Thursday, October 22, 2009

RINDU MERINDUI

Rindu Itu Untuk Dia

di tegah malam gelita
sepi mewarnai suasana
di suatu ruang
seorang insan duduk melaya rasa
ada rindu dijiwaya
ada sendu dihatinya
ada luka di
ada bahagia di kalbunya
rindu, sendu luka dan bahagia
bercampur menjadi satu
membelai naluri hati seorang insan

di tengah malam yang sunyi
di angkatya wuduk
lalu berdiri dia
mengadap khalik yang Esa
sujud pada Yang Maha Kuasa
dialunkan rintihan jiwa
dilagukan irama mulia
seketika ....
perlahan muntiara jerih
membelai lembut pipinya

rindu, memanggil dia
mengadap kekasih dijiwa
sendu mendorong dia
bersimpuh di hadapan Yang Maha Penyayang
lukanya mengajak dia
mengadu pada yang Maha Pengasih
bahagianya medesak bibir dia
melafazkan aluna memuji yang Maha Kuasa
membaca ayat-ayat suci lagi mulia

insan kerdil hidupnya dibalut dosa
jiwanya kalut dan resah
hatinya penuh pilu dan sendu
rasanya terluka menderita
akalnya berkata
nalurinya berbisik
hanya dengan mencintai Dia
hanya dengan merindui Dia
pilu dan sendu
kalut dan resah
luka dan derita
kan berganti bahagia
biarpun tiada tawa bergema
namun jauh di sudut hati
ada damai menggamit
ada bahagia berbunga
sesungguhnya
rudu itu hanya untuk Dia ...

Wednesday, October 21, 2009

BERLAYAR KE SATU DESTINASI

Pelayaran

kita belayar
dengan iman dan keyakinan
kerana hidup adalah hukuman
di atas lautan.

kita tempuhi ombak kepalang
dan radang angin songsang
dalam hujan
ketika menyeberangi lautan
yang sesekali mengganas dan menggelombang
dalam mencari unsur dan nilai pengabaian.

alangkah luasnya samudera Tuhan
seluas langit malam
kita pun belayar
dalam erti kehilangan seperti seekor ikan.

sebenarnya pelayaran ini
telah diawasi
oleh seorang nabi
dengan kebenaran biru
ombak pagi
bagai pernah menyilani pelangi
memutih persisiran adat mati.
pun malam juga menciptakan
cinta syahdu di laut terbentang.

kami berdoa pada Tuhan
segenap kejujuran
agar bahtera kami
agar pelayaran kami
agar mimpi-mimpi kami
akan terselamat
menemui destinasi.

ERTI PERSAHABATAN

Persahabatan

persahabatan itu
augerah
persahabatan itu
persaudaraan
sesama insan

persahabatan itu
terjalin apabila terjadinya
pertemuan

persahabatan itu
adalah persaudaraan
yang akrab
atas dasar-dasar
ketulusan
keikhlasan
kejujuran dan erti persahabatan
yang tulus suci berpaksikan keimanan
dan
persahabatan itu
adalah amanah
seorang sahabat
di dalam menjalinkan
persahabatan

MENILAI CINTA

Menyentuh soal cinta, jangan pula kita lupa melakukan perubahan kepada diri kita dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan. Oleh yang demikian tidak salah sekiranya kita selalu menilai cinta kita kepada orang yang tersayang. Renungilah apa yang tertera di bawah untuk menilai cinta dan progresnya.

Lupakan masa lalu Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin. Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.

Temui ramai orang Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna. Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.

Ubah penampilan Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan. Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.

Jangan terburu-buru Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.

Jangan terlalu memilih Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.

Buat keputusan Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

MENGAPA WANITA KADANGKALA BERBOHONG

Umumnya, wanita berbohong bukannya disebabkan mereka tiada arah tuju atau cuba mencipta sesuatu perkara yang tidak masuk fikiran. Terdapat beberapa alasan yang mendorong mereka melakukan hal ini.

1. Balas dendam

Sekiranya kamu berani mengkhianati cintanya, dia juga akan berani membalasnya. Bahkan, dia lebih hebat daripada kamu. Walaupun tindakannya itu telah diketahui, mungkin dia sengaja melakukan sedemikian. Ramai wanita mempunyai cara tersendiri saat menghadapi situasi pembohongan yang dilakukan kekasihnya. Malah, dia juga berani melakukannya dengan secara tersembunyi, tanpa pengetahuan kamu.

2. Urutan kasih

Wanita sememangnya menginginkan dirinya dicintai dan dihargai. Apatah lagi, mengharapkan sebuah percintaan yang tiada titik noktahnya. Lebih-lebih lagi daripada insan tersayang. Mereka ingin menjadi wanita pertama di dalam hidup kamu dan bukannya, berada di tangga kedua atau berikutnya. Sekali kamu menduakan cintanya, dia akan berkali-kali mengkhianati hidup kamu.

