Thursday, April 19, 2012

ISTILAH DAN MAKNA DALAM PERBANKAN ISLAM


ISTILAH
MAKNA
Bai’ Urbun
Suatu perjanjian jualan di mana wang cagaran dibayar terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada pembayaran harga aset jika kontrak berterusan hingga selesai. Wang cagaran ini akan hilang jika pembeli tidak memenuhi kewajipan memuktamadkan pembelian aset. Wang cagaran yang hilang dianggap sebagai hibah (hadiah) kepada penjual.

Bai’ Bithaman ‘Ajil
Suatu kontrak jualan berdasarkan bayaran tertunda (bai’ nasiah) dan ansuran (bai’ bit taqsid) di dalam satu tempoh pembayaran yang dipersetujui.

Bai’ Murabahah
Suatu kontrak jualan berdasarkan tokok kos dengan kos pemerolehan dan margin keuntungan penjual didedahkan kepada pembeli semasa kontrak dimetrai. Biasanya, penyelesaian harga dibuat mengikut terma pembayaran tertunda, iaitu bai’ bithaman ‘ajil.

Bai’ Inah
Satu kemudahan pembiayaan yang melibatkan dua kontrak jual beli yang berasingan pada aset yang sama dan ia boleh berbentuk dua pengaturan yang berikut:
  1. Pembiaya menjual aset kepada pelanggan mengikut terma pembayaran tertunda. Sebaik sahaja selepas itu, pembiaya membeli semula aset yang sama daripada pelanggan secara tunai pada harga yang lebih rendah daripada jualan pembayaran tertunda
  2. Pembiaya membeli aset daripada pelanggan secara tunai. Sebaik sahaja selepas itu, pembiaya menjual balik aset yang sama kepada pelanggan secara pembayaran tertunda pada harga yang lebih tinggi daripada jualan tunai.

Bai’ Dayn
Ia merujuk pada pembelian dan penjualan instrumen hutang seperti sijil, saham, dokumen perdagangan dan sekuriti dalam pasaran sekunder yang patuh pada kehendak Syariah. Pada dasarnya, kesemua dokumen ini dikeluarkan oleh penghutang kepada pemiutang sebagai bukti keberhutangan (syahadah al-dayn) Bai’ Dayn terjadi apabila pemiutang menjual dokumen hutang kepada pihak ketiga. Hanya dokumen hutang yang terbukti benar (dayn thabit), iaitu hutang yang berpunca daripada transaksi perniagaan “sebenar“ boleh diniagakan.

Bai’ Istijrar
Suatu kontrak antara pembekal dengan pelanggan di mana pembekal membekalkan barangan tertentu secara berterusan mengikut mod pembayaran yang telah dipersetujui sehingga mereka menamatkan kontrak tersebut. Ia sama digunakan untuk kontrak antara pemborong dengan peruncit bagi membekalkan sejumlah aset yang telah dipersetujui.

Bai’ Istisna’
Suatu kontrak pesanan belian di mana pembeli mengarahkan penjual menyediakan aset mengikut spesifikasi yang terdapat dalam kontrak pembelian untuk diserahkan pada suatu tarikh masa depan tertentu. Pembayaran harga pembelian adalah mengikut terma dan syarat yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

Bai’ Muzayadah
Jualan aset kepada orang ramai melalui proses pembidaan dalam kalangan bakal pembeli dan aset dijual kepada pembida tertinggi. Biasanya, ia dikenali sebagai jualan lelong.

Bai’ Salam
Suatu kontrak di mana pembayaran harga dibuat sepenuhnya terlebih dahulu semasa kontrak dimetrai supaya aset dapat diserahkan kemudian pada suatu tarikh masa depan. Kualiti aset yang dirancang untuk dibeli perlu ditetapkan sepenuhnya tanpa meninggalkan kesamaran yang boleh mendorong kepada pertikaian. Barangan yang dijual merupakan aset biasa, bukannya emas, perak atau mata wang yang dianggap sebagai pertukaran nilai kewangan yang tertakluk di bawah peraturan Bai’ al Sarf, iaitu pertukaran bersama dari tangan ke tangan tanpa lengah. Mod pembiayaan ini sering digunakan dalam sektor pertanian, di mana bank mendahulukan wang bagi pembelian pelbagai input pengeluaran bagi mendapatkan saham dalam tanaman tersebut, yang kemudiannya dijual.

