Tuesday, June 29, 2010

AIR YANG DICINCANG TIDAK AKAN PUTUS

Sudah lama aku tak berjumpa dengan Ayahanda. Entah dia gembira atau sebaliknya apabila aku balik nanti, tidak dapatlah hendak aku jangkakan. Cuma dalam diri ini beranggapan yang baik sahaja. Hampir setengah tahun tidak ketemu, sudah tentu pelbagai perkara yang akan ditanya dan dipertanyakan. Mana yang boleh aku jawab, aku akan jawab.

Tidak menghubungi beliau bukan bermakna aku derhaka atau tidak mengingatinya. "Setiap saat hati ini mengingati dia". Kalau hendak hendak dikatakan rindu, memang tidak berdaya untuk aku melafazkannya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Manakan boleh aku sebagai anak boleh melupakan beliau apatah lagi menderhaka. Teringat aku kisah Hang Jebat yang dikatakan menderhaka itu. Aku sering terfikir apakah benar Hang Jebat itu menderhaka? Seorang anak melayu yang diisikan dengan maklumat alam yang penuh jisim-jisim seruan Maha Kuasa, mana mungkin dia boleh menjadi derhaka.

Aku bukan Hang Jebat bukan juga Hang Tuah. Aku juga diberi sedikit kekuatan sepertimana yang terdapat kepada kedua-dua pendekar melayu yang unggul ini. Kekuatan untuk aku meneruskan agenda yang diamanahkan kepada aku. Amanah untuk mengimarakkan lagi alam yang sudah semakin uzur dek kerakusan penghuninya yang tidak tidak tahu untuk berterima kasih atas kesudian mengizinkan kita berada di atasnya.

Mana bisa aku melupakan tunjuk ajar, didikan dan panduan mutlak yang diperturunkan kepada aku oleh seseorang yang aku panggil dengan nama Ayahanda. Tidak sesekali akan aku lupakan. Walaupun dimarahi atau disergah dengan apa cara sekalipun, hormat dan sayang aku terhadap beliau tidak akan padam walaupun apabila aku dipanggil kembali ke tempat asal aku nanti. Aku tidak perlu untuk membuktikan kepada sesiapa hatta sehebat mana sekalipun dari anak-anak beliau yang lain.

Aku telah diajar dengan acuan yang terdapat di dalam diri aku. Peduli aku dengan acuan orang lain. Yang merasa bahang panas, sejuk kaku, pahit maung manis derita dan sebagainya adalah acuan aku. Aku telah diajar untuk menjadi sebegitu rupa. Dalam dan luar adalah serupa walaupun terdapat kelainan sekirannya ada, adalah merupakan satu yang tidak boleh dipisahkan. Berpisah salah satu maka hancurlah aku. Hancur atau tidak bukanlah tugas aku untuk memikirkannya. Aku sekadar pinjaman untuk sementara sahaja dan akan kembali kepada tuannya nanti. Inilah yang dikabarkan kepada aku oleh sesusuk tubuh kerdil yang bernama Ayahanda.

Aku dengan alam aku, orang lain dengan alam mereka. Kaedah, cara atau metodolgi apa sekalipun boleh dipraktikkan asalkan tidak lari dari batas-batas yang telah dipupuk pada peringkat awal dahulu lagi. Saat untuk penyatuan tetap akan berlaku. Yang pasti saat dan ketika yang telah dimaktubkan tetap dan wajib akan berlaku.

Untuk Ayahanda yang sentiasa aku dalam ingatannya, percayalah aku tetap menyayangimu. Aku akan kembali merafak sembah penuh dengan alunan dan hayunan umpama merak memperagakan kilauan bulunya dan umpama sang harimau yang menjeling bersedia untuk menunjukkan gerak langkahnya. Itulah jawapan yang akan aku kabarkan kepada mu, Ayahanda ku.

Thursday, June 3, 2010

MENANGANI PERUBAHAN

Saya begitu tertarik dengan satu tajuk yang sering diperkatakan orang malahan tajuk ini sering menjadi bahan kupasan di dalam banyak seminar yang pernah dihadiri dan dengar baik secara langsung mahu pun melalui media elektronik. Tajuknya ialah mengenai PERUBAHAN. Dalam konteks ini saya ingin fokuskan kepada perubahan yang menyentuh sikap atau pun perbuatan makhluk Allah yang digelar manusia.

Kalau kita menyorot dari segi makna perubahan ialah The Process Of Becoming Different. Secara literalnya ialah proses untuk menjadi lain sama ada yang baik, lebih baik atau tidak baik langsung. Bagi memotivasikan pemikiran seseorang dalam melalui proses itu tadi, kita akan terdengar pelbagai pernyataan yang dibuat oleh ramai orang. Walau bagaimana pun pernyataan yang boleh dijadikan sumber rujukan dalam hubungan ini ialah dari orang yang berotoriti sebagai contoh Pemimpin Negara, pakar-pakar yang telah diakui atau yang paling bertepatan dan mutlak ialah dua dokumen rasmi yang telah diwasiatkan kepada kita. Antara pernyataan yang agak popular ialah “Melayu mudah lupa” oleh mantan Perdana Menteri kita.