3. Kekerasan

Kini, ramai wanita semakin sedar tentang pentingnya penghargaan yang patut diterimanya. Salah satunya ialah bersikap tegas ketika pasangannya melakukan kekerasan (umumnya secara fizikal) kepadanya. Mungkin pada awalnya dia akan cuba bertahan, tetapi apabila kamu kembali mengulangi tindakan tersebut, mereka akan meninggalkan kamu tanpa sebaris nota. Mereka yakin, masih ramai lelaki di luar sana yang dapat menghargai dirinya yang jauh lebih baik daripada kamu.

4. Hambar

Wanita begitu gemar hal-hal yang remeh atau kecil. Misalnya, hari ulang tahunnya, hari jadi kamu berdua atau hal-hal istimewa lainnya. Hati-hati bila kamu menganggap semua ini sebagai hal yang remeh. Apatah lagi apabila selama ini, si dia selalu mengurus hal yang melibatkan pengorbanan demi kekasihnya. Sekiranya, kamu tidak pernah sesekali menghargai apa yang dia lakukan untuk kamu dan mengabaikan hal-hal yang dianggapnya penting, bersiap sedialah menghadapi pertengkaran yang hebat.

5. Seks

Meskipun kamu tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap si dia, ketidakpuasan dalam urusan seks mampu memberi kesan yang mendalam terhadap perhubungan. Ingat, akibat kurangnya layanan seks, ia akan mendatangkan kesan bahaya dalam perkahwinan. Oleh itu, segeralah mencari jalan penyelesaiannya.

6. Cadangan

Saat putus cinta, biasanya kaum wanita lebih cepat 'menderita' ketika menghadapi hari-hari mendatang sebelum mampu bangkit semula untuk hidup gembira. Ini kerana, sewaktu dia mendapat petunjuk bahawa perhubungan itu tidak dapat dipertahankan lagi, mungkin dia akan mencari pengganti kamu. Jadi, sekiranya kamu benar-benar mencintainya, perbaikilah hubungan kamu dengannya segera.

7. Jejaka bermasalah

Maksudnya, terdapat banyak perkara di sekeliling kamu yang membuatkan pasangan merasakan kamu tidak diperlukan lagi. Sebabnya, selain menjalani hubungan cinta yang sudah tentunya tidak lepas daripada kekangan masalah, kamu juga harus menangani karakter kekasih yang semakin berani. Ingat, dia bersikap sedemikian disebabkan kamu yang memulakannya dahulu.

8. Hubungan tiada kesudahan

Kebiasaannya, saat menjalani hubungan dengan pasangan, wanita menginginkan adanya hubungan yang penuh komitmen, iaitu hubungan yang diakhiri dengan keputusan membanggakan. Apabila sudah lama menjalin hubungan cinta, tetapi tiada keputusan untuk ke jinjang pelamin, wanita akan berfikir bahawa kamu tidak lagi menginginkan dia dalam hidupnya. Jadi, buat apa menunggu kamu dengan lebih lama?

9. Bosan

Hal ini muncul disebabkan dia terperangkap dalam rutin hariannya sama ada kerja rumah mahupun hubungan yang dijalinkan itu begitu membosankan. Baginya, jika kamu tidak memberinya perhatian yang diharapkan dan waktu kamu pula lebih banyak dihabiskan untuk urusan lain, biasanya wanita akan mencari jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Perlu diingatkan bahawa wanita gemarkan suatu kejutan dan selalu ingin dirinya lebih istimewa.

10. Hubungan tidak diduga

Pada awalnya, dia berasa terlalu selesa saat menjalin hubungan dengan kamu. Tetapi ternyata, dia tidak menikmati kehangatan bersama dan terasa begitu terikat dengan kamu. Tidak hairanlah apabila kamu masih cuba membawanya ke sana dan ke sini, dia mula bersikap dingin kerana sudah menyerahkan seluruh perasaannya kepada insan lain.

MEMBERI NASIHAT

Dalam menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.

Thursday, October 15, 2009

KISAH MULA-MULA MASUK IPTA

Kadangkala bila aku duduk berseorangan melayan diri dengan alam ini, fikiranku melayang jauh mengingati zaman mula-mula menapakkan kaki ke Intitusi Pengajian Tinggi pada suatu ketika dahulu. Tempat mula aku belajar pada masa itu dipanggil ITM (Institut Teknologi MARA). Aku cukup berminat dengan bidang kesenian. Minat aku begitu tinggi terhadap bidang ini walaupun aku mampu untuk menceburi bidang-bidang profesional yang lain seperti political sciences, undang-undang, management, mass com dan lain-lain. Pada ketika itu ITM hanya menawarkan peringkat Diploma sahaja. Apabila ITM dinaik taraf kepada UiTM, Diploma-Diploma jurusan tertentu yang mengambil masa empat tahun di konvert menjadi Ijazah.

