Wednesday, August 21, 2013

DI SEBALIK MESIR OH! MESIR

"Wow! pagi-pagi lagi dah merenung jauh. Apa yang kau sedang fikirkan ni Lan?", Aku menyergah kawan sejawatku yang sedang mengelamun jauh itu.

"Tak, aku sebenarnya sedang memikirkan saudara-saudara seagama dengan kita yang setiap masa menjadi sasaran golongan yang anti kepada kita. Sekarang ini di Mesir pulak. Sampai bila akan berakhirnya penyeksaan ini", balas Lan sambil menghirup teh tarik yang berbuih itu.

"Allah Maha Mengetahui atas segala-galanya Lan. Bagi aku jawapannya mudah sahaja. selagi kita umat Islam tidak bersatu dan berdamai sesama sendiri secara mutlak, selagi itulah kita akan menjadi mangsa sasaran puak-puak ini", Aku menjawap persoalan kawan aku itu berdasarkan persepsi aku sendiri.

"Betul kata kau tapi aku tidak nampak apa yang dikatakan bersatu itu. Yang aku nampak perpecahan sahaja. Masing-masing tidak mahu tunduk atau mendengar pandangan orang lain"

"Alah...mudah aje Lan. Cara yang paling mudah dan kalau kita masih ingat Rasullullah SAW sebelum baginda wafat. Baginda berpesan kepada umatnya sekiranya ada permasalahan sesama kita atau puak yang anti kepada kita maka kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah. Di situlah tempat rujukan yang sehabis baik yang ditinggalkan Baginda", bagaikan Ustaz cara aku berkata.

"Aku bersetuju dengan apa yang kau kata tetapi apa yang kau suarakan tadi telah berkali-kali disebut oleh ulamak-ulamak pakar. Malangnya tidak ada siapa yang mendengar dan kalau ada yang dengar pun hanya sekadar mendengar ajelah" getus Lan dengan dahi yang berkerut.

"Sebenar demo-demo ni tidak faham Al-Quran itu apa sebenarnya. Boleh dikatakan keseluruhan orang Islam khususnya di negara kita sendiri melihat Al-Quran itu hanya untuk dibaca semata-mata. Terlalu sedikit yang berusaha untuk mencari isi dalam kandungan Al-Quran. Minta maaf Lan kawe nak sambung lagi. Sebenarnya Al-Quran ini ialah penjelasan tentang alam kehidupan yang mencakupi keseluruhan alam ciptaanNya baik alam nyata atau tidak nyata, usul asal alam sedari sebelum ada sehingga terujudnya ada. Ia umpama satu perjalanan yang bermula dengan satu titik dan berakhir dengan satu titik. Dalam perjalanan itu juga terkandung proses-prosesnya. Apabila menyebut proses sudah pasti akan adanya tatacara, pros and con, objektif, matlamat, tunjuk ajar dan sebagainya seperti mana yang kita sedang lalui sekarang. Kesemuanya ini adalah untuk menceritakan apa? Kesemuanya ini adalah untuk menceritakan tentang diri kita Lan. Diri Lan, diri itu sahaja", aku berhujah dengan mengeluarkan apa yang aku faham tentang Al-Quran walau pun bunyinya agak pelik.

"Wah! hebat kau ni. Aku tak sangka orang seni macam kau boleh cakap sebegini rupa. Mana kau dapat semuanya ni?", tanya Lan dengan nada terkejut.

"Al-Quran itu ibu segala-galanya Lan. Kalau kita rajin, kita boleh menggali Al-Quran sedalam-dalamnya dan sudah pasti kita akan menemui pelbagai benda yang tidak terlintas dengan akal diri kita yang kotor ini Lan. Aku pernah terdengar puak-puak Yahudi Israel ini mereka menugaskan sekumpulan dari mereka kerjanya hanyalah untuk mengkaji dan memahami isi kandungan Al-Quran sehingga terciptanya pelbagai benda yang tidak pernah terfikir oleh kita orang Islam sendiri. Allah memberi keizinan kepada mereka. Keizinan itu hanya untuk mereka kecapi sekadar di dunia ini sahajalah. Bukankah Allah telah berfirman bahawa dunia sedia ada ini merupakan shurga kepada mereka dan neraka bagi kita. Kat sini pun kita perlu faham betul-betul, bukan faham sekadar di permukaan sahaja. Bukan kerja mudah untuk memahami AL-Quran ni Lan. Kita perlu ada ilmunya", Aku menjawab pertanyaan Lan dengan agak panjang juga.

"Jadi bagaimana kaitannya dengan apa yang berlaku terhadap saudara-saudara Islam di seluruh dunia dan dalam hal ini di Mesir?", tanya Lan untuk menguji minda aku.

"Bukan setakat di Mesir sahaja Lan, di Afghanistan, Palestin, Sudan, Syria, Indonesia hatta di di negara kita sendiri Malaysia. Jangan sesekali kau lupa itu. Apabila kita sebut pasal bersatu bukannya bersatu seperti Gabungan negara-negara Islam yang dipanggil OIC. Yang ini memang tidak boleh pakai sebab OIC ini sengaja dicipta hasil perancangan pihak Yahudi untuk menyedapkan hati negara-negara Islam sahaja"

"Jadi bersatu yang bagaimana yang engkau maksudkan?", tanya Lan lagi kerana dia masih belum jelas dengan apa yang aku katakan tadi.

"Aku teringat kepada satu doa yang menyebut 'Ya Allah satukanlah hati-hati kami Ya Allah dalam mendapat keredhaanMu Ya Allah'. Satukanlah hati-hati kami. Hati-hati kami ini adalah hati yang macamana? Hati ini adalah hati yang benar-benar bersih tanpa setitik kekotoran. Kalau ada hatta setitik seperti satu titik dari mata pen, masih dikira kotor lagi. Tapi Allah Dia Maha Penyayang, walau pun ada setitik kekotoran sekalipun Dia masih membenarkan kita bermohon kepadaNya. Boleh atau tidak itu adalah Hak Dia. Untuk membersihkan hati, kita perlu ada kesedaran. Kesedaran yang kita mengetahui tentang maksud doa itu. Malangnya ada dalam kalangan kita, beria-ia mengaminkan doa tersebut tetapi kerja buat selepas itu tidak sepadan dengan apa yang diaminkan. Itu menunjukkan hati kita masih kotor dan 'satu hati-hati kami' masih belum wujud. Kalau di peringkat hati pun masih belum bersatu, bagaimana untuk kita bersatu secara fizikal dan mental dengan sesama saudara Islam kita. Sama juga apabila kita membicarakan soal fahaman. Fahaman nasionalismelah, Islamiklah dan pelbagai lagi. Kesemuanya ini akan berbalik kepada soal hati tadi"

"Huuh! tinggi ilmu kau sehingga tidak pernah terfikir aku tentang apa yang kau cakap ini", nada Lan penuh keyakinan.

