Tuesday, June 29, 2010
AIR YANG DICINCANG TIDAK AKAN PUTUS
Thursday, June 3, 2010
MENANGANI PERUBAHAN
Kalau kita menyorot dari segi makna perubahan ialah The Process Of Becoming Different. Secara literalnya ialah proses untuk menjadi lain sama ada yang baik, lebih baik atau tidak baik langsung. Bagi memotivasikan pemikiran seseorang dalam melalui proses itu tadi, kita akan terdengar pelbagai pernyataan yang dibuat oleh ramai orang. Walau bagaimana pun pernyataan yang boleh dijadikan sumber rujukan dalam hubungan ini ialah dari orang yang berotoriti sebagai contoh Pemimpin Negara, pakar-pakar yang telah diakui atau yang paling bertepatan dan mutlak ialah dua dokumen rasmi yang telah diwasiatkan kepada kita. Antara pernyataan yang agak popular ialah “Melayu mudah lupa” oleh mantan Perdana Menteri kita.
Mengapa beliau tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan tersebut melalui sajak yang beliau hasilkan pada suatu ketika dahulu? Sebenarnya kalau disoroti secara mendalam beliau sebenarnya menegur sikap kita sebagai orang melayu dan apa yang diinginkan ialah melihat perubahan sikap dan diri orang melayu. Perubahan kepada sesuatu yang baru dan lebih baik dari sebelumnya. Ini melibatkan pemikiran dan tindakan yang akan dilakukan. Malangnya apa yang berlaku tidak secara menyeluruh malahan terlalu kecil peratus perubahan yang dihasratkan itu. Bertepatanlah seperti yang beliau katakan bahawa Melayu mudah lupa.
Sebenarnya banyak yang boleh kita ulaskan mengenai apa beliau katakan itu. Dalam kita menyingkap beberapa isu yang menyentuh tentang sikap orang melayu, memang apa yang dikatakan oleh mantan itu ada kebenarannya. Kebenarannya ialah masih lagi tidak berlakunya perubahan dalam minda orang melayu. Ramai di antara kita seolah-olah sudah begitu selesa dengan apa yang ada. Dalam keselesaan yang kononnya itu, kita menjadi lupa dengan sensitiviti persekitaran yang ada. Kita lupa kepada tanggungjawab kita dalam mendaulatkan bangsa apatah lagi agama. Kita menjadi lebih menjurus kepada hal kita sendiri dan kepentingan diri kita sahaja. Apa hendak jadi kepada orang lain itu mereka punya pasal. Akhirnya inilah yang menjadi kita satu bangsa yang lemah.
Kita tidak mahu hendak memikirkan secara holistic tentang nasib bangsa kita. Anasir luar setiap saat memerhatikan perkembangan bangsa kita. Melihat dan mengkaji kelemahan yang kita sendiri lakukan dan biarkan. Ini sebenarnya telah memudahkan anasir luar ini menyuntik pelbagai virus sebagai ujian makmal mereka untuk terus melemahkan bangsa kita. Dasar yang menjadi paksi ujikaji mereka ialah antaranya ialah sikap kita berkaitan pemikiran terbuka. Mereka mengasak minda kita agar menerima konsep pemikiran terbuka ini. Kita akan dikatakan kolot sekiranya tidak mahu menerimanya. Pemikiran terbuka ini akan menjurus kepada yang lebih bebas dan tiada ikatan. Yang dikatakan kolot adalah mereka yang tidak mahu berfikiran terbuka. Manakala yang pemikiran terbuka dikatakan sebagai mereka yang berfikiran baru selari dengan perubahan zaman dari alaf baru ke alaf yang lebih baru. Inilah sebenarnya unsur-unsur yang diserapkan ke dalam pemikiran bangsa kita terutamanya kepada generasi melayu baru.
Lebih memudahkan operasi anasir ini ialah apabila pemimpin kita sendiri meminta bangsanya sendiri agar melayani konsep tersebut atas nama perubahan kononnya. Dalam hal ini kita sepatutnya tidak melihat kepada satu aspek sahaja. Kita sepatutnya menjadi lebih sensitivf dengan membuat pelbagai analisis tentang aturan permainan perubahan ini. Dalam membuat analisis ini kita perlulah menggunakan instrumen penilaian yang telah dibekalkan kepada kita iaitu dua instrumen itu tadi (Al-Quran dan Hadith). Tetapi disebabkan faktur keselesaan yang berjaya diterapkan oleh anasir itu tadi, kita akan terus menjadi malas dan leka untuk membuat sebarang analisis dan usaha.
Serangan atau sasaran utama anasir tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu minda. Minda kita menjadi lemah kerana kita tidak mahu kebalkan dia. Untuk mngebalkan minda kita perlu menjadi sensitif kepada persekitaran yang saya katakan tadi. Senjata untuk menangkis sebarang serangan minda itu ialah dua dokumen wasiat yang itu juga. Kedua-dua dokumen itu adalah cukup selengkap-lengkapnya beserta contoh dan cara untuk menanganinya. Dengan lain perkataan apa sahaja permasalahan manusia sudah tersedia dengan jawapan untuk mengatasinya.
Saya akan cuba mengupas dengan lebih lanjut sedikit sebanyak dalam memperkatakan perubahan ini dalam penulisan akan datang. Saya teringat dengan kata-kata seorang rakan. Dia mengatakan bahawa dia percaya dan berharap seseorang itu akan berubah. Betul apa yang beliau katakan. Cuma bagi saya biarlah perubahan itu untuk kemanfaatan ummah atau diri seseorang itu sendiri kerana perubahan itu akan berlaku di dalam mana-mana dua laluan. Pertama ke arah yang lebih baik dan keduanya ke arah lebih menghancurkan.
