan pendekatan lain.
 
Sikap gentleman yang ditunjukkan rakyat perlu ditangani secara gentleman juga. Barulah kita akan dihormati semula. Malangnya tidak begitu jadinya. Inilah yang membuatkan rakyat semakin menyampah dengan kita. Oleh itu, mereka mencari satu platform lain yang boleh mendengar rintihan mereka dan kebetulan pula pihak di sebelah sana sudah teruji dengan segala kegentlemannya. Maka pihak inilah yang menjadi harapan untuk mendokong segala keresahan yang sudah lama melanda.

Penulis melihat pemerintah sedia ada sudah begitu penat berjuang. Oleh yang demikian, wajarlah kita berehat seketika untuk mengumpul kudrat dan tenaga bagi mengepalai perjuangan seterusnya. Mungkin kita boleh membiarkan team lain menguruskan kita pula. Rakyat sebenarnya bukan membenci kita. Rakyat sebenarnya kesihan dengan kita yang sudah terlalu penat sepertimana orang Kelantan kata "dah habih gas". Tidak salah kiranya kita memberi orang lain mengurus dan mentadbir rakyat. Dalam kita merehatkan diri kita, maka wajarlah kita merenung kembali segala tindak tanduk yang pernah kita lakukan. Kalau sebelum ini kita terlalu menggunakan fikir mengawasi tindak tanduk kita, maka kali ini kita perlu meletakkan akal untuk mengawal fikiran kita.

Walau apa pun, yang pastinya satu sejarah dalam masyarakat Malaysia moden ini telah berlaku. Pelbagai sejarah lain lagi akan menyusul sama ada menyebelahi pihak pemerintahan sedia ada atau sebaliknya. Apabila kita hidup dalam bermasyarakat, sudah pasti perkara-perkara seperti sosio ekonomi, politik dan sosial tidak boleh dipisahkan. Mereka berjalan serentak sama ada dengan derap yang sama atau bertaburan. Matlamat di hujung itulah yang dicari. Pilihanraya ke 13 kali ini sudah pasti akan menjadi satu catatan sejarah besar dalam negara Malaysia moden. Sejarah tidak akan terhenti sebaliknya akan terus berulang dan berulang. Zaman berbeza tetapi kandungannya tetap sama. Begitu juga dengan kaedah atau metodoginya, tetap sama. Cuma di akhir cerita itu nanti ianya akan jatuh di sebelah mana. Itulah yang  kita nanti-nantikan. Yang pasti himpunan lautan rakyat dengan buih berwarna-warni ini, yang sukar untuk dikenali yang mana satu melayu, cina atau india merupakan satu wake-up call yang cukup besar impaknya. Kita harapkan sikap gentleman itu tadi direalisasikan. 

No comments:

Post a Comment

Sypmtom Checker

loading...