"Tidak timbul soal tinggi atau rendah Lan. Usia kita ni pun dah menuju senja kata orang. Jadi selagi kita diberikan izin menggunakan nafasNya, sama-samalah kita mencari dan mendalaminya dengan harapan dapat kita gunakan sama ada untuk diri kita selain disampaikan kepada anak-anak cucu kita atau kepada generasi akan datang yang akan meneruskan kelangsungan kehidupan alam ini. Kita kongsilah ilmu-ilmu yang Allah salurkan kepada kita untuk difahami secara mutlak oleh generasi akan datang ini. Ilmu Allah ni Lan tidak akan habis sehingga bila-bila...infiniti", balas aku lagi.

"Kalaulah kita dapat bersatu sepertimana yang kau sebutkan tadi, aku pasti mereka tidak berani hendak menganyang kita sesuka hati mereka. Dengan lain perkataan gerun kepada kita", bersemangat sekali nada yang keluar dari kawan aku Lan.

"Bukan gerun kepada kita Lan tetapi gerun beserta malu kepada Allah", jawapku ringkas mengahkiri perbualan pada pagi itu.

Tuesday, August 20, 2013

HARGA BARANG NAIK

Seawal jam 7.30 pagi, aku bersama rakan sejawatku mula mencari tempat untuk bersarapan pagi. Ingatkan seawal masa itu banyaklah lagi tempat kosong, rupa-rupanya semua meja makan sudah diduduki orang yang juga sedang mengisi perut. dalam tercari-cari itu aku terpandang satu meja kosong yang dan seorang Pak Cik tua baru sahaja menghabiskan nasi berlauknya. Lantas aku bertanyakan orang tua itu.
 
"Ada orae laing ko dok di kusi nih?"
 
"Tak dok, tak dok. Duk lah", balas orang tua itu.
 
Aku menarik kerusi lalu duduk. Kemudian aku menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengannya. Rakanku juga bersalaman dengannya selepas aku. Kami terus memanggil budak pekerja di restoren itu untuk memesan makanan. Aku hanya memesan roti telur bersama teh-O kosong kurang manis. Rakanku pula memesan roti canai kosong dengan teh tarik.
 
"Pak Cik dah makae dah ko?" Aku bertanya lagi pada orang tua yang sedang menghisap rokok dengan begitu tenang sekali itu.
 
"Doh...", balasnya pendek.
 
Beberapa minit kemudian makanan yang kami pesan pun tiba. Sambil menjamu roti telur yang dimasak garing itu, kami berbual-bual. Mula-mula perbualan kami hanya berbual mengenai team bolasepak Kelantan yang akan bertemu Pahang pada malam ini tetapi tiba-tiba Pak Cik tua itu bercakap pasal perkara lain.
 
"Aku pasti set Kelate akae belasoh Pahang malae nih. Pahang nih gerun dengae Kelate mu tahu dok?", kata kawan aku itu yang baru nak memulakan perbualan.
 
"Hem..loh-loh ni harga barae semuanyo naik belako. Rayo baru ni harga daging lembu, ayae, ikae semuanya mahal-mahal belako. Tak mampu nok beli daging lembu. Ayae pung mahal jugok tapi sebab rayo kena gak beli sekor duo. Kalu tak anok-anok kato tak rayo pulok" Bicara Pak Cik tua itu sambil memandang aku.
 
"Nok buat lagu mano Pak Cik. Mano ada harga barae yang turun. Buleh dikatakae setiap kali nyambut rayo lagu ni lah kito kleh. Minyak naik, itu naik ini naik. Yang keno bayar tu kito rakyat. Demo tu takpo lah, ada peruntukan itu ini. Kito? setakat lima ratus riyal tu jah. Nok salahkae sapo? salah kito sendirilah Pok Cik" kawan aku mencelah.
 
"Kito dok sokong kerajae dengan harapae kerajae bantu kito. Ruponyo dak jadi lagu tu. Mapuh kito dibuatnyo. Kito dok setaro ni jah. Pitih dok ado ni pung...alah..susoh-susoh", begitulah keluhan yang kedengaran dari mulut Pak Cik tua itu.
 
"Hambo raso kerajae kito mesti ada buat sesuatu untuk kito Pok Cik. Kita tunggu ajo lah", aku menyampuk kata-kata Pak Cik itu.
 
Bila aku memerhatikan keadaan Pak Cik tua itu, perasaan simpati mula menerjah. Pakaian yang dipakainya agak lusuh. Begitu juga dengan kopiah yang dipakainya.
 
"Pak Cik buat gapo loh nih?" Aku pula yang bertanya.
 
"Adolah buat kerjo sikit-sikit untuk nok peliharo anok-anok. Yo lah untuk buat ngaki anok-anok. Cumo ambo terkilae dengan kerajae kito. Ambo setiap kali pilihaerayo, sokmo-sokmo pangkah BN. Bilo nok pilihaerayo, demo tu macae-macae mintak tulong dengan ambo. Pas tu adalah demo tu bui bantuan sikit-sikit. Macae-macaelah demo tu janji dengan ambo. Bukae dengae ambo sorae, semuo orae susoh macae ambo, demo nok tulong. Selepas menae sampai ko loh-lohni buat senyap ajo. Nok berjumpo dengan demo pun susoh. Baru-baru ni demo adalah buat makae hari rayo. Ambo pung gi lah dengae harapae dapat jupo dengan puok-puok nih"
 
"Dapatko Pok Cik jupo dengan puok-puok tu?' celah rakan aku.
 
"Horgh lah, dapat jupo. Kita royaklah ko demo tu pasal masaloh kito ni. Macae hok serupo-serupo sebelum nih lah. Cara demo kecek macae tak dok masalah jah nok selesaikae masaloh kito. Pas tu senyap jugok"
 
"Mintak maaf Pok Cik deh. Pok Cik ni dok sebelah mano?", kawan aku mencelah lagi.
 