Bai’ Wafa’
Suatu kontrak dengan syarat bahawa apabila penjual membayar balik harga aset yang telah terjual itu, pembeli memulangkan semula aset tersebut kepada penjual. Ia merupakan bai’ (penjualan) dari segi bentuk (rahn) tetapi jaminan dari segi isi.

Batil
Batal dan tak sah.
Darurah
Darurat. Ketika dalam darurat, orang Islam boleh dikecualikan daripada aspek undang-undang Syariah bagi mempertahankan iman, nyawa, harta benda, daya fikir dan generasi pada masa akan datang.

Dhamanah
Suatu kontrak di mana seseorang menaja jamin tuntutan atau kewajipan yang perlu dipenuhi oleh penghutang, pembekal atau kontraktor. Sekiranya penghutang, pembekal atau kontraktor gagal memenuhi kewajipan mereka, penjamin wajib bertanggungjawab bagi memenuhi kewajipan itu.
Majoriti para fuqaha berpendapat bahawa dhamanah adalah serupa dengan kafalah.
Fasid
Tidak kukuh dan tidak berdaya maju. Dalam sesuatu kontrak, keadaan fasid akan menyebabkan kontrak tidak sah.

Fatwa
Suatu pendapat atau pengumuman mengenai Syariah yang dikemukakan oleh sekumpulan cendekiawan Islam (fuqaha) yang cukup berkelayakan dan berpengetahuan dalam kaedah mengeluarkan fatwa serta mantap dalam disiplin perundangan Islam (usul fiqh). Dari segi amalan dan bergantung pada bidang kuasa, fatwa juga boleh dirujuk sebagai “peraturan”, “edik” dan “pendapat”.
Di Malaysia, hanya Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa, sementara Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Syariah setiap bank hanya mempunyai kuasa mengumumkan “keputusan”.
Gharar
Fakta atau keadaan yang tidak diketahui. Dalam urus niaga komersial, gharar yang berlebih-lebihan/ utama (gharar fâhish), contohnya fakta atau keadaan sama ada pihak yang mengikat kontrak atau aset yang terdapat dalam kontrak atau harga aset tidak diketahui atau tidak dimaklumkan kepada pihak yang mengikat kontrak mengakibatkan sesuatu kontrak itu batal dan tak sah.
Ghish
Penipuan, fraud dan pendayaan. Kesemua ini adalah dilarang oleh Syariah.
Hadith
Sabda (kata-kata), perbuatan dan pengesahan oleh nabi Muhammad SAW. Hadis juga dirujuk sebagai Sunnah.

Halal
Sah atau dibenarkan. Konsep halal mempunyai nada kerohanian. Dalam Islam terdapat kegiatan, profesion, kontrak dan urus niaga yang dengan jelas dilarang (diharamkan) oleh Syariah. Semua kegiatan, profesion, kontrak dan urus niaga yang lain adalah halal. Konsep halal itu membezakan antara ekonomi Islam dengan ekonomi konvensional. Dalam ekonomi konvensional kesemua kegiatan adalah dinilai mengikut utiliti ekonomi. Dalam ekonomi Islam, faktor kerohanian dan moral juga diambil kira, di mana sesuatu kegiatan nampak baik dari segi ekonomi tetapi mungkin tidak dibenarkan jika ditegah oleh Syariah.

Haram
Menyalahi undang-undang atau ditegah. Kegiatan, profesion, kontrak atau urus niaga yang dengan jelas dilarang oleh Syariah.

Haq Maliy
Merujuk pada hak atas asset. Contoh hak tersebut ialah haq dayn (hak untuk menuntut hutang) dan haq tamalluk (hak pemilikan).

Hibah
Hadiah yang dianugerahkan kepada seseorang secara suka rela atau sesuatu diberikan kepada individu tanpa pertukaran.

Hiwalah
Suatu kontrak pemindahan tanggungjawab hutang seorang penghutang kepada pihak ketiga.