Mengapa beliau tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan tersebut melalui sajak yang beliau hasilkan pada suatu ketika dahulu? Sebenarnya kalau disoroti secara mendalam beliau sebenarnya menegur sikap kita sebagai orang melayu dan apa yang diinginkan ialah melihat perubahan sikap dan diri orang melayu. Perubahan kepada sesuatu yang baru dan lebih baik dari sebelumnya. Ini melibatkan pemikiran dan tindakan yang akan dilakukan. Malangnya apa yang berlaku tidak secara menyeluruh malahan terlalu kecil peratus perubahan yang dihasratkan itu. Bertepatanlah seperti yang beliau katakan bahawa Melayu mudah lupa.

Sebenarnya banyak yang boleh kita ulaskan mengenai apa beliau katakan itu. Dalam kita menyingkap beberapa isu yang menyentuh tentang sikap orang melayu, memang apa yang dikatakan oleh mantan itu ada kebenarannya. Kebenarannya ialah masih lagi tidak berlakunya perubahan dalam minda orang melayu. Ramai di antara kita seolah-olah sudah begitu selesa dengan apa yang ada. Dalam keselesaan yang kononnya itu, kita menjadi lupa dengan sensitiviti persekitaran yang ada. Kita lupa kepada tanggungjawab kita dalam mendaulatkan bangsa apatah lagi agama. Kita menjadi lebih menjurus kepada hal kita sendiri dan kepentingan diri kita sahaja. Apa hendak jadi kepada orang lain itu mereka punya pasal. Akhirnya inilah yang menjadi kita satu bangsa yang lemah.

Kita tidak mahu hendak memikirkan secara holistic tentang nasib bangsa kita. Anasir luar setiap saat memerhatikan perkembangan bangsa kita. Melihat dan mengkaji kelemahan yang kita sendiri lakukan dan biarkan. Ini sebenarnya telah memudahkan anasir luar ini menyuntik pelbagai virus sebagai ujian makmal mereka untuk terus melemahkan bangsa kita. Dasar yang menjadi paksi ujikaji mereka ialah antaranya ialah sikap kita berkaitan pemikiran terbuka. Mereka mengasak minda kita agar menerima konsep pemikiran terbuka ini. Kita akan dikatakan kolot sekiranya tidak mahu menerimanya. Pemikiran terbuka ini akan menjurus kepada yang lebih bebas dan tiada ikatan. Yang dikatakan kolot adalah mereka yang tidak mahu berfikiran terbuka. Manakala yang pemikiran terbuka dikatakan sebagai mereka yang berfikiran baru selari dengan perubahan zaman dari alaf baru ke alaf yang lebih baru. Inilah sebenarnya unsur-unsur yang diserapkan ke dalam pemikiran bangsa kita terutamanya kepada generasi melayu baru.

Lebih memudahkan operasi anasir ini ialah apabila pemimpin kita sendiri meminta bangsanya sendiri agar melayani konsep tersebut atas nama perubahan kononnya. Dalam hal ini kita sepatutnya tidak melihat kepada satu aspek sahaja. Kita sepatutnya menjadi lebih sensitivf dengan membuat pelbagai analisis tentang aturan permainan perubahan ini. Dalam membuat analisis ini kita perlulah menggunakan instrumen penilaian yang telah dibekalkan kepada kita iaitu dua instrumen itu tadi (Al-Quran dan Hadith). Tetapi disebabkan faktur keselesaan yang berjaya diterapkan oleh anasir itu tadi, kita akan terus menjadi malas dan leka untuk membuat sebarang analisis dan usaha.

Serangan atau sasaran utama anasir tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu minda. Minda kita menjadi lemah kerana kita tidak mahu kebalkan dia. Untuk mngebalkan minda kita perlu menjadi sensitif kepada persekitaran yang saya katakan tadi. Senjata untuk menangkis sebarang serangan minda itu ialah dua dokumen wasiat yang itu juga. Kedua-dua dokumen itu adalah cukup selengkap-lengkapnya beserta contoh dan cara untuk menanganinya. Dengan lain perkataan apa sahaja permasalahan manusia sudah tersedia dengan jawapan untuk mengatasinya.

Saya akan cuba mengupas dengan lebih lanjut sedikit sebanyak dalam memperkatakan perubahan ini dalam penulisan akan datang. Saya teringat dengan kata-kata seorang rakan. Dia mengatakan bahawa dia percaya dan berharap seseorang itu akan berubah. Betul apa yang beliau katakan. Cuma bagi saya biarlah perubahan itu untuk kemanfaatan ummah atau diri seseorang itu sendiri kerana perubahan itu akan berlaku di dalam mana-mana dua laluan. Pertama ke arah yang lebih baik dan keduanya ke arah lebih menghancurkan.

Sypmtom Checker

loading...