Tahun 1981 adalah bermulanya pengajian aku. Memandangkan kursus yang ambil ini adalah selama 4 tahun, jadi pada tahun pertama kami semua kena ambil kursus peringkat pra-Diploma dahulu. Aku kena mendaftar sebagai pelajar di ITM Cawangan Dungun, Terengganu. Maka berangkatlah aku ke sana di hantar oleh kedua-dua orang tua aku. Semasa hendak mendaftar aku diarahkan untuk menggunting rambut dahulu sebab rambut aku masa itu boleh tahan juga panjangnya. Maka pergilah aku ke sebuah kedai gunting rambut berhadapan kampus berkenaan. Semasa tukang gunting itu mengerjakan rambut aku, aku tertidur. Bila sedar sahaja dan memandang ke cermin, sedih dan sayu sekali aku rasakan sebab fesyen rambut aku betul-betul macam tudung periok orang tua-tua kata. Tinggal sedikit sahaja di bahagian atas. Aku jerling ke arah tukang gunting rambut itu, dia cuma tersengih sahaja. Bila kedua-dua orang tua aku melihat aku mereka berdua tergelak besar. Trafic light muka aku dibuatnya.

Selepas mendaftar aku pun pergilah ke asrama yang terletak dekat bandar Dungun di belakang Ibu Pejabat Polis Dungun. Asrama ini adalah sebuah bangunan lama bertiangkan batu berdinding papan. Tingkapnya besar ditolak ke atas dan disandarkan dengan kayu. Di bahagian bawah sebahagiannya turut dibuatkan bilik. Berhampiran dengan pagar ada sebuag surau kecil sahaja. Yang kelakarnya dekat bahagian bawah ada beberapa buah kubur lama. Dekat atas kubur itulah dibuatnya tempat ampaian baju. Kalaulah begitunya keadaan pada zaman sekarang sudah tentu akan keluar dalam TV dan Akhbar.

Aku pun naiklah ke tingkat atas lalu memilih katil-katil yang sesuai. First come first serve basislah ni. Ruang bilik adalah secara dormetary dan kesemuanya ada empat dorm. Aku di dorm nombor dua. Katil semuanya double-decker. Yang bahagian bawah sudah disapu bersih, jadi kenalah aku memanjat katil di bahagian atas. Tidak lama aku duduk di atas sebab setiap kali aku bangun, bila aku duduk mejulur kaki ke bawah, kaki aku akan terkena orang di bawah. Member di bahagian bawah tidak tahan sebab kepala dia asyik berlanggar dengan tapak kaki aku, dia pun carilah tempat lain. Pucuk dicita ulam mendatang, aku pun berpindah ke katil bahagian bawah. Lega rasanya.

Aku masih ingat malam pertama aku di hostel itu. Aku baru sahaja hendak baring, tiba-tiba datang satu mamat tu konon-kononhya macam mafialah gitu. Dia pun bertanya siapa budak Johor yang masuk ke dorm ini? Aku secara selamba menjawab "Aku, ada apa hal?" Cara dia tanya macam big bos, kemudian dia terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan aku. Nak tahu siapa mamat tu, itulah dia Usop Kopratasa yang terkenal dengan lagu-lagu puisi sekarang ini. "Kau pandai main guitar?" tanya dia lagi. "Pandai tu tak ler sangat tapi kalau hendak menghayun dan melempar guitar macam Deep Purple tu bolehlah jugak" aku menjawab sambil menarik guitar yang aku bawa di atas almari bersebelahan katil aku. Untuk makluman guitar itu masih ada lagi aku simpan sampai sekarang. Yerlah masa itu orang panggil guitar kapok. Cuma di bahagian tepi itu terpaksa dilekatkan dengan tape hitam untuk mengelakkan dari ternganga.

Pada malam itu aku diperkenalkan dengan geng-geng dorm nombor tiga. Dorm nombor satu dan empat, penghuninya adalah mat-mat cool. Dorm tiga ini adalah dihuni bakal-bakal rockers dan blues. Dorm aku pulak separuh mat kuda kepang separuh lagi blues. Kalau tidak silap ada empat biji guitar di situ. "Brader, lu boleh main blues atau scorpion?" tanya salah seorang daripada mereka. "Gua, lu kasi apa saje, gua tarik" aku menjawab sambil melabuhkan punggung di celah-celah mereka. "Aku kasi satu" satu suara kedengaran. Aku pun dengan segannya sudah goreng satu lagu blues. Terbeliaklah sekejap mata-mata yang ada di situ. Maka pada malam itu secara tidak rasmi tertubuhlah satu band. Boleh dikatakan setiap malam kita orang melalak. Ada sahaja lagu baru yang keluar kami akan praktis.