"Pok Cik dok belah demo ni lah. Hok yang buat janji nuu"
 
"Serupolah dengan ambo, Pok Cik weh. Kalu Pok Cik dengae masaloh Pok Cik, ambo pulok lagi besar masalohnyo. Ambo kena campok kat sini, ada demo tu kesah ko ambo. Dah lah tu kena pisoh dengan anok bini lagi. Nok masuk tiga tahun doh. Ambo dah lamo duduk dengan parti demo nih hingga kae Ketua Bahagian ambo dilantik jadi menteri. Ambo dah royak ko dia tentang masaloh ambo, dia buat derk jah. Masa nok pilihanrayo baru-baru nih, macae-macae bendo ambo buat untuk tulong demo nih. Berkempen ke sano kemari tak kiro siae malae. Horgh lagu ni lah jugok ambo Pok Cik weh!" kawan aku tiba-tiba datang semangat memberitahu Pak Cik tua itu.
 
"Pah tu kito nok buat lagu mano?", aku menghentikan perbualan yang kelihatan semakin rancak itu.
 
"Dek, mari kiro berapo semuo nih?', aku memanggil budak perkerja restoren itu.
 
Aku lihat Pak Cik itu hendak mengeluarkan wang untuk membayar sarapan pagi itu. Aku cepat-cepat menahannya.
 
"Biar Pok Cik, biar ambo yang bayar. Seronok dapat berbual dengan Pok Cik. Mungkin kalu ada kesempatae laing, kito boleh kecek panjae lagi", aku terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan pak Cik tua yang tidak aku kenali itu. 
 
Dalam perjalanan pulang ke pejabat, inti pati perbualan itulah yang sering menjadi fokus kepada masalah rakyat di negara ini yang amat mengharapkan keresahan yang sedang dilalui dapat dikendurkan bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang diselaputi medan politik yang seolah-olah menjadi tonggak kepada segala-galanya. Amat ketara sekali dirasakan bahawa tidak terdapat keseimbangan dalam mengharungi kehidupan pada ketika ini. Kehidupan di tanah air sendiri.
 

Monday, August 19, 2013

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATHIN

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATHIN. Begitulah ucapan yang pasti digunakan apabila menjelang setiap hari raya  baik di pagi Aidul Fitri mahu pun Aidil Adha. Maka bersalam-salamanlah kita sesama sendiri. Bersalaman sesama anak-anak, ibu bapa, datuk nenek, adik beradik, sahabat handai dan seterusnya. Tatkala bersalaman ada yang meraung menangis bercucuran airmata menunjukkan kesedihan, pilu, sayu dan sebagainya. Kadang-kadang rasa lucu juga apabila saban tahun inilah yang sering berlaku. Semasa bersalaman apatah lagi dengan pelukan dan dakapan, semakin kuat raungan kita. Ini hanya berlaku tatkala menjelang hari raya sahaja. Mengapa tidak berlaku apabila bukannya hari raya? Pelbagai persepsi boleh dijelmakan apabila membicarakan hal ini. Aku tidak mahu mengulas panjang mengenainya.
 
Ada juga yang tidak sepatah pun untuk mengucap kalimah Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Bathin. Hatta melalui sms atau email. Mengapa ya? Mungkin terlupa atau sengaja lupa. Tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Mungkin juga seseorang itu merasa marah atau timbul perasaan benci dalam diri. Mungkin juga. Atau pun mungkin kerana seseorang itu tidak membayar hutang menyebabkan perasaan marah dan menyampah mengatasi segala-galanya. Ya! Mungkin juga.
 
Perkara ini dilihat berlaku dalam kalangan adik beradik baik yang kandung atau yang diminta menjadi adik beradik. Sesama adik kandung ianya tidak menjadi isu kerana apabila berkesempatan pasti akan diselesaikan. Sesama yang bukan adik kandung, inilah yang menjadi isu. Kadangkala ada betulnya juga sehingga ada yang mempersoalkan tentang kewujudan istilah adik beradik dalam konteks ini iaitu dalam konteks adik beradik seperguruan atau sepembelajaran. Adik beradik dalam konteks ini hanya wujud apabila salah seorang mengalami masalah dan kesusahan. Apabila sudah mencapai tahap kesenangan, ungkapan adik beradik tidak akan timbul sama sekali sehingga terdengar dengan jelas lagi nyata ayat yang terpacul keluar dari mulutnya "Penatlah nak jaga adik beradik macam ini". Kalau hendak digunapakai ungkapan tersebut, sudah lama boleh digunakan dikala mengharungi zaman kesusahan sehingga tidak mampu hendak membeli susu anak walau sesudu. Anehnya perkara itu tidak pernah ditimbulkan walaupun seseorang itu sudah mencapai status MILLIONAIRE. Seolah-olah tidak mahu dingati.
 
Ada juga yang mengatakan "Betul ke jadi adik beradik atau pun berlakon sahaja. Bohonglah kalau dikatakan adik beradik". Memang pedih dan sedih apabila ungkapan itu juga kedengaran. Ada yang benar-benar ikhlas dalam melafazkan "adik beradik" ini tetapi dikatakan berbohong. Ada juga yang mengatakan "mengarutlah semua ini". Kalau betul-betul adik beradik kenapa tidak ada tolong menolong?" Tidak boleh disalahkan juga apabila dikatakan begitu kerana masing-masing sudah mencapai tahap hebat. "Akulah lebih hebat, awak siapa?"
 
Dalam kalangan kita ada yang mungkin terlupa. Memang betul segala apa yang dikecapi sekarang adalah dari titik peluh sendiri. Berhabisan wang dan tenaga tetapi barang diingat tatkala hendak memulakan sesuatu itu akan keluarlah kerahan untuk melakukan majlis sembahyang sunat hajat dan sebagainya. Kerahan tenaga ini akan datang tanpa mengatakan "tidak" apatah lagi sekiranya arahan ini datang dari mulut orang tua walaupun terpaksa mengorbankan masa, wang dan tenaga. Di akhir solat hajat kesemuanya akan menadahkan tangan mengaminkan doa. Kita tidak tahu yang mengaminkan doa dari siapakah yang memakbulkan hajat itu tadi. Malangnya perkara ini tidak pernah dibincangkan walaupun orang tua sering berpesan mengenainya.
 