Ibra’
Memberikan hak. Dalam urus niaga komersial, pemiutang memberikan sebahagian atau semua haknya kepada penghutang, biasanya untuk penyelesaian awal hutang itu. Beberapa cendekiawan (fuqaha) berpendapat bahawa Ibra’ adalah serupa dengan rebat.
Walau bagaimanapun, di bank-bank Islam, konsep ini digunakan dalam konteks yang lebih luas seperti dalam pelaksanaan produk kadar terapung dengan harga jualan yang ditetapkan.
Ijarah
Suatu kontrak di mana pemberi pajak (pemilik aset) menyewakan aset kepada pelanggan/pemajak pada kadar sewa yang dipersetujui dan tempoh pajakan ditetapkan terlebih dahulu sebelum ‘aqd (kontrak). Pemilikan harta tanah kekal dengan pemberi pajak, sementara pemajak hanya memiliki hak penggunaan harta tanah tersebut.
Ijarah Thumma Bai’
Merujuk pada kontrak Ijarah (pajakan) yang akan diikuti oleh kontrak bai’ (jualan). Di bawah kontrak pertama, pemberi pajak menyewakan aset kepada pemajak pada kadar sewaan yang telah dipersetujui sepanjang tempoh yang ditetapkan. Menjelang tiba tamat tempoh pajakan, pemajak mengikat kontrak kedua untuk membeli harta tanah daripada pemilik pada harga yang telah dipersetujui.
Dalam bidang kuasa tertentu, Ijarah Thumma Bai’ digelar Ijarah Muntahiah Bit-Tamlik.
Ijtihad
Pakar undang-undang (faqih) berusaha merumuskan peraturan atau keputusan menurut undang-undang (hukum) dengan memberi tafsiran bukti (dalil) yang terdapat dalam sumber Syariah.

Syirkah ‘Inan
Perkongsian kewangan.

Jahl
Kejahilan.

Jua’lah
Satu kontrak sehala yang menjanjikan hadiah atas penyempurnaan sesuatu tugas khas.

Kafalah
Merujuk pada Dhamanah.

Khiyanah
Pecah amanah, pengkhianatan atau pembelotan yang jelas dilarang oleh Syariah.

Maisir
atau
Qimar
Perjudian. Sebarang kegiatan yang melibatkan pertaruhan, yang membabitkan wang atau apa-apa perkara mengenai hasil daripada peristiwa yang tidak boleh dijangkakan. Pertaruhan akan hilang jika hasilnya tidak seperti yang dijangkakan oleh pembuat pertaruhan dan sebaliknya individu penerima pertaruhan mendapat pertaruhan itu. Sememangnya, kegiatan ini jelas dilarang oleh Syariah.

Mal
Sebarang keinginan semulajadi manusia, dan boleh disimpan untuk keperluan akan datang; yang mempunyai kegunaan khusus atau am dan dibenarkan oleh Syariah bagi tujuan mendapatkan manfaat daripadanya.

Muamalat
Transaksi ekonomi dalam kalangan manusia.

Mudarib
Usahawan dalam kontrak mudharabah.

Mudharabah
Suatu perjanjian antara pemodal (rabbul mal) yang memberi 100% modal untuk perniagaan dengan usahawan (mudharib) yang menguruskan perniagaan dengan menggunakan kepakarannya. Di bawah kontrak ini, keuntungan yang diperoleh akan dibahagikan antara mereka mengikut nisbah yang dipersetujui sebelumnya, sementara sebarang kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pemodal.

Muqasah
Penyelesaian hutang mengikut urus niaga kontra atau tolak selesai.

Musaqah
Kontrak pertanian di mana pemilik tanah pertanian berkongsi pengeluaran dengan individu lain sebagai pulangan atas khidmatnya mengairi kebun itu.

Musawamah
Sejenis jualan am di mana terdapat tawar menawar dalam harga komoditi yang akan didagangkan antara penjual dengan pembeli tanpa sebarang rujukan terhadap kos perolehan yang ditanggung oleh penjual.

Musharakah
Suatu kontrak ke arah perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk menyumbang modal dalam pelbagai perkadaran. Keuntungan yang dijana oleh perkongsian dibahagikan mengikut terma kontrak musyarakah, manakala kerugian dikongsi mengikut perkadaran bahagian sumbangan masing-masing kepada modal.