Kebetulan di kampus itu ada music house dan apabila dibuka boleh jadi macam pentas kecil. Semua peralatan muzik ada seperti guitar (3 biji), drum, keyboard, trombone, trumpet, sexaphone dan percussions. Siap dengan speakernya sekali. Pelajar-pelajar perempuan kesemuanya tinggal di dalam kampus. Jadi bila kami pegang micropone dan kata "testing..testing" maka bergayutlah mereka dekat verandah hostel masing-masing.

Aku akan bermain lead guitar, Mat Nan dengan guitar rythem, Tat (Mutaali) bermain bass kadang-kadang diganti dengan Karl (Khairul), Usop bermain drum (memang dia ni hebat dengan bab gendang-gendang), Zaki bermain keyboard dan ada dua tiga orang pak lawak akan mengayakan alat tiupan macam kumpulan black dog bone atau carefree. Penyanyi utamanya ialah Akil. Suara dia memang rockers dan blues. Untuk lagu-lagu melayu, Usoplah penyanyinya. Tidak berubah suara dia sampai sekarang. Lagu melayu yang menjadi pujaan ramai pada ketika itu ialah Ibu (Blues Geng). Sampai naik serak suara Usop mendendangkannya. Di hadapan pentas betul macam sedang menonton concert. Kamilah penghibur tetap penghuni di kampus ini. Biasanya kami akan jam di music house itu paling lama pun 2 jam sebab selepas itu masing-masing ada program. Ada yang pergi study, berdating dan buat kerja-kerja di studio. Kebanyakkannya pergi dating dululah, selepas maghrib atau Isyak baru buat kerja-kerja studio.

Sebelum kami meninggalkan kampus Dungun dan berpindah ke kampus Induk di Shah Alam selepas setahun di sana, kami telah mengadakan satu malam persembahan tanda perpisahan. Sebenarnya majlis ini adalah merupakan satu budaya kepada setiap kumpulan pelajar Art and Design yang belajar di sini. Jadi warga kampus boleh menilai batch yang mana yang paling popular. Agak terkejut juga kerana difahamkan batch kamilah yang paling terhangat dan terpopular sekali dalam sejarah.

Di bahagian belakang perpustakaan kampus memang sudah tersedia dengan sebuah pentas untuk berkonsert. Pentas ini menghala ke pantai. Pada malam persembahan itu, di hadapan pentas itu penuh dengan warga kampus, manakala di luar pagar penuh dengan orang-orang Dungun. Yerlah nak tengok concertlah katakan. Persembahan kami penuh dengan pelbagai eksperimentasi yang memaparkan kreativiti kami. Merekabentuk spotlight yang boleh bergerak sepertimana spotlight yang ada di mana-mana concert sehinggalah pelbagai aspek teknikal, kesemuanya mampu kami sedia dan lakukan. Bayangkan salah satu persembahan yang mengisahkan cerita pontianak dan suasana kubur. Penonton semuanya tidak menyangka tiba-tiba dari atas pokok Rhu terbang hantu pontianak melintasi mereka beserta bunyi mengilai lagi. Manakala senario kubur pulak siap dengan berasap dan bercahaya lagi. Nak tahu rahsia buat asap itu macamana? Tiga empat orang duduk bawah pentas dan hembus asap rokok. Kasihan kawan-kawan yang diberi tugas itu. Sampai naik pening dibuatnya. Orang lain tidak tahu apa berlaku di sebalik tabir itu. Member yang jadi orang mati hidup balik itu yang akan keluar dari lubang kubur itu pun sempat juga menghembus asap rokok. Hendak pecah perut aku memikirkan balik kisah itu.

Ada juga persembahan cerita James Bond. Kawan aku dari Terengganu nama dia Yassin melakunkan watak Roger Moore. Sampai sekarang nama Roger terlekat dekat dia. Bayangkan Roger Moore naik ski lepas itu ada pulak salji turun dari atas. Memang real betul kumpulan ini buat. Kemudian ada pulak cerita cowboy yang dilakunkan oleh kawan-kawan dari utara. Cuba bayangkan cowboy-cowboy ini cakap loghat utara. Kostum bukan main-main buat begitu juga dengan setup setiap persembahan yang dipaparkan. Pentas kami tidak ada sebarang tirai. Persembahan kami lebih bersifat eksperimental.

Apabila sampai giliran kita orang buat jam session, malas nak cerita. Riuh macam konsert kat stadium Bukit Jalil dibuatnya. Kalau tidak silap kita bawa lagu Ibu, Cocaine, I Shot D Sheriff, Wonderful Tonight, Highway Star, lagu-lagu blues lain, Scorpion pun ada. Macam zaman hippies lagaknya. Saham kami naik macam dekat first board malam itu.