Wednesday, March 10, 2010
MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN
Sekiranya terdapat mana-mana kementerian ingin membuat cadangan untuk penambahan jawatan, maka kepada mereka inilah cadangan itu diajukan. Begitu juga dengan segala urusan kenaikan pangkat dan sebagainya, mestilah mendapat kelulusan daripada pihak ini. Mereka inilah yang menguasai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Isunya berdasarkan apa yang berlaku sekarang ialah setiap cadangan yang dikemukakan kepada pihak mereka sebagai contohnya yang melibatkan penambahan jawatan atau mewujudkan sesuatu jawatan baru mengikut keperluan kementerian boleh diluluskan dengan syarat pegawai Gred M mesti ada untuk mengepalai mana-mana bahagian atau unit-unit dengan kedudukan gred yang lebih tinggi dari gred jawatan sesebuah kementerian itu. Sekiranya ini dipersetujui maka dengan mudah dan tidak mengambil masa lama untuk mereka meluluskannya.
Ketidakpuasan hati mengenai isu seperti inilah yang menyebabkan permusuhan dan dendam tersebut tercetus. Kalau boleh kumpulan M ini hendak menjadi ketua kepada setiap bahagian di dalam kementerian dan pegawai-pegawai di dalam kementerian berkenaan mestilah sujud kepada mereka. Aku difahamkan gejala yang tidak begitu sihat ini mula berlaku di dalam sebuah kementerian yang dahulunya cukup sukar untuk ditembusi oleh pihak PTD atau M ini. Kementerian yang dimaksudkan itu ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Usaha halus telah dilakukan dan mereka sudah mula menguasai beberapa Bahagian penting dengan mengisi jawatan-jawatan yang sengaja diwujudkan untuk dipenuhkan dengan kumpulan mereka. Ini menyebabkan penjawat awam di KPM dengan gelaran DG (Perkhidmatan Pendidikan) mula menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada pihak pengurusan tertinggi KPM begitu juga kepada pihak Menteri Pelajaran malahan dimaklumkan juga kepada pihak Perdana Menteri sendiri.
Difahamkan pihak Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran telah mengambil maklum perkara ini dan meminta pihak pengurusan tertinggi KPM melakukan sesuatu memandangkan dari segi jumlah penjawat awam, KPM adalah satu-satunya kementerian mempunyai bilangan penjawat awam yang tertinggi jumlahnya iaitu hampir lima ratus ribu yang majoritinya adalah bergred DG. Malangnya apa yang berlaku sekarang, pihak pengurusan tertinggi yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) beserta anggota-anggotanya yang terdiri dari Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah (TKP) seramai 3 orang dan Pengarah-Pengarah Bahagian tidak berbuat sesuatu atau dengan bahasa mudah tidak memainkan peranan mereka untuk mengambil tindakan untuk menasihati pihak Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran sendiri.
Jumlah Bahagian dalam struktur baru organisasi KPM adalah sebanyak 32 Bahagian di mana 12 Bahagian diketuai pihak PTD dengan gelaran Setiausaha Bahagian dan selebihnya 20 Bahagian diketuai pihak DG dengan gelaran Pengarah Bahagian. Hampir kesemua Pengarah dan Setiausaha Bahagian berada di tangga gred Jusa C ke atas. Sekiranya KPPM mempunyai 3 TKPPM untuk kumpulan DG, maka kumpulan M yang diketuai Ketua Setiausaha KPM juga mempunyai dua orang Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) yang menjaga Pembangunan dan Pengurusan. Dari segi ranking sepatutnya kedua-dua KSU dan KPPM menjadi pengapit kepada Menteri Pelajaran. Dari segi kuasa dan autoriti semasa zaman KPPM Allahyarham Tan Sri Rafaei Mahat, perkara ini memang berlaku dan kehebatan Allahyarham ialah KSU dan kumpulan PTD tidak berani untuk cuba mengambil alih tugas kumpulan DG sehinggalah ke akhir hayat beliau. Maksudnya segala urusan berkaitan bajet dan kewangan adalah diuruskan oleh KSU, manakala dari aspek pengurusan pendidikan adalah di bawah kawalan KPPM. Kedua-dua pihak walaupun sebumbung masih boleh berkompromi dan hormat di antara satu sama lain.
Allahyarham Tan Sri Rafaei telah diamanahkan di Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) setelah tamat tempoh beliau berkhidmat dan menjaga kepentingan warga pendidik sebagai KPPM yang cukup lama di samping mesra pendidik. Semasa beliau di SPP, pihak PTD terus membuat cubaan untuk memasuki KPM tetapi masih mendapat tentangan kuat dari Allahyarham sehinggakan beliau mengatakan ”langkah mayat aku dulu”. Dengan pemergian beliau ke rahmatullah pada sekitar tahun 2007, pihak PTD benar-benar melangkah mayat beliau dan terus sedikit demi sedikit menguasai dan mengambil alih tugas-tugas tertentu yang selama ini disandang oleh pihak DG seterusnya mengetuai unit-unit yang mana ahlinya adalah terdiri dari kumpulan DG.
Perkara ini berlaku dengan begitu mudah dan tersusun semasa KPPM disandang oleh Datuk Ahamad Sipon. Semasa hayat Tan Sri Rafaei masih ada di SPP, agenda ini masih tidak dapat dilakukan. Selang tidak lama selepas beliau meninggal dunia maka bergeraklah agenda menurunkan bidang tugas kumpualn DG dengan begitu hebat sekali. Ini disokong dan diketuai oleh Datuk Ahamad Sipon sendiri seratus peratus bersetuju dengan mengatakan bahawa pihak DG tidak mampu dan pandai dalam bidang pengurusan. Mereka lebih layak mengajar di sekolah sahaja. Kenyataan beliau itu amat memedihkan hati para pendidik yang sejak sekian lama berkhidmat dan menguruskan KPM sebagai pegawai-pegawai yang telah bertungkus lumus menjayakan setiap rancangan Malaysia berkaitan pembangunan pendidikan.