Musharakah Mutanaqisah
Musyarakah berkurangan; membenarkan penyertaan ekuiti dan perkongsian
untung mengikut nisbah yang ditetapkan sebelumnya, dan perkongsian kerugian mengikut bahagian tertentu. Ini menyediakan kaedah, dengan melaluinya bank boleh terus mengurangkan ekuitinya dalam aset itu, yang akhirnya memindahkan pemilikan aset tersebut kepada pelanggan/ rakan kongsi. Kontrak ini menyediakan pembayaran untuk membeli saham ekuiti yang dipegang oleh bank, selain daripada keuntungan yang dibayar kepada bank. Secara serentak, pelanggan membeli sebahagian daripada ekuiti bank, dari semasa ke semasa mengurangkannya sehingga bank tidak mempunyai ekuiti dan ini mengakibatkan perkongsian berakhir.
Muzara’ah
Suatu kontrak pertanian di mana individu mengerjakan tanah milik individu lain dengan mendapat pulangan mengikut bahagian hasil tanah itu.
Qabadh
Qabadh bermaksud mengambil pemilikan dalam kontrak pertukaran (‘uqud mu’awadhat). Pada amnya, qabadh diamalkan berdasarkan urf, iaitu amalan biasa komuniti tempatan dalam mengiktiraf cara pemilikan sesuatu aset berlaku. Qabadh berbeza mengikut jenis aset.
Qardh
Pinjaman
Qardh Hasan
Merujuk pada pinjaman ihsan, iaitu satu kontrak pinjaman antara dua pihak tanpa caj tambahan selain daripada pinjaman itu. Sebarang tambahan pembayaran yang dikenakan oleh pemberi peminjam atau janji yang dibuat oleh peminjam adalah dilarang. Walau bagaimanapun, peminjam dibenarkan membayar lebih atas budi bicara beliau sepenuhnya sebagai tanda penghargaan.
Quran
Kitab suci Islam, iaitu firman Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab yang disampaikan melalui malaikat Jibril AS.
Rabbul Mal
Pelabur atau pemodal dalam kontrak mudharabah.
Rahnu
Menjadikan aset sebagai jaminan atau cagaran terhadap hutang. Cagaran akan digunakan untuk menyelesaikan hutang apabila penghutang ingkar. Cagaran juga akan digunakan sebagai satu nama sejenis pinjaman dengan cagaran atau perniagaan pajak gadai.
Riba
Peningkatan dalam transaksi pinjaman atau pertukaran aset ribawi, terakru kepada pemilik (pemberi pinjaman atau penjual) tanpa memberi nilai kaunter yang setara atau pampasan sebagai pulangan kepada pihak yang satu lagi. Riba adalah dilarang menurut Syariah.
Dalam pemberian pinjaman, terdapat lebihan pembayaran dikenakan oleh pemberi pinjaman atau janji oleh peminjam selain daripada pinjaman (dikenali sebagai riba qardh)
Dari segi perdagangan, ia lebih merupakan perbezaan dalam berat dalam pertukaran emas mengikut sukatan ketulenan berbeza, contohnya 10 gram daripada 750 emas dengan 8 gram daripada 835 emas (dikenali sebagi riba fadhl); atau perbezaan dari segi masa antara pembayaran dengan penyerahan dalam kadar pertukaran mata wang asing, contohnya pembayaran atau RM10,000 pada 1 Januari 2008 dan penghantaran USD3,800 pada 2 Januari 2008 (dikenali sebagai riba nasiah).
Sadaqah
Pemberian amal secara suka rela.
Sarf
Satu kontrak pembelian dan penjualan mata wang.
Shariah
Undang-undang Islam berkaitan dengan semua aspek kehidupan manusia yang ditetapkan oleh Allah kepada hambanya. Undang-undang ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu undang-undang yang berkaitan dengan kepercayaan (akidah), undang-undang yang berkaitan dengan ibadat (fiqh) dan yang berkaitan dengan etika (akhlaq) Berdasarkan makna ini, Syariah juga merupakan perkataan lain untuk Islam.
Suftajah
Bil Pertukaran.
Sukuk
Bon bersandarkan aset yang berstruktur mengikut prinsip Syariah. Sukuk menandakan pemilikan aset semasa mengikut kadar yang tak dibahagi. Kebanyak bon ini boleh didagangkan dalam pasaran, bergantung pada bagaimana bon-bon ini distrukturkan; pada tara, premium atau diskaun.
Sunnah
Merujuk pada Hadis.
Ta’widh
Pampasan yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang mengikat kontrak sebagai pembayaran yang boleh dituntut oleh pemiutang apabila penghutang ingkar dalam pembayaran hutang mereka.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia membuat keputusan bahawa ta’widh boleh dikenakan atas penghutang ingkar yang gagal memenuhi tanggungjawabnya membayar pembiayaan berdasarkan keadaan-keadaan yang berikut:
  1. Amaun ta’widh tidak boleh melebihi kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya;
  2. Keingkaran atau penangguhan bayaran disebabkan oleh kelalaian di pihak penghutang.
  1. Penentuan pampasan dibuat oleh pihak ketiga, iaitu Bank Negara Malaysia;