Blok school kami ini terletak di bahagian belakang kampus yang menghala ke laut, senang kata berdekatan dengan pantai. Bangunannya semua papan belaka. Bangunan-bangunan yang ada adalah belas peninggalan zaman colonial agaknya. Pensyarah-pensyarah kami pada masa itu ialah Mr. Joe Tan (dah lama pergi), Ruzaika, Tamyez, Tajali, Wan, Dzul. Mereka-mereka inilah yang mengajar kami the foundation of arts. Subjek lain ialah English, Agama, Art History dan Sociology. Untuk kokurikulum pulak kesemuanya wajib menyertai Kesatria (Tentera). Pada hari-hari tertentu berkawadlah kami kiri kanan kiri kanan di dalam kampus yang kecil ini. Jurulatih adalah puak-puak askar belaka. Muka mereka biasalah, berlakun jadi garang.

Di penghujung semester akhir di sana, Almarhum Sultan Terengganu telah datang untuk merasmikan kampus ITM yang baru di Sura Point. Kampus kami dipanggil Sura Gate. Kampus yang baru ini terletak di hujung pantai Dungun yang dikelilingi bukit. Memang cantik tempat itu tetapi kami tidak dapat merasakannya sebab kami akan memulakan pengajian kami di peringkat Diploma mengikut bidang yang dipilih di Kampus Shah Alam. Semasa majlis perasmian itu, kami ada membuat pameran hasil kerja tangan kami. Aku pulak ditugaskan menjadi pengiring lawatan pameran Almarhum Baginda Tuanku. Pada waktu petangnya pulak kami membuat persembahan dengan menaikkan wau berbentuk tiga dimensi. Wau yang kami hasilkan kesemuanya besar-besar. Ada yang berbentuk ikan, kapalterbang dan bermacam-macam lagi. Untuk aku pulak, wau yang aku hasilkan adalah merupakan cantuman kube bertingkat. Nasib baik bermain di tepi pantai, jadi semua wau boleh naik sebab angin yang kuat. Beberapa biji wau akhirnya terjunam ke dalam laut.

Untuk kami pergi ke kampus, setiap pagi bas ITM akan mengangkut kami ke sana pergi dan balik. Pada peringkat awal memang tidak miss naik bas tetapi bila kerja-kerja semakin banyak, kami akan ke kampus sudah tidak mengikut masa lagi. Waktu balik pun tidak menentu. Kadang-kadang melebihi 12 malam, jadi kami akan berjalan kaki pulang ke hostel. Bila kami nak bailk, kami akan melalui depan hostel budak-budak perempuan. Ada yang masih belum tidur selalu menunggu kami dengan usikkan-usikkan gatal. Kami panggil mereka Dewi Malam dan mereka panggil kami Dewa Tengah Malam.

Kawasan kampus Sura Gate ini sebenarnya berhantu. Macam-macam cerita hantu diperdengarkan kepada kami oleh Pak Guard-Pak Guard. Ada lembaga perempuan berjalan tengah malam tanpa kepala, berjalan dari arah laut ke salah sebuah hostel budak perempuan. Peliknya kami tidak pernah terserempak dengan benda-benda macam itu. Budak-budak perempuan ramai juga yang kena histeria. Terjerit terlolong macam dirasuk hantu. Adalah dua tiga orang budak perempuan dari school kami yang kena rasuk. Bila kena rasuk semuanya hendak pergi ke laut. Biji mata terbeliak-beliak dan suara pulak sudah tidak original. Ada juga kawan-kawan aku yang cuba bomohkan. Aku cuma perhatikan sahaja dari jauh sebab tidak reti nak tolong macamana.

Cuma hendak dijadikan cerita disebabkan kami yang selalu balik tengah malam tidak pernah terserempak dengan lembaga itu, akhirnya kena juga. Pada malam itu salah seorang kawan aku ada bawa basikal. Entah dekat mana dia dapat basikal itu kami pun tidak pernah tanya. Setiap kali kami balik, kami akan lalu di hadapan bangunan admin sebelum sampai ke pintu utama. Dekat situ terdapatnya satu pondok talipun. Entah macamana apabila kami sampai di situ, tiba-tiba kami terdengar talipun berdering. Jadi kami tanpa memikir apa-apa terus ke pondok talipun itu. Deringan itu masih tidak henti-henti. Salah seorang kawan aku menyuruh aku menjawabnya. Aku mals hendak cakap banyak terus mengangkat ganggang talipun itu lalu bercakap. "Hello, hello" tidak ada jawapan. Lepas itu aku bertanya pulak "Hello, siapa ni, nak cakap dengan siapa malam-malam buta ni?". Terkejut juga aku bila aku dengar suara perempuan yang menjawab "Kalau hendak tahu siapa saya, pusinglah ke belakang". Bila terdengar jawapan macam itu barulah aku teringat pasal kisah hantu itu.

