Thursday, September 16, 2010

ALAMAK! APA DAH JADI...CIKGU WAHID?

KUANTAN 15 Sept. 2010 - Seorang guru muzik hanya berkesempatan meraikan Hari Raya Aidilfitri selama enam hari apabila dia hari ini dihukum penjara 15 tahun dan sebatan dua kali atas kesalahan melakukan seks luar tabii dan mencabul seorang pelajar perempuan, tiga tahun lalu.

Abdul Wahid Mohd. Haneepa, 43, dikenakan hukuman tersebut selepas Mahkamah Tinggi di sini menerima rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya daripada ketiga-tiga tuduhan yang dihadapinya. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan dua kali terhadap tertuduh bagi tuduhan seks oral dan penjara lima tahun bagi setiap dua tuduhan mencabul mangsa. Beliau bagaimanapun memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata, tertuduh tidak wajar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

''Tertuduh juga telah melakukan perbuatan tersebut lebih daripada sekali dan mengambil kesempatan sebagai seorang guru.

''Saya lihat tidak terdapat sebarang faktor yang mendorong untuk meringankan hukuman ke atas tertuduh,'' katanya.

Abdul Wahid sebelum ini telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pendakwaan tetapi selepas pendakwa raya mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi, kes itu dikembalikan semula ke mahkamah tersebut dan dia diperintah membela diri.

Guru sekolah menengah yang telah berkhidmat selama 16 tahun itu bagaimanapun sekali lagi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pembelaan. Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi. Abdul Wahid disabitkan kesalahan memaksa mangsa berusia 14 tahun ketika kejadian untuk melakukan seks oral di dalam bilik muzik sekolahnya kira-kira pukul 5.30 petang pada pertengahan April 2007.

Dakwaan terhadapnya yang diwakili peguam bela Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Tertuduh juga disabitkan dengan dua kesalahan mencabul mangsa yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kira-kira pukul 5.30 petang pada Mac dan awal April 2007 di tempat yang sama.
*sumber-petikan Utusan Malaysia 15 Sept 2010

1 comment:

  1. astaqrafirullah! I just coudn't believe it. May God bless your soul, bro.

    ReplyDelete

Sypmtom Checker

loading...