Apabila sudah berjaya dan hajat tadi dimaklbulkan Allah, mereka yang datang dari jauh dengan pengorbanan yang bukan sedikit nilainya tidak diberi sebarang tanda ingatan. Tanda ingatan sebagai adik beradik. Tidak semestinya berbentuk harta seperti menghadiahkan kereta BMW seorang satu atau pun rumah bungalow. Paling tidak pun berkongsi sedikit sebanyak hasil yang diperolehi. Pernah juga berlaku selepas bersusah payah berperang dan berdoa, tiada langsung minuman dan makanan disediakan hanya sebungkus rokok. Jadi dalam hal sedemikian siapa yang sepatutnya layak mengeluarkan kata-kata "penatlah hendak jaga adik beradik".
 
Inilah di antara perkara yang kadang-kadang kita lupa atau sengaja lupa. Kita ingat apabila kita telah berjaya, semuanya adalah datang dari usaha kita sendiri. Kita lupa pada doa-doa orang disekeliling kita. Semasa susah kita mencari adik beradik, apabila sudah senang untuk bertanya kabar pun tidak mampu dilakukan.
 
Ada juga yang berkroni dan memilih siapa yang sepatutnya menjadi adik beradik. Kemana sahaja pergi, berkronilah mereka. Lagi sekali apabila dilanda masalah, yang tidak berkroni inilah yang menjadi sasaran tempat meluahkan seribu satu perasaan.
 
Aku teringat kepada satu pesanan dari orang tua "Duduk sama rendah, diri sama tinggi. Walaupun sudah mencapai tahap sama tetapi jangan sesekali lupa kepada orang yang lebih tua dari kita". Dalam hal ini pun ada juga berlaku yang muda mengaku lebih tua dari yang tua. Kerana apa ya? Kerana hendak menjadi Ketua. Maharaja Lawak sungguh.
 
Bagaimana pula bagi adik beradik yang berjanji untuk menolong adik beradik yang sedang dalam kesusahan? Semasa berjanji seolah-olah sudah macam kun fa yakun bunyinya dan diperbaharui setiap tahun. Malangnya sudah berlarutan untuk sekian lama segala yang dijanjikan tidak satu yang lekat. Bunyinya cukup gah tetapi sehingga kini pihak yang satu lagi terus dirundung malang dan kesusahan. Pengorbanan yang tidak sepatutnya berlaku di kala usia sebegini rupa. Inilah dikatakan adik beradik yang bukan sesusuan.
 
Teringat juga kata seseorang " Biarlah, kita tengokkan sahaja. Orang sedang kemaruk yang sedang popular dalam kalangan sejenis dengannya mana mungkin mengingatkan kita apatah lagi kita ini dia sudah tahu tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau dia mati esok-esok kita pergi ziarah, itu pun kalau kita tahu". Memang betul kata hamba Allah ini. Aku cukup bersetuju dengannya. 
 
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI. MAAF ZAHIR DAN BATHIN. SALAH SILAP HARAP DIMAAFKAN. MAKAN MINUM MOHON DIHALALKAN. INSYAALLAH SEGALA HUTANG AKAN DIJELASKAN.