Kawan-kawan aku siboklah menanya "Siapa tu, apa katanya?". Aku jadi bisu sekejap, hendak cakap suara tidak mahu keluar. Akhirnya aku menjerit "Aku letak aje talipun ni, kau orang jangan banyak tanya, lari dan jangan pandang belakang ok! ada hantu niii..." Apa lagi kami pun berlarilah menuju ke pondok Pak Guard dengan sekuat hati. Kawan aku yang naik basikal itu, dia tidak naik basikal sebaliknya dia pikul basikal sambil berlari. Sampai dekat pondok Pak Guard, tercunggap-cunggap kami dibuatnya. "Mung nampak hantu dekat pondok talipung itu ork?" tanya Pak Guard. "Yer lah Pak Cik...tapi dengar suara jer dalam talipun" aku beritahu Pak Cik Guard itu. "Kang aku dah kata mung dok cayer, padang muka mung" balas Pak Cik Guard itu sambil ketawa. Aku rasa tentu Pak Guard ni yang bela hantu itu sebab aku nampak dia relaks sahaja. Itulah antara kisah seram yang aku lalui di dalam kampus.

Masih lagi pasal hantu tetapi yang ini berlaku di hostel kami. Bila kerja-kerja tengah banyak dan assesment pun sudah semakin dekat, maka ramailah buat kerja di bahagian bawah hostel. Ada yang tersandar kat batu nisan kubur dan tidak kisah langsung pasal kubur itu. Katil aku dekat tepi laluan yang dilindung dengan almari. Kadang-kadang akan terdengarlah bunyi selipar basah berjalan dekat laluan itu. Itu semua kawan-kawan yang baru balik dari bilik air di bawah. Pada satu ketika itu aku yang baru sampai di hostel setelah berjalan hampir dua batu lebih dari kampus, terus baring di atas katil sebab penat dan hampir nak terlelap. Aku nampak kawan aku Ruslan namanya baru balik dari bilik air. Tiba-tiba dia datang ke katil aku dan duduk di sebelah aku. Mukanya tengok tempat lain tetapi aku cam kawan aku ini. Aku pun tanyalah "u dari mana Russ, pergi mandi ke?" Dia senyap tidak berkata apa-apa. Kemudian aku rasa jari dia meraba dada aku terus ke pangkal leher aku lalu dicekiknya aku. Aku yang tengah letih itu terkejutlah. "Hei! apa ni Russ nak main-main macam ni, aku penat nilah" Aku cuba melepaskan cengkaman yang semakin kuat itu. Bila dah terlampau geram, aku libas tangan aku dekat muka dia, kedengang bunyinya, yang kena adalah pintu almari aku. Punyalah sakit tangan aku. Rupa-rupanya tidak ada sesiapa pun dekat katil aku.

Keesokkan paginya semasa aku sedang bermekap,kawan aku Ruslan lalu depan aku. Tidak pasal-pasal dia kena maki hamun dengan aku. Terpingga-pingga sekejap kawan aku itu. Boleh dikatakan ada sahaja bunyi selipar basah berjalan dekat laluan dalam hostel ini. Dah jadi lali kami dibuatnya. Aku pulak tidak ada lagi makhluk yang tidak nampak itu mengacau aku. Mungkin sebab sudah merasa libasan tangan aku agaknya. Ada lagi yang paling lucu berlaku di hostel kami. Ini kisah penghuni dorm empat. Dekat hujung dorm empat ada tangga hendak ke bilik air di bahagian bawah hostel. Dekat sebelah tangga itu ada satu pohon Rhu dan di tepi-tepi pagar banyak lagi pokok-pokok ini. Suatu pagi, aku dengar riuh rendah penghuni dorm empat. Kami semua pun bergegas ke sana hendak tahu apa sebabnya. Hendak tahu apa sebabnya, dekat atas pokok Rhu itu tergantung semua kain-kain cadar penghuni dorm empat. Macam-macam dibuatnya.

Aku juga masih ingat pada suatu malam semasa kami lebih kurang seramai enam tujuh orang berada di dalam surau bersebelahan hostel itu. Kami lepas bersolat Isyak. Semasa kami bersembahyang, bumbung zing surau itu kami dengar bunyi pasir di lempar-lempar. Lepas sembahyang bila kami berbicara pasal agama, bunyi pasir tadi akan berbunyi lagi. Geram juga kami dibuatnya. Kami terus pergi keluar dan tengok ke atas, tidak ada apa-apa pun. Salah seorang kawan aku telah mengutip beberapa biji batu lalu dilemparkannya ke arah sepohon pokok berdekatan surau itu.

Dalam bilik air pun ada bermacam-macam cerita. Dengar orang masuk ke tandas sebelah bila ditanya tidak berjawab. Bila ditolak pintu tidak ada orang. Kadang dengar bunyi orang mandi di bilik sebelah, bila dilihat tidak ada siapa-siapa. Mula-mula memanglah rasa seram sehinggakan kalau hendak pergi ke bilik air atau tandas kenalah berteman. Tetapi setelah tinggal lama di hostel itu, perkara-perkara seperti itu tidak kami hiraukan lagi sebab sama-sama sudah menjadi hantu malam. Kalau ada bunyi selipar basah berjalan, kami akan ikut dari belakang. Kalau daun tingkap buka tutup sendiri, kami akan sama-sama main buka tutup daun tingkap yang lain.