Tadlis al-‘aib
Tindakan penjual yang dengan sengaja menyembunyi kecacatan (kerosakan) barangan yang jelas dilarang oleh Syariah.
Takaful
Insurans patuh Syariah, iaitu satu pelan perlindungan berdasarkan kehendak Syariah (konsep saling berkongsi dan melindungi antara satu sama lain melalui sumbangan kepada satu kumpulan dengan mengambil kelebihan kumpulan yang besar).Seseorang individu itu akan menjadi peserta dengan melaksanakan kontrak tabarru dan membuat sumbangan penyertaan (tabarru) ke dalam dana takaful umum di mana beliau membenarkan carumannya digunakan bagi membantu peserta-peserta lain apabila mereka ditimpa musibah yang tertentu. Kontrak komersial mudharabah dan wakalah digabungkan ke dalam kontrak tabarru’ bagi meningkatkan saiz dana takaful.
Tanajush
Suatu konspirasi antara penjual dengan pembeli di mana penjual sanggup menjual aset pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Ini dilakukan supaya pihak lain akan terburu-buru untuk membeli aset itu pada harga yang lebih tinggi, dan hasilnya penjual mendapat keuntungan yang besar. Kegiatan ini sememangnya jelas dilarang oleh Syariah.
Tawarruq
Ia merupakan pembelian satu komoditi (iaitu, kandungan tawarruq) berasaskan perbayaran tertunda, sama ada secara bai’ musawamah atau bai’ murabahah. Kemudiannya, komoditi itu dijual secara tunai kepada pihak lain selain daripada penjual asal.
Dalam pembiayaan peribadi, seseorang pelanggan membeli satu komoditi daripada bank berasaskan pembayaran tertunda dan dengan segera menjual semula komoditi itu kepada pihak ketiga untuk mendapatkan wang tunai (wariq). Dengan cara ini, pelanggan boleh mendapatkan wang tunai tanpa mengambil pinjaman berasaskan faedah.
Ujrah
Suatu pembayaran untuk manfa’ah, iaitu usufruk atas penggunaan harta benda orang lain. Istilah lain yang berkaitan dengan ujrah ialah ajr (jamak ujur) yang merujuk pada pembayaran untuk sesuatu perkhidmatan. Ujrah juga berhubung kait dengan gaji, upah, bayaran, fi, caj, pendaftaran, honorarium, ganjaran, anugerah dan lain-lain.
‘Uqud Ishtirak
Kontrak penyertaan atau perkongsian.
‘Uqud Mua’wadat
Kontrak pertukaran.
‘Uqud Tabarru’at
Kontrak hadiah atau derma.
Usul Fiqh
Juga disebut perundangan Islam, iaitu disiplin ilmu dan kaedah memahami dan mentafsir Syariah.
Wad?’ah
Jagaan selamat. Asalnya, jagaan selamat dirujuk sebagai wadi’ah yad amanah, iaitu jagaan pemegang amanah. Menurut Syariah penjaga pemegang amanah mempunyai tanggungjawab untuk menjaga harta tanah yang dipegang badan amanah.
Wad?’ah yad amanah berubah kepada wadi’ah yad dhamanah (jagaan terjamin) apabila penjaga pemegang amanah mencabuli syarat untuk melindungi harta benda itu. Kemudian, beliau (penjaga) perlu menjamin harta benda tersebut.
Wakalah
Suatu kontrak pelantikan ejen di mana seseorang individu melantik seseorang yang lain untuk bertindak bagi pihak beliau.
Waqf
Amanah endowmen dan khairat yang diwujudkan untuk tujuan yang berkaitan dengan Islam (biasanya untuk pendidikan, masjid, atau untuk orang miskin). Waqf melibatkan tambatan harta benda untuk selama-lamanya supaya harta itu tidak boleh dijual, diwarisi, atau didermakan kepada sesiapa.
Zakat
Satu tanggungjawab agama melalui pemberian zakat kepada orang Islam dengan jumlah tertentu daripada harta kekayaan mereka setiap tahun kepada salah satu daripada lapan kategori orang Islam yang serba kekurangan (asnaf).
Matlamatnya adalah untuk mengambil sebahagian daripada kekayaan orang berada untuk diagihkan dalam kalangan asnaf. Menurut Syariah, zakat mensucikan harta kekayaan dan jiwa.

Sypmtom Checker

loading...