Tuesday, August 13, 2013

MENGENAL SULUK: Kutipan Dalam Pembacaan

SULUK – MENEMPUH JALAN KEMBALI KEPADA ALLAH
[TANYA] bersuluk, bermakna keberserahdirian. namun apakah yang dilakukan/dikerjakan oleh orang2 yg bersuluk? amalannya? dimana? caranya? kenapa? dan mengapa? (Nurhidayah)
[JAWAB] Bersuluk sebenarnya tidak tepat jika dikatakan bermakna keberserahdirian. ‘Islam’ (aslama)-lah yang artinya ‘berserah diri’. ‘Islam’, adalah keberserahdirian dalam ketaatan dan pengabdian sejati kepada Allah.
Bersuluk, artinya ‘menempuh jalan’. Jalan yang dimaksud adalah ‘jalan kembali kepada Allah’, yaitu ‘jalan taubat’ (ingat asal kata ‘taubat’ adalah ‘taaba’, artinya ‘kembali’), atau jalan ad-diin. ‘Suluk’ secara harfiah berarti ‘menempuh’, (Sin – Lam – Kaf) asalnya dari Q.S. An-Nahl [16] : 69, “Fasluki subula Rabbiki zululan,”
“…dan tempuhlah jalan Rabb-mu yang telah dimudahkan (untukmu).” (Q. S. An-Nahl [16] : 69)
‘Menempuh jalan suluk’ berarti memasuki sebuah disiplin selama seumur hidup untuk menyucikan qalb dan membebaskan nafs (jiwa) dari dominasi jasadiyah dan keduniawian, dibawah bimbingan seorang mursyid sejati (yang telah meraih pengenalan akan diri sejatinya dan Rabb-nya, dan telah diangkat oleh Allah sebagai seorang mursyid bagi para pencari-Nya), untuk mengendalikan hawa nafsu, membersihkan qalb, juga belajar Al-Qur’an dan belajar agama, hingga ke tingkat hakikat dan makna. Dengan bersuluk, seseorang mencoba untuk beragama dengan lebih dalam daripada melaksanakan syari’at saja tanpa berusaha memahami. Orang yang memasuki disiplin jalan suluk, disebut salik (bermakna ‘pejalan’).
Ber-suluk –bukan– mengasingkan diri. Ber-suluk adalah menjalankan agama sebagaimana awal mulanya, yaitu beragama dalam ketiga aspeknya, ‘Iman’ – ‘Islam’ – ‘Ihsan’ (tauhid – fiqh – tasawuf) sekaligus, sebagai satu kesatuan diin Al-Islam yang tidak terpisah-pisah. Secara sederhana, bisa dikatakan bahwa bersuluk adalah ber-thariqah, walaupun tidak selalu demikian.
Yang dilakukan, adalah setiap saat berusaha untuk menjaga dan menghadapkan qalb nya kepada Allah, tanpa pernah berhenti sesaat pun, sambil melaksanakan syari’at Islam sebagaimana yang dibawa Rasulullah saw. Amalannya adalah ibadah wajib dan sunnah sebaik-baiknya, dalam konteks sebaik-baiknya secara lahiriah maupun secara batiniah. Selain itu ada pula amalan-amalan sunnah tambahan, bergantung pada apa yang paling sesuai bagi diri seorang salik untuk mengendalikan sifat jasadiyah dirinya, mengobati jiwanya, membersihkan qalbnya, dan untuk lebih mendekat kepada Allah.
“Tidak ada cara ber-taqarrub (mendekatkan diri) seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku sukai selain melaksanakan kewajiban-kewajiban yang telah Aku fardhu-kan kepadanya. Namun hamba-Ku itu terus berusaha mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan (sunnah) nawafil, sehingga Aku pun mencintainya. Apabila ia telah Aku cintai, Aku menjadi pendengarannya yang dengan Aku ia mendengar, (Aku menjadi) pengelihatannya yang dengan Aku ia melihat, (Aku menjadi) tangannya yang dengan Aku ia keras memukul, dan (Aku menjadi) kakinya yang dengan Aku ia berjalan. Jika ia memohon kepada-Ku, sungguh, akan Aku beri dia, dan jika ia memohon perlindungan-Ku, Aku benar-benar akan melindunginya.” (Hadits Qudsi riwayat Bukhari).
Dasar segala amalan adalah Al-Qur’an dan tuntunan Rasulullah, demikian pula amalan-amalan dalam suluk. Suluk tidak mengajarkan untuk meninggalkan syariat pada level tertentu. Syariat (bahkan hingga hakikat dari pelaksanaan syariat) tuntunan Rasulullah wajib dipahami dan dilaksanakan oleh seorang salik, hingga nafasnya yang penghabisan.
Dimana? Dimana pun, kapan pun. Setiap saat, selama hidup hingga nafas terakhir kelak. Kenapa? Karena sebagian orang ingin memahami makna hidup, makna Al-Qur’an, ingin hidup tertuntun dan senantiasa ada dalam bimbingan Allah setiap saat. Sebagian orang ingin memahami agama, bukan sekedar menghafal dalil-dalil beragama.
Jadi, bersuluk kurang lebih adalah ber-Islam dengan sebaik-baiknya dalam sikap lahir maupun batin, termasuk berusaha memahami kenapa seseorang harus berserah diri (ber-Islam), mengetahui makna ‘berserah diri kepada Allah’ (bukan ‘pasrah’), dalam rangka berusaha mengetahui fungsi spesifik dirinya bagi Allah, untuk apa ia diciptakan-Nya.
Dengan mengetahui fungsi spesifik kita masing-masing, maka kita mulai melaksanakan ibadah (pengabdian) yang sesungguhnya. Sebagai contoh, shalatnya seekor burung ada di dalam bentuk membuka sayapnya ketika ia terbang, dan shalatnya seekor ikan ada di dalam kondisi saat ia berenang di dalam air. Masing-masing kita pun memiliki cara pengabdian yang spesifik, jika kita berhasil menemukan fungsi untuk apa kita diciptakan-Nya.
“Tidakkah engkau mengetahui bahwa sesungguhnya ber-tasbih kepada Allah siapa pun yang ada di petala langit dan bumi, dan burung dengan mengembangkan sayapnya. Sungguh setiap sesuatu mengetahui cara shalat-nya dan cara tasbih-nya masing-masing. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Q. S. An-Nuur [24] : 41)
Inilah ibadah (pengabdian) yang sejati: beribadah dengan cara melaksanakan pengabdian pada Allah dengan menjalankan fungsi spesifik diri kita, sesuai dengan untuk apa kita diciptakan-Nya sejak awal. Fungsi diri yang spesifik inilah yang disebut dengan ‘misi hidup’ atau ‘tugas kelahiran’, untuk apa kita diciptakan.
Sebagaimana sabda Rasulullah:
Dari Imran ra, saya bertanya, “Ya Rasulullah, apa dasarnya amal orang yang beramal?” Rasulullah saw. menjawab, “Tiap-tiap diri dimudahkan mengerjakan sebagaimana dia telah diciptakan untuk (amal) itu.” (H. R. Bukhari no. 2026).
Juga,
“…(Ya Rasulullah) apakah gunanya amal orang-orang yang beramal?” Beliau saw. menjawab, “Tiap-tiap diri bekerja sesuai dengan untuk apa dia diciptakan, atau menurut apa yang dimudahkan kepadanya.”(H. R. Bukhari no. 1777).
Tiap-tiap diri. Setiap orang. Spesifik. Masing-masing memiliki suatu alasan penciptaan, sebuah tugas khusus, sebuah amanah ilahiyah. Ketika seseorang menemukan tugas dirinya, Allah akan memudahkan dirinya beramal dalam pengabdian sejati berupa pelaksanaan akan tugas itu. Ia akan menjadi yang terbaik dalam bidang tugasnya tersebut. Jalan ‘yang dimudahkan kepadanya’ inilah jalan pengabdian yang sesuai misi hidup, sesuai untuk apa kita diciptakan Allah, sebagaimana Q. S. 16 : 69 tadi, “… tempuhlan jalan Rabb-mu yang dimudahkan (bagimu).”
Agama-agama timur mengistilahkan hal ini dengan kata ‘dharma’. Para wali songgo di Jawa zaman dahulu memberi istilah ‘kodrat diri’ atau kadar diri, sesuai istilah dalam Qur’an. Ada juga yang menyebutnya dengan ‘jati diri’.
Segala sesuatu diciptakan Allah dengan ketetapan, dengan tugas, dengan ukuran fungsi spesifik tertentu. Demikian pula kita masing-masing, dan berbeda untuk tiap-tiap orang. Al-Qur’an mengistilahkan hal ini dengan qadar. “Inna kulli syay’in khalaqnaahu bi qadr.”
“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu dengan qadr.” (Q. S. Al-Qamar [54] : 49)
Kita, karena ke-Mahapenciptaan Allah, mustahil diciptakan-Nya secara ‘murahan’ dan ‘tidak kreatif’ sebagai sebuah produk massal. Kita sama sekali bukan mass-product, karya generik. Masing-masing kita dirancang Allah secara spesifik, tailor-made orang-per-orang, dengan segala kombinasi kekuatan dan kelemahan yang diukur dengan presisi oleh tangan-Nya sendiri.
Masing-masing kita diciptakan-Nya dengan dirancang untuk memiliki sekian kombinasi ‘kadar’ keunggulan pada sisi tertentu dan kelemahan pada sisi lainnya, demi kesesuaian untuk melaksanakan sebuah tugas, demi melaksanakan sebuah misi.
Menemukan ‘misi hidup’ adalah menemukan qadr diri kita sendiri sebagaimana yang tersebut pada ayat di atas, sehingga kita memahami untuk (fungsi) apa kita diciptakan. Kita menemukan qudrah Allah yang ada dalam diri kita sendiri. Inilah maksudnya ‘mengenal diri’ dalam hadits “man ‘arafa nafsahu, faqad ‘arafa rabbahu.”.
“Siapa yang mengenal jiwa (nafs)-nya, akan mengenal Rabb-nya.”
Tentu saja, dengan mengenal jiwa (nafs) otomatis juga mengenal Rabb, karena pengetahuan tentang fungsi dan kesejatian diri kita hanya bisa turun langsung dari sisi Allah ta’ala dan bukan dikira-kira oleh kita sendiri. Turunnya pengetahuan sejati (‘ilm) tentang ini bukan kepada jasad maupun kepada otak di jasad kita ini; melainkan hanya kepada jiwa (nafs), diri kita yang sesungguhnya. Dalam jiwa (nafs) kitalah tersimpan pengetahuan tentang diri dan pengetahuan tentang Allah, karena nafs-lah yang dahulu mempersaksikan Allah dan berbicara dengan-Nya, sebagaimana diabadikan oleh Al-Qur’an di surat Al-A’raaf [7] : 172;
“Dan (ingatlah), ketika Rabb-mu mengeluarkan dari bani Adam, dari punggung mereka, keturunan-keturunan mereka, dan mengambil kesaksian terhadap jiwa-jiwa (nafs-nafs; anfus) mereka (seraya berkata): ‘Bukankah Aku ini Rabb-mu.’ Mereka menjawab: ‘Betul (Engkau Rabb kami), kami bersaksi’….” (Q. S. [7] : 172)
Ketika kita mengenal jiwa (nafs), kita mendapatkan pengetahuan tentang Allah, qudrah Allah dan qadr diri yang tersimpan dalam jiwa kita. Dengan demikian, kita pun mengenal Allah dan juga mengenal fungsi spesifik untuk apa kita diciptakan-Nya (mengenal diri). Dengan melaksanakan fungsi tersebut, maka kita pun melaksanakan pengabdian yang sejati kepada Allah sesuai tujuan-Nya menciptakan kita. Kita mulai mengabdi (ya’bud) di atas agama-Nya (Ad-Diin) dengan hakiki. Inilah maksud perkataan sahabat Ali r. a. yang termasyhur: “Awaluddiina Ma’rifatullah.”
“Awal Ad-Diin adalah mengenal Allah (ma’rifatullah)” (Sahabat Ali r. a.)
Demikianlah pengabdian (ibadah) yang hakiki. ‘Ibadah’ bukanlah sekedar puasa, shalat, zakat, dan semacamnya; melainkan jauh, jauh lebih dalam dari itu. ‘Ibadah’ berasal dari kata ‘abid, bermakna, ‘abdi’, ‘hamba’, atau ‘budak’. ‘Ibadah’ pada hakikatnya adalah sebuah pengabdian, atau penghambaan diri. Dan pengabdian yang hakiki adalah pengabdian dengan menjalankan tugas ilahiyah sesuai dengan keinginan-Nya, menurut kehendak-Nya, untuk fungsi apa Dia menciptakan kita.
Demikian pula, status ‘Abdullah’ (‘abdi Allah/hamba Allah) maupun ‘Abdina’ (hamba Kami) adalah mereka yang sudah mengenali tugasnya dan sudah berfungsi sesuai dengan yang sebagaimana Allah kehendaki bagi dirinya. ‘Hamba Allah’ adalah sebuah status yang tinggi.
Sekarang, insya Allah kita jadi sedikit lebih memahami makna ‘dalam’ dari ayat tujuan penciptaan jin dan manusia, “wama khalaqtul jinna wal insa illa liya’buduun.”
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah mengabdi/menghamba (ya’bud) kepada-Ku.” (Q. S. Adz-Dzariyaat [51] : 56)
Demikian pula pada Q. S. Al-Faatihah [1] : 5,
“Kepada Engkau kami mengabdi/menghamba (‘na’bud’,* dari ‘abid,), dan kepada Engkau kami memohon pertolongan.” (Q. S. Al-Faatihah [1] : 5)
Semoga kelak kita diizinkan Allah mampu melaksanakan pengabdian yang hakiki, dengan dijadikan Allah termasuk ke dalam golongan ‘Abdullah’.