Itulah antara kisah-kisah yang kadang-kadang aku teringat bila duduk berseorangan disamping melihat kepada alam. Kisah-kisah lama ini mengingatkan aku kepada kawan-kawan lama aku. Di manakah mereka sekarang? Yang sering berkomunikasi dengan aku ialah Usop dan seorang lagi ialah Roger. Cuma baru-baru ini dapat pulak berkomunikasi dengan Russlan. Yang lain-lain memang tidak pernah berjumpa. Cuma dikabarkan mereka berada di situ dan sini. Yang sudah kembali ke rahmatullah, setakat yang tahu ialah tiga orang. Yang kawin cerai dan gila talak pun ada juga. Yang jadi orang kaya pun ada dan yang macam ini memang sudah tidak ingat kawan-kawan langsung. Walau bagaimana pun boleh dikatakan seperti yang dikabarkan, kesemua kawan-kawan aku sudah berjaya di dalam kehidupan masing-masing. Alhamdulillah, aku sentiasa mendoakan kawan-kawan dalam batch aku ini semoga sentiasa sihat dan selamat. Tidak kiralah siapa mereka sekarang, kaya ke, sombongke, berpangkat besar ke, yang susah mahupun yang sederhana. Diharap suatu hari nanti aku dapat berjumpa kesemua yang masih bernyawa ini. Insyaallah.

Friday, October 9, 2009

CATATAN KISAH KAWAN-KAWAN

Rata-rata penulis dengar dalam mana-mana perbualan mengenai kehidupan, boleh dikatakan hampir kesemuanya mempunyai cita-cita untuk menjadi kaya raya. Hidup mewah seperti orang-orang kaya yang sedia ada sekarang. Mungkin 99 peratus manusia mempunyai keinginan seperti itu. Itulah harapan bagi golongan sederhana dan susah lagi papa kedana.

Bagi golongan kaya pulak, ada yang memang dilahirkan dalam keturunan yang memang dah kaya raya. Walau bagaimana pun kita tidak tahu bagaimana nenek moyang mereka itu jadi kaya. Ada kemungkinan nenek moyang mereka adalah lanun pada masa lalu sebab untuk lahir dan terus kaya memang tidak logik langsung. Ada juga yang betul-betul berusaha sehingga nak mampus sehingga menjadi kaya. Ada juga yang menggunakan keringat orang lain lalu menjadi kaya. Ini termasuklah menghamba-abdikan orang lain dan inilah dikatakan berkepentingan.

Mereka mengguna dan memerah segala keringat yang ada pada orang ini dan apabila sudah berjaya mendapatkan hasilnya, orang ini terus ditinggalkan malahan dilupakan dari ingatan. Kalaupun ada upahnya, hanya setakat duit beli air dan makan nasi pada ketika diperlukan itu sahaja. Kalau semasa hendak mendapatkan sesuatu, mereka akan mengunjung orang ini boleh dikatakan paling tidak selang dua hari. Orang ini akan dilayan seperti Yang Berhormat gamaknya. Setiap kali perjumpaan akan dilakukan di Hotel-hotel mewah. Setakat sekali minum dan makan sehingga tiga empat ratus ringgit, tidak ada masalah. Bukan setakat perjumpaan di hotel malahan ada juga dibawa bersiar-siar ke luar negara. Ini semua adalah apa yang dikatakan gula-gula untuk menarik perhatian orang yang dikudatunggangkan ini.

Ramailah kenalan-kenalan orang kaya ini diperkenalkan kepada orang yang menjadi mangsa ini. Yang menjadi mangsa ini sebenarnya memang ikhlas dalam membantu orang-orang kaya ini. Dia tidak pernah meletakkan sebarang peratusan sekiranya berjaya dibantu. Ada juga yang macam itu. Tetapi ada juga yang meletakkan portion atau bahagian terlebih awal. Ini semuanya terletak di atas nawaitu masing-masing. Yang tidak meletakkan peratusan itu adalah semata-mata melihat orang yang dibantu itu sebagai kawan yang diperkenalkan oleh kawan-kawan juga. Dengan harapan sebagai kawan, tentulah kawan tidak makan kawan. Rupa-rupanya kawan ini adalah lebih kejam dari musuh yang sememangnya nyata.

Yang menjadi mangsa ini, setelah apa yang berlaku, hanya mampu berdoa dan menjadikan apa yang berlaku itu sebagai satu proses dalam mencari dan mengenal salah satu pengertian dalam kehidupan ini. Walaupun berbuih mulut menceritakan kepada yang sepatutnya tetapi apa yang boleh rakan-rakan lain lakukan. Mereka sekadar menyatakan simpati disamping melepaskan kemarahan terhadap kawan-kawan seperti itu. Yang kelakarnya ada di kalangan rakan-rakan yang turut membinatangbabikan kawan-kawan seperti itu, akhirnya turut sama menjadi babi yang dimakikan itu.