Menteri Pelajaran pada ketika itu telah mendiamkan hasrat pihak PTD untuk menguasai Bahagian, Jabatan Palajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seterusnya kepada pentadbiran sekolah. Beliau menunggu nasihat dari pihak KPPM mengenai isu ini untuk dipertahankannya kepada pihak kepimpinan negara. Malangnya nasihat yang diberikan adalah beliau iaitu KPPM sendiri mengatakan bersetuju dan memang sesuai diterajui oleh pihak PTD. Difahamkan juga pihak menteri telah beberapa kali meminta kepastian dan beliau KPPM tetap dengan ketetapan itu. Agak lama juga pihak menteri hendak meneruskan operasi ini dan pelbagai syarat dan ketetapan telah dikenakan kepada pihak PTD.
Kini pihak PTD telah memasuki dan mengambil alih tugas yang selama ini dipikul oleh pihak DG di JPN. Aku tidak pasti tentang PPD. Yang pastinya mereka tidak diberi peluang untuk memasuki pengurusan sekolah. Sejauhmanakah perkara ini dapat dipertahankan, tidak dapatlah aku hendak katakan di sini.
Agenda mereka untuk terus menembusi dan mengambil alih jawatan dan tugas-tugas tertentu kumpulan DG semakin rancak dijalankan. Apatah lagi dengan KPPM kini disandang pula oleh Tan Sri Alimuddin. Ingatkan beliau yang diketahui umum (warga pendidik) adalah merupakan individu yang dibawa dan dinaikkan oleh Allahyarham Tan Seri Rafaei, akan mengikuti jejak Allahyarham, malangnya langsung tidak mempunyai bibit-bibit atau bau seperti yang diharapkan.
Warga pendidik melihat beliau tidak ada satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk benar-benar memartabatkan mereka. Sepanjang beliau menjadi KPPM tidak ada satu pun peninggalan atau ’legacy’ yang menggembirakan warga pendidik. Yang kelihatan apa yang dilakukan beliau adalah semata-mata untuk kepentingan diri beliau seorang sahaja iaitu dengan mengejar pangkat, gelaran dan harta. Beliau cukup gembira apabila disambut dan disembah umpama raja di mana-mana.
Inilah legacy yang ditinggalkan beliau, yang semakin menidakkan dan mengusir kumpulan DG apabila aku difahamkan satu surat dari pejabat beliau yang ditanda tangani beliau sendiri telah sampai ke Bahagian dan JPN. Kandungan surat seperti yang diceritakan kepada aku ialah penukaran gred DG kepada M kepada yang hanya ditawarkan kepada mereka yang berada di Gred DG48, 52 dan 54. Apa yang boleh aku katakan ialah KPPM yang ini aku lihat seperti menjadi agen kepada pihak PTD. Bukankah urusan berkaitan dengan perjawatan dan sebagainya adalah terletak di bawah Bahagian Sumber Manusia. Jadi mengapa surat seperti ini perlu dikeluarkan oleh KPPM?
Sebenarnya aku tidak mengetahui apakah dan bagaimanakah mekanisme untuk melaksanakan penukaran gred DG kepada M ini. Kedua, mengapakah ianya ditawarkan hanya kepada mereka yang berada di gred DG48 sehingga 54? Apakah ’excercise’ ini akan berterusan kepada setiap dari mereka yang akan memasuki gred tersebut atau ’excercise’ yang hendak dilakukan ini adalah untuk mereka yang sudah berada di gred berkenaan pada masa ini atau pun sehabis lewat untuk setahun atau dua tahun hadapan? Kebanyakkan mereka-mereka yang menyandang gred DG48, 52 dan 54 adalah terdiri dari mereka-mereka yang sudah hendak bersara. Mungkin sehabis lama pun tidak sampai 10 tahun.
Kembali kepada persoalan tadi, selepas kesemua mereka yang bersetuju untuk bertukar ke gred M itu bersara nanti atau manalah tahu ada di antara mereka dikenakan tindakan disiplin dan sebagainya, maka siapakah pula yang bakal mengisi kekosongan tersebut? Apakah akan berlaku kepada kekosongan itu nanti? Kita perlu ingat bahawa warga pendidik yang berada di gred DG48,52 dan 54 adalah terdiri daripada mereka-mereka yang memegang jawatan utama dalam Bahagian iaitu Ketua Penolong Pengarah, Timbalan dan ada juga Pengarah. Bercerita pasal mengisi kekosongan itu dalam bahasa mudahnya post tersebut akan menjadi pos terbuka kepada mana-mana mereka yang berada di dalam kumpulan M yang bukan sahaja kumpulan DG yang bertukar ke M.
Sekiranya ini berlaku, semua Bahagian yang diterajui kumpulan DG akan dikuasai secara total oleh kumpulan M, seterusnya ke pringkat JPN, PPD dan cukup mudah untuk terus meresap ke peringkat sekolah. Akhirnya nanti segala hasrat untuk memartabatkan profesion perguruan, menjadikan sistem pendidikan bertaraf dunia dan sebagainya akan hancur berkecai kerana yang bakal menerajui kepimpinan pendidikan itu nanti adalah terdiri daripada mereka-mereka yang bukan berlatarkan bidang perguruan. Yang tidak tahu tentang selok belok, asam garam, lurah gelinciran dunia perguruan dan sistem pendidikan.