Sunday, August 4, 2013

JAGA BAHASA LAH.

Ramadhan akan berakhir hanya dalam masa beberapa hari saje lagi. Kelibat orang KL pulang ke kampung halaman secara bermusim 2 tahun sekali ini (Aidil Fitri dan Aidil Adha) sudak mula kelihatan sejak hari sabtu kelmarin (3 Ogos 2013). Maka sekali lagi bandar Kuala Lumpur bakal lengang dan sepi buat seketika dengan ketiadaan penghuni yang tidak kekal itu. Apa yang pasti ketiadaan penghuni melayu KL akan mengembirakan beberapa puak masyarakat pendatang lain. Puak-puak ini akan menguasai Kuala Lumpur untuk seminggu (Their Alien Nation). Jangan salahkan mereka sebab mereka juga hendak berhari raya sepertimana orang kita yang berada di negara mereka atau negara lain. Tidak ada bezanya pun.
 
Sebenarnya aku bukan hendak bercerita pasal itu sebab isu di atas itu sudah lama berterusan dan menjadi tugas peihak kerajaan untuk mengatasinya atau membendunginya. Memandangkan kes tembak menembak dan bunuh membunuh ini berlaku setiap minggu dalam tempuh tujuh bulan, aku harap apabila alien nation ini menguasai KL tidaklah berlaku insiden seperti dalam filem Labu Labi ketika mereka bermimpi menjadi cowboy.
 
Boleh dikatakan setiap hari aku membaca akhbar maya ini tidak kira akhbar mana. Dalam Malaysiakini dan Harakah ada disediakan kolum komentar di setiap laporan akhbar mereka. Kadangkala apabila membaca berita hangat, terasa juga hendak melihat komentar pembaca. Pelbagai komen yang disampaikan, ada yang keras, berakademik dan paling banyak adalah komen yang mengundang kepada bahasa-bahasa yang tidak sepatutnya apatah lagi dalam aspek menghormati bulan Ramadan yang cukup mulia ini.
 
