Pelbagai program menjelang pilihanraya ke 13 tidak lama lagi dilaksanakan dari kedua-dua belah pihak. Masing-masing menggunakan segala kepakaran dan bijaksana menyampaikan hujah dalam usaha menenggelamkan satu sama lain. Seperti yang aku katakan sebelum ini, rakyat hendak melihat hujah atau perbahasan mengenai dasar-dasar kerajaan dan hala tuju yang akan dibawa. Malangnya ada lagi pihak yang masih berorientasi pemikiran lama, yang tidak mahu berubah. Di sini aku merujuk terus kepada mantan PM iaitu Tun Mahathir yang dikatakan akan berkempen untuk Tuan Guru Ibrahim Ali (hebat betul, siap diberikan gelaran Tuan Guru kepada Ibrahim Ali Pasir Mas) dalam PRU 13 ini.
Menurut rakan-rakan seperjuangan "hiraukan sahaja perkara ini, tidak payah nak memeningkan kepala sebab kedua-dua mereka itu adalah merupakan manusia yang sudah tidak bermakna lagi dalam konteks politik dewasa ini. Kedua-duanya adalah orang yang sudah tidak laku. Sekadar jadi badut sahaja dalam menyeronokkan lagi suasana pilihanraya ini. Dia mengatakan bahawa MB Kelantan sudah nyanyuk dan haru biru, gila kuasa, punca orang Islam berpecah belah dan macam-macam lagi. Sebenarnya dia tidak sedar bahawa diri dia sendiri sudah berada lama pada tahap kritikal nyanyuk itu. Bukan sekarang tetapi semenjak dia bersara dari PM dahulu lagi".
Si Ibrahim Ali itu pulak, sukar hendak letakkan beliau ini dari spesis apa. Seluruh rakyat Kelantan tahu bagaimana dia berjaya menang menjadi YB pada tahun 2008 dulu. Sebaik sahaja menang, dia terus tikam orang dari belakang dan menubuhkan NGO Perkasa yang kononnya benar-benar memperjuangkan bangsa melayu, lebih baik dari UMNO itu sendiri. Ini mengesahkan bahawa UMNO sebenarnya bukan parti yang memperjuangkan melayu. Peliknya UMNO tidak langsung mempunyai perasaan dengan apa yang dilakukan oleh si Ibrahim Perkasa ini. Ini yang membuatkan ramai dalam kalangan melayu begitu benci dan menyampah dengan pemuka-pemuka seperti ini.
"Apalah yang kau runsingkan. Bukankah kedua-duanya UMNO sendiri sudah tidak mahu. Kau ingat UMNO hendak lagi ke dengan si Brahim tu? Kau ingat UMNO hendak pakai lagi ke dengan kata-kata hikmat Tun Mahathir tu? Lagi banyak dia orang ni cakap, lagi sakit dan berat lagi kita orang UMNO hendak buat kerja. Teruk kita hendak menangkis serangan puak pembangkang dengan kenyataan-kenyataan bodoh dan dungu seperti Brahim dan Mahathir ini".
Betul juga kata salah seorang rakan aku ini. Sudahlah dari kalangan pemimpin UMNO sedia ada juga sama bodoh dan dungu macam kedua-dua manusia itu. Macamanalah orang-orang kita ini hendak berdepan dengan pihak pembangkang. Pembangkang pun bukannya semua hebat tetapi tahap sokongan rakyat terhadap mereka kelihatan lebih hebat dari kita. Dengan kita rakyat "paksa rela" tetapi dengan pihak di sebelah sana "benar-benar suka rela". Kita teruk kena membeli sekiranya hendak menang. Kalau dahulu strategi ini memang berkesan tetapi untuk kali ini, beli tetap beli tetapi untuk menjamin kemenangan, jauh sekali. Mengapa jadi begini? Mudah sahaja jawapannya, kita sendiri yang memudahkan strategi pihak pembangkang. Kita sendiri yang memberi segala peluru kepada pihak pembangkang. Kita sendiri yang mencipta isu dan isu ciptaan kita itu akhirnya memakan kita balik. Inilah yang menunjukkan betapa bodohnya so called "think-tank" sedia ada (silap pilih orang atau hakikat sebenarnya tidak mahu mendengar perkara yang sebenar).
Apa yang pasti, sekiranya kita hendak mencapai kemenangan selesa selain daripada tidak jujur ialah jangan beri peluang kepada manusia seperti Brahim, Mahathir, Tok-tok Guru Pondok Palsu atau badut-badut yang menghendakkan upahan semata-mata daripada memberi sebarang kenyataan bodoh dan dungu yang merugikan kita. Rakyat sekarang bukan macam dulu lagi. Janganlah kita memperbodohkan rakyat terutamanya dalam kalangan pemuda dan pemudi sekarang ini. Mereka lebih berani daripada kita. Mereka tidak gentar dengan segala ugutan kita. Mereka memperjuangkan prinsip yang pernah kita lakukan pada suatu ketika dahulu. Mereka inilah yang akan memadamkan generasi kita dan akan mewujudkan generasi yang berprinsip sepertimana yang pernah kita lakukan pada peringkat awal penubuhan gagasan bangsa melayu. Sekarang sejarah sedang bermula semula dengan kaedah dan metodolgi yang sama dalam zaman yang berbeza.