Kalau suatu ketika dahulu guru dilihat sebagai orang yang cukup dihormati dan disanjungi, apabila berlakunya gelombang pertukaran seperti yang dinyatakan di atas, golongan guru atau warga pendidik itu nanti akan menjadi lebih hina dari tukang sapu sampah dan pembersih longkang. Maknanya kata-kata mereka tidak akan didengar lagi dan warga pendidik akan dibuli semahu-mahunya. Aku tidak akan terkejut sekiranya apa yang dikatakan itu tadi berlaku, percayalah masalah sosial akan menjadi semakin gila dan beban yang akan semakin menjadi-jadi. Protes daripada pihak guru sudah pasti akan berlaku seandainya perkara ini terjadi.
Sehubungan dengan itu kemanakah warga pendidik hendak mengadu dan menyuarakan pandangan mereka? Apakah Pengarah-pengarah, TKPPM-TKPPM hatta KPPM sendiri akan melayan keluhan dan pandangan warga pendidik ini? Berdasarkan kepada realiti semasa dan sejak sekian lama, baik pengarah-pengarah mahu pun TKP-TKP kesemua mereka ini adalah merupakan individu-individu yang tidak berani menyatakan yang hak. Mereka adalah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa mengiyakan sahaja semata-mata untuk menjaga reputasi dan kedudukan mereka. Mereka-mereka ini akan berbuat baik dengan KPPM dengan harapan akan dinaikkan pangkat ke Jusa B atau A, disamping dicalonkan untuk mendapat gelaran Dato’ oleh mana-mana Sultan. Mereka akan bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan perhatian dari KPPM. Apabila tiba pada hari lahir KPPM, kita akan lihat jambangan bunga dari siapa yang akan sampai dahulu.
Inilah budaya yang ditunjukkan oleh kalangan warga pendidik iaitu budaya mengampu dan membodek kata orang melayu. TKP akan mengampu KPPM. Pengarah (P) akan mengampu TKP dan KPPM. Timbalan Pengarah(TP) akan mengampu P, TKP dan KPPM. Ketua Sektor(KS) akan mengampu TP, P, TKP dan KPPM. Ketua Penolong Pengarah (KPP) akan mengampu KS, TP, P ( boleh sampai ke TKP dan KPPM kepada mereka yang berhajat). Ketua Unit (KU) akan mengampu KPP, KS, TP dan P. Penolong Pengarah (PP) akan mengampu KU,KPP,TP dan P. Pembantu Penolong Pengarah (PPP) atau Pengelola akan mengampu PP, KU, KPP, KS, TP dan P. Urutan budaya mengampu dan membodek ini boleh dipanjangkan sehingga ke JPN, PPD dan Sekolah.
Inilah juga menunjukkan betapa akrabnya hubungan sesama warga pendidik sehingga dilihat rantaian itu sukar untuk diputuskan atau dilalui. Mungkin inilah yang diperhatikan oleh pihak PTD dalam membaca kelemahan-kelemahan pihak DG untuk mereka merangka dan menjalankan agenda tersirat dan tersurat mereka itu. Dalam situasi seperti ini, aku lihat Kesatuan-kesatuan Guru Negeri dan NUTP (National Union Teachers Profession) perlu memainkan peranan mereka semantap yang boleh sekiranya mereka hendak melihat profesion ini terus dihormati dan disanjungi masyarakat. Sekiranya pihak PTD ingin mengambil alih tugas dan peranan kita, maka kita juga seharusnya bersedia untuk mengambil alih tugas dan peranan mereka dari peringkat bawah sampai ke KSU seterusnya KSN.
Sebenarnya KPM dan warganya memerlukan pemimpin yang berani bersuara dan mengambil risiko. Situasi Menang Menang perlu kita tukar kepada perlu menang. Situasi memang menang ini dilihat banyak dimanfaatkan oleh pihak PTD sebab mereka betul-betul mengusahakannya. Kepimpinan Pendidikan sekarang terlalu sangat dengan perkataan ”tidak apa”,”apa salahnya”, ”biarlah”, ”kita inikan guru”. Kita perlu ubah ”environment” dan syndrome bacul ini. Kita mesti berani mengatakan perkara yang salah dan yang hak. Apa ruginya kita berbuat begitu. Bukankah kita ada undang-undang dan pelbagai saluran yang boleh menyokong kita. Di alaf baru ini kita lihat kelantangan suara dari pelbagai daerah begitu lantang kedengaran sehingga mampu menggegar daerah yang lain yang dikatakan kuat itu. Maka adakalanya kita perlu melakukan hal yang serupa. Kalau suara-suara kita itu bergabung dan mengeluarkan satu desingan yang sama, bukan sahaja daerah-daerah itu akan bergegar malahan bumi yang menampung daerah-daerah itu mampu terbelah dan menelannya.
Monday, January 18, 2010
WARNA DAN WATAK
.png)
Menurut kajian oleh pakar psikologi mendapati warna mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam perwatakan dan sikap seseorang.
Ahli fisiologi dan psikologi menjelaskan ada 4 warna primer :
HIJAU
KUNING
BIRU
Kini, penggunaan pengaruh psikologi yang ada pada warana telah dimanfaatkan secara meluas dalam dunia automotif, peragaan pakaian, permainan dan sebagainya.
Warna ini melambangkan keadaan psikologi yang mengurangkan tenaga, mendorong makin cepatnya denyutan nadi, menaikkan tekanan darah dan mempercepatkan pernafasan. Warna ini mempunyai pengaruh produktiviti, perjuangan, persaingan dan keberahian.
1. Merah Terang :Warna ini melambangkan kekuatan kemahuan atau cita-cita. Sifatnya : Agresif, Aktif, Garang. Pengaruhnya : Berkemahuan keras, penuh gairah, dominasi, kejantanan.
2. Merah Jambu :Warna ini melambangkan romantik, feminim. Warna ini mempunyai sifat mendorong ke arah kepasrahan, penyerahan, kesempurnaan, keayuan dan kesantunan.
Warna ini melambangkan ketenangan yang sempurna. Mempunyai kesan menenangkan pada tekanan darah, denyutan nadi, dan tarikan nafas.
1. Biru Tua :Warna ini melambangkan perasaan yang mendalam. Sifatnya : Konsentrasi, kooperatif, cerdas, kejujuran dan patriotik.Pengaruhnya : Tenang, Bijaksana, Tidak Mudah Tersinggung, Ramai kawan.
2. Biru Muda :Warna ini melambangkan kesungguhan cita-cita dan penuh keazaman. Sifatnya : Bertahan, Pelindung, Tidak Berubah Fikiran.Pengaruhnya : Keras Kepala, Teguh, Sering Bangga Diri, Berpendirian tetap.
1. Kuning Terang :Warna ini melambangkan sifat yang boleh berubah dengan mendadak. Sifatnya sederhana tetapi unik. Sifatnya : Bertolak ansur, Berhati-hati, Menonjol.Pengaruhnya : Berubah-ubah sikap, berwawasan, dermawan, tidak mudah percaya pada orang.
Warna ini melambangkan adanya suatu keinginan, ketabahan dan keteguhan hati. Mempunyai keperibadian yang tegas, berprinsip dan berkuasa. Warna ini mempunyai sifat : meningkatkan rasa bangga, perasaan lebih hebat dan mengatasi orang lain. Orang yang menyukai warna ini umumnya suka dipuji, mudah menasihati orang lain.
1. KELABU :Warna ini tidak menunjukkan makna yang jelas. Tidak terang dan ia dikategorikan sebagai unik dan sukar dikaitkan kepada kecenderungan psikologi. Warna ini sifatnya lebih kepada NEUTRAL.
2. HITAM :Warna ini melambangkan kesedihan dan keseorangan. Ianya memberi kesan kehampaan, kematian, kegelapan, kebinasaan, kerosakkan dan kepunahan.
2. UNGU :Warna ini adalah campuran warna merah dan biru yang melambangkan sifat unik hasil campuran kedua-dua sifat warna tersebut. Perpaduan antara keintiman dan kemesraan, erotik, dan berperasaan mendalam dan peka. Sifatnya sedikit kurang teliti tetapi penuh harapan dan positif.
Friday, January 15, 2010
MENGINGATI KAWAN-KAWAN YANG TELAH PERGI
Thursday, December 3, 2009
KELEBIHAN ORANG FAKIR
Didalam syurga ada kamar dari yaqut yang merah, orang-orang syurga itu melihat tempat itu sama dengan orang dunia jika melihat bontang dilangit, tidak dapat masuk kesitu kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mukmin yang fakir. Orang fakir yang masuk syurga sebelum orang kaya sekadar setengah hari iaitu sekira lima ratus tahun, mereka bersuka-suka dengan bebeas leluasa dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s. akan masuk sesudah nabi-nabi yang lainnya sekira-kira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah s.w.t. kepadanya.
Jika orang fakir membaca: Subhaballah walhamdulillah walaa ilaha illalah wallahu akbar dengan tulus ikhlas dan orang kaya membaca itu, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar orang fakir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian amal-amal kebaikan yang lain-lainnya
Maka kembalilah utusan itu memberitahu kepada orang-orang fakir miskin apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu kepada mereka, maka mereka berkata: "Kami ridho, ya Tuhan, kami puas, ya Tuhan."
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar r.a. berkata: "Saya dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad s.a.w. tujuh macam yang tidak samapai saya tinggalkan dan tidak akan saya tinggal semua itu iaitu: Saya dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka. Saya dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang dibawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang diatasku. Saya dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meskipun mereka jauh dan memutuskan hubungan. Saya dipesan supaya memperbanyakkan membaca: Laa haula walaa quwwata illa billahi, kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau tabungannya. Saya dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia. Saya dipesan supaya jangan takut didalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek. Saya dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat. Dan adanya Abu Dzar jika jatuh pecut dari tangannya sedang ia diatas kenderaannya, maka tidak suka minta tolong kepada orang untuk mengambilkannya.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Al-A'masy dari Khaitsamah berkata: "Malaikat berkata: "Ya Tuhan, hambaMu yang kafir itu Engkau lapangkan dunianya dan Engkau jauhkan daripada bala." Jawab Allah s.w.t.: "Kamu buka tempat siksanya." Dan ketika dilihat oleh malaikat mereka berkata: "Ya Robbi, tidak berguna apa yang mereka dapat dari dunia itu." Lalu malaikat itu berkata: "Ya Tuhan, hambaMu yang mukmin Engkau jauhkan daripadanya dunia dan Engkau hidangkan kepada bala." Allah s.w.t. berfirman:" Bukalah tempat pahalanya." Maka jika telah dilihat oleh malaikat, mereka berkata: "Tidak apalah bagi mereka apa yang mereka derita didunia."
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar Alghifari r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (Yang berbunyi): "Almuktsirun humul asfalun, illa man qaala bilmaali hakadza wahaa kadzaa waha kadza wahaa kadza wa qaliilun maahum." (Yang bermaksud): "Orang-orang yang banyak hartanya itu kelak yang paling bawah tempat mereka kecuali yang menggunakan harta itu begini dan begini dan begini dan begini dan begini (Yakni sedekah kekanan, kekiri, kemuka, kebelakang) Dan sedikit yang sedemikian."
Abul Laits berkata: "Orang kaya itu tempatnya dibawah orang yang miskin baik disyurga atau dineraka, kecuali orang yang selalu sedekah kekiri kanan, depan belakang dan sedikit sekali yang sedemikian sebab syaitan laknatullah merintangi mereka untuk sedekah."