Inilah antara gambaran cita-cita untuk menjadi kaya yang kadang kala perlu dilalui walaupun perit untuk ditelani. Yang kaya terus dengan kekayaannya manakala yang mengharap untuk menjadi kaya terus dengan doa dan khayalan. Ada yang mengatakan hidup ini umpama roda. Sekejap di atas sekejap di bawah. Yang kelakarnya ialah si kaya terus menerus duduk di atas, entah bila yang di bawah hendak merasa duduk di atas

Tuesday, October 6, 2009

BELAROK....

Di bawah ini adalah di antara gambar-gambar sebagai kenangan semasa majlis perkahwinan anak Kak Na pada minggu pertama Aidil Fitri baru-baru ini. Ini adalah semasa kami bertandang ke rumah pengantin lelaki.




Sunday, October 4, 2009

PANDANGLAH...LIHATLAH...

Hadis yang dikumpulkan oleh Syeikh Othman Jalaluddin di dalam kitabnya Ad Darratun Naafi'aah Fil Asy Raat As Saa'aah dan dikumpulkan oleh Al 'Allamah Mufti Brunei, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama, Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz dalam kumpulan fatwanya bilangan 30 menceritakan beberapa peristiwa TANDA TANDA KIAMAT, di antaranya :
  • Lahir bintang berekor yang menerangi pihak timur - kemungkinan Komet Helly.
  • Qur'an diangkat daripada dada (tidak ada orang menghafal Quran), Quran dilagu-lagukan dan dipertandingkan tetapi tidak dilaksanakan pengajarannya.
  • Al-Quran ditulis cantik dan dijadikan hiasan dinding.
  • Banyak orang berhutang di bank dengan menggunakan riba'.
  • Kemelesetan ekonomi. Perniagaan rugi.
  • Cukai ditinggikan.
  • Banyak berlaku homoseks dan lesbian.
  • Timbul penyakit ganjil timbul dari hubungan seks haram seperti Siplis, Aids dan lain - lain.
  • Orang perempuan tidak mahu beranak banyak dan mereka mengguna alat perancang keluarga.
  • Orang Islam kutuk mengutuk, hina menghina sesama Islam.
  • Masjid dibina indah dan mahal - mahal tetapi tidak ramai ahli jema'ah dan tidak dijadikan sebagai pusat gerakan Islam.
  • Perempuan mengatasi lelaki dari segi jumlah, peranan, menguasai rumah tangga (Queen Control), menguasai jawatan dan lain-lain lagi.
  • Banyak berlaku gempa bumi.
  • Banyak berlaku peperangan di serata ceruk muka bumi.
  • Lahir kumpulan penyanyi macam orang gila (rock), kumpulan punk dan lain - lain.
  • Banyak berlaku rasuah.
  • Lahir kumpulan mengkritik Hadis Nabi Muhamad Sallallahu Alaihi Wasallam.
  • Lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki.
  • Hubungan keluarga pecah belah (anak durhaka ibu bapa, isteri tidak taat suami, suami menganiaya isteri di jadikan pelacur dan sebagainya).
  • Pembunuhan secara aniaya berlaku secara terang - terangan tanpa pembelaan seperti di kem tahanan Sabra dan Syatila; dan di Bosnia)
  • Salam cuma diucapkan kepada orang yang dikenali sahaja.
  • Orang kaya, berpangkat, berjawatan disembah dan diagung-agungkan.
  • Orang yang jahil agama menjadi juru cakap agama.
  • Yang kaya terus dikayakan, yang miskin terus dipapakedanakan.
  • Meminta pertolongan dari yang bukan Islam untuk memerangi orang Islam sendiri.

Peristiwa-peristiwa di atas ialah tanda-tanda pertengahan menjelang tanda-tanda Kiamat yang besar (Kiamat Kubra). Tanda-tanda Kiamat Kubra diriwayatkan lagi bahawa berlaku beberapa peristiwa iaitu:

  • Sembahyang ditinggalkan.
  • Banyak bangunan tinggi mencakar langit.
  • Orang jahat jadi pemimpin.
  • Tidak amanah dan zalim.
  • Penzinaan berleluasa dan dijadikan sumber hidup.
  • Perkara haram dihalalkan.
  • Umat Islam banyak yang tersesat dan terkeluar dari aqidah Ahlussunnah Waljama'ah.
  • Ulama' menjual agama kerana kepentingan dunia.
  • Orang khianat diberi amanah dan orang amanah diketepikan.
  • Alat muzik yang haram dimainkan oleh orang Islam.
  • Arak jadi minuman seharian (rasmi).

Dipetik dari : Haluan Kepimpinan dan Siasah Dalam Arus Kebangkitan Islam oleh : Prof. Muhammad As Soqhir

Sypmtom Checker

loading...