Aku tertanya-tanya apa sudah terjadi kepada manusia zaman ini. Manusia zaman ini hanyalah merupakan manusia yang hanya berani apabila berada di alam maya. Manusia yang tidak berani untuk berdepan secara sendiri untuk menunjukkan kejantanan atau kebetinaan mereka. Mereka akan berkata apa sahaja sehingga lupa bahawa mereka itu adalah makhluk manusia. Lupa diri, lupa apa yang dipelajari sejak kecil sehingga ke menara gading, lupa pesanan orang tua, lupa pesanan guru, lupa pesanan Rasullullah SAW, lupa Quran dan Hadith, lupa segala-galanya apabila nafsu mengatasi segala-galanya. Nafsu yang telah menjadi arah kiblatnya.
 
Dalam hal begini, siapa yang hendak dipersalahkan? Tidak ada siapa kecuali diri sendiri dengan bermuhasabah. Terdapat komen yang berilmu dan terdapat juga komen yang langsung tiada ilmunya. Terdapat juga komen membela puak masing-masing secara totok. Ada juga komen yang dayus. Ada juga yang bercakap benda lain yang tidak berkaitan sama sekali dengan isu yang dilaporkan. Kesemuanya ini menimbulkan perasaan marah, suka, sakit hati, mual dan lawak dalam kalangan pembaca. Itu yang pastinya.
 
Aku rasa lebih baik pihak akhbar berkenaan tidak menyediakan ruangan komen berkenaan kerana ini akan membuat tukang-tukang komen ini menghimpunkan dosa-dosa kering sahaja. Percikkan api perkauman juga boleh bermula di sini kalau dibiarkan begitu. Hasrat empunya akhbar memanglah bagus iaitu to gain attention, publicity and boastingly to claim that my paper has got more readers than yours, and so on so forth.
 
Entahlah. Kalau hendak halang dikatakan nanti tidak demokrasi atau ketinggalan zaman. Hanya dengan cara inilah boleh diluahkan perasaan masing-masing. Sesiapa yang terasa atau kecil hati ke......ada aku kisah? Gitulah......... seperti kata kawan aku Mejar Bersara.

Sunday, April 7, 2013

MEMUDAHKAN PIHAK DI SEBELAH SANA

Pelbagai program menjelang pilihanraya ke 13 tidak lama lagi dilaksanakan dari kedua-dua belah pihak. Masing-masing menggunakan segala kepakaran dan bijaksana menyampaikan hujah dalam usaha menenggelamkan satu sama lain. Seperti yang aku katakan sebelum ini, rakyat hendak melihat hujah atau perbahasan mengenai dasar-dasar kerajaan dan hala tuju yang akan dibawa. Malangnya ada lagi pihak yang masih berorientasi pemikiran lama, yang tidak mahu berubah. Di sini aku merujuk terus kepada mantan PM iaitu Tun Mahathir yang dikatakan akan berkempen untuk Tuan Guru Ibrahim Ali (hebat betul, siap diberikan gelaran Tuan Guru kepada Ibrahim Ali Pasir Mas) dalam PRU 13 ini.
 
Menurut rakan-rakan seperjuangan "hiraukan sahaja perkara ini, tidak payah nak memeningkan kepala sebab kedua-dua mereka itu adalah merupakan manusia yang sudah tidak bermakna lagi dalam konteks politik dewasa ini. Kedua-duanya adalah orang yang sudah tidak laku. Sekadar jadi badut sahaja dalam menyeronokkan lagi suasana pilihanraya ini. Dia mengatakan bahawa MB Kelantan sudah nyanyuk dan haru biru, gila kuasa, punca orang Islam berpecah belah dan macam-macam lagi. Sebenarnya dia tidak sedar bahawa diri dia sendiri sudah berada lama pada tahap kritikal nyanyuk itu. Bukan sekarang tetapi semenjak dia bersara dari PM dahulu lagi".
 
Si Ibrahim Ali itu pulak, sukar hendak letakkan beliau ini dari spesis apa. Seluruh rakyat Kelantan tahu bagaimana dia berjaya menang menjadi YB pada tahun 2008 dulu. Sebaik sahaja menang, dia terus tikam orang dari belakang dan menubuhkan NGO Perkasa yang kononnya benar-benar memperjuangkan bangsa melayu, lebih baik dari UMNO itu sendiri. Ini mengesahkan bahawa UMNO sebenarnya bukan parti yang memperjuangkan melayu. Peliknya UMNO tidak langsung mempunyai perasaan dengan apa yang dilakukan oleh si Ibrahim Perkasa ini. Ini yang membuatkan ramai dalam kalangan melayu begitu benci dan menyampah dengan pemuka-pemuka seperti ini.  
 
"Apalah yang kau runsingkan. Bukankah kedua-duanya UMNO sendiri sudah tidak mahu. Kau ingat UMNO hendak lagi ke dengan si Brahim tu? Kau ingat UMNO hendak pakai lagi ke dengan kata-kata hikmat Tun Mahathir tu? Lagi banyak dia orang ni cakap, lagi sakit dan berat lagi kita orang UMNO hendak buat kerja. Teruk kita hendak menangkis serangan puak pembangkang dengan kenyataan-kenyataan bodoh dan dungu seperti Brahim dan Mahathir ini".
 
Betul juga kata salah seorang rakan aku ini. Sudahlah dari kalangan pemimpin UMNO sedia ada juga sama bodoh dan dungu macam kedua-dua manusia itu. Macamanalah orang-orang kita ini hendak berdepan dengan pihak pembangkang. Pembangkang pun bukannya semua hebat tetapi tahap sokongan rakyat terhadap mereka kelihatan lebih hebat dari kita. Dengan kita rakyat "paksa rela" tetapi dengan pihak di sebelah sana "benar-benar suka rela". Kita teruk kena membeli sekiranya hendak menang. Kalau dahulu strategi ini memang berkesan tetapi untuk kali ini, beli tetap beli tetapi untuk menjamin kemenangan, jauh sekali. Mengapa jadi begini? Mudah sahaja jawapannya, kita sendiri yang memudahkan strategi pihak pembangkang. Kita sendiri yang memberi segala peluru kepada pihak pembangkang. Kita sendiri yang mencipta isu dan isu ciptaan kita itu akhirnya memakan kita balik. Inilah yang menunjukkan betapa bodohnya so called "think-tank" sedia ada (silap pilih orang atau hakikat sebenarnya tidak mahu mendengar perkara yang sebenar).
 