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Syaitan laknatullah berkata: "Orang kaya tidak dapat selamat dari tiga macam iaitu: Saya perhias didalam pandangannya sehingga tidak dikeluarkan kewajipannya atau Saya ringankan tangannya sehingga dikeluarkan tidak pada tempatnya atau
Saya cintakan dalam hatinya sehingga ia berusaha mendapatkannya walau tidak halal.
Abud-Dardaa r.a. berkata: "Ketika Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan, sedang saya ingin akan menghimpun antara dagang dengan ibadat, maka tidak dapat, maka saya tinggalkan dagangan dan tetap melakukan ibadat. Demi Allah yang jiwaku ada ditanganNya, saya tidak ingin mempunyai toko didekat masjid sehingga tidak ketinggalan sembahyang jamaah dan mendapat untung tiap harinya empat puluh dinar untuk bersedekah fisabilillah." Ketika ditanya: "Mengapakah tidak suka itu?" Jawabnya: "Kerana beratnya perhitungan hisab pada hari kiamat."
Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (Yang berbunyi): "Allahumma man ahabbani farzuqhul afafaa walkafaafa, waman abghadhani faaktsir malahu wawaladahu." (Yang bermaksud): "Kefakiran itu sukar disunia senang diakhirat dan kekayaan itu kesenangan didunia dan kerosakan diakhirat."
Anas bin Malik r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (Yang berbunyi): "Inna likulli ahad hirfah, wahirfati itsnataan: Alfakru wal jihad, faman ahabbahuma faqad ahabbani waman abghadhahuma faqad abghadhani." (Yang bermaksud): "Tiap orang ada kesukaannya (pekerjaannya) dan kesukaanku fakir dan jidah, maka siapa suka pada keduanya bererti suka kepadaku dan siapa membenci keduanya itu bererti benci kepadaku."
Abul Laits berkata: "Seharusnya seorang muslim suka kepada orang fakir meskipun ia kaya, sebab cinta kepada orang fakir itu bererti cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga Allah s.w.t. menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. supaya cinta kepada orang-orang fakir miskin sepertimana firman Allah s.w.t. (Yang berbunyi): "Wasbir nafsaka ma alladzina yad uuna robbahum bil ghadaati wal asyiyi yuriduuna wajhahu." (Yang bermaksud): "Dan sabarkan dirimu berkumpul dengan orang-orang yang selalu berdoa kepada Tuhan pagi dan petang semata-mata kerana mengharap keridhoaanNya." (Surah Alkahfi ayat 28)
Sebab turun ayat ini kerana Uyainah bin Hishin Alfazari tokoh Bani Fazarah masuk ketempat Nabi Muhammad s.a.w. sedang disitu ada Salman Alfaritsi. Shuhaib bin Sinan Arrumi dan Bilal Alhabasyi dan lain-lainnya dari kaum dhu'afaa' (yang lemah lembut), mereka dengan pakaian yang jelek dan berbau peluh mereka, maka Uyainah berkata: "Kami ini adalah bangsawan dan mempunyai harga diri, maka bila kami masuk kepadamu, maka keluarkan orang-orang itu sebab mereka mengganggu kami dengan bau dan berilah kepada kami waktu sendiri duduk bersamamu." Maka Allah s.w.t. melarang Nabi Muhammad s.a.w. mengusir mereka dan diperintahkan supaya sabar berkumpul dengan orang-orang yang tidak meninggalkan sembahyang lima waktu kerana mengharap keridhoanNya. Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): "Walaa ta'du ainaka anhum turiidu ziinatal hayatidduniya, wakaana amruhu furutha." (Yang bermaksud): "Dan jangan engkau palingkan pandanganmu dari mereka kerana menginginkan kemewahan dunia, dan jangan menurut kepada orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari peringatan (ajaran) Kami, dan hanya menurutkan hawa nafsunya, maka semua urusan halnya sia-sia belaka." (Surah Alkahf ayat 28)
Dan perintah kepada Nabi Muhammad s.a.w. ini berlaku kepada semua kaum muslimin sampai hari kiamat, kerana itu seharusnya tiap muslim harus suka dan baik kepada orang fakir miskin, serta berbudi kepada mereka kerana mereka orang-orang terkemuka disisi Allah s.w.t. dan dapat diharapkan syafaat mereka.
Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Pada hari kiamat kelak akan dihadapkan seorang hamba, lalu Allah s.w.t. berkata lunak kepadanya sebagaimana seorang yang minta maaf kepada kawannya, maka Allah s.w.t. berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu, Aku tidak menyingkirkan dunia daripadamu kerana hinamu dalam pandanganKu, tetapi kerana Aku telah menyediakan untukmu kemuliaan dan kurnia. Keluarlah hai hambaKu kebarisan-barisan itu dan lihatlah siapa yang dahulu pernah memberi makanan atau pakaiannya kepadamu dengan ikhlas keranaKu." Maka peganglah tangannya dan ia hakmu, maka berjalanlah ia ditengah-tengah manusia yang sedang tenggelam dalam peluhnya, lalu melihat orang yang dahulu pernah berbuat baik kepadanya lalu dipegang tangannya dan dimasukkan kesyurga."
Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Perbanyaklah kenalan orang-orang fakir miskin dan berbudilah kepada mereka kerana mereka kelak akan mendapat kekuasaan." Sahabat bertanya: "Apakah kekuasaan mereka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Bila tiba hari kiamat maka dikatakan kepada mereka: "Perhatikan siapa yang dahulu pernah memberimu makanan atau minuman seteguk atau pakaian sehelai baju, maka peganglah tangannya dan tuntunlah kesyurga."
Abul Laits berkata: "Ketahuilah bahawa bagi orang fakir miskin itu akan mendapat lima kemuliaan iaitu:
Pahala amalnya lebih dari pahala amal orang-orang yang kaya dalam sembahyang, sedekah dan lain-lainnya. Jika ingin sesuatu dan tidak tercapai dicatat baginya pahala. Mereka lebih dahulu masuk syurga. Hisab mereka diakhirat lebih ringan. Kemenyesalan mereka sangat kurang sebab orang-orang kaya ingin seperti orang fakirdiakhirat sedang orang fakir tidak ingin seperti orang yang kaya. Dan semua keterangan ini ada keterangannya dari hadis-hadis.
Zaid bin Aslam berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Satu dirham untuk sedekah lebih afdal dari seratus ribu." Ditanya: "Bagaimana yang demikian, ya Rasulullah?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Seorang mengeluarkan dari kekayaannya yang sangat banyak seratus ribu dirham dan disedekahkan dan lain orang yang mengeluarkan satu dirham dari miliknya yang hanya dua dirham tiada ada yang lain dengan senang hati, maka orang yang mengeluarkan satu dirham lebih afdal dari yang seratus ribu dirham."
Alhasan r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. ditanya oleh seorang sahabat: "Jika kami menginginkan sesuatu dan tidak dapat mencapainya, apakah kami mendapat pahala?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Dengan amalan yang manakah kamu akan mendapat pahala jika tidak mendapat dalam keadaan itu?"
Adhdhahhak berkata: "Siapa yang masuk pasar lalu melihat sesuatu yang diinginkannya lalu ia sabar dan mengharap pahala dari Allah s.w.t., maka yang demikian itu lebih baik baginya daripada sedekah seratus ribu dinar fisabilillah."
Abul Laits berkata: "Dalil atas kelebihan orang fakir itu ialah ayat (Yang berbunyi): "Wa aqimus shalata wa atuzzakata wa athi urrasula la allakum turhamun." (Yang bermaksud): "Tegakkan sembahyang dan keluarkan zakat dan taatlah kepada Rasulullah supaya kamu diberi rahmat."
Didalam ayat ini Allah s.w.t. meletakkan hak orang fakir langsung sesudah hak Allah s.w.t.. Dan juga orang fakir miskin sebagai doktornya orang kaya, sebab jika ia sakit disuruh sedekah kepada fakir miskin, juga sebagai penyucinya sebab bila sedekah kepada fakir miskin maka ia dibersihkan dari dosa-dosanya, juga membersihkan hertanya, juga sifakir itu sebagai pesuruhnyanya, sebab bila ia akan bersedekah untuk ayah bondanya yang telah meninggal, ia pergi kepada fakir miskin dan memberikan sedekah kepada mereka, juga menjaga kekayaannya, sebab harta yang dikeluarkan zakat dan sedekahnya terpelihara dari bencana."
\
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sukakah saya beritahu kepadamu tentang raja-raja disyurga?" Jawab mereka: "Ya, baiklah ya Rasulullah." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Mereka orang-orang yang terhina dan teraniaya, yang tidak diterima untuk mengahwini wanita-wanita bangsawan dan hartawan dan tidak dibukakan bagi mereka pintu-pintu yang tertutup, mati seseorang dari mereka sedang hajatnya masih didalam dadanya belum tercapai tetapi sekiranya sungguh-sungguh minta kepada Tuhan pasti Allah s.w.t. akan memberi padanya."
Ibn Abbas r.a. berkata: "Mal'un (terkutuk) siapa yang menghormat kerana kekayaan dan menghina kerana kemiskinan."
Abud Dardaa' r.a. berkata: "Kami tidak adil terhadap saudara-saudara yang kaya sebab mereka makan, kami juga makan, dan minum, kami juga minum, dan mereka mempunyai kelebihan harta yang selalu mereka lihat-lihat dan kami juga melihat harta itu bersama mereka, tetapi mereka bakal dihisab (dituntut) dan kami bebas dari tuntutan."
Syaqiq Azzahid berkata: "Orang-orang miskin memilih tiga dan orang-orang kaya juga memilih tiga iaitu:
Orang-orang miskin memilih kesenangan jiwa dan kekosongan hati dan ringannya hisab.
Sedang orang-orang kaya memilih:
Sibuknya hati, Penatnya fikiran, Beratnya hisab
Hatim Azzahid berkata: "Siapa yang mengakui empat tanpa empat, maka is dusta dalam pengakuannya iaitu:
Siapa yang mengaku cinta kepada Allah s.w.t. tanpa meninggalkan yang haram.
Siapa yang mengaku cinta kepada syurga tanpa mengeluarkan harta untuk taat kepada Allah s.w.t., maka ia dusta.
Siapa yang mengaku cinta kepada Rasulullah tanpa mengikuti sunnaturrasul maka ia dusta.
Siapa yang menginginkan darjat yang tinggi tanpa bersahabat kepada orang-orang fakir miskin, maka ia dusta.
Seorang cendikiawan berkata: "Empat macam siapa yang ada didalamnya maka ia haram dari kebaikan iaitu:
Orang yang sombong kepada bawahnya
Orang yang derhaka terhadap kedua orang tuanya
Orang yang menghina orang-orang gharib (asing)
Orang yang menghina orang-orang miskin kerana kemiskinannya
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. tidak mewahyukan kepadaku supaya mengumpulkan harta dan menjadi pedagang tetapi Allah s.w.t. mewahyukan kepadaku supaya bertasbih dan tahmid kepada Tuhan dan selalu bersama-sama orang-orang yang sujud dan ibadatlah kepada Tuhanmu sehingga mati (mencapai keyakinan yang sesungguhnya.)."