Apa yang pasti, sekiranya kita hendak mencapai kemenangan selesa selain daripada tidak jujur ialah jangan beri peluang kepada manusia seperti Brahim, Mahathir, Tok-tok Guru Pondok Palsu atau badut-badut yang menghendakkan upahan semata-mata daripada memberi sebarang kenyataan bodoh dan dungu yang merugikan kita. Rakyat sekarang bukan macam dulu lagi. Janganlah kita memperbodohkan rakyat terutamanya dalam kalangan pemuda dan pemudi sekarang ini. Mereka lebih berani daripada kita. Mereka tidak gentar dengan segala ugutan kita. Mereka memperjuangkan prinsip yang pernah kita lakukan pada suatu ketika dahulu. Mereka inilah yang akan memadamkan generasi kita dan akan mewujudkan generasi yang berprinsip sepertimana yang pernah kita lakukan pada peringkat awal penubuhan gagasan bangsa melayu. Sekarang sejarah sedang bermula semula dengan kaedah dan metodolgi yang sama dalam zaman yang berbeza.

Wednesday, April 3, 2013

KUASA DI TANGAN SIAPA SEKARANG?

Tunggu punya tunggu dengan pelbagai persepsi dan spekulasi, akhirnya tanggal 3 April 2013 jam 11.35 pagi, PM Najib membubarkan Parlimen Malaysia edisi 12. Bermula dari hari ini, rakyat Malaysia akan berpilihanraya (Macam Hari Raya lah). Seluruh rakyat akan bersiap siaga (guna istilah x-PM Najib) untuk menentukan hala tuju dan jatuh bangunnya Negara Malaysia ini dalam pilihanraya edisi ke 13 ini.
 
Rakyat yang berjumlah hampir 28 juta ini akan diberi kuasa veto untuk menentukan kerajaan bagaimana yang dikehendaki bagi meneruskan kelangsungan bernegara. Apakah kerajaan Barisan Nasional akan terus diberikan mandat atau Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan menjadi pilihan mereka. Masing-masing puak mengatakan merekalah yang terbaik. 60 hari dari sekarang sama-samalah kita mengharungi detik cemas yang dikatakan Ibu Segala Pilihanraya ini.
 
Yang paling ditunggu-tunggu ialah siapakah yang akan bertanding dan siapakah lawan masing-masing. Inilah yang sedang ditunggu-tunggu oleh keseluruhan rakyat Malaysia dan inilah juga yang amat menyeronokkan kita. "Winable Candidates" adalah aspirisi kepada Barisan Nasional. Popular Candidates adalah harapan Pakatan Rakyat. Hanya the best among the best sahaja yang selayaknya bertanding.
 
Bagi bekas-bekas YB yang meminati acara high jump atau long jump, aku rasa mereka-mereka ini lebih baik tidak disenaraikan dalam mana-mana team. Sebabnya mudah sahaja, mereka-mereka ini sebenarnya tidak serious dan merupakan The YBs with no principle (hate this kind of YBs).
 
Aku yakin kedua-dua pihak akan meletakkan calon-calon yang hebat. Yang pasti Anak Watan akan diberi keutamaan. Anak watan yang hanya tahu hal ehwal kawasan mereka sahaja. Kawasan lain tak perlu tahu. Kalau inilah yang dijadikan kriteria, aku rasa tidak pergi ke manalah mereka-mereka ini. Kita mahukan bukan sekadar anak watan tetapi kita mahukan anak watan yang profesional dari segi latar belakang akademik dan kerjaya. Kita mahukan mereka yang berpemikiran kritis dan kreatif yang boleh merubah daya intelek masyarakat yang bakal mereka pimpin. Kita tidak mahukan Mr Yes Man dalam dalam kelompok ini. Kita mahukan mereka yang sanggup merubah persepsi kolot yang terdapat dalam kalangan pendokong yang amat disukai pemimpin pada suatu ketika dahulu.
 
Marilah kita sama-sama lihat apakah isu yang akan diketengahkan. Apakah isu ini bersifat profesional atau masih bermentaliti kolot zaman pak pandir? Bagi negara maju, isu yang diketengahkan adalah lebih kepada dasar-dasar negara yang hendak dibawa. Bukannya isu peribadi atau isu dalam bilik tidur. Kedua belah pihak sepatutnya meletakkan dasar dan agenda hala tuju negara dalam konten isi ceramah atau kempen mereka. Inilah yang sepatutnya berlaku.
 
Itulah sebabnya aku katakan bahawa pemilihan calon untuk bertanding mestilah dalam kalangan mereka yang tidak ada masalah peribadi, meroyan dan mabuk laut. Kita mahukan mereka yang mampu berhujah serta berani mempertahankan dasar dalam setiap hujah mereka. Inilah dinamakan profesionalisme. Kalau boleh janganlah diletakkan semula calon yang sudah expired. Cukup-cukuplah. Kita mahukan mereka yang hebat berhujah di Parlimen bukan menjadi badut atau joker Parlimen. Aku harap pihak UMNO tidak meletakkan salah orang dalam senarai calon mereka terutama sekali dalam kalangan Pemuda. Very sorry to say aku lihat dalam barisan Pemuda sedia ada semuanya tiada kredibiliti. Menjadi liabiliti adalah (ramai pulak tu).
 
Well, walau apa pun, keputusan adalah ditangan kita. Cuma jangan apabila sudah pangkah, lepas itu baru menyesal "alamak aku sudah silap pangkah daa". Ingat kita pangkah mereka untuk untuk memakmurkan kita, susah sama susah, senang sama-sama senang dan bukan untuk menjadikan mereka lebih kaya daripada kita selepas ini. Mereka sepatutnya menjadikan kita kaya dahulu (kita hendak tengok ada tak pemimpin macam yang kita harapkan itu?). Well.....I don't think so!
 
People's Power. Yes the power is with us. let's us excercise our right and our power. Think of a better place and nation for ourselves and the generation. Malaysia is for Malaysians, not aliens. ( I hate those who gives an alien with a malaysian citizenship). What are going to do with some of our leaders who has betrayed us? Semoga Allah memberikan petualang-petualang ini dengan taufik dan hidayah.
 
Kita mahukan kehidupan yang lebih selesa yang tidak dihimpit dengan pelbagai ketidakkesenangan. Untuk kita bernafas dengan lebih tenang dan selesa.

Sypmtom Checker

loading...