Abul Laits berkata: "Abu Ja'far meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri r.a. berkata: "Ya Allah, matikan aku sebagai orang fakir miskin dan jangan dimatikan aku kaya dan kumpulkan aku dimahsyar dalam rombongan orang-orang miskin pada hari kiamat, maka sesungguhnya yang amat celaka ialah orang yang miskin didunia dan tersiksa diakhirat."
Umar bin Alkhattab r.a. ketika disampaikan kepadanya hasil ghinamah (hasil perang) Qadissiyah, ia memeriksanya dan melihat-lihatnya lalu menangis. Abdurrahman Bin Auf berkata: "Mengapakah engkau menangis, ya amirul mukminin, padahal hari ini hari gembira dan senang?" Jawabnya: "Benar, tetapi suatu kaum yang diberi ini melainkan terjadi kebencian dan permusuhan diantara mereka."
Ibn Abbas r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiap ummat ada fitnah (ujiannya) sendiri-sendiri, dan ujian ummatku adalah harta kekayaan."
Abdullah bin Umar r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasikhi oleh Allah s.w.t. ialah orang yang fakir miskin sebab manusia yang amat dikasihi oleh Allah s.w.t. ialah para Nabi, maka Allah s.w.t. menguji mereka dengan kefakiran kemiskinan."
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan Albashri berkata: "Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Nabi Musa bin Imran a.s: Ada seorang kekasihKu dari seorang hambaKu dibumi akan mati, maka pergilah engkau kepadanya dan mandikan serta kafankan dan kuburkan." Maka dicari oleh Nabi Musa a.s. dikota tidak bertemu dan didusun juga tidak bertemu, lalu ia melihat tukang-tukang menggali tanah, maka ia bertanya: "Apakah kamu ada melihat orang sakit atau mati?" Jawab mereka: "Disini ditempat yang rosak ini ada seorang sakit mungkin itu yang engkau maksudkan." Jawab Nabi Musa a.s.: "Ya benar." Maka ia pergi kesana. tiba-tiba ada seorang yang sedang sakit menggeletek diatas tanah berbantal batu merah, dan ketika ia sedang menghadapi sakaratulmaut jatuh kepalanya dari batu merah itu. Maka berdiri Nabi Musa a.s. sambil menangis dan berkata: "Ya Robbi, inilah kekasihMu, dari hambaMu menderita sakit dan tidak ada seorangpun yang merawatnya." Maka Allah s.w.t. menurunkan wahyu: "Hai Musa, Aku jika kasih kepada seorang hambaKu, Aku singkirkan dunia daripadanya."
Abbas Bin Katsir dari Alhasan berkata: "iblis laknatullah mengambil pertama wang emas (dinar) yang dibuat diatas bumi lalu diletakkan antara ketua matanya sambil berkata: "Siapakah yang cinta kepadamu, maka ia hambaku."
Abul Laits dari Idris dari Wahb bin Munabbih berkata: "iblis laknatullah datang kepada Nabi Sulaiman dan Daud a.s. berupa orang tua lalu ditanya oleh Nabi Sulaiman: "Beritakan kepadaku apa yang akan engkau perbuat terhadap ummat Nabi Isa bin Maryam a.s?" Jawab iblis laknatullah: "Saya akan menganjurkan kepada mereka supaya menggunakan dua Tuhan selain Allah s.w.t." Lalu apakah yang akan engkau perbuat terhadap ummat Nabi Muhammad s.a.w.?" Jawab iblis laknatullah: "Saya akan iming-imingkan kepada mereka kepada dinar dan dirham (mas dan perak) sehingga itu lebih mereka inginkan daripada Laa ilaha ilallah." Nabi Sulaiman a.s. berkata(Yang berbunyi): "A udzu billahi minka." (Yang bermaksud): "Saya berlindung kepada Allah s.w.t. daripadamu." Tiba-tiba ia sudah tidak ada.
Abul Laits berkata: "Kewajipan seorang fakir ia harus mengerti terhadap kurniaan Allah s.w.t. kepadanya, bahawa Allah s.w.t. menghindarkan dunia daripadanya kerana mulianya disisi Allah s.w.t., yang mana Allah s.w.t. telah memuliakannya sebagaimana memuliakan para Nabi-nabiNya dan para Wali, dan mengucap Alhamdulillah dan tidak baginya dari dunia dan andaikan kefakiran tidak mempunyai kelebihan selain sekadar mengikuti kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. nescaya itu saja cukup besar."
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Thawwus dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Ketika Nabi Muhammad s.a.w. duduk bersama Jibril a.s., tiba-tiba Jibril berkata: "Ini ada Malaikat yang turun dari langit yang belum pernah turun, dan ia minta izin kepada Tuhan untuk berziarah kepadamu." Maka tidak lama datanglah malaikat itu dan memberi salam: "Assalamu alaikum, ya Rasulullah s.a.w" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Wa alaikum salam." Lalu malaikat itu berkata: "Allah s.w.t. telah menyuruh engkau memilih antara diberi kunci dari segala sesautu dan diberi kekayaan yang belum pernah diberikan kepada seorang sebelummu dan tidak akan diberikan kepada seorang sesudahmu, tanpa mengurangi apa yang telah disediakan bagimu diakhirat atau dikumpulkan bagimu semua diakhirat (dihari kiamat)." Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Supaya dikumpulkan semua itu bagiku dihari kiamat sahaja."
Shafwan bin Saliem dari Abdul Wahhab bin Bajid berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Telah ditawarkan kepadaku dataran Mekkah ini berupa emas perak, maka saya berkata: "Ya Tuhan, lebih baik saya kenyang sehari dan lapar sehari, maka memujiMu jika kenyang dan minta kepadaMu